Catatan Perjalananku Menuju Haji...

Umrah Pertama - September 1997 (32 tahun)
Umrah Kedua - September 1999 (34 tahun)
Haji Pertama (Haji Fardhu) - November 2009 (44 tahun)

Umrah Ketiga - May 2010 bersama suami dan mertuaku (45 tahun)
Umrah Keempat - Mac 2012 bersama anak-anak Umrah Ziarah Jordan (47 tahun)
Umrah Kelima - Mac 2015 bersama suami (50 tahun)
Umrah Keenam - in sya Allah Feb 2018 bersama suami (53 tahun)


Inilah perjalananku.....mencari , menghayati dan melalui saat indah mengenal Cinta Ya Rabbi !

.

Followers

Ads


INILAH PERJALANAN SEBENAR KISAH SEORANG HAMBA ALLAH, MENGUTIP PENGALAMAN DEMI PENGALAMAN SEPANJANG 44 HARI MENUNAIKAN IBADAH HAJI DAN AKHIRNYA MENJADIKAN , APA YANG KITA LIHAT SEPERTI SEMALAM TIDAK LAGI SETELAH MENUNAIKAN HAJI... PENGALAMAN "ITU" TELAH MEMBEZAKAN KITA YANG SEMALAM DENGAN KITA YANG HARI INI....

semuga ianya memberi iktibar dan panduan bagi mereka yang memerlukan...

Wednesday, September 30, 2009

Emak dan Abah

Kalau kita pergi Haji, orang yang paling gembira pastilah ibu bapa kita. Beruntung bagi mereka yang masih mempunyai ayah dan ibu kerana doa dan harapan mereka akan beri kekuatan dan semangat untuk kita pergi haji. Pasti terucap "anak emak pergi haji". Pasti aku akan lihat wajah bangga emak dan abah.

Pasti juga risau dan sibuknya seperti mereka yang hendak pergi. Risau takut takut apa-apa berlaku pada anaknya. Risau kalau anaknya sakit. Risau kalau anaknya tidak tahan bersesak-sesak dengan manusia yang ramai. Risau kalau persiapan tidak cukup lagi. Risau bagaimana cucu-cucunya akan berpisah dengan ibu bapa mereka dalam tempoh yang agak lama. Dan pastinya ayah dan ibu ini sudah secara diam-diam berdoa selain solat hajat supaya anaknya mudah menjalani ibadat haji. Pastinya saat-saat terakhir anaknya hendak pergi , ayah dan ibu sudah selalu berada menemani anaknya , takut nanti mereka sudah tidak dapat bersama anaknya lagi.


Begitulah perasaan yang dapat aku rasakan , kalaulah emak dan abah masih ada. Tetapi perasaan itu harus aku buang jauh-jauh. Perasaan itu juga harus aku sembunyikan walaupun sesekali ingin sesekali aku mendengar bisik emak, pesan abah betapa terharunya anaknya ini mendapat jemputan Illahi. Perasaan itu juga harus aku hapuskan agar semangatku tidak musnah . Inilah dugaan , Tuhan ambil mereka supaya aku belajar untuk lebih tabah. Supaya aku akur dunia ini hanya pinjaman. Supaya aku sedar , besarnya kasihku pada emak dan abah, kasih Tuhan mengatasinya. Tuhan lebih kasih sebab itulah diberi kesakitan ini supaya aku selalu sujud didalam kasih yang sebenarnya. Tuhan beri kita ayah dan ibu untuk kita rasa hebatnya Kasih supaya kita belajar diluar sana ada Kasih yang tidak boleh kita abaikan.

Perasaan ini dihimpit sayu, kerana aku seorang. Anakmu yang tinggal seorang tanpa adanya emak dan abah. Disaat begini, orang lain sibuk dengan perhatian dan pertolongan dari kedua orang tuanya, bekalkan semangat, bekalkan doa, bekalkan petua, bekalkan makanan, bekalkan pakaian , bekalkan kasih mereka, bekalkan kudrat....tetapi aku tidak dapat rasakan itu.

Kau beri dan anugerahkan aku dengan hidup yang sempurna, Kau mewahkan aku dengan kasih anak-anak dan suami serta adik-adikku, Kau beri aku harta dan kesenangan namun Kau hilangkan Ayah dan Ibuku untuk menguji ketabahanku.

TuhanKu, berilah aku kekuatan. Bantulah aku agar terus Redha atas ketentuanMu.


Doa Berhenti Haid dan Doa Jangan Batal Wudu


Saya telah mendapat Doa Berhenti Haid sewaktu mengikuti Kursus Intensif Haji, tetapi sewaktu saya pergi ke Klinik Utama, saya mendapat doa yang baru iaitu Doa Jangan Batal Wudu. Saya rasa doa ini sangat penting kerana tempoh kita berada didalam Masjidil Haram adalah lama dan akan jadi masalah kalau wudu kita asyik batal. Dengan jumlah jemaah yang hadir disetiap solat di masjid bukannya sedikit, kalau kita terpaksa ke bilik air untuk ambil wudu sudah pasti peluang untuk solat didalam Masjid amat tipis. Mertua adik saya yang pergi haji tahun lepas pergi solat Suboh seawal pukul 3 pagi ! Bayangkanlah begitu ramai yang berusaha datang awal untuk dapat solat didalam Masjid.

Auntie Zaitun pula menasihatkan saya untuk berdoa "Ya Allah , Permudahkanlah Wudu ku didalam Masjidil Haram MU ini" sebaik sahaja kita sampai di Mekah apabila pertama kali hendak masuk ke Masjid. Saya sudah amalkan doa ini (tapi tidaklah menyebut Masjidil Haram) sejak sekarang dan saya dapati wudu saya tidak batal dalam waktu yang panjang sejak kebelakangan ini.




Suamiku

Pagi ini saya bercadang untuk cuti puasa dan sambung esok kerana saya perlu ke beberapa tempat untuk menyiapkan urusan kerja saya hari ini . Apabila suami saya tahu saya tidak berpuasa hari ini, dia terus mengajak saya untuk sarapan pagi bersamanya, suatu aktiviti yang selalu kami lakukan dan agak lama tergendala kerana bulan Ramadhan. Mulanya saya malas untuk ikut bersarapan pagi dengannya tetapi suami saya mahu saya bersiap sementara dia menghantar anak perempuan saya ke sekolah dan akan pulang semula ke rumah untuk menganbil saya untuk minum bersamanya.

