Catatan Perjalananku Menuju Haji...

Umrah Pertama - September 1997 (32 tahun)
Umrah Kedua - September 1999 (34 tahun)
Haji Pertama (Haji Fardhu) - November 2009 (44 tahun)

Umrah Ketiga - May 2010 bersama suami dan mertuaku (45 tahun)
Umrah Keempat - Mac 2012 bersama anak-anak Umrah Ziarah Jordan (47 tahun)
Umrah Kelima - Mac 2015 bersama suami (50 tahun)
Umrah Keenam - in sya Allah Feb 2018 bersama suami (53 tahun)


Inilah perjalananku.....mencari , menghayati dan melalui saat indah mengenal Cinta Ya Rabbi !

.

Followers

Ads


INILAH PERJALANAN SEBENAR KISAH SEORANG HAMBA ALLAH, MENGUTIP PENGALAMAN DEMI PENGALAMAN SEPANJANG 44 HARI MENUNAIKAN IBADAH HAJI DAN AKHIRNYA MENJADIKAN , APA YANG KITA LIHAT SEPERTI SEMALAM TIDAK LAGI SETELAH MENUNAIKAN HAJI... PENGALAMAN "ITU" TELAH MEMBEZAKAN KITA YANG SEMALAM DENGAN KITA YANG HARI INI....

semuga ianya memberi iktibar dan panduan bagi mereka yang memerlukan...

Thursday, March 11, 2010

Hari 6 - Raudah

6 November Jumaat

Selepas Solat Suboh aku tekad untuk solat Dhuha . Kali ini aku cuma solat diluar Masjid. Mungkin serik bersesak-sesak malam tadi membuatkan aku tidak selesa untuk solat dengan tenang menyebabkan aku memilih untuk solat di luar sahaja. Itupun ramai !

Lebih kurang pukul 6.30 pagi aku pun masuk ke pintu Masjid dan terus mencari ruang untuk menanti Solat Dhuha. Kebetulan terlihat jemaah dari Negara Afrika bertanya tentang ziarah Raudah. Aku pun bertanya pada polis Masjid dimana ruang untuk jemaah Malaysia. Sambil menunjukkan aku ke satu sudut untuk aku pergi. Kelihatan agak ramai sudah menunggu disitu. Sambil menunggu membaca Quran dan berzikir. Semakin lama ruang yang sempit menjadi sangat sesak kerana semua jemaah dari Malaysia dan Indonesia dikumpulkan bersama-sama. Suasana pun agak tegang kerana menanti isyarat untuk bergerak ke ruang yang seterusnya. Ada kumpulan yang memotong que menyebabkan terdengar rasa tidak puas hati dan selalunya kumpulan besar ini adalah dari jemaah Indonesia. Mereka memenuhi hampir setiap ruang dan selalunya aku tersepit antara mereka. Aku seorang diri orang Malaysia berada diantara mereka orang Indonesia.

Hampir 45 minit menunggu kami diarahkan bergerak ke ruang seterusnya maka berlakukah asakan dan berlari untuk mendapat tempat yang dihadapan. Aku sudah tidak pedulikan tindak tanduk jemaah Indonesia yang agak ganas dan biarkan mereka dengan larian mereka. Yang penting aku bersyukur aku sudah berada di dalam Masjid , melalui lorong lorong di antara tiang tiang yang indah, sambil hati mula tersentuh mengingat kembali saat mula mengenal dan jatuh cinta pada Masjid Nabawi. Diruang seterusnya kami menunggu lagi sekitar 30 minit sehingga diarahkan ke ruang yang makin mendekati Raudah. Sewaktu menunggu kami diberi penerangan oleh pekerja Masjid seorang Indonesia. Apa yang tersengat diminda bila mengingatkan kami supaya melakukan solat Jenazah dan mengajar cara-caranya kerana pahalanya adalah sebesar Bukit Uhud jadi kalau di Masjid Nabawi diganda 1,000 kali bukit Uhud apatah lagi bila melakukannya di Masjidil Haram. Beliau juga mengingatkan kami tentang Takbir ke 4 , salam cuma di sebelah kanan sahaja. Bersyukur juga mendapat sedikit ilmu yang sangat berguna kerana Solat Jenazah adalah sesuatu yang sangat biasa dilakukan kalau kita solat di Masjid Nabawi dan Masjidil Haram.

