Catatan Perjalananku Menuju Haji...

Umrah Pertama - September 1997 (32 tahun)
Umrah Kedua - September 1999 (34 tahun)
Haji Pertama (Haji Fardhu) - November 2009 (44 tahun)

Umrah Ketiga - May 2010 bersama suami dan mertuaku (45 tahun)
Umrah Keempat - Mac 2012 bersama anak-anak Umrah Ziarah Jordan (47 tahun)
Umrah Kelima - Mac 2015 bersama suami (50 tahun)
Umrah Keenam - in sya Allah Feb 2018 bersama suami (53 tahun)


Inilah perjalananku.....mencari , menghayati dan melalui saat indah mengenal Cinta Ya Rabbi !

.

Followers

Ads


INILAH PERJALANAN SEBENAR KISAH SEORANG HAMBA ALLAH, MENGUTIP PENGALAMAN DEMI PENGALAMAN SEPANJANG 44 HARI MENUNAIKAN IBADAH HAJI DAN AKHIRNYA MENJADIKAN , APA YANG KITA LIHAT SEPERTI SEMALAM TIDAK LAGI SETELAH MENUNAIKAN HAJI... PENGALAMAN "ITU" TELAH MEMBEZAKAN KITA YANG SEMALAM DENGAN KITA YANG HARI INI....

semuga ianya memberi iktibar dan panduan bagi mereka yang memerlukan...

Saturday, October 31, 2009

Doa Pergi Haji

Kami akhirnya memilih untuk membaca doa ini sebelum berangkat dari rumah petang nanti untuk dibaca oleh adik saya. Doa ini di faks oleh sahabat suami saya dari Majlis Agama Islam Johor sebelum suami saya mula bercuti beberapa hari yang lalu. Mungkin doa ini juga membantu jemaah lain .



SELAWAT

Ya Allah , Engkaulah teman dalam perjalanan dan Engkaulah penjaga keselamatan kaum keluarga , harta benda , anak cucu dan sahabat handai.

Ya Allah peliharalah bakal-bakal haji ini. Kami bermohon supaya perjalanan mereka dimudahkan , didekatkan . Kurniakanlah keselamatan tubuh badan dan harta benda sepanjang perjalanan . Sampaikanlah maksud mereka mengerjakan Haji dan mengunjungi makam Nabi Muhamad s.a.w

Ya Allah , kami memohon perlindungan dari segala mala bahaya didalam perjalanan dan perkara-perkara yang mendukacitakan. Jauhilah pandangan yang buruk terhadap kaum keluarga , jiran tetangga , harta benda dan sahabat handai . Lindungilah mereka semua didalam peliharaanMu. Janganlah Engkau lucutkan nikmatMu daripada mereka. Janganlah Engkau mengubah kesihatan mereka kecuali kepada keadaan yang lebih baik Wahai Tuhan yang Maha Pengasih lagi Penyayang.

Ya Allah , wahai Tuhan kami , kehadiran merea ke Tanah Suci adalah atas perintah dan kehendakMu. Oleh itu kurniakan kepada mereka perkara-perkara menyenangkan dirumah suci itu. Jika cuacanya panas , sejuk atau sederhana , jadikanlah segala keadaan cuaca disana nanti sesuai dan menjadi nikmat kepada mereka. Berikanlah mereka selera makan dan minum walau apa makanan dan rasa dan jauhilah segala kesan buruk akibat makanan dan minuman mereka. Suaikanlah rumah-rumah tumpangan yang akan mereka diami walau bagaimana keadaannya sekalipun.

Suaikanlah mereka bergaul dengan rakan seagama di Tanah Suci nanti dimana juga mereka berjumpa dan mereka berkumpul dalam mengerjakan perintahMu . Suaikanlah semua jenis kenderaan yang mereka naiki kemana sahaja mereka pergi dalam menjalankan kerja yang Engkau perintahkan.

Kurniakanlah mereka keselesaan serta mendapat kepuasan dalam melihat , memikirkan dan mengambil iktibar kemana sahaja tempat yang mereka ziarahi dan janganlah Engkau jadikan kedatangan mereka ke Tanah Sucimu kali ini sebagai kedatangan kali terakhir.

Ya Allah anugerahkanlah mereka kesihatan zahir dan batin serta kemahuan dalam mengerjakan segala perintahMu dari awal hingga ke akhir diTanah Suci Mu nanti dan juga meneruskan setelah mereka pulang ke Tanah Suci.

Ya Allah Ya Tuhan Kami , Kurniakan kepada mereka Haji yang Mabrur , dosa diampunkan , usaha yang dipuji , amalan soleh dan perniagaan yang tidak rugi.