Begitulah istimewanya suami saya kerana katanya, setidak-tidaknya dia tahu hari itu saya makan dan tidak asyik membuat kerja sehingga lupa menjaga kesihatan saya. Saya rasa didalam dunia ini hanya ada seorang sahaja didunia ini yang sehebat kasih sayang suami saya. Di Restoran Singgah Selalu cuma kami berdua yang ada selain dua tiga orang pasangan yang sudah veteran. Seawal pagi dihari bekerja tiada orang membawa isterinya untuk breakfast bersama.

Itulah kami , saat bersama walaupun hanya 10 minit minum pagi , ianya telah menjadi rutin hidup kami bersama dan tidak hanya berlaku di Mekah sahaja malah ianya berlaku sejak saya mengahwini suami saya. Minum pagi bersama di restoran , kemudian menghantar saya pulang ke rumah sebelum suami saya pergi ke tempat kerja adalah begitu manis di ingatan. Ianya menjadikan saya merasakan saya seorang "isteri, sahabat dan kekasih" buat seorang lelaki bernama suami. Terima kasih Tuhanku dan terharu kerana diberi dan dianugerahkan insan sehebat suamiku.


Tuesday, September 29, 2009

Note Book

Meninggalkan kerja untuk tempoh 45 hari bukanlah satu pilihan yang mudah apatah lagi menjadi Consultant seperti saya. Nasihat dan perbincangan dengan klien selalunya adalah penting dan perlu menepati 'deadline date" yang sangat memerlukan perhatian yang bukan sedikit. Apatah lagi klien saya kebanyakannya melibatkan Syarikat besar di dalam mahupun di luar negara.

Kalau orang lain ditempat saya , pasti sesak fikiran kerana ianya melibatkan urusan business yang tiada ada surutnya. Antara perlu atau tidak membawa note book saya untuk monitor pekerjaan saya kerana maklumat yang saya dapat , di hotel penginapan saya ada khidmat WIFI malah saya juga mendapat tahu banyak pusat internet disana yang akan memudahkan saya untuk menjawab email dari klien.

Tapi entah mengapa hati saya tekad agar fikiran saya tidak di ganggu oleh urusan kerja. Saya mahu memberi sepenuh tumpuan pada ibadat saya selama 45 hari tanpa ada gangguan tentang dunia yang tidak ada sudahnya. Walaupun sesekali terasa bolehkah saya kerana terdapat 2/3 kes yang sangat urgent yang pastinya memerlukan perhatian saya. Kalau ditunda tahun depan atau tahun seterus, kerja saya tidak akan ada sudahnya. Jadi bila lagi saya boleh menyediakan waktu "private" saya dengan Illahi kalau saya tidak komited dan bersungguh-sungguh. Mungkin inilah harga pengorbanan yang perlu dibayar kalau kita pergi diwaktu usia belum lagi pencen.

Sudah beberapa bulan sebelum ini selain doa dan solat hajat , saya memohon supaya tiadalah hendaknya urusan yang kritikal terhadap klien saya sepanjang saya tidak ada. Saya percaya Tuhan tidak hampakan harapan saya, dengan pertolonganNya , saya pasti dan berharap semuga semuanya dimudahkan. Ini bererti dalam waktu yang tinggal cuma sebulan saya harus menyegerakan urusan klien yang masih dalam proses supaya dapat disiapkan sebelum saya pergi. Sesak difikiran kerana kes yang berbagai membuatkan saya tidak cukup masa untuk siapkan semua.

Tuhanku berilah aku kekuatan untuk menghadapi semua ini.....


Kaki melecet

Rutin hidup kini berjalan seperti biasa apabila cuti sekolah sudah berakhir. Sehingga terlupa malam tadi anak saya harus pergi ke kelas tuition. Kami pun bercadang untuk hanya minum di Danga Bay sementara menunggu anak kami pulang pada pukul 10.30 malam. Disebabkan saya baru berbuka puasa , jadi saya tidaklah memakai selipar yang sesuai untuk berjalan kerana terasa badan agak penat untuk berjalan pantas di Danga Bay . Tetapi entah mengapa , saya memilih untuk minum di hujung Danga Bay disebuah cafe yang berhadapan dengan banyak kapal-kapal layar. Saya suka kesitu kerana diwaktu itu memang tidak ramai orang dan suasana itu mengingatkan saya pada suasana di Armsterdam. Kita tidak perlu keluar negara apabila senario itu cuma diseberang jalan rumah saya.

Sebenarnya jaraknya memang jauh dan berpeluh juga kerana kami berjalan dengan agak pantas. Terasa kaki mula melecet , begitu juga dengan suami saya kerana hanya memakai sandal biasa. Apabila kami berjalan pulang, memang kaki kami melecet . Jadi saya ingatkan suami saya , tapak kaki kita sangat penting untuk diambil perhatian dan dijaga kerana aktiviti Haji adalah majoritinya adalah berjalan kaki. Melalui pengalaman Umrah , kaki suami saya yang agak teruk berkematu kerana berjalan diatas lantai masjid dengan begitu lama setiap hari. Bagi pihak perempuan agak selamat kerana memakai stokin.

Jadi difikiran saya , saya mesti mencari kasut dan selipar yang sesuai selain mencari losyen kaki seperti vaseline dan sebagainya. Tanpa kedua kaki yang tidak cedera , luka atau melecet , kita akan dapat sempurnakan aktiviti haji kita tanpa banyak masalah. Ianya mungkin perkara kecil tetapi akan memudaratkan kita jika kita ambil mudah.



Monday, September 28, 2009

Stokin kaki

Percubaan yang perlahan-lahan akhirnya membuahkan hasil setelah beberapa bulan mencuba, saya kini sudah membiasakan diri memakai sarung kaki. Malah saya sudah tidak kekok lagi memakai kasut tinggi dengan sarung kaki. Rasa seronok kerana akhirnya ianya sudah menjadi cara yang saya mula biasa. Tidaklah lagi seperti dulu sekejap pakai dan buka semula kerana jalan asyik tergelincir. Betul kata ustazah kena mula dan biasakan dari sekarang ! Alhamdullilah akhirnya ianya mudah. Stokin kini menjadi barang perlu yang ada didalam handbag saya. Dulu terasa pelik bila memakai sarung kaki kini bila tidak pakai rasa tidak sempurna , seperti sesuatu tidak lengkap dibadan.

