Catatan Perjalananku Menuju Haji...

Umrah Pertama - September 1997 (32 tahun)
Umrah Kedua - September 1999 (34 tahun)
Haji Pertama (Haji Fardhu) - November 2009 (44 tahun)

Umrah Ketiga - May 2010 bersama suami dan mertuaku (45 tahun)
Umrah Keempat - Mac 2012 bersama anak-anak Umrah Ziarah Jordan (47 tahun)
Umrah Kelima - Mac 2015 bersama suami (50 tahun)
Umrah Keenam - in sya Allah Feb 2018 bersama suami (53 tahun)


Inilah perjalananku.....mencari , menghayati dan melalui saat indah mengenal Cinta Ya Rabbi !

.

Followers

Ads


INILAH PERJALANAN SEBENAR KISAH SEORANG HAMBA ALLAH, MENGUTIP PENGALAMAN DEMI PENGALAMAN SEPANJANG 44 HARI MENUNAIKAN IBADAH HAJI DAN AKHIRNYA MENJADIKAN , APA YANG KITA LIHAT SEPERTI SEMALAM TIDAK LAGI SETELAH MENUNAIKAN HAJI... PENGALAMAN "ITU" TELAH MEMBEZAKAN KITA YANG SEMALAM DENGAN KITA YANG HARI INI....

semuga ianya memberi iktibar dan panduan bagi mereka yang memerlukan...

Friday, October 9, 2009

Bertaqlid Dengan Mazhab Maliki Dalam Perkara Wudhu

Bertaqlid Dengan Mazhab Maliki Dalam Perkara Wudhu Ketika Mengerjakan Tawaf


Soalan:
Bagaimanakah cara berwudhu yang sebaik-baiknya sewaktu melakukan tawaf haji atau umrah bagi mengelakkan berulang-ulang mengambil wudhu kerana keadaan sekeliling Ka’bah yang sentiasa bersesak-sesak dan ramai? Adakah sebarang rukhshah mengenainya atau dibolehkan bertaqlid kepada mazhab lain?

Jawapan:

الحمد لله حمدا يوافى نعمه ويكافئ مزيده ، يا ربنا لك الحمد كما ينبغى لجلال وجهك وعظيم سلطانك ، اللهم صل وسلم على سيدنا ومولانا محمد وعلى آل سيدنا محمد صلاة تحيينا بها حياة طيبة ترضاها وتجعلنا بها هداة مهديين غير ضآلين ولا مضلين، وبعد

Masalah batal wudhu ketika tawaf kerana tersentuh kulit antara lelaki dan perempuan bukan mahram adalah isu yang sering kali ditimbulkan oleh para jemah haji atau umrah. Perkara ini menjadi rungutan sebilangan jemaah khususnya lelaki terutama pada musim haji atau pada bulan ramadhan kerana ia sangat sukar dielakkan.

Mengikut al-qaul al-azhar dalam mazhab asy-Syafi’e bersentuhan kulit antara lelaki dan perempuan yang tiada hubungan mahram merupakan antara perkara-perkara yang membatalkan wudhu kedua-dua pihak sama ada yang disentuh atau yang menyentuh. Maka sebagai langkah ke arah itu orang yang tawaf hendaklah berusaha supaya tidak menyentuh orang yang boleh membatalkan wudhu, kerana menurut al-qaul al-muqabil li al-azhar wudhu orang yang menyentuh sahaja yang batal sementara orang yang disentuh itu tidak batal wudhunya.

Maka dalam permasalahan tawaf yang menyebabkan kesulitan kepada para jemaah untuk mengambil wudhu kerana kepadatan yang amat sangat di kawasan tawaf itu, maka bolehlah beramal dengan qaul yang mengatakan tidak batal wudhu orang yang disentuh sebagai jalan masyaqqah atau kesulitan kerana terpaksa mengambil wudhu berulang-ulang kali jika beramal dengan qaul yang azhar.

Bahkan jika secara amalinya pendapat berkenaan itu pun susah juga untuk diamalkan, maka dalam hal ini adalah diharuskan bagi jemaah bertaqlid dengan mazhab Imam Malik yang mengatakan tidak batal jika bersentuh antara lelaki dan perempuan yang bukan mahram tanpa diiringi nafsu syahwat.

Akan tetapi perlu difahami bahawa keharusan bertaqlid dengan mazhab-mazhab lain itu terdapat beberapa syarat yang wajib dipatuhi supaya perkara yang ditaqlidkan itu sah dan boleh damalkan.

