Catatan Perjalananku Menuju Haji...

Umrah Pertama - September 1997 (32 tahun)
Umrah Kedua - September 1999 (34 tahun)
Haji Pertama (Haji Fardhu) - November 2009 (44 tahun)

Umrah Ketiga - May 2010 bersama suami dan mertuaku (45 tahun)
Umrah Keempat - Mac 2012 bersama anak-anak Umrah Ziarah Jordan (47 tahun)
Umrah Kelima - Mac 2015 bersama suami (50 tahun)
Umrah Keenam - in sya Allah Feb 2018 bersama suami (53 tahun)


Inilah perjalananku.....mencari , menghayati dan melalui saat indah mengenal Cinta Ya Rabbi !

.

Followers

Ads


INILAH PERJALANAN SEBENAR KISAH SEORANG HAMBA ALLAH, MENGUTIP PENGALAMAN DEMI PENGALAMAN SEPANJANG 44 HARI MENUNAIKAN IBADAH HAJI DAN AKHIRNYA MENJADIKAN , APA YANG KITA LIHAT SEPERTI SEMALAM TIDAK LAGI SETELAH MENUNAIKAN HAJI... PENGALAMAN "ITU" TELAH MEMBEZAKAN KITA YANG SEMALAM DENGAN KITA YANG HARI INI....

semuga ianya memberi iktibar dan panduan bagi mereka yang memerlukan...

Tuesday, January 19, 2010

HARI 1 - Terbang ke Madinah

1 November , Ahad 1.30am

Perjalanan dari Kelana Jaya sangatlah lancar dan terasa mudah sehingga sampai ke KL. Bas konvoi memasuki sehingga ke lapangan tempat Kapal Terbang landing dan kami memasuki terus ke Gate untuk berlepas. Kami dilayan dengan begitu istimewa , sudah terdengar panggilan Hajjah dan Haji digunakan oleh setiap pekerja Tabung Haji dan juga di Airport. Rasa pelik juga, seperti tidak percaya , kita sudah melalui "lorong" yang hanya mereka yang melalui nya akan merasa, indahnya Haji.

Kami diberi penerangan melalui warna tiket dan pastinya tiket untuk pakej Delima yang paling ramai. Sebelum masuk ke KapalTerbang aku memaksa diri untuk ke Toilet kerana tidak mahu menggunakan Toilet di dalam Kapalterbang, mujur sewaktu kami hendak mendarat, aku dapati sinki sudah ketiadaan air.

Memandangkan kami menaiki KapalTerbang lewat tengah malam, kami tidak pasti untuk melakukan Solat Hormat Waktu (untuk waktu Suboh) kerana tidak pasti keadaan dibawah yang gelap. Mujur saya uzur jadi agak selamat untuk saya memandangkan Saudi Airlines tidak mengumumkan bila hendak Solat Suboh. Ada yang mula mengagak waktu , ada yang solat disebelah kerusi saya di bahagian belakang ada ruang, ada yang solat di di atas kerusi. Yang jelas, kita datang unuk tunaikan Haji, kita sudah dapatkan bekal ilmu untuk membantu kita melakukan ibadah dengan yakin dan teratur. Ujian sememangnya sudah bermula dan terpulanglah pada diri masing masing untuk "mencorakkan ibadah haji" berbekalkan ilmu yang dibawa.
Beginilah agaknya bila " kita sudah kesana", kita dan bekal kita. Perjalanan pula entah bagaimana, kita pernah mendengar tapi kini harus laluinya sendiri. Walaupun kita datang dengan suami atau keluarga, pergi haji , sebenarnya "ujian individu".

Antara kita dan Khaliq.

Berbalik dengan suasana didalam Kapal Terbang, tempat duduk kami berdua paling belakang dan yang menyeronokkan seat untuk 4 orang hanya diduduki oleh kami berdua, menjadikan ruang sangat lapang. Pada mulanya kami ingat 2 tempat kosong adalah untuk steward tetapi memang kosong . Jadi suamiku dapat tidur dengan melunjurkan kami dan menggunakan 3 tempat duduk untuk dia seorang. Memang bertuah ! Kataku pada suami , tempat duduk kosong itu sebenarnya untuk emakku yang sepatutnya ikut tetapi beliau telah pulang ke rahmatullah. Ironinya tempat , emakku masih ada tempat duduknya di kapalterbang. Terasa semangat dan rohnya ikut serta walaupun jasadnya sudah tiada. Sesekali menggenggam jari suami saya,seperti memmberitahu "seperti tidak percaya". Baru terasa penatnya melalui berbagai aktiviti dan kisah sejak beberapa hari yang lalu.... Penat tapi sangat bahagia. Tidak sabar melihat Madinah !

hanya kami berdua di seat paling belakang...