Amin...

Rabbana Atina Fidunya Hasanah Wafil Akhiratau ...

Selawat.

Siap juga akhirnya...

Alhamdullilah , akhirnya siap juga kerja-kerja klien buat sementara walaupun nanti Submission dateline berderet sebaik sahaja pulang dari Haji nanti. Setidak-tidaknya lega juga rasa hati dapat sempurnakan tugasku-tugasku setakat ini. Semuga Allah memudahkan dan beri ruang untuk aku beribadat tanpa diganggu hal-hal kerja yang tiada sudahnya. Bolehlah simpan fail fail kerja dan fokuskan pada persiapan akhir kerana selepas Asar nanti kami akan bertolak ke Kompleks Tabung Haji di Kelana Jaya.

Adik-adik saya akan berkumpul dirumah untuk sama-sama Azan dan berdoa sebelum kami berangkat pergi. Tertib yang diajar oleh ustaz, seboleh mungkin akan kami turuti seboleh mungkin kerana kita hanya mampu berusaha untuk yang terbaik.

"Masa Mak pergi Umrah, kita Azan dari rumah, kita kena buat macam tu jugak yong!", kata adikku .

Ya Allah berikanlah jiwa yang tenang menghadapi saat-saat akhir keberangkatan kami. Terasa gementar , cukupkah persiapan kami selama ini ?

Ya Allah , Permudahkanlah segala urusan...

Bonda

Pagi Jumaat , menyusuri pusara Bonda bersama anak-anakku dan suami. Membaca Yasin dan berbisik padamu Bonda, "anakmu datang memberitahu , kami akan pergi ". Saat doa habis dibaca , dapat kurasai sejuk didahiku , dapat kurasa Bondaku , untuk pertama kalinya mencium dahiku dipusaramu. Sudah lama Bonda tidak hadir didalam mimpi tetapi sejak mahu pergi , Bonda kerap ada dalam mimpi.

Diatas sejadah sejak bertahun yang lalu, memohon doa pada Illahi, "izinkanlah aku bersama ibuku menunaikan Haji , izinkan aku membawa ibuku bersama-sama , walau cuma sesaat berilah aku peluang menatap wajah ibuku disaat Hajiku, izinkan aku bersama rohnya menemaniku disana nanti". Ajaibnya sudah sedikit demi sedikit kurasakan dan aku tidak akan pernah berhenti berharap dan berdoa kerana aku yakin tiada yang mustahil disana.

Keterujaanku melalui Haji kerana Bondaku sudah terasa ikut sama....

Indahnya Haji..

Ianya kini sudah makin terdengar seruan "La Baikallah Humma La Baik....". Sebenarnya sangat gembira apabila penat lelah sekian lama akhirnya membuahkan hasil. Saat untuk pergi semakin hampir. Apatah lagi insan yang hampir dengan hidup kita, anak-anak, mertua , adik beradik, ipar duai, sahabat handai , jiran tetangga ada disekeliling kita disaat kita sudah akan pergi. Ada semangat ria, ada rasa duka, ada rasa sedih , semuanya berbaur melihat wajah setiap mereka dengan sayu, sesekali berbisik dihati , "Kalaulah ia yang terakhir kali....".

Entah mengapa setiap kali ingin menyebut "La Baikkallah " , perasaan ini sangat sayu, mengucap dan menyebut ia dengan tangis....benarlah , kini aku , Kau panggil menemuiMu dan kali ini ianya adalah Haji. Kerdilnya aku , insan daif ini, Kau pimpin setiap langkahku, perlahan-lahan, saat demi saat kau isi diriku dengan berbagai kekuatan , agar aku akhirnya boleh berjalan sedikit demi sedikit ke arahMU. Kini aku seperti ingin berlari , bila ianya seperti sudah kelihatan didepan mata. Aku ingin memeluk dan mendakap walaupun ianya cuma didalam sujud, betapa aku yang sangat merinduiMU. Tidak terlihat tapi kasihNYA ujud didalam hati. Setiap saat degup jantung tidak pernah mahu lupakanMU. Betapa aku yang sangat rindu. Inikah jiwa insan yang melalui nikmatnya ibadat Haji. Tidaklah pernah aku tahu , ianya menuntut seluruh pengorbanan tapi memberi pulangan nikmat yang tidak terlafaz dengan kata. Bila letih tidak terasa letih, bila sakit tidak terasa lemah, bila payah tidak terasa susah, Haji itu sangat indah sebenarnya. Pertemuan diri dengan DIA.

