Catatan Perjalananku Menuju Haji...

Umrah Pertama - September 1997 (32 tahun)
Umrah Kedua - September 1999 (34 tahun)
Haji Pertama (Haji Fardhu) - November 2009 (44 tahun)

Umrah Ketiga - May 2010 bersama suami dan mertuaku (45 tahun)
Umrah Keempat - Mac 2012 bersama anak-anak Umrah Ziarah Jordan (47 tahun)
Umrah Kelima - Mac 2015 bersama suami (50 tahun)
Umrah Keenam - in sya Allah Feb 2018 bersama suami (53 tahun)


Inilah perjalananku.....mencari , menghayati dan melalui saat indah mengenal Cinta Ya Rabbi !

.

Followers

Ads


INILAH PERJALANAN SEBENAR KISAH SEORANG HAMBA ALLAH, MENGUTIP PENGALAMAN DEMI PENGALAMAN SEPANJANG 44 HARI MENUNAIKAN IBADAH HAJI DAN AKHIRNYA MENJADIKAN , APA YANG KITA LIHAT SEPERTI SEMALAM TIDAK LAGI SETELAH MENUNAIKAN HAJI... PENGALAMAN "ITU" TELAH MEMBEZAKAN KITA YANG SEMALAM DENGAN KITA YANG HARI INI....

semuga ianya memberi iktibar dan panduan bagi mereka yang memerlukan...

Friday, November 27, 2009

Hari Raya Haji

Pagi ini , Hari Raya Haji dan merupakan kali pertama dalam sejrah hidup anak-anak mama untuk merayakan dengan 4 beradik sahaja. Pastinya sedih kerana saat ini sudah hampir sebulan anak-anak mama hidup tanpa ibubapanya.

Selalunya dipagi raya begini, kita sudah ada juadah untuk dimakan dipagi raya sebelum kita pergi Solat Raya di masjid. Mesti sedih tetapi kita semua kena kuatkan hati . Mama dan Abah sudah Raya Haji semalam dan tak silap mama hari ini adalah hari Tasyrik ke 2 dan kami akan pergi melontar ke 3 , Tiga jamrah malam nanti. Perjuangan mama dan abah masih belum selesai kerana harus cukupkan 3 hari Tasyrik sebelum meneruskan Tawaf Haji, Sai dan Tahalul Thani . Ianya seperti mudah untuk disebut tetapi untuk melaluinya pasti akan menyimpan kenangan dan pengalaman yang sangat manis di ingatan.

Doakanlah mama dan abah untuk melalui hari-hari sukar kami disini. Kalian sentiasa ada dihati kami setiap saat. Doa mama tidak pernah berhenti untuk anak-anak mama apatah lagi hibanya hati mengenangkan anak-anak mama melalui Hari Raya ....

Untuk Shafiq dan Faisal, bawalah adik-adik ke Masjid, dan mama pasti Shafiq telah belikan rendang dan lemang untuk dimakan dipagi Raya. Selepas sembahyang nanti barulah pergi berkunjung ke rumah adik-adik mama.

Untuk Alia dan Aneesa, usahlah bersedih dan jangan menangis. Allah suruh kita menjadi seorang yang kuat semangat dan mesti sanggup berkorban dalam hidup kita walaupun kita masih kecil. Untuk menjadi manusia yang berjaya kita mesti berani dan tidak boleh menangis banyak-banyak. Give me a BIG SMILE ! Mama sentiasa ada di hati anak-anak mama....


Mabit di Mudzaliffah / Mina

Bergerak dari pukul 8 malam seperti dijadualkan oleh Tabung Haji , kami dijangka sampai sekitar 12 malam di Mudzaliffah. Mabit di Mudzaliffah membawa maksud berada di sana mulai 12malam sehinggalah terbit fajar (Suboh) walaupun hanya untuk sesaat kerana ianya adalah Syarat Wajib Haji yang Ke 3.