Airmata sudah tidak tertahan , begitu sayu dan terasa sangat rindu bila terlihat Makam Nabi sudah tersergam di ruang mata. Kami menunggu lagi walaupun sudah berhadapan dengan Raudah kerana menunggu giliran kumpulan dihadapan untuk solat . Berlari kesana sini dan berasak-asakan sudah jadi suasana yang biasa . Airmataku sudah tidak tertahan , sambil membaca doa Raudah dan Doa Makam Nabi , Saidina Abu Bakar dan Saidian Umar.

Aku sangat bersyukur kerana telah melihat secara dekat Makam Nabi 10 tahun yang lalu. Kalau dulu memasuki Raudah cuma dipintu bersebelahan dengan Makam , tapi kini pintu untuk memasuki Raudah telah dijauhkan seperti apa yang aku lalui kini. Makam Nabi sudah tidak kelihatan kerana telah dibuat seperti tembok dan memang tidak terlihat langsung.

Sewaktu berlari dalam sesak orang ramai yang berhimpit-himpit aku berada ditepi Makam Nabi dan mencari Karpet Hijau , tanda Raudah. Mujur polis Masjid berada disebelahku dan menyuruh aku solat disitu kerana ditempat aku berada itu sudah memasuki ruang Raudah, iaitu Karpet bewarna hijau. Berdiri dan terus solat kerana memang tiada ruang untuk solat. Syukur aku dapat juga Solat di Raudah di pagi Jumaat yang hening walaupun pada mulanya hati terasa hampa seperti aku tiada peluang untuk kesitu tetapi aku terasa di bimbing untuk sampai ke Raudah. (Tips solat di Raudah : sujudlah selama mungkin kita tidak dihalau untuk keluar dari kawasan itu, tetapi kalau kita sudah beri salam, polis Masjid akan menghalau kita supaya beredar serta merta ) . Hati aku yang sangat rindu , Rindu pada Raudah, Rindu pada Makam Nabi akhirnya terlerai juga. Hanya Tuhan yang tahu hati hambamu ini, 10 tahun menanti saat ini dan apabila ianya berlaku hanya antara aku dan DIA dapat fahami apa yang ditangiskan. Rintihan hambaMU , sayu pilu saat aku sujud di RaudahMU.



Terimakasih Tuhan, ianya menjadi mudah atas pertolongan Mu walaupun hati ku kecewa dan hampa kalau harapan ku tidak kesampaian. Sesudah itu aku menyusuri Dataran Masjid dengan kelibat begitu ramai jemaah namun tidak kuhiraukan , mataku yang merah menangis sebentar tadi seakan mengaburkan pandangan penglihatan . Sekeliling manusia yang asing tidak kuhiraukan terus ke bilik untuk melepaskan lelah. Syukur sejak pukul 4.30 pagi hingga pukul 10 pagi , wuduku terpelihara dan Kau mudahkan urusan aku untuk Ziarah Makam Nabi dan RaudahMU .

Petang itu menerima sms dari anak gadisku yang rindu, Tuhan saja yang tahu suatu perasaan antara anak dan ibunya yang terpisah kerana sebuah ibadat. Sebak mendengar suara tangis anak-anakku tetapi tidak mampu aku memeluk mereka untuk redakan tangis mereka selain menitipkan doa setiap saat aku disini , semuga mereka sentiasa dalam peliharaan Illahi.

Beanrlah , ibadat Haji menuntut pengorbanan yang sangat tinggi dan airmata mengisi setiap ruang jiwa. Bahagia, sedih , sayu, sebak, dan segalanya dilahirkan dengan titisan airmata.