Entah mengapa perjalanan sampai ke Madinah terasa sangat cepat. 8 ½ jam rasa sangat sebentar. Airport Madinah sudah semakin canggih berbanding dengan 10tahun yang lalu. Urusan Imigresen juga sangat lancar, pihak perempuan beratur dulu, dan pemeriksaan juga agak pantas dan tidak perlu beratur lama. Berbanding dengan pihak lelaki , pemeriksaan mereka agak ketat dimana mereka perlu mengambil 10 cap jari untuk discan. Dugaan yang pertama apabila menunggu suamiku untuk lepas pemeriksaan imigresen yang begitu lambat dan beliau antara yang terlambat. Tetapi jangkawaktu menunggu tidaklah terlalu lama sekitar 45 minit sahaja ! Melihat wajahnya sebaik sahaja melepasi permeriksaan imigresen , kelihatan lega sambil menyanyi “Akhirnya, kini pasti…” . Suami ku kena berubah tempat beratur semasa pemeriksaan imigresen sebanyak 5 kali .

Saya sudah mengagak mesti sesuatu berlaku , risau juga kalau suamiku pengsan ke, tapi rupanya kena bertukar barisan . Perkara begitu memang biasa berlaku semasa aku Umrah dulu , aku tidak kisah menunggu lama tapi risau kalau sesuatu berlaku . Mujur akhirnya melihat kelibat wajah suamiku. Bagai nak rak berdoa semuga tiada sesuatu yang berlaku. Aku pernah menunggu suamiku selama 8 jam di Airport Heathrow , London , kerana flight suamiku dari New York lewat tiba di London. Bayangkanlah betapa takutnya aku saat itu, sudahlah seorang diri, hanya Tuhan yang tahu betapa risaunya kalau aku tidak ditemui oleh suamiku dinegeri yang kita tidak punya sesiapa.

Bas kami menuju ke Hotel kami di Movenpick , sebuah hotel yang berhadapan dengan Masjid Nabawi. Pemandangan Madinah sudah tidak seperti 10 tahun yang lalu. Begitu banyak hotel-hotel baru mengelilingi Masjid Nabawi. Di tambah dengan payung-payung gergasi mengellingi Masjid Nabawi membuat kita kagum dengan perubahan dan pembangunan yang begitu meluas . Sewaktu kami sampai jam menunjukkan pukul 7 pagi. Kami tidak perlu terus kebilik tetapi terus diarahkan untuk Sarapan di Café Hotel. Makanan yang disediakan memang lumayan, malah sewaktu kami makan kelihatan Masjid Nabawi bersebelahan menyebabkan hati begitu teruja untuk cepat turun ke Masjid Nabawi. Kami juga membeli prepaid Mobily dan terus menukarkan pada handphone untuk memudahkan kami berkomunikasi.

sambil sarapan , suami saya menukar sim kad pada hp kami kerana selepas ini bilik kami yang berlainan memerlukan kami sangat bergantung untuk berkomunikasi melalui handphone.


seperti biasa menemankan suamiku untuk merokok...mungkinkah "mission untuk berhenti" akan tercapai !

Setelah sarapan kami pergi kebilik untuk menghantar beg sandang kami. Beg yang besar akan dibawa oleh pekerja di setiap level bilik hotel jadi kami cuma perlu ambil di lif. Kami kemudiannya pergi ke sekitar Masjid Nabawi dan memang benar ianya sudah jauh berubah dari 10 tahun yang lalu. Seperti datang kedunia Masjid Nabawi yang baru. Disebabkan  aku tidak dapat solat , suamiku menemankan aku menyusuri sekitar Masjid. Setelah puas membuat survey permulaan, suamiku  memasuki Raudah dan aku menunggu di luar Raudah. Tuhan sahaja yang tahu betapa tidak sabarnya aku untuk masuk ke dalam Masjid, tapi apakan daya. Memujuk hati setidak-tidaknya aku sudah ada diluar Masjid .
.
bilik yang memang selesa untuk 4 orang.


Suasana Masjidil sangat selamat berbanding dengan dulu orang Badwi kelihatan menghurung kita, tapi ia sudah tidak begitu lagi. Aku AkuAku    Aku rasa tenang walaupun duduk seorang diluar Masjid. Tempat-tempat toilet dan untuk ambil wuduk kelihatan begitu banyak disekitar masjid, sebenarnya tidak perlu risau tentang wudu lagi kerana memang mudah apabila ia kelihatan disekitar Masjid dan suasana juga terasa sangat selamat.

inilah pintu dari hotel kami yang kami gunakan selalu untuk masuk ke kawasan Masjid.

masih lengang..