bergerak ke Mina setelah mabit di Mudzaliffah


Ianya seperti mudah tetapi bayangkanlah seramai 3 hingga 4 juta jemaah bergerak dalam satu masa tentulah kesesakannya diluar jangkaan. Walau sebaik manapun pengurusannya , segala kemungkinan boleh berlaku, sakit, hilang , tertinggal bas, bas rosak dan sebagainya adalah antara halangan yang mungkin terjadi. Hanya Allah yang dapat beri ruang dan jalan untuk kita sampai ke Mudzaliffah. Hanya Allah kita menyerahkan diri . Hanya Allah yang mampu lepaskan kita dari kesesakan ini. Bila Allah kita sandarkan seluruh kepercayaan dan keyakinan, biar sesak dan sempit manapun , pasti ada tapak demi tapak untuk kita susuri jalan ke Mudzalifah. Ianya sebenarnya dekat tetapi menjadi sangat lambat kerana pergerakan dari jutaan jemaah "serentak" menjadikan ianya cabaran yang bukan kepalang.

Doakanlah mama dan abah dapat melaluinya dengan mudah. Doa kalian akan mudahkan ibadat kami. Walaupun anak-anak mama jauh , doa kalian sentiasa didengar oleh Illahi...bantulah mama dan abah semuga dapat harungi perjalanan ini dengan mudah. Insya Allah.

Sesampainya kami di Mudzaliffah sekitar 12 malam , mama dan abah akan mengutip batu dan meneruskan perjalanan ke Mina yang dijangka tiba pukul 4 pagi tadi . Insya Allah!



mabit di Mina


Sewaktu anak-anak mama membaca blog mama , mama harap mama selamat sampai di Mina kerana jangka waktu untuk sampai kesini sukar dijangkakan kerana kadang kala akan mengambil masa sehingga 10 jam , terpulang kepada kecepatan bas . Kemungkinan besar juga mama dan abah berjalan kaki dari malam tadi dari Mudzalifah untuk sampai ke Mina kerana berjalan kaki adalah lebih cepat dari menaiki bas yang teringsut-ingsut dengan jam yang berjam-jam. Doakan kaki mama kuat untuk berjalan dan tidak sakit. Semuga kasut yang mama beli bersama Faisal akan dapat berikan semangat anak-anak mama. Ini adalah hari ketiga sejak 8 Zulhijjah, mama perlukan kekuatan minda untuk mengharungi cabaran ini. Dengan doa anak-anak mama insya Allah , mama dan abah dapat lakukan selain pertolongan dari Allah. Tiada siapa yang boleh bantu mama dan abah waktu ini selain doa anak-anak mama, doa mbah , doa adik adik mama, doa Tokki, doa dari kawan-kawan mama dan doa mereka mereka yang sayangkan mama. Itulah yang akan beri kekuatan pada mama.

Mama juga berharap mama sempat solat Suboh di Mina . Aktiviti selain solat jamak akan diteruskan selepas solat jama Magrib dan Isya nanti kami akan melontar di Jamrah Qubra , iaitu Jamrah yang pertama sebelum kami tahallul awal. Jamrah Qubra terletak 3 km dari kemah bermakna malam nanti kami akan berjalan kaki paling dekat 6 km dengan mengucap talbiah yang terakhir sebelum tahalul awal. Ianya pasti memerlukan kekuatan fizikal yang bukan calang-calang.



mama dan abah akan masuk ke terowong ini untuk sampai ke tempat
melontar yang pertama , iaitu Jamrah Qubra





beginilah suasana didalam terowong, tidak boleh berhenti dan
kena terus bergerak mengikut arus manusia, pastinya pergerakan yang perlahan mengundang kesabaran minda dan fizikal.


inilah tempat melontar

Untuk Aneesa dan Alia usahlah menangis , mama akan kuatkan semangat mama supaya mama boleh selesaikan ibadat haji dengan sempurna dan kita akan dapat berkumpul semula as a "happy family" macam selalu. Mama bukan sahaja milik anak-anak mama tetapi mama juga milik Allah dan mama kena lakukan apa yang Pemilik kita suruh lakukan dengan bersungguh-sungguh supaya Tuhan tahu yang kita sedar dan redha kita ini "Milik Allah".




Thursday, November 26, 2009

9 Zulhijjah - Wukuf di Arafah


Wukuf tahun 1920.


Inilah jadual mama dan abah hari ini :

5.20 pagi - Suboh
7.00 pagi - Sarapan pagi dan Ceramah Dhuha


12.09 tgh- Solat Zuhor dan Khutbah Arafah



1.30 tgh - Makan Tengahari


doa bermula....