HARI 5 - Dugaan Bermula

5 November, Khamis

Pukul 2.30 pagi , terima sms dari suami yang baru pulang dari Tahajud. Alhamdulillah , malam ini suamiku dapat bangun ke Raudah. “I rindu kat u”, membuatkan airmataku berlinangan. Sudah beberapa malam tidak tidur bersama tentulah sukar apatah lagi perjalanan masih jauh dan sukar. “Tak apa kita selalu ada sama-sama setiap hari”, balas sms untuk memujuk suamiku. “Tidur dulu nanti pukul 4.30pagi akan kejutkan untuk solat suboh”.

Aku agak gembira kerana peluangku untuk solat di Malam Jumaat menampakkan hasil. Sejak dari Zuhor sudah bersedia untuk ke Masjid. Suamiku pula sibuk menguruskan kotak-kotak untuk proses penghantaran melalui courier. Kami telah membeli 10 g Kurma Nabi disamping 4 Tong (10 Liter) air zam-zam, 1 Tong dihantar ke rumah parents suamiku , 1 Tong dihantar ke Office suami untuk staf-stafnya dan 2 Tong digantar ke rumah kami di KL.


Sebelum Asar tiba, aku bercadang untuk pergi awal kerana ini merupakan Solat pertamaku dan seboleh mungkin aku ingin berada didalam Masjid . Apatah lagi tempat perempuan agak terhad dan kena pergi setida-tidaknya 45minit atau 1 jam awal. Sangka ku suami akan menemankan aku tapi dia sibuk dengan kotak-kotaknya membuatkan aku mengganggahi diri ini untuk berjalan seorang diri merentasi Dataran keseberang penjuru Masjid untuk masuk ke bahagian jemaah wanita. Aku tidak ingat pintu No. berapa tapi pintu itulah yang akan digunakan kalau hendak ke Raudah. Memandangkan au tidak pernah masuk ke Masjid Nabawi sejak 10 tahun yang lalu dan masuk ke Masjid pula seorang diri , aku harus memberanikan diri.


Begitu ramai orang dan kelihatan di luar Masjid sangat sesak kerana Malam ini adalah Malam Jumaat. Perasaan takut mula menyelubungi hatiku. Berjalan seorang diri dalan celahan orang ramai buat aku sangat gementar. Akhirnya pintu Masjid jelas kelihatan dan boleh masuk lagi . Puas aku mencari ruang didalam Masjid yang kelihatan begitu sesak sekali satu suasana yang sangat berbeza dengan pengalaman Umrah dulu. Tidaklah begini ramainya dan ianya merupakan pengalaman yang sangat menggentarkan apatah lagi aku seorang diri . Aku sendiri tidak tahu hendak duduk dimana, kelihatan tali raffia direntang untuk menandakan ruang untuk solat. Berpusing-pusing au mencari ruang untuk duduk tetapi semua kelihatan penuh. Aku seperti tida percaya melihat setiap ruang sudah di isi penuh sehingga tiada tempat langsung untu duduk. Waktu itu kelihatan orang-orang Badwi begitu ramai , melihat aku dengan pandangan yang membuat aku gusar.



Aku akhirnya duduk dicelah jalan antara deretan tong-tong zam-zam kerana tiada pilihan lain. Betul-betul di jalur tali rafia menyebabkan aku terpaksa membongkokkan diri setiap kali orang lalu lalang dibelakangku. Ruang yang sangat sempit dan paling menakutkan dikiri kana, depan dan belakang dipenuhi oleh orang-orang Badwi dan Pakistan.


Kelihatan begitu ramai orang-orang Badwi di saf tersebut , agak takut tetapi kugagahkan juga. Oleh kerana duduk diantara jalan untuk orang lalu lalang apatah lagi diantara garisan tali raffia, tentulah ianya sesak sekali untuk orang lalu lalang. Aku hanya mampu berserah pada Illahi, “selamatkan aku”.