Ya Allah , sesungguhnya aku sangat berSYUKUR anugerah nikmat yang Kau beri padaku...



Friday, October 30, 2009

Sms dari seorang sahabat

Lega menerima sms dari sahabat saya yang kebetulan suaminya baru sahaja pulang semalam dari Mekah menghadiri meeting sekaligus melakukan Umrah. "Nanti saya suruh suami saya check keadaan terkini ", kata kawan saya.

Alhamdullilah menerima sms dari kawan saya Ana, "Cuaca tidak berapa panas dan habuk pun tak ada". Semuga keadaan ini memudahkan kami untuk ibadat disana nanti. Terharu menerima sms dari sahabat-sahabat yang masih terus mahu membantu saya dengan memberi berbagai maklumat dan nasihat serta panduan. Semangat mereka ada bersama-sama saya menyebabkan saya berkali berkata pada suami saya, Haji ini seperti sangat meriah dengan kasih sayang dari insan-insan disekeliling kita.

Rumah di KL pula

Subuh hening di pagi Rabu, walaupun begitu penat , kami masih mampu melakukan ibadat di Suboh hening yang syahdu. Suasana di awal pagi 5 pagi memang mendamaikan dengan KLCC dihadapan mata. Begitu ramai yang tinggal di kawasan kondo kami tetapi dihening pagi ianya tetap sepi seperti dirumah kami di JB. Yang seronoknya disini kami boleh duduk diverandah melihat pemandangan diluar rumah dan merasa sangat selamat.

Seawal pagi kami sudah mula mengemas rumah di KL pula. Penat malam tadi belum berhenti, tetapi telah memulakan tugas untuk rumah disini pula kerana anak-anak kami akan berada disini sepanjang ketiadaan kami. Saya mahu mereka seronok berada dirumah jadi semua kemudahan tetap ada termasuklah astro dan internet , malah keyboard anak gadis saya juga telah dibawa awal supaya masa mereka akan terisi untuk elakkan dari bosan. Buku-buku latihan selain buku-buku cerita juga kami beli untuk mengisi masa lapang mereka. Malah ustaz untuk mengajar anak-anak kami pun gembira kerana boleh mengajar kembali sepanjang kami berada di KL. Kami juga terpaksa menguruskan tuition untuk 2 bulan untuk kedua anak-anak kami . Begitu banyak tempat yang harus dituju untuk menguruskan kehidupan anak-anak kami sepanjang ketiadaan kami. Disebaliknya ianya memerlukan modal yang bukan sedikit. Tetapi jauh dihati saya tidak pernah terkilan kerana dengan Pertolongan dari Yang Esa, rezeki itu datang dari Nya.

Hari Khamis , menghadiri Hearing di Pejabat Pendaftar , membuat saya lega apabila akhirnya telah siapkan sebahagian dari kerja . Sempat lunch di Cheras kerana kami memang suka makan ayam kampung di Velodrom. Pulang kerumah , menerima sms dari mertua adik saya untuk berkunjung menziarahi saya di pagi Jumaat, maka terpaksa petang Khamis kami bergegas ke rumah kami di BB pula kerana tukang kebun yang jaga rumah memberitahu lampu rumah kami padam. Anak-anak lelaki yang pulang dari kolej malam tadi seakan memahami ibunya sudah kepenatan menguruskan berbagai-bagai kerja. Malah pukul 3 pagi sudah bangun untuk siapkan kerja yang harus dihantar pagi nanti. Esok juga , Jumaat , saya sudah bersedia untuk menerima kehadiran saudara mara yang akan datang ziarah dari pagi hingga ke malam. Ianya sebenarnya sangat memenatkan sejak datang ke KL tetapi inilah pengorbanan apabila kita pergi diusia anak-anak kita masih kecil. Mereka adalah pengorbanan yang sangat sukar apatah lagi mempastikan keselamatan , kecukupan duit mereka dan keseronokan mereka untuk melalui hari-hari tanpa ibu bapa mereka , membuat kita berusaha bersungguh-sungguh untuk meletakkan satu suasana, mama tiada di rumah tetapi "seperti ada".



Pengorbanan kecil juga bermula...

Semenjak petang Selasa yang lalu , kami terpaksa mempastikan rumah yang di tinggalkan selama hampir 2 bulan selamat ditinggalkan walaupun ada yang menjaga rumah kami untuk membuka lampu di malam hari selain security dari ofis suami saya yang akan membuat pemeriksaan dua kali setiap hari. Pasu-pasu bunga dikeluarkan diluar rumah malah ayam katek anak-anak saya pun telah di ambil oleh kawan suami saya untuk dijaga sepanjang kami tiada. Terasa sedih untuk meninggalkan rumah kerana perjalanan kami sebenarnya sedikit demi sedikit telah pun bermula.