3.16 ptg -Solat Asar


saat menjelang magrib , waktu tamat wukuf.



5.38ptg -Solat Jama Magrib dan Isyak
8.00mlm-Bergerak ke Mudzaliffah


8 malam kami dijangka bergerak ke Mudzaliffah



Inilah hari yang dinanti-nantikan iaitu Wukuf di Arafah, dimana inilah antara Rukun Haji yang kedua selepas Niat Haji . Tiada Wukuf , tiada lah Haji. Diwaktu Zuhor dan Magrib adalah saat pintu langit dibuka dan bermulalah doa kita , memohon keampunan , memohon belas, memohon ehsan dari seorang hamba kepada Khaliknya. Kita ini milik Dia. Kita ini hamba Dia. Maka berdoalah bersungguh-sungguh, berdoalah kerana pada Dia kita meminta , memohon pertolongan agar kita menjadi Hamba Dia yang diredhai. Kita datang kesini, dibumi gersang di padang pasir membawa harapan dan doa, terimalah ibadatku, terimalah aku hambaMu.....

Pastinya tiada apa yang dapat dilakukan selain terus berdoa dan berdoa bersama airmata yang tidak akan berhenti. Disinilah antara tempat penyucian jiwa...





airmata di bumi Arafah....





Wednesday, November 25, 2009

Bertolak ke Arafah

Buat anak-anak Mama,

Mama tulis artikle ini sebulan yang lalu sebelum mama melangkah ke bumi Mekah lagi. Insya Allah , kalau mama diberi rezeki umur untuk merasai saat-saat kemuncak Haji iaitu Wukuf di Arafah, mama akan merasai sesuatu yang sangat mama nantikan selama ini, sebuah pengalaman di Arafah. Inilah antara saat yang sangat penting . Saat ini mama sudah tidak dapat berhubungan dengan anak-anak mama kerana tiada tempat untuk charge Handphone.

Perjalanan mama akan bermula bermakna ujian untuk mama dan abah akan bermula juga. Ibarat mempersiapkan diri melalui Padang Mashyar dimana Tuhan akan timbang segala dosa dan pahala kita samada kita akan berada di Syurga atau Neraka. 3 perkara yang dapat membantu hanyalah Sedekah, Amal yang ditinggalkan selain DOA ANAK-ANAK MAMA. Mama harap anak-anak mama akan mendoakan semuga Abah dan Mama akan dapat melalui Wukuf di Arafah dengan selamat dan diberi kekuatan dan kesihatan untuk memanjatkan Doa dan Memohon KeAmpunan dari yang Esa. Hari ini akan bermulanya ujian yang sangat besar untuk Abah dan Mama dan doakanlah semuga kami dapat melaluinya dengan mudah. Pertolongan anak-anak mama mungkin akan dapat memudahkan . Kita hamba Tuhan membawa berbondot-bondot dosa dan pastinya dibumi Arafah , kita akan merasainya peritnya melalui Padang Mashyar. Hanya amalan menjadi teman kita disaat genting seperti ini. Disinilah pergelutan jiwa dan nurani sebagai insan. Disinilah gambaran dan isyarat siapakah kita disana nanti. Disinilah juga akan menceritakan segla-galanya tentang seorang yang bernama "aku" yang digelar Hamba Allah.


Kami bergerak awal sehari iaitu 8 Zulhijah supaya kami "pasti" berada di Arafah untuk Wukuf pada 9 Zulhijjah yang bermula sebaik sahaja Solat Zuhor dan berakhir sebaik sahaja Solat Magrib. Sebentar lagi seperti dijadualkan iaitu selepas Zuhor , kami akan bergerak ke Arafah dan dijangka tiba sebelum pukul 3 petang , iaitu sebelum Asar. Semuga perjalanan kami menaiki bas dengan hampir kesemua jutaan jemaah yang mula bergerak ke Arafah. Pastinya setiap ruang jalan akan sesak . Tiada lain yang akan disebut dihati selain zikir kepadaNya semuga perjalanan mama dan abah dimudahkan untuk kami sampai ke Arafah. Pastinya fizikal kami akan diuji, anak-anak mama tahu , mama bagaimana, tapi mama percaya "kekuatan dariNya" akan mudahkan segala.
Malam ini kami akan bermalam di Padang Arafah, pastinya mama sudah mulakan doa yang anak-anak mama kirimkan , akan mama baca berulang kali sehinggalah kemuncak esok iaitu selepas Zuhor , dimana itulah hari Wukufnya, "pintu langit dibuka"....