Ziarah

Aktiviti Syawal pastinya berkait rapat dengan aktiviti ziarah menziarahi. Pastinya pakcik dan makcik yang kami kunjungi rasa sangat terharu dengan kehadiran kami malah setiap raya kalau tidak ada kelibat kami pasti ada sesuatu yang tidak kena. Seronok melihat wajah ikhlas mereka gembira menerima kehadiran kami mengunjungi mereka dan terharu melihat mereka bersusah payah menyediakan makanan untuk kami. Apabila bersalaman terasa kasih sayang terpancar diwajah-wajah ini. Begitu ramai yang menyayangi seolah-olah mengubat hati yang rindu pada emak dan abah. Tuhan pinjamkan mereka untuk menggantikan yang hilang dari hidupku.

Kami juga mengambil kesempatan memberitahu mereka kami akan menunaikan haji dan memohon semuga mereka berdoa untuk kebaikan kami sewaktu disana. Begitu banyak kisah pengalaman mereka selain nasihat yang diberi untuk menjadi bekal kepada kami. "Untung pergi waktu usia masih muda", itulah antara kata-kata yang diberi.


Senaman dimulakan semula...


Pagi Ahad kami memulakan kembali aktiviti berjalan pantas di Kebun Bunga setelah sebulan bercuti kerana berpuasa. Mujurlah stamina masih seperti selalu dan yang penting kaki tidak lagi merasa sakit walaupun telah agak lama tidak "exercise".

Memandangkan cuma tinggal sebulan, kami bercadang untuk melakukan senaman berjalan pantas kami setiap hari ,dan dihari bekerja akan dilakukan dimalam hari di Danga Bay. Pemikiran mestilah difokuskan pada tahap kesihatan dan stamina kerana majoriti aktiviti haji adalah berkait rapat dengan berjalan kaki apatah lagi dalam keadaan bersesak-sesak.

Malah vitamin sudah tidak lagi ditinggalkan sejak sebulan yang lalu. Saya mahu strategi saya terutamanya tentang kesihatan tidak menjadi alasan untuk saya tidak dapat melakukan yang terbaik sewaktu disana. Usaha yang bersungguh-sungguh selain berdoa semuga Tuhan mudahkan segalanya.

Persiapan haji sebenarnya mengubah cara hidup yang lebih sihat. Semuga ianya bukanlah setakat untuk pergi haji malah akan saya jadikan cara hidup saya untuk seterusnya . Energetic lifestyle and productive. Sebenarnya haji ini melatih kita untuk menjadi insan yang cergas, berdisiplin, fokus , berilmu, mencari rezeki bersungguh-sungguh supaya dapat pergi haji dan sabar. Tidaklah kita menjadi Islam yang lembik , tidak berilmu, tidak bersungguh-sungguh, tiada disiplin dan direction sambil lewa didalam hidup.








Hasad dan Iri

Konflik kehidupan sebenarnya banyak berpunca dari penyakit yang datangnya dari hati. Bagaimana Nabi Adam dicemburui kerana dijadikan hanya dari tanah tetapi diangkat menjadi khalifah sedangkan Iblis yang dibuat dari api merasakan kejadiannya adalah lebih mulia dari manusia yang dibuat dari tanah. Bermulalah hati yang hasad dan iri, memujuk dan memerangkap Nabi Adam dan Hawa sehingga tercampak mereka ke dunia ini kerana engkar pada perintah Tuhan .

Azam Iblis tidak puas setakat itu malah bersumpah untuk memusnahkan seluruh anak cucu Nabi Adam. Begitulah hebatnya penyakit hati apabila menguasai diri. Sanggup bersumpah dan berusaha untuk memusnahkan orang lain demi kepuasan hati. Sebab itu , didalam diri kita , sesuatu yang sangat sukar dikemudikan adalah penyakit hati terutama hasad dengki dan iri.

Setiap kita akan dikelilingi oleh beberapa kategori insan, yang baik, yang jahat, yang dengki, yang ikhlas, yang berpura-pura baik , yang tak kisah, yang berbagai-bagai. Kalau kelompok manusia itu selalu mendatangkan masalah dalam hidup kita, teruslah berbuat baik tanpa jemu-jemu selain berdoa supaya kita diberi kekuatan untuk bersabar . Fikirkan golongan ini sebenarnya didatangkan Tuhan kepada kita supaya kita menjalani dan melalui ujian kesabaran. Sejauh mana kita boleh bersabar ! Kalau kita melepasi halangan ini pastinya kita akan merasakan diri kita berada disuatu anjakan yang seterusnya.

Apatah lagi melalui ujian haji , kita akan bertemu dengan berbagai kerenah manusia. Teruslah berbuat baik, kita mungkin kelihatan rugi dimata kasar kerana tenaga dan wang ringgit tetapi apa yang kita harapkan hanyalah ganjaran dari Yang Esa, pasti setiap apa yang kita buat tidak rasa terkilan atau dibebankan.

Saya selalu ingat pesan emak, "Biar orang buat kita , jangan kita buat orang".

Tuhanku, tanpa pertolonganMu , tiada daya aku untuk menghadapinya. Peliharalah kesabaranku.




Saturday, September 26, 2009

Luarbiasa

Kehadiran Syawal menandakan waktu kami akan berangkat menunaikan Haji semakin dekat, malah anak-anak saya pun tahu 1 Syawal bermakna musim haji sudah bermula. Kadang-kadang rasa terharu juga melihat mereka sudah biasa tentang apa itu Haji walaupun usia baru mencecah 8 tahun. Malah anak perempuan saya kadang kala menangis kerana teringin benar untuk pergi ke Mekah . Terpaksalah memujuk supaya bersabar ,"Kita pergi selepas mama pulang dari Haji nanti", bisikku mententeramkan jiwanya.