"Mama dan abah pergi haji, semua orang perlu berkorban sama!", kata anak gadisku. "Alia pun kena berkorban exam awal". Malah kataku ," Cikgu Alia pun kena berkorban jaga Alia exam , dapatkan kertas soalan awal". Memang benar ianya menuntut pengorbanan dari banyak pihak . Bila melalui Haji , baru kita sedar definasi pengorbanan yang sangat luas dan tanpa tekad dan semangat yang bersungguh-sungguh , ianya mungkin sukar untuk mencapai maksud "pengorbanan" yang harus kita terapkan kedalam diri kita.

Malah sewaktu perjalanan ke KL, kami benar-benar keletihan dan terpaksa tidur didalam kereta hampir 2 jam kerana , saya pun sudah tidak larat untuk temankan suami saya memandu. Didalam kereta, barangan penuh kerana bukan sahaja beg-beg untuk pergi haji, pakaian anak-anak saya juga terpaksa dibawa, file-file untuk menguruskan klien saya , computer saya malah barang-barang computer anak lelaki saya dan beg pakaiannya juga turut terpaksa dibawa kerana anak saya itulah yang akan menjaga adik-adiknya selain terpaksa berulang alik ke Melaka untuk menghadiri kelasnya.

Kami sampai di KL ,lebih kurang pukul 1.30 pagi. Mujurlah anak-anak gadis kami berjanji tidak akan menangis bila dikejutkan dan mereka turut sama menolong kami mengangkat barang-barang yang begitu banyak dilewat dinihari. Ironinya, lif rosak terpaksa kami memanjat 3 tingkat untuk sampai ke rumah. Bayangkan suami saya terpaksa mengangkat beg-beg haji naik kerumah. Tapi entah mengapa , kami tidak terkilan jauh sekali mengeluh kerana kami seperti sudah menyediakan minda bahawa 'disana lagi penat". Mujurlah senaman fizikal yang kami lakukan sebelum ini telah turut memberi keupayaan untuk kami membawa kesemua barang-barang naik ke atas rumah. Malah anak-anak gadis kami seronok membantu dan keletah mereka tidak seperti selalunya yang akan menangis bila dikejutkan dari tidur , apatah lagi kena menaiki tangga. Mereka juga sebenarnya turut sama mahu ikut berkorban hampir setiap hari , melihat dan melalui pengorbanan haji ibu bapanya.

Kami hanya dapat tidur dalam keletihan menjadi pemunggah barang-barang pukul 3 pagi. Ianya bukan mudah tetapi ajaibnya hati kami malah hati anak-anak kami sudah bersedia untuk berkorban apa sahaja dan terasa Haji itu semakin nikmat.... ianya sebenarnya membuat hubungan sebuah keluarga semakin erat.


Tuesday, October 27, 2009

Pulang ke KL

Insya Allah, malam ini kami akan bertolak ke Kuala Lumpur . Alhamdullilah juga akhirnya dapat juga kemas semua barang-barang walaupun macam tidak percaya kerana begitu banyak yang hendak di uruskan . Pakaian untuk beberapa hari di KL, pakaian haji yang hendak dibawa, computer dan fail-fail untuk siapkan di KL, pakaian anak-anak sepanjang hampir 2 bulan mereka di Kl, pakaian untuk "Hearing" dengan Registry , mengemas rumah yang ditinggalkan di JB, makanan dan kuih muih yang hendak dibawa , pakaian yanhg hendak dihantar dobi dan dibasuh , rasanya sudah tidak terdaya. Sudah beberapa malam bangun seawal 3 pagi untuk sedikit demi sedikit siapkan semua.

Ya Allah, berilah aku keupayaan ...

Monday, October 26, 2009

Kak Ruby yang istimewa

Kadang-kadang kita perlukan jangka masa yang sangat lama untuk rapat dengan seseorang . Tetapi entah mengapa insan yang seorang ini seperti didatangkan Illahi untuk menjadi sahabat yang dekat dihati. Padahal baru dapat duduk disebelahnya cuma 1 jam sewaktu belajar kelas Habib Zain tetapi ada sesuatu yang menarik untuk menjadikan kami rapat.

Sebentar tadi menerima sms dari Kak Ruby yang baru mendengar ceramah haji semalam dan sampaikan pada saya "Nampak sahaja Kaabah, ucaplah syukor dan mulakan dengan minta ampun dengan Allah". Masih menyampaikan pesan dan panduan pada saya buat saya terharu dengan insan yang seorang ini. Didalam diri saya dapat rasakan kerinduan Kaabah dihati Kak Ruby.