Sebentar kemudian, seorang jemaah dari Indonesia kelihatan duduk disebelahku. Mujurlah kehadirannya membuatkan aku sangat lega. Baiknya seperti seorang ibu. Seperti Tuhan hantarkan aku seorang ibu menemankan aku yang dalam ketakutan sebenarnya. Usia dan tutur katanya membuat aku terkenang pada Emak. Dia agak ramah kerana bekas seorang guru yang telah pencen 15 tahun yang lalu. Dia datang dari Sulawesi . Katanya dia perlukan 50 juta Rupiah ( lebih kurang RM17 ribu) untuk menunaikan Haji . Di Madinah , penginapannya adalah 3 km dari Masjid dan beliau harus berjalan kaki setiap kali ulang alik ke Masjid menyebabkan ada waktu-waktunya seperti Asar ke Isya mereka tidak pulang ke Hotel. Di Mekah pula jarak Hotel mereka adalah 6 ke 7 km dari Masjidil Haram. Bermakna datang awal pagi hingga lewat malam baru pulang ke hotel. Seharusnya kita bersyukur, walaupun cara Muasasah kita adalah jauh lebih baik dari jemaah dari Negara lain.


Dia tidak sudah-sudah memuji kerana jemaah Malaysia begitu beruntung kerana dapat tinggal di Hotel yang cuma dihadapan Masjid. Katanya , dia sesat semalam sewaktu hendak ke Masjid. Bayangkan berjalan kaki sejauh 3 km setiap hari ! Pastinya kena ulang-alik setidak-tidaknya 2 kali. Antara pertanyaan ibu ini yang membuat aku ingat, " Di Malaysia , kalau mencuri , tangan di potong ?". Kami berbual panjang sementara menanti azan Isya'. Rasa takut tidak lagi menyelubungi hati. Malah seorang Badwi yang duduk disebelah Ibu ini, turut melihat kami dan sesekali dengan bahasa isyarat , tersenyum-senyum padaku. Mungin hendak berborak sama tetapi tidak faham apa yang ami borakkan. Aku mengambil coklat snickers yang kusimpan didalam beg dan hulurkan padanya dan dia kelihatan sangat gembira. Aku juga mengambil peluang bersedekah pada Ibu itu dan dia juga kelihatan sangat gembira. Solat pertama di Masjid Nabawi begitu menggembirakan aku ditemukan dengan mereka .

Saya kemudiannya pulang ke Hotel selepas solat Isya. Agak menakutkan kerana bilangan jemaah yang keluar dari Masjid begitu ramai sehingga bertolak-tolak. Ianya lebih menakutkan apabila saya tidak sengaja masuk ke ruang yang silap menyebabkan berlaku asakan di pintu utama di hadapan Hilton Madinah dimana jemaah lelaki dan wanita keluar dan masuk serentak di pintu utama menyebabkan ianya seperti gambaran di Muasin. Hendak berpatah balik sudah tidak boleh kerana tolakan dari belakang menyebabkan saya terpaksa berada dalam himpitan begitu ramai jemaah . Beristighfar dan memohon Tuhan lindungi diriku yang kerdil ini menyebabkan diri terasa arus tolakan agak meluncur dan mudahlah aku mencari ruang untuk keluar. Didalam hati terasa ingin menangis kerana berada didalam situasi itu seorang diri. Memujuk hatiku harus belajar untuk lalui semua ini kerana perjalanan hidup akhirnya “seorang juga”. Takut mana pun kita harus hadapinya sendirian samada kita hendak atau tidak hendak.

Kitab Bughyatul Mustarsyidin :

"Telah berkata Al Khauwas daripada tanda-tanda yang menunjukkan diterima Haji seseorang hamba dan bahawa dia sesungguhnya telah dikurniakan dengan keredhaan Allah ,iaitu bahawasanya sesudah ia kembali daripada mengerjakan haji , dia berakklah dengan akhlak Rasullulah (akhlak Muhamaddiyah) hampir dia tiada memandang dirinya lebih tinggi daripada seseorangpun daripada hamba-hamba Allah dan tiada pula berebut-rebut untuk mendapatkan sesuatu daripada perkara dunia sehingga meninggal dunia.

Dan tanda yang menunjukkan hajinya tiada diterima bahawa dia kembali semula kepada keadaannya sebelum mengerjakan Haji.