Pastinya persiapan pun perlu di uruskan dengan teliti sehingga kadang kala tidak tahu hendak mulakan dari mana. Ubat dari Doktor masih belum di ambil, barang-barang haji seperti lip gloss, vaseline, gunting, torch light dan sebagainya masih lagi tertunda-tunda untuk di uruskan. Apatah lagi untuk menguruskan kenduri doa selamat yang akan di adakan 3 minggu lagi. Pengajian AlQuran pula akan bermula minggu depan. Malah anak-anak gadisku juga akan menghadapi peperiksaan akhir, 3 minggu lagi. Kerja-kerja dari klien semakin bertimbun , tidak tahu yang mana satu hendak didulukan kerana semuanya penting. Berkecamuk rasanya fikiran tetapi hati masih terasa tenang sangat. Semakin hari gelodak dihati tidak dapat ditahan-tahan sehingga kadang-kadang aku hairan dengan keupayaan fizikal yang tidak seperti dulu. Ada sesuatu yang beri kekuatan sehingga solat malam tidak mahu tercicir walau sesibuk dan sepenat manapun aku di siang hari. Ada sesuatu yang mengejutkan aku untuk bangun dan melakukan rutin yang sangat sayang untuk kulepaskan. Menyendiri dimalam sepi bersama Dia .

Kalau dulu mahu bangun terasa sangat berat tapi kini ia sudah menjadi sangat ringan. Aku sendiri tidak percaya . Kalau dulu aku selalu melihat emak bangun dimalam setiap malam beribadat kini ianya telah berlaku pada diriku. Baru kini aku tahu nikmatnya , saat yang dinantikan sehingga walau penat manapun kita disiang hari menguruskan anak-anak dan keluarga , kita diberi kekuatan yang luarbiasa sehingga boleh bangun ditengah malam yang sangat sepi. Syukur aku kepada Illahi anugerahkan aku saat indah begini. Ia tidak terucap dengan kata selain jiwa yang merasai manisnya ibadat.

Tuhanku , peliharalah aku.
Usahlah kau pesongkan aku setelah Kau berikan aku petunjukMu.
Tidaklah mampu aku lakukan tanpa pertolonganMu.
Bimbinglah aku, hamba mu yang ingin selalu dekat denganMU.



Friday, September 25, 2009

Syawal yang berkat

Kehadiran Syawal adalah saat sangat memilukan bagi kami 5 beradik. Kata-kata semangat sentiasa mengisi ruang antara kami supaya kami saling membantu antara sama lain supaya kekuatan kami untuk meneruskan liku liku kehidupan ini dapat kami lalui dengan tabah. Syukurlah Tuhan beri kami ujian dalam hidup kami tapi Tuhan tidak hilangkan kasih sayang antara kami malah hubungan kami semakin hari semakin erat.

Seperti selalu , kehadiran Syawal adalah saat kami ziarah menziarahi dan paling utama adalah waktu kami bersalaman memohon kemaafan agar tiada apa juga dugaan yang dapat menjarakkan kasih sayang kami 5 beradik disamping pasangan masing-masing . Walaupun kami tidak dapat lakukan ia di pagi raya tetapi di hari ke 5 Hari Raya, namun kemeriahan tidak pernah suram dihati kami. Begitulah berkatnya doa ibu kami sehingga terasa doa-doanya untuk kami 5 beradik terasa masih menaungi hidup kami walau telah 6 tahun pemergiannya.

Kali ini ucapan maaf dihari raya sangat istimewa kerana di isi dengan harapan dan doa dari adik-adikku agar perjalanan kami mendapat Haji yang Mabrur. Terharu mendengar harapan mereka supaya kami selamat pergi dan kembali.... Pastinya terasa sedih kalau Syawal kali ini adalah yang terakhir.







Berkatnya Syawal diisi dengan kasih sayang yang ikhlas menyayangi, "harta termahal ditinggalkan oleh emak dan abah adalah kita 5 beradik ", itulah ucapan yang selalu bermain diminda kami.






Saturday, September 19, 2009

Menjelang Raya


Menuju Masjid Sultan Abu Bakar, Johor Bahru untuk Solat Aidilfitri.


Selepas Solat Sunat Aidilfitri.



Diluar rumah untuk ke Masjid di pagi raya.



Minum pagi sebelum ke Masjid.



Hari Raya Aildilfitri kali ini agak menarik kerana kami berada di perantauan tetapi suasana kemesraan anatara kami anak beranak sangat menyentuh di hati. Walaupun cuma 6 beranak tetapi insan-insan yang mengelilingi hidupku telah cukup membuat kehadiran Aidilfitri begitu sempurna. Seronok melihat kerenah setiap anak-anakku, yang remaja dengan cerita dan kisah hidup mereka di asrama yang lucu dan tak kering gusi tertawa. Yang kecil dengan kerenah hendak itu dan ini. Seboleh mungkin aku mahu memenuhi apa saja permintaan mereka, biarlah berhabis duit asalkan dapat melihat wajah-wajah riang anak-anakku. Setidak-tidaknya keriangan mereka memulihkan ingatan setiap kali menjelang raya , pada ayah dan ibuku dan adik beradikku. Telah terlalu lama sejak ibu pergi , kami tidak dapat lagi raikan bersama-sama.

Selagi termampu biarlah aku dapat memberi kebahagiaan sebaik mungkin pada anak-anakku. Selagi mama masih ada. Suamiku mengeluh juga kerana aku terlalu memanjakan anak-anakku dan belikan mereka apa saja.

Sebenarnya hati sangat sayu, semakin hari begitu dekat untuk pergi meninggalkan anak-anak selama 45 hari , rasanya ingin kuganti dengan "mintalah apa saja, mama akan tunaikan".

Friday, September 18, 2009

Slip Kehadiran

Kebetulan suami saya pergi ke TH untuk update balance account dan menghantar juga slip kehadiran Kursus Haji Perdana. Barang-barang haji belum sampai untuk diberikan iaitu antaranya gelang haji , oleh itu kami perlu mengambilnya pada Sabtu 3 Oktober nanti.

Rekod balance menunjukkan TH telah menolak kesemua jumlah untuk pakej kami dari account kami. Kami juga diberitahu "confirmation" pernebangan hanya akan diterima seminggu selepas Hari Raya nanti.

Ini bermakna , banyak perkara yang perlu diuruskan selepas Hari Raya nanti iaitu minggu depan.