Semuga mama diberi kekuatan untuk berjaga untuk terus berzikir dan beribadat, mama tidak mahu melepaskan peluang untuk beribadat disini kerana mungkin inilah yang pertama dan terakhir untuk kita lakukan seumur hidup kita.

Saat ini , hanya Tuhan yang tahu betapa mama amat rindukan anak-anak mama. Doakanlah untuk mama dan abah...






Saturday, November 14, 2009

rutin yang hectic.....

Hari ini adalah hari yang ke 6 berada di Mekah dan baru hari ini dapat bernafas untuk menulis . Cerita detail hanya boleh ditulis selepas balik haji kerana ruang masa begitu terhad untuk berfikir selain berulang alik ke masjid di samping mencari masa untuk melakukan umrah sunat dan tawaf sunat.

Waktu solat zuhor pukul 12 tgh , Asar 3.15 , Magrib 5.40 dan Isya 7.05 . Setiap kali hendak ke masjid , begitu ramai berpusu pusu seperti di Arafah. Tanpa minda dan fizikal yang kuat untuk mengerjakan solat fardhu di Masjidil Haram akan menjadi sukar.



Wz
Wwaktu
.

Friday, November 13, 2009

Ziarah

Hari ini kami dijadualkan melakukan program ziarah disekitar Makkah dimana kami akan melawat tempat kami akan wukuf dan melontar supaya memberi gambaran ringkas bagaimanakah suasana waktu itu nanti. Tempat yang kami akan ziarah hari ini ialah di Jabal Thur, Padang Arafah , Jabal Rahmah , Mudzaliffah , Jamrah di MIna dan Masjid Jaaranah dimana di Masjid Jaaranah kami akan berniat Ihram untuk Umrah sunat pada hari ini.





Padang Arafah, disinilah tempat wukuf !


Seperti biasa kami akan ke Mekah dan sempurnakan ibadat Umrah. Rasanya , Shafiq sudah familiar dengan aktiviti umrah kerana kita lakukan setiap hari sewaktu berada disini dulu. Mesti Shafiq rindu mendengar cerita dari mama.



Jabal Rahmah , tempat pertemuan nabi Adam dan Siti Hawa
ditemukan setelah dicampakkan dari Syurga.



Doa mama semuga kita sekeluarga akan dapat bersama kesini, Insya Allah.

Wednesday, November 11, 2009

Acara Bebas - Umrah

Hari ini dan esok , adalah acara bebas dimana selalunya di isi dengan berulang alik ke Masjidil Haram untuk setiap solat Fardhu. Pastinya mama dan abah tidak lepaskan peluang untuk melakukan Umrah setidak-tidaknya sekali setiap hari kerana pada minggu hadapan kami dinasihatkan untuk berehat supaya kesihatan kami tidak terjejas untuk ibadat yang lebih penting kerana ianya adalah Rukun Haji yang Ke - 2 , iaitu Wukuf di Arafah.

Suasana pasti sudah mulai sesak kerana jemaah haji sudah semakin ramai membanjiri Mekah kerana lagi 2 minggu wukuf akan bermula. Seperti yang dicadangkan oleh abah sewaktu di Malaysia, mama dan abah untuk membuat Umrah sunat di malam hari kerana sewaktu Umrah dulu kita buat dipagi dan petang hari dan tidak pernah membuat Umrah di malam hari. Semuga kami dapat mencuba pengalaman baru untuk lakukan dimalam hari tetapi itupun terpulang pada nasihat pihak tabung haji samada selamat atau tidak . Kalau mereka nasihatkan buat siang, maka kami akan turut arahan mereka.


Tuesday, November 10, 2009

Hotel Sevilla Barakat

Hotel inilah yang akan jadi penginapan mama sepanjang berada di mekah. Mama harap mama akan mendapat kawan sebilik yang terbaik , itulah doa mama . Semuga Tuhan makbulkan doa mama supaya perjalanan haji mama sepanjang berada di bumi bertuah ini akan menjadi suatu sejarah terindah dalam hidup mama.