Zuhor disini ialah pukul 12.06 tengahari. Begitu cepat, terpaksalah saya pulang keHotel sementara menunggu suami saya solat Zuhor. Kebetulan kepala terasa sangat pening , saya mengambil peluang untuk berehat sementara menunggu suami aku pulang dari Masjid. Sekitar pukul 1.30 terjaga , ingatkan suami aku masih tidak pulang membuat saya risau. Rupa-rupanya beliau ke Makam Rasul dan katanya orang begitu ramai dan Makam Nabi juga sudah tidak kelihatan seperti dulu kerana di tutupi oleh kanvas. Tidaklah tahu suasana sebenar kerana aku harus menunggu beberapa hari lagi.

dihadapan Hotel Movenpick , didalam kawasan Masjid.

kami duduk didataran luar Masjid , mengimbas kenangan silam...dulu tak boleh duduk begini kerana panas terik tapi kini boleh berteduh dibawah payung-payung yang begitu mengagumkan. Suasana yang masih lengang kerana ramai jemaah belum sampai...

Sewaktu menyusuri Masjid selepas makan tengahari akuakuaku aku membeli kayu sugi untuk diminum dengan Air Zam Zam , antara ikhtiar untuk mempercepatkan supaya aku boleh solat di Masjid. Selain tidak berhenti-henti membaca doa. Sementara menunggu solat Asar kami duduk diluar Masjid dibawah Payung payung gergasi.

Seperti mimpi aku sudah berada di bumi Madinah.

Selepas Solat Asar , suamiku mengajak aku berjalan disekitar Hotel. Terasa rindu Madinah 10 tahun yang lalu, tiada lagi jualan ditepi-tepi jalan setiap kali kami pulang ke Hotel , Semuanya kini sangat teratur kadang-kadang buat kita rindu suasana dulu.

Kataku pada suami, “Mujur kita dapat pengalaman dulu dan sekarang !”, ianya memberikan satu Nostalgia tentang Madinah yang pernah kita kenal, Hotel dulu kami pernah gunakan lif zaman dulu , siap ada grill, kini hotel semuanya sudah moden dan canggih.

Kebetulan sewaktu kami menyusuri sekitar luar kawasan Hotel , dapatlah jumpa kedai-kedai pakaian . Begitu banyak jubah dijual dengan harga yang agak murah. Dapatlah juga membeli 2 pasang jubah untuk anak –anak gadisku. Terus membelinya takut nanti tidak jumpa lagi kerana aku sebenarnya tidak berapa rajin untuk membeli, Rasanya kalau jumpa satu kedai beli semua dan poskan jadi tidaklah perlu risaukan barangan wajib yang perlu dihantar seperti kurma dan air zam-zam. Ramai yang berpesan Madinah lebih murah dari Mekah dan ruang masa untuk membeli lebih banyak di Madinah kerana aktiviti disini hanyalah menunaikan solat Fardhu dan ziarah makam Nabi dan Raudah.

Diwaktu malamnya dapat berbual dengan yang datang awal dan diberitahu yang datang 7 pagi belum tentu dapat masuk Raudah walaupun pukul 11 pagi. Suamiku hanya dapat lihat Makam Nabi dari jauh dan masih belum boleh solat di Raudah kerana begitu ramai jemaah. Aku tidak dapat gambarkan kerana belum lagi diizinkan masuk ke Masjid, hanya berada disekitarnya. Dalam keadaan ini bukan mudah memujuk hati , bila ianya sudah ada didepan mata, kita tidak dapat masuk ke dalam Masjid selain melihat dan mengintai -ngintai dari jauh.

Semuga Tuhan percepatkan supaya dapat Solat secepat mungkin.



Monday, January 11, 2010

Melepaskan anak-anak....

Kompleks Tabung Haji di Kelana Jaya agak lain dari selalu kerana kami boleh memilih tempat duduk yang dibuat khemah yang agak banyak dan memudahkan kumpulan keluarga berkumpul sebelum jemaah bertolak. Malah adik adik saya yang sebelum ini pernah menghantar jemaah haji menyatakan kali ini agak selesa dan tidaklah sesak seperti yang berlaku di tahun tahun sebelum ini.