Semuga Tuhan mudahkan segala urusan, Ya Tuhanku , bantulah aku....



Thursday, September 17, 2009

Kursus Haji Perdana 10 -11 Oktober

Hari ini kami menerima surat dari pihak Tabung Haji untuk menghadiri Kursus Haji Perdana dimana kami akan bermalam dan melalui latihan praktikal tentang suasana yang akan kami lalui di Padang Arafah , Mina dan Mudzaliffah ;

Tarikh : 10 - 11 Oktober 2009
Masa : 2ptg (10/10/09) - 11 pagi (11/9/09)
Tempat : Universiti Teknologi Malaysia, Skudai.


Kami diminta untuk menyerahkan slip kehadiran semasa mengambil barang-barang keperluan haji di pejabat TH pada hari Sabtu , 3 Oktober 2009 antara pukul 9.30 pagi - 10.30 pagi.

Tuesday, September 15, 2009

Terjemahan Al Quran

Alhamdullilah, hari ini sejak dari pagi hingga ke petang menbaca Terjemahan dari Juz 8 hingga ke Juz 18. Walaupun mengantuk pada mulanya membaca Terjemahan yang kecil tetapi Allah mudahkan dan rasa insaf dengan begitu banyak peringatan yang Tuhan beri dalam surah-surah Nya.

Kita ini HambaNya selalu lalai dan leka malah dikerumuni oleh para syaitan yang sentiasa hendak menyesatkan kita. Membaca Terjemahan sebenarnya sangat penting untuk memastikan kita selalu berada di Jalan yang Lurus. Insyallah, aku berjanji pada diriku , akan menjadikan membaca terjemahan Al Quran, selain membaca Al Quran, sebagai rutin hidupku selepas ini.

TuhanKu, Mudahkanlah ia...

Monday, September 14, 2009

Tiada sekatan

Alhamdullilah , tiada sekatan kepada umur jemaah haji seperti yang kabarkan sebelum ini akibat dari kerisauan wabak H1N1. Bermakna jemaah berusia 65 tahun keatas dan kanak-kanak berusia 12 tahun juga boleh menunaikan Haji pada tahun 2009. Jadi tidaklah perlu risau bagi jemaah ini lebih-lebih lagi kalau nama sudah tersenarai. Semuga pemergiaan jemaah dari Malaysia pada tahun ini akan mendapat perlindungan dari Yang Maha Esa.

Penerbangan pertama juga akan berangkat pada 20 Oktober 2009. Terasa masa berjalan begitu pantas !

Hadiah terindah



Pemergian ke bumi Mekah sebenarnya "bulan madu" yang sangat indah bersama-sama suami. Itulah saat kita akan sentiasa bersama-sama menyusuri Masjid ,menghadapi kesukaran dan letihnya dan saling menjaga antara satu sama lain. Kalau dulu sewaktu menunaikan umrah, usia masih muda dan fizikal masih cergas tetapi kini diwaktu usia yang semakin meningkat dan keupayaan semakin berkurangan, kita akan menjadi pasangan yang saling menjaga antara satu sama lain. Itulah hadiah perkahwinan setelah begitu lama menghadapi pahit manis kehidupan bergelumang dengan kehidupan yang penuh dugaan, kini kita akan melalui fasa pengalaman tentang penghayatan didalam diri dan perubahan diri di bumi Mekah.


Kalau dulu kita alpa dengan kesilapan , kini melalui haji bersama-sama memberi satu perasaan yang sukar digambarkan. Pergi Honey moon di luar negara tidak sama dengan "honey moon" di bumi Mekah. Percintaan yang di abadikan didepan kaabah, solat bersama-sama, sai bersama-sama, tawaf bersama-sama, melakukan umrah dalam keadaan untuk sama-sama mengharap agar bukan hanya didunia kita bersama-sama tetapi juga diakhirat sana.

Pernah aku menyatakan kepada suami, "Abang pergilah dulu", tetapi lelaki yang kukenal 22 tahun dulu masih tidak mahu melepaskan aku sendiri dan mahu membawa aku turut sama melalui penghijrahan diri. Suamikulah yang beria-ia mengumpul duit dan aku hanya melahirkan angan-angan untuk pergi. Tidak pernah mahu menghampakan setiap apa yang kuminta dan pastinya hadiah dari seorang suami untuk melakukan haji bersama-sama adalah kenangan terindah dalam hidupku. Semuga Allah merahmati kasih sayang ini....

Wasiat

Dalam kesibukan aku hampir terlupa tentang "wasiat" yang belum diuruskan dengan pihak Tabung Haji. Kata suamiku, "Ada borang standard untuk di isi". Berpesan kepada suamiku untuk mengisi borang tersebut , takut nanti dalam sibuk menyediakan persiapan Haji , kita terlupa pada sesuatu yang sangat penting. Manalah tahu kalau sesuatu berlaku, tidak mahu hidup anak-anakku tersepit dan susah kerana masalah wasiat.

Sebenarnya kami telah pun mempunyai wasiat tetapi tidak pula membuat wasiat kalau kedua-dua kami meninggal. Kita tidak pernah mampu menelah apa yang berlaku didepan kita jadi aku tidak mahu mengambil jalan mudah dan memperjudikan nasib anak-anakku yang masil kecil dan mentah tentang 'sukarnya kehidupan".


Sunday, September 13, 2009

Mengumpul Doa

Aku semakin risau kerana doa-doa yang sepatutnya hendak dibawa masih belum dikumpulkan. Doa tentang diri dan hidayah, Doa tentang aku dan suamiku, Doa tentang anak-anakku, Doa tentang keluargaku, Doa tentang ibadatku, Doa tentang masa depanku, Doa tentang pekerjaan aku dan suamiku, Doa tentang rezeki, Doa tentang harapan-harapan tentang kehidupan, Doa kekuatan diri, Doa tentang akhiratku....Semuanya mahu kesebut dan lafazkan tanpa ada sedikitpun yang tertinggal. Begitu juga doa-doa dari anak-anakku yang masih belum kukumpulkan. Aku sudah berpesan kepada anak-anakku untuk membuat skrip doa masing-masing untuk kubacakan di Arafah !