Seperti pengalaman umrah sebelum ini , mama dikelilingi oleh sahabat yang terbaik dan semuga ianya lebih cemerlang pada ibadah haji kali ini.

Makkah...Laibakallah Humma La Baik



Rehal yang menandakan kami memasuki Mekah !


Hari ini kami dijadualkan akan bertolak ke Makkah , bermakna hari ini mama dan abah akan memakai pakaian Ihram dan berniat Ihram Umrah di Bir Ali. Perjalanan antara Madinah dan Mekah adalah sejauh 447 km dan mengambil masa 8 jam perjalanan. Ini bermakna ibadat haji sudah bermula dimana dengan menggunakan cara tamattuk , kami akan membuat Ihram Umrah terlebih dahulu. Talbiah juga akan mula di suarakan sebaik sahaja kami berniat di Bir Ali. Pasti meletihkan tetapi pemandangan yang berlainan dari selalu , iaitu gurun dan padang pasir akan insafkan kita betapa sukarnya menyebarkan Agama Islam dizaman dahulu. Tanpa iman yang bersungguh-sungguh dengan keadaan muka bumi yang mencabar ditambah pula penjajahan dahulu memerlukan kekuatan fizikal untuk berperang , hati kita akan kagum dengan besarnya rahmat di beri Tuhan , agama Islam tersebar diseluruh pelusuk dunia.

Disaat musim haji, mereka dari setiap ceruk benua datang dengan berbagai cara menyahut Lambaian Kaabah. Bukankah itu suatu keajaiban kerana mereka ini datang dan dijemput Tuhan setiap tahun sejak berkurun yang lalu. Kini mama dan abah adalah salah seorang dari mereka ! Bertuah , itulah yang dapat mama rasakan dan pastinya peluang keemasan ini , merasai nikmat Haji tidak mahu mama lepaskan begitu sahaja.

Setiap saat sejak kali pertama melihat Kaabah dan berada di bumi Mekah, perasaan untuk terus berada disini tidak pernah luntur, terkadang ia hadir dalam mimpi . Mama pernah bermimpi berada di Masjidil Haram dimana ianya terapung di lautan luas dan mama menaiki sebuah kapal yang besar untuk sampai ke Masjidil Haram. Seperti didalam dunia yang lain, mama lihat air pancuran disekitar masjid dengan suasana yang dingin seperti lewat pukul 3 pagi. Mama solat dan masih ingat mengambil wudu di sekitar dataran Kaabah yang sangat lapang. Suasana itu sangatlah indah sekali malah saat melalui mimpi itu tidak pernah lepas di ingatan untuk dilupakan.





Adakalanya mama menangis kerana rindu yang amat untuk berada disisi Kaabah, duduk mengadap Multazam di malam yang dingin. Melihat wajah Kaabah , kita tidak perlu berkata apa selain melihat dengan mata hati, hati yang tersentuh menyebabkan kita tidak berhenti henti menangis. Menangis melihat Kaabah , bagaimanalah kita hendak melihat Allah di akhirat sana ? Mampukah kita, layakkah kita ?

Insya Allah , kalau tiada aral , rombongan kami akan sampai di Mekah sekitar 12malam ke 3 pagi. Sebaik sahaja menghantar barang-barang ke bilik , kami akan terus ke Masjidil Haram untuk meneruskan ibadat umrah dengan Tawaf dan Sai sebelum Tahalul. Kalau dulu sewaktu Umrah, Umrah hanya siap sekitar 3 pagi , tidak tahulah keadaan bila musim haji telah tiba. Pastinya walaupun sampai pukul 2 pagi, mama jangkakan waktu itu mama pasti tenggelam diantara pertemuan "Kau dan Aku", "Pemilik dan hambaNya". Inilah episod kerinduan apabila kita dapat pulang menemui Kekasih yang kita rindui sekian lama. Pastinya mama mahu abadikan ia di ingatan dan dihati, sesuatu yang mama tunggu sekian lama. 10 tahun yang lalu mama menangis meninggalkan Masjidil Haram, kini doa mama di makbulkan untuk menemui Khalik dengan sebuah ibadah Haji.