Jika seorang yang bermazhab Syafi’e bertaqlid dengan mazhab Imam Malik, maka terlebih dahulu hendaklah dia mengetahui perkara-perkara yang hendak ditaqlidkan itu. Umpamanya jika bertaqlid dalam perkara tidak membatalkan wudhu jika bersentuhan antara lelaki dan perempuan, maka hendaklah dia mengetahui syarat-syarat sah wudhu dan mengamalkan perkara-perkara wajib dalam wudhu yang terdapat dalam mazhab Imam Malik seperti yang akan dihuraikan kemudian, baharulah bertaqlid dalam perkara yang tidak membatalkan wudhu iaitu dalam perkara bersentuh dengan wanita bukan mahram tanpa syahwat.

Oleh yang demikian secara terperinci dijelaskan, bagi jemaah yang hendak mengikut mazhab Maliki dalam perkara ini hendaklah dia mengambil wudhu sebagaimana cara berwudhu dalam mazhab Maliki iaitu:
1. Niat.
2. Membasuh muka.
3. Membasuh dua tangan serta dua siku.
4. Menyapu semua kepala, termasuk lubang (lekuk) tengkuk, kulit di atas dan di belakang dua telinga serta rambut dua pelipis (ekor rambut antara mata dan telinga).
5. Membasuh dua kaki serta dua buku lali.
6. Berturut-turut dengan tidak berlengah-lengah pada membasuh satu anggota ke satu anggota wudhu yang dibasuh.
7. Menggosok atau menyental dengan tapak tangan anggota-anggota wudhu yang dibasuh.
Perlu diingat, ketika membasuh dan menyapu anggota wudhu hendaklah dilakukan berturut-turut tanpa bertangguh dari satu anggota ke satu anggota yang lain dan menggosok atau menyental dengan tapak tangan setiap anggota wudhu. Perbuatan ini menjadi tuntutan kerana termasuk di dalam fardhu atau rukun wudhu dalam mazhab Maliki.

Sementara perkara-perkara yang membatalkan wudhu dalam mazhab Maliki adalah seperti berikut:

1. Keluar sesuatu yang biasa keluar dari qubul (kemaluan) dan dubur, iaitu air kencing, air mazi, air wadi, air mani, air tetuban, darah istihadhah, tahi, dan angin.

2. Hilang akal dengan sebab gila, pitam, mabuk ataupun dengan sebab tidur yang lena. Antara tanda-tanda tidur yang lena itu ialah orang yang tidur itu tidak lagi mendengar suara di sekelilingnya, mengalir air liur daripada mulutnya ataupun terlepas sesuatu daripada genggamannya.

3. Apabila seorang yang baligh menyentuh lawan sejenis (antara lelaki dan perempuan) dengan perasaan nikmat (syahwat). Adapun mengucup pada mulut juga membatalkan wudhu walaupun tanpa perasan nikmat.

4. Apabila seorang lelaki baligh menyentuh kemaluannya dengan tapak tangannya tanpa berlapik. Tetapi tidak membatalkan wudhu seorang perempuan yang menyentuh kemaluannya (farj).

5. Murtad.

6. Merasa ragu setelah berwudhu adakah masih suci atau sudah batal.

Sehubungan dengan ini kita sarankan pihak yang bertanggungjawab dalam urusan haji sewajarnyalah menyampaikan maklumat di atas kepada jemaah haji supaya pengetahuan jemaah tentang bertaqlid dengan mazhab lain dalam masalah wudhu ketika tawaf akan lebih jelas dan sempurna dilakukan mengikut sebagaimana yang dikehendaki dalam mazhab berkenaan. Dengan demikian tidaklah bertaqlid dalam perkara wudhu itu dilakukan dengan sewenang-wenangnya tanpa ilmu yang betul.

والله أعلم بالصواب

Negara asal : Brunei darussalam
Badan yang mengisu fatwa : Jabatan mufti Kerajaan, jabatan Perdana Menteri, Negara Brunei Darussalam
Penulis/Ulama : Ustaz Haji Awang Abdul Aziz bin Junid

2 comments:

  1. Dear saudara,

    Masa ni mungkin dah pulang semula ke rumah dari kursus haji perdana. Saya menghadiri kursus haji dari seawal tahun 2003 (kalau tidak silap).