Yang pasti aku akan membawa buku doa warisan dari ibuku, dan aku mahu semua doa yang ada didalam buku itu kubaca . Buku doa ibuku yang menjadi temanku semenjak ibu pergi.....itulah harta yang termahal yang ibu tinggalkan . Walaupun emak tidak dapat kubawa bersama-sama menunaikan haji tetapi anakmu akan bawa buku yang selalu kulihat dibaca oleh emak setiap kali solat. Mungkin itulah yang akan jadikan kekuatan waktu aku disana.






Doa



Belumpun sampai ke bumi Mekah , terasa setiap doa dan impian dimakbulkan Illahi satu demi satu. Kalau sampai satu saat kita terasa doa kita hampa dan tanpa kita sedar kita telah berdoa bertahun-tahun ! Disaat haji semakin dekat, apalah yang termampu kita katakan selain bersyukur kerana harapan kita yang seperti sangat payah untuk menjadi kenyataan , kini telah terlihat didepan mata.

Sesungguhnya , aku terlalu bersyukur dengan anugerah ujian ini telah akhirnya aku lihat , membuahkan hasil apabila kita tidak jemu-jemu memanjatkan doa. Ianya menjadi sangat manis apabila semakin dekat mengerjakan ibadat haji, doa kita didengar satu demi satu . Kuasa DOA !

Hanya kita yang merasainya , aku dan DIA....

Friday, September 11, 2009

Penyerahan



Haji sebenarnya adalah penyerahan diri kepada PemilikNya. Kita pulang kepangkuan Pemilik diri kita. Membuatkan kita rasa begitu alpanya kita. Begitu sarat dosa yang tidak terpikul dan kita harus bentangkan segalanya kepada Pemilik Kita. Haji mengingatkan kembali agar kita balik kejalan yang Tuhan suruh kita ikuti bukan terus melencung pada jalan-jalan duniawi yang melalaikan kita. Haji mengisi pengertian dan perubahan diri yang sangat besar didalam diri. Kita yang asyik dengan indahnya dunia hampir terlupa dunia kita ini bukanlah kekal. Ianya cuma "jambatan" untuk dunia yang sebenarnya. Haji sebenarnya titik tolak untuk kita menjadi baik dari semalam. Dengan pertolongan Allah , Yang Sangat Sayangkan Hambanya ini...aku datang kepadaMU. Tanpa ada belah bagi. Tanpa ada sesalan. Tanpa ada rasa berat. Tanpa ada rasa dibebankan. Aku pulang kepadaMU. Pulang kerana aku hambaMu. Pulang kepadaMU!


Pusara Ibu


Pagi Jumaat begini ingatkan aku pada rutin yang selalu kulakukan ketika di KL, mengunjungi Pusara Ibu. Kalau dekat hari raya begini pastinya aku dan anak-anakku akan membersihkan kubur emak dan catkan dengan warna putih. Bukan aku seorang malah begitu ramai yang datang ke kuburan ini membersihkan kubur saudara mara masing-masing , dengan diam , kami saling melihat antara satu sama tanpa berkata apa-apa. Dihati kami ada sejuta rasa yang membuai rasa , membersihkan kuburan menjelang Hari Raya. Tetamu yang sangat ingin kita lihat di pagi raya, tapi mereka tiada selain kita disini membersihkan kuburan mereka.

Esok anakmu akan pulang ke KL. Aku sangat ingin pergi ke Pusara Ibuku, daerah yang sangat istimewa dihatiku. Suasana yang menyimpan nostalgia yang disimpan kemas diingatan. Bahasa kita berdua....hanya kita yang dapat rasakan suasana itu!

sms


Subuh hening membaca sms yang meleraikan segala kekusutan. Kita tidak pernah menyangka, sesuatu yang kelihatan sangat kusut menjadi sangat mudah dngan pertolongan Yang Esa. Sungguh aku tidak percaya begitu cepat Kau leraikan masalahku yang sekian lama seperti tiada jawapan.

Inilah keajaiban demi keajaiban yang semakin mengisi ruang hidupku. Betapa aku sangat lteruja menghitung saat dan hari untuk bertemuMU. Hari ini juga aku telah meletakkan notis di websiteku untuk memberitahu klien-klienku tentang ketiadaanku untuk tempoh 2 bulan sepanjang aku berada di RumahMU. Sebenarnya bukanlah mudah melepaskan tanggungjawab yang berat ini tetapi aku hanya mampu berserah padaMU. Mudahkanlah semuga sepanjang aku berada di Mekah tiada "urgent case" berlaku terhadap klien-klienku. Pastinya pemergianku disana membawa doa supaya permohonan setiap klienku dimudahkan. InsyaAllah !

Hatiku sedikit riang. Agak banyak kerja-kerja "last minute" yang harus kuselesaikan. Letih, risau, buntu menguasai mindaku. Tetapi jauh disudut hati , ada ketenangan tercipta didalam diri.

TuhanKu, Kau mudahkanlah segalanya.....


Thursday, September 10, 2009

Airmata

Setiap yang kupandang dikiri kananku, airmata sentiasa bergenang. Tanpa tahu mengapa , aku seperti menantikan saat akhir sebuah pemergian. Inikah perasaan sebenar setiap mereka yang melalui Haji? Tidaklah aku tahu mengapa setiap yang kupandang didalamnya ada titis airmata yang sukar kuselindungkan.



Apakah kerana kerinduan pada wajah Kaabah menyebabkan mata ini sentiasa bergenang? Bagaimanakah nanti bila rindu yang terubat , Kaabah sudah didepan mata ? Bagaimanakah nanti bila aku sudah dapat sujud di Masjidil HaramMU? Bagaimanakah aku melepaskan diri dengan kesayuan di RaudhahMu ? Bagaimanakah aku melalui ArafahMu ? Perasaan inikah yang akhirnya menjadikan aku tidak mampu menahan sedihnya menghitung hari yang semakin hampir.

Mungkinkah sebenarnya aku sangat rindukanMU ?

Tuhanku , peliharalah aku ....

Suatu kelainan.



Hari-hari akhir begini aku banyak menghabiskan masa membaca terjemahan Al Quran. Hati terasa sangat tenang membaca setiap baris seperti mengingati setiap baris yang kubaca sewaktu tadarus tempohari. Masih jelas setiap helaian yang kubaca dan semakin mudah setiap ayat yang dibaca menyelinap ke sanubari. Perasaan yang sangat lain dari selalu...