Saat adik adik saya dan suami mengerjakan Solat Magrib saya menghabis waktu waktu terakhir saya bersama anak anak gadis saya yang semakin gementar menanti saat saya harus pergi. Kami menunggu di kafetaria sambil menyuapkan makan untuk anak bongsu saya yang sudah mula sebak untuk berpisah. Airmata sudah tidak dapat ditahan tetapi saya harus kuat untuk tidak turut menangis kerana kalau saya mula menangis , ianya akan menjadi sukar untuk anak saya meredakan keadaan. Tuhan sahaja yang tahu betapa sukarnya menjadi kuat disaat ini.


Saya memujuk hati , lupakanlah beban yang sukar ini untuk meninggalkan anak anak tanpa ibu bapa mereka dan saya serah seluruh keyakinan pada yang Esa untuk "menjaga" mereka sepanjang ketiadaan kami. Bagi mereka yang pernah melalui saat ini akan dapat merasakan betapa sukarnya untuk pergi...bagaimana kalau nanti tidak dapat kembali ? Bagaimanakah nasib anak-anakku? Itulah yang sesak di ingatan...ianya sangatlah sukar.


memujuk anakku untuk makan dan minum ...

Didalam surat , kami diminta Lapur Diri pukul 9.30 malam . Jadi kalau untuk jemaah yang akan datang , ianya bermakna datanglah selewat-lewatnya pukul 9 Malam. Tidaklah perlu datang awal seperti kami iaitu selepas Asar. Tetapi ada baiknya datang awal kerana setidak-tidaknya dapatlah kita berjumpa dengan saudara mara dan adik beradik sebelum pergi. Adalah juga ruang waktu untuk berbual . Suami saya terlihat begitu terharu melihat ibunya dapat juga datang menjenguk kami di saat akhir. Waktu ini berbagai perasaan yang berbaur , kami tinggalkan dengan perasaan yang sangat redha...apa pun yang berlaku dimasa hadapan , sukar ditelah !


beg untuk dibawa pergi !


Sepanjang menanti waktu Lapur Diri, anak kecilku ini tidak mahu jauh berenggang. Kita tidak tahu apa yang berada dihadapan kita , bagaimana perasaannya untuk melalui sebuah perpisahan yang seterusnya.



Akhirnya sekitar pukul 9 malam , pengumuman dibuat untuk jemaah beratur di Balai Berlepas. Satu saat yang sangat payah untuk diterjemahkan dengan kata-kata, "berpisah dengan nyawa seorang ibu , iaitu anak-anak". Saat yang sangat sedih menyebabkan badanku menggeletar seluruh badan , mendakap setiap satu anak-anakku. Menangis . Hatiku luluh untuk tinggalkan anak-anakku. Hati yang sangat berat , takut kalau mama mereka tidak dapat kembali, bagaimanakah nasib anak-anakku ini ? Airmata sudah tidak mampu ditahan.


Disaat aku harus turut beratur bersama jemaah yang lain, begitu ramai sahabat handai dan orang ramai yang mengelilingi ruang kami beratur . Mahu sahaja aku pengsan disaat itu sambil sesekali menoleh mencari cari untuk melihat wajah wajah anak-anakku buat kali terakhir. Bermulalah episod "berdikari" kerana jemaah lelaki beratur di barisan yang lain dari jemaah wanita. Aku harus mengusung beg galas dan beg baju sekali gus sambil memastikan passport dan dokumen berkaitan untuk urusan pemeriksaan.

Ianya seperti tidak percaya, sebaik sahaja dipanggil untuk beratur, bermulalah sudah walau hanya sebentar tadi emosi tergugat untuk melepaskan anak-anak , namun aku harus fokus untuk perjalanan yang seterusnya. Beginikah saatnya apabila ajal kita sudah dijemput, tidak sempat terkedu dengan sebuah perpisahan kita harus melalui alam arwah dan alam kubur , diibaratkan. Kita tidak diberi sedikit ruang dan nafas kerana perjalanan sudah bermula.......






Kitab Bughyatul Mustarsyidin :

"Telah berkata Al Khauwas daripada tanda-tanda yang menunjukkan diterima Haji seseorang hamba dan bahawa dia sesungguhnya telah dikurniakan dengan keredhaan Allah ,iaitu bahawasanya sesudah ia kembali daripada mengerjakan haji , dia berakklah dengan akhlak Rasullulah (akhlak Muhamaddiyah) hampir dia tiada memandang dirinya lebih tinggi daripada seseorangpun daripada hamba-hamba Allah dan tiada pula berebut-rebut untuk mendapatkan sesuatu daripada perkara dunia sehingga meninggal dunia.

Dan tanda yang menunjukkan hajinya tiada diterima bahawa dia kembali semula kepada keadaannya sebelum mengerjakan Haji.