    Pada masa itu kami baru mendaftar selepas kematian mengejut arwah bapa ssya. Tahun 2005 dipanggil pada mulanya untuk standby dan kemudian confirm tapi semingu sebelum raya dapat surat pembatalan kerana masalah kuota. Rasa sedih kerana persiapan hampir sempurna seperti gelang tangan, paspot, pemeriksan kesihatan semua dah siap. Tapi kehendak Allah adalah yang terbaik, kami redha dan akhirnya pergi buat Haji tahun berikutnya. kami menghadiri kursus selama 4 tahun.

    Doa - guru saya Ustad Alwi Paiman KP JAIS ( kalau saudara pernah pergi kursus perdana di Shah Alam mungkin pernah mendengar nama beliau) mengajar kami yang konsep ibadat haji berbeza dari sembahyang. Haji adalah niat dan perbuatan seperti, wukuf, tawaf, saie dsbnya. Haji tidak ada bacaan yg khusus seperti dalam sembahyang tapi adalah lebih afdal kita mengamalkan bacaan yg diajarkan oleh Rasulullah SAW. Selainnya, mintalah apa saja kepada Allah kerana dia sana hubungan kita adalah sangat 'direct' dengannya. Kena juga pasang strategi untuk meminta doa ditempat2 yg mustajab. Ini penting tapi I think u have covered that.

    Pelbagaikan amalan semasa disana selain dari umrah dan ibadat haji itu sendiri seperti mengaji, ibadat sunat dll.

    1 perkara yg penting juga adalah untuk menjaga hubungan sesama manusia. Dari pengalaman saya dapati ramai jemaah yang 'tergelincir' dalam hal ni dalam usaha untuk mendapat haji yang mabrur. Ada yg 'self centered' sehingga mengabaikan hak2 orang jemaaah lain, tidak mahu menghulurkan bantuan kepada jemaah yg tua dan kurang upaya dll. Biasanya ia melibatkan perkara2 yg mudah seperti nak guna lif, waktu makan dll. U will see....

    Takliq - selain dari isu wuduk yg ditulis oleh saudara ( saya rasa mula dipakai sepenuhnya pada musim haji yg saya sertai), kita juga buleh bertakliq apabila membuat tawaf wada atau tawaf selamat tinggal. Ustad Alwi mengajar kami, ikut mazhab Shafie, selepas tawaf wada kita harus menaiki bas dan tidak boleh lagi membuat apa2 urusan seperti membeli belah dsb. kalau tidak terbatal tawaf itu dan kena buat semula. Tapi ramai jemaah haji kita yg tidak peka kepada perkara ini kerana masa selepas tawaf dan menaiki bas mungkin panjang. Jadi, beliau menasihatkan supaya kita bertakliq dengan mazhab hanafi dalam niat tawaf wada kerana mazhab hanafi menbenarkan seseorang itu tinggal sehingga 30 hari di Mekah walaupun sesudah buat tawaf wada. Niatnya' aku tawaf wada bertaklikkan mazhab hanafi'. Boleh rujuk dengan ustad semasa disana carannya.

    ok, saya ada 1 last posting 4 before u go. Ini lebih penting terutama kepada untuk para suami tapi sebab posting ni pun dah panjang, rasa lebih baik saya tulis lepas ni.

    ZNO, klang ,selangor

    ReplyDelete
  2. Saudara ZNO,

    Terimakasih atas nasihat dan info yang sangat berguna. Saya sangat mengalu-alukan pengalaman saudara untuk dikongsi bersama semuga bukan sahaja saya malah untuk kebaikan mereka yang memerlukan untuk menambahbaikkan Haji kita. Insya Allah.

    ReplyDelete

Kitab Bughyatul Mustarsyidin :

"Telah berkata Al Khauwas daripada tanda-tanda yang menunjukkan diterima Haji seseorang hamba dan bahawa dia sesungguhnya telah dikurniakan dengan keredhaan Allah ,iaitu bahawasanya sesudah ia kembali daripada mengerjakan haji , dia berakklah dengan akhlak Rasullulah (akhlak Muhamaddiyah) hampir dia tiada memandang dirinya lebih tinggi daripada seseorangpun daripada hamba-hamba Allah dan tiada pula berebut-rebut untuk mendapatkan sesuatu daripada perkara dunia sehingga meninggal dunia.

Dan tanda yang menunjukkan hajinya tiada diterima bahawa dia kembali semula kepada keadaannya sebelum mengerjakan Haji.