Jiwa sudah pergi kesana.


Pusara



Semakin dekat hari pemergian terasa diri sangat sepi , sesepi Pusara. Didalamnya hanya ada kita dan temannya hanyalah sehelai kain kapan. Kalau kita takut dalam gelap gelita diperut bumi yang sangat dingin, amalan kitalah , satu-satunya yang mahu ikut temani kita. Kalau banyak amalan kita, riuhlah suasana , kalau sedikit , berpeluk tubuhlah kita dengan takut yang tidak terkata. Tidak ada ayah dan ibu dapat selamatkan kita. Tidak ada anak dan suami dapat lindungi kita. Selain kita seorang , kita yang tinggal seorang !

Di atas Pusara , suasananya sangat sepi dan mendamaikan. Satu suasana yang sangat aku gemari setiap kali mengunjungi daerah Pusara begini. Satu naluri yang sangat diam tapi menyimpan sejuta cerita. Kita lihat sekeliling, hati terasa sangat tenang. Kalaulah kita mampu menjadi setenang itu juga didalam Pusara....


Doa insan yang sangat kerdil.

Hari ini saya menerima sms dari seorang yang rapat dengan saya tentang persiapan Haji saya. Sebagai seorang yang kenal dengan keluarga saya, ibu ini menyuruh saya menemui seorang yang penting dalam hidup saya sebelum saya pergi. Kalaulah takdir dapat memudahkan segala , sayalah orang pertama ingin menemui insan yang sangat saya sayangi didunia ini. Tapi apakan daya, kata-kata tidak dapat ceritakan segala.




KepadaMU , Ya Allah, aku serahkan seluruh hidup dan matiku. Kalaulah aku silap , aku redha atas segala yang tersurat untukku. Kalau insan itu yang silap, Maafkanlah dan kasihanilah dia, tidak sedikitpun kasih dan sayang terhakis walau sebesar mana dugaan yang Kau Uji untuk kami Dia tetap istimewa dalam hidupku.

Semuga doa insan yang lemah ini , Kau dengar. Bimbinglah aku !

Monday, September 7, 2009

Pilihan Tarikh Penerbangan

Pada Hari Jumaat yang lepas , suami saya menerima panggilan dari Tuan Hj Mokhtar dari TH Travel untuk membuat pilihan tarikh yang kami mahu . Memandangkan tarikh 10 atau 11 November adalah penerbangan terus ke Mekah , kami akhirnya membuat pilihan untuk pergi pada 1 November dimana penerbangan adalah terus ke Madinah. Ini adalah disebabkan kami mahu mempunyai masa yang lebih lama berada di Mekah selepas habis mengerjakan Haji nanti. Apabila ramai jemaah telah pulang dari mekah , dapatlah kami berada di Masjidil Haram lebih lama dan mengharapkan kami mempunyai peluang yang lebih untuk menunaikan umrah dalam keadaan yang tidak bersesak. Kami sangat ingin duduk didepan Kaabah selama mungkin sepanjang berada disana kerana diwaktu sesak sebelum dan sewaktu Haji, pastinya peluang itu sangat sukar.

Ini bermakna tarikh yang kami cadangkan sebelum ini 9 /10 November kini telah semakin dicepatkan pada 1 November. Suami saya juga tidak sabar untuk pergi dan mencadangkan kami memilih 1 November.

Semuga semuanya akan dimudahkan....



Khatam Al Quran


BersamaTunku Kekwa dan Datin Safiah di Majlis Khatam Al Quran.




Inilah antara sahabat-sahabat saya yang mengaji bersama-sama untuk 15 hari berturut-turut.





Tunku Fatimah yang turut sama mengaji bersama-sama kami. Walaupun anak Sultan Johor , tetapi mencari "cinta" yang sama.


Tunku Fatimah memberi cenderahati kepada ajk yang bekerja keras untuk Majlis ini secara sukarela.


Tunku Kekwa menyampaikan cenderahati kepada Ustazah Syarifah Rodhiah.


Datin Safiah memberi ucapan mewakili jemaah yang hadir.




Hari ini hari gembira kami kerana kami akhirnya Khatam Alquran. Hanya tuhan yang tahu betapa gembiranya hati kami....

Terimakasih Ya Rabbi, Kau makbulkan impianku.

Thursday, September 3, 2009

Al Quran

Tidak semua mendapat peluang untuk dapat membaca Al Quran dengan tajwid yang betul apatah lgi kalau bacaan kita diajar pula oleh ibu bapa kita sendiri. Ianya berlainan sekali dengan apa yang di ajar secara betul disekolah-sekolah agama.

Saya pernah menghantar anak lelaki saya selama hampir 3 tahun ke kelas mengaji AlQuran tetapi malangnya apabila saya check pembacaannya, anak saya masih lemah. Semenjak dari pengalaman itu , saya mengambil guru agama untuk mengajar anak-anak saya dirumah untuk 1 1/2 jam 2 kali seminggu. Saya juga mempastikan anak-anak juga diajar Fardhu Ain selain membuat hafalan ayat-ayat untuk solat selain membuat pratikal solat sekerap mungkin dengan guru agama. Alhamdullilah , pembelajaran mereka jauh lebih baik dibandingkan dengan sewaktu saya menghantar di kelas agama.

Motif saya ialah , saya tidak mahu pembelajaran dan pembacaan Al Quran anak-anak seperti yang berlaku di zaman saya. Kita boleh baca Al Quran tetapi terlalu banyak kesilapan tajwid. Semenjak saya mengikuti kelas mengaji Al Quran , saya semakin seronok memperbaiki kesilapan lampau saya dan kini saya semakin yakin dengan kesilapan tajwid yang dapat dikurangkan dibandingkan sebelum ini. Saya tekad untuk terus belajar dan akan jadikan ia sebagai aktiviti kemestian dalam hidup saya.