Maka , Terimalah aku, hambaMu datang kepadaMU....



Sunday, November 1, 2009

Madinah selepas 10 tahun....

Akhirnya , mama sampai juga ke Madinah yang mama tinggalakan 10 tahun yang lalu. tentu Shafiq masih ingat kita tinggal di Hotel yang berhadapan dengan Masjidil Haram. Hotel disini selalunya tidak jauh dari Masjid. Di Madinah , selama 9 hari , kami akan tinggal di Hotel Movenpick Madinah . Kecuali kalau ada berlaku pertukaran ,hotel lain akan diganti.


Hotel Movenpick Madinah



Pastinya mama dan abah tidak sabar untuk solat di Masjid Nabawi. Nantilah mama ceritakan pengalaman itu kalau mama berpeluang. Walaupun perjalanan yang panjang tetapi seingat mama melihat Masjid Nabawi , kita lupa untuk letih. Masih mama ingat sewaktu pertama kali menjejaki kaki ke Madinah pada tahun 1997, mama dan abah terus turun Hotel dan terus ke Masjid Nabawi di tepi Raudah, masa tu tak tahu apa itu Raudhah, ramai wanita yang keluar masuk dengan pakaian jubah yang cantik berseri. Hendak tanya tidak tahu kerana mereka orang Arab, mama dan abah kemudiannya terus ke Perkuburan baqi disebelah iaitu bertentangan dengan Raudah. Pastinya kami buat survey dulu kerana tidak sabar-sabar menunggu jemaah lain bersiap-siap untu Solat Asar tak silap mama.

Kini , suasana pasti tidak seperti 10 tahun dulu. nanti mama elaborate apa perbezaan Masjid Nabawi dulu dan sekarang. Beza yang jelas pastinya Payung-Payung di luar Masjid Nabawi, dulu masa Shafiq datang , ianya tidak ada lagi.


Sebuah catatan untuk anak-anak mama..

Buat Anak-anak mama,

Mama pasti anak-anak mama menanti cerita dari mama. Sejak dari kecil kisah "Nina & Nino" , selalu menjadi kisah fantasi yang selalu mama ceritakan setiap kali mahu pastikan anak-anak mama akhirnya tidur. Mama selalu bercerita tentang kisah fantasi kita di Syurga kerana disana apa sahaja mungkin tentang kisah yang indah-indah. Kita akan terbang dari satu negara ke satu negara, dari satu planet ke satu planet, dari satu lautan kesatu lautan dan bertemu dengan berbagai kisah lucu yang selalunya membuat anak-anak mama tertawa. Klimaks cerita bila mama kata "Mama tunggu disebuah pokok besar, cepat terbang kesini kerana kita akan mulakan fantasi kita didunia Syurga", membuat anak-anak mama lelapkan mata sehingga kita bertemu didalam mimpi.

Begitulah juga saat ini, hari kedua ketiadaan cerita dari mama , pasti membuat Alia dan Aneesa rindu dan akan menangis seperti selalu. Bukankah mama kata , "Mama selalu ada dalam hati ". Datanglah jumpa mama dalam mimpi. Mama sentiasa menanti dan mungkin kita akan sentiasa ada bersama-sama walaupun jasad kita jauh tetapi hati kita sangatlah dekat. Anak-anak mama adalah permata dihati mama. Seluruh hidup mama adalah untuk membesarkan kalian untuk menjadi insan yang diredhai Illahi. Insan yang berjaya didunia dan akhirat. Insan yang akan membela bangsa dan agamanya. Sejak dari mula mendengar degup jantung didalam tubuh mama sehingga melihat kalian membesar dan dewasa , setiap saat bersama kalian adalah "hidup mama". Seorang ibu akan sanggup berkorban apa sahaja demi anak-anaknya, walaupun ada kalanya dia tidak terdaya, adakala hatinya tersentuh, adakala dugaan membuat dia lemah namun tidak sedikit kasihnya pada anak-anaknya akan luput atau terhakis malah terus duduk bersimpuh berdoa dan berdoa "peliharalah anak-anakku". Tuhan jangan sakiti anak-anakku, jangan cederakan anak-anakku, jangan uji anak-anakku kerana terlalu kasihnya aku pada setiap insan yang lahir dari diriku.

Saat ini melalui Haji , mama harus lepaskan anak-anak mama tanpa adanya mama dan abah di sisi. Bukanlah mudah mama melakukan ia. Kalau dulu Opah ada memberi seluruh perhatian dan mengganti kasih ibu sepanjang mama tiada, kini kalian harus menjaga antara satu sama lain tanpa ada kasih seorang ibu. Kelemahan mama bila terlalu melindungi dan menyayangi anak-anak mama. Bukan kerana mama tidak sayang , mama pergi Haji disaat Alia dan Aneesa masih kecil. Mama pergi kerana panggilan dari Yang Lebih Menyayangi. Kalau mama rasa mama sangat sayang anak-anak mama, ketahuilah anak-anak mama, ada yang lebih menyayangi kita di atas sana. Kita mesti kuatkan hati tinggalkan segala yang kita sayang didunia ini , walau bagaimana sayangnya kita , ianya tidak dapat menandingi kasih DIA pada kita.

Izinkan mama dan abah , melepaskan "hak anak-anak mama" untuk 44 hari demi "hak Allah pada hambaNYA".

Diantara kita adalah doa. Jangan berhenti berdoa.


Perjalanan sudah bermula...

Buat anak-anak mama ,

Inilah catatan mama sepanjang pemergian mama semuga menghilangkan rindu dihati kita...redhakan pemergian mama dan abah demi menyahut Lambaian Kaabah.

Sewaktu artikle di publish , mama sudah pun berada di Kompleks Kelana Jaya dan kami akan melalui proses pemeriksaan beg, Xray, taklimat dan kemudiannya akan menaiki bas secara konvoi ke KLIA. Ianya akan di escort oleh polis traffic, pasti perjalanan itu sungguh memilukan kerana perjalanan mama dan abah sudah bermula. Sewaktu mama menulis artikle ini , airmata mama menitis apatah lagi bila ianya benar-benar sudah berlaku. Tuhan sahaja yang tahu , semakin dekat kita akan bertemu dengan Nya , hati kita makin tersentuh...perjalanan ini seperti 'pulangnya kita kepada DIA".

Ujian yang pertama pastinya melepaskan anak-anak mama tanpa mama dan abah selama 44 hari. Mama berdoa semuga anak-anak mama sentiasa mendapat perlindungan dari Yang Esa. hanya pada DIA mama serahkan anak-anak mama . Jaga diri baik-baik. Bukanlah mudah buat Shafiq untuk menjaga adik-adik tetapi mama percaya , mama mempunyai anak-anak yang bertanggungjawab. Jagalah Alia dan Aneesa dengan kasih sayang kerana ketiadaan mama dan abah pasti membuat mereka rindu.




bas yang membawa jemaah ke KLIA







di KLIA



Sekiranya tiada aral melintang mama dan abah di jangka berlepas pukul 1 pagi , 1 November . Penerbangan terus ke Madinah di jangka tiba 8 1/2 jam kemudian. pastinya waktu mama yang terluang di isi dengan zikir dan mama bercadang untuk habiskan Terjemahan Al Quran yang masih di Juz 24. Insya Allah , disaat mama sampai di Airport nanti mama dah habiskan bacaan mama.

Doakanlah perjalanan mama selamat sampai di Madinah dan dipermudahkan melalui urusan Imigresen di sana.
Kitab Bughyatul Mustarsyidin :

"Telah berkata Al Khauwas daripada tanda-tanda yang menunjukkan diterima Haji seseorang hamba dan bahawa dia sesungguhnya telah dikurniakan dengan keredhaan Allah ,iaitu bahawasanya sesudah ia kembali daripada mengerjakan haji , dia berakklah dengan akhlak Rasullulah (akhlak Muhamaddiyah) hampir dia tiada memandang dirinya lebih tinggi daripada seseorangpun daripada hamba-hamba Allah dan tiada pula berebut-rebut untuk mendapatkan sesuatu daripada perkara dunia sehingga meninggal dunia.

Dan tanda yang menunjukkan hajinya tiada diterima bahawa dia kembali semula kepada keadaannya sebelum mengerjakan Haji.