Ibu saya membaca Al Quran dengan begitu merdu sekali. Saya suka setiap kali mendengar ibu saya membaca Al Quran. Tetapi beliau juga turut belajar semula dengan Ustaz malah apabila khatam sekali beliau mengulang kembali dengan ustaz dan berjaya katam untuk kali kedua sebelum beliau meninggal dunia. Pernah ibu saya berkata pada saya, "Mujurlah Pak Syed (keluarga angkat ibu saya) bagi emak belajar Quran masa mak kecik-kecik dulu". Memang benar, walau setinggi mana pengetahuan kita, sehebat mana ijazah kita, tiada gunanya kalau kita tidak dapat membaca Al Quran. Apabila kita pandai membaca Al Quran , ibadat kita akan lebih sempurna kerana setiap zikir dan perlakuan ibadat banyak berkait rapat dengan Al Quran.

Saya lihat ditempat mengaji saya, begitu ramai makcik-makcik yang tidak berapa pandai atau yang sudah pandai , bersungguh-sungguh belajar Al Quran. Mereka datang seawal 6 pagi bertolak dari rumah mereka dan duduk jauh di Pasir Gudang , malah bukan tidak pandai baca Al Quran tetapi semangat mereka sangat luar biasa untuk terus belajar mengaji. Di antara kami semua ada kasih sayang kerana kami saling membantu dan tiada sikap "siapa lebih pandai". Itulah beza belajar AL Quran. Di Universiti kita berlumba belajar untuk gred yang baik tetapi belajar mengaji kita tidak kira samda kita sudah pandai atau tidak , kita mahu terus mengaji dan mengaji. Tiada noktah bahawa kita sudah tamat pengajian kerana ianya adalah aktiviti yang diteruskan.

Cubalah berjinak-jinak menghadiri kelas mengaji kerana bukan bermakna kita sudah tahu mengaji kita tidak perlu belajar mengaji. Ilmu Al Quran sangat berbeza. Usia usah dijadikan alasan kerana dikelas mengaji pelajarnya adalah dikalangan usia kita malah ramai yang lebih tua dari kita . Robohkan sikap malu kerana kita akan lebih malu mengadap Allah dengan tidak tahu membaca Al Quran.

Di zaman ini orang berlumba-lumba memperbaiki bekal di akhirat dengan belajar mengaji, jangan kita ketinggalan !

Saya ditegur kerana terlalu banyak artikel mengenai Al Quran kerana seperti riak. Padahal apalah aktiviti dibulan puasa selain Terawih adalah membaca Al Quran, pastinya hari-hari yang saya lalui adalah pengalaman baru saya yang banyak berkisar tentang mengaji. Tidaklah terniat dihati saya untuk bermegah-megah dengan apa yang saya lalui tetapi apa yang saya tulis adalah perjalanan jiwa saya , perjalanan yang saya lalui untuk dijadikan iktibar terutama kepada anak-anak saya. Pencarian diri tidak akan terjadi kalau kita tidak cari, ianya tidak datang dengan sendiri tanpa usaha yang bersungguh-sungguh.

Jadikanlah apa yang saya lalui sebagai sebuah kisah seorang insan yang mencari cinta Illahi. Niat saya berpesan dengan harapan insan-insan disekeliling saya tidak tersasar sebagai hamba Allah. Kita hanya mampu berpesan dan berdoa, selainnya adalah urusan Yang Maha Kuasa.






Wednesday, September 2, 2009

Masyarakat kita

Selalu kita akan terjumpa dengan insan-insan yang suka "associate" diri mereka adalah saudara Menteri, saudara Raja, saudara itu dan ini. Saya pula tidak gemar "associate" diri saya dengan orang lain kerana saya adalah diri saya. Miskin atau pandai atau daif , itulah saya.

Saya besyukur menjadi diri saya sendiri dan bukan orang lain. Bertuahnya saya mempunyai ibubapa yang membesarkan saya menjadi insan yang mendefinasikan "kejayaan" adalah atas usaha diri kita sendiri. Bagaimana buruk atau daifnya ibu bapa saya, merekalah insan-insan yang berjaya mendidik kami adik beradik sehingga kesemuanya berjaya dihari ini.

Begitulah juga keadaannya bila kita memilih untuk pergi haji. Begitu ramai yang rasa mereka orang-orang istimewa kerana mempunyai contact dengan orang-orang besar . Oleh itu mereka boleh pergi haji sesuka hati mereka , jadi tidaklah perlu mengikut prosedur seperti orang-orang biasa. Sikap inilah yang merosakkan minda masyarakat kita.


Sikap ini mesti diubah kalau berhajat untuk bertemu Allah di bumi Mekah. Kita hanya insan yang daif, hamba Allah...biasakanlah diri ! Tuhan check diri kita kerana amalan kita bukan kerana kita anak , saudara atau kenalan sesiapa.


Juz 22

Hari ini adalah hari yang ke 11 kami membaca Al Quran dan seperti tidak percaya kami sudahpun sampai ke Juz 22. Hanya tinggal 4 hari sahaja sebelum kami khatam. Sungguh bertuah rasanya dapat katam Quran untuk hanya 2 minggu. Malah pembacaan semakin lancar dan jauh lebih baik dari hari pertama saya. Sayang pula kerana lagi 4 hari sudah tiada lagi aktiviti membaca AlQuran ini setiap hari . Rasa seronok setiap kali membaca dan rasa ketagih pula kalau tidak membaca.

Syukur kepada Illahi kerana Tuhan telah mengabulkan harapan saya untuk katam Quran sebelum pergi haji nanti. Selepas ini saya akan fokus pada bacaan terjemahan kerana masih lagi di Juz 7. Saya harap sebelum hari raya saya , dapat habiskan bacaan terjemahan sehingga Juz 30.





Kitab Bughyatul Mustarsyidin :

"Telah berkata Al Khauwas daripada tanda-tanda yang menunjukkan diterima Haji seseorang hamba dan bahawa dia sesungguhnya telah dikurniakan dengan keredhaan Allah ,iaitu bahawasanya sesudah ia kembali daripada mengerjakan haji , dia berakklah dengan akhlak Rasullulah (akhlak Muhamaddiyah) hampir dia tiada memandang dirinya lebih tinggi daripada seseorangpun daripada hamba-hamba Allah dan tiada pula berebut-rebut untuk mendapatkan sesuatu daripada perkara dunia sehingga meninggal dunia.

Dan tanda yang menunjukkan hajinya tiada diterima bahawa dia kembali semula kepada keadaannya sebelum mengerjakan Haji.