Ya Allah, sampaikanlah Hajat , kakak ku yang seorang ini.....merinduiMU , kadang-kadang sukar dilafazkan walaupun Haji itu tidak mudah tetapi manisnya ibadat sukar diceritakan.




Peperiksaan


Minggu lepas kami telah membuat surat permohonan dengan pihak sekolah supaya anak-anak gadis kami dibenarkan bercuti awal memandangkan kami akan pulang ke Kuala Lumpur iaitu beberapa hari sebelum tarikh penerbangan.

Atas perbincangan dengan pihak sekolah mereka cuba memberi peluang untuk anak-anak saya menduduki peperiksaan akhir tahun lebih awal. Hari ini dan esok anak-anak saya sudah mula menduduki peperiksaan akhir tahun. Esok malam kami akan bertolak pulang ke Kuala Lumpur.

cuma 26 ribu

Bilangan jemaah haji dari Malaysia cuma 26 ribu dari hampir 3 ke 4 juta jumlah jemaah dari seluruh negara. 207 ribu adalah dari Indonesia bermakna jumlah jemaah dari rakyat Malaysia akan tenggelam dengan jumlah dari kalangan negara lain.

Itulah antara sebab mengapa kami memilih 1 bilik untuk 5-6 orang supaya , "Isteri ada teman untuk ke Masjid", kata rakan suamiku yang baru menunaikan Haji tahun lepas. Pada mulanya kami mahu mengambil pakej untuk 2 orang 1 bilik tetapi apabila membayangkan , ramainya jemaah yang ada dan saya perlu ada kawan untuk berada didalam masjid , kami terpaksa mempertimbangkan soal keselamatan. Didalam lautan manusia yang berjuta , sebagai wanita kita mungkin tidak mampu untuk sendirian terutama didalam masjid. Walaupun suami kita ada bersama, ada ketika kita terpaksa berpisah diruang lelaki dan perempuan.

Ya Allah , selamatkanlah kami.


Jam dan Handphone

"Kali ini , tak mahu pakai jam, pakai handphone aje", kataku pada suami. Jam saya hilang sewaktu mengambil wudu di Telaga Zam Zam. Selalunya kita lupa bila sudah membuka jam dari tangan. Oleh itu , kali ini saya bercadang untuk tidak memakai Jam kerana ianya akan menyusahkan saya malah cincin pun tidak saya pakai kerana selalunya saya rimas dengan barang-barang ini yang selalunya perkara pertama yang saya akan tanggalkan sebaik sahaja pulang dari rumah.


Kali ini handphone adalah lebih penting untuk dibawa kerana itulah jam loceng, itulah tempat menyimpan segala maklumat , itulah alat untuk berkomunikasi., itulah kamera, itulah internet, itulah video camera. Kami telah membeli extra bateri untuk handphone masing-masing, malangnya extra bateri itu telah merosakkan Handphone suami saya. Terpaksalah membeli yang baru. nasib baik kami mencuba extra bateri itu disini , kalau tidak susah juga hendak mencari handphone baru sewaktu disana.



Toilet di Mekah

Walaupun saya sudah mengunjungi Mekah sebanyak 2 kali tetapi saya tidak mempunyai pengalaman memasuki Toilet nya. Hotel saya waktu itu terletak di Babu Salam berhampiran dengan Tempat Sai . Setiap hari melintasi Toilet yang berhampiran dengan pintu yang selalu saya gunakan untuk memasuki Masjidil Haram tapi hanya melihat dari ekor mata. Saya tidak berani kesitu dan Alhamdulillah sepanjang saya berada di Mekah , wudu saya tidak pernah batal sepanjang solat di Masjidil Haram. Malah setiap kali selesai Tawaf saya sengaja mengambil wudu di Tempat Air Zam Zam berhampiran Dataran Kaabah. tTtapi saya difahamkan Telaga Zam Zam di Dataran Kaabah , kini , sudah lama ditutup.

Setiap jemaah yang saya temui , hampir kesemuanya berpesan pada saya untuk berdoa, solat sunat dan berbagai-bagai panduan untuk menjaga WUDU kerana disana nanti itulah masalah yang paling merisaukan . Saya telah melakukan doa dan Solat Hajat sejak berbulan yang lalu supaya dimudahkan urusan Wudu sewaktu berada di sana.

Hotel saya pula agak jauh iaitu 650 meter dari Masjid tetapi sewaktu umrah dulu pun saya tidak pernah berulang ke Hotel untuk Wudu walaupun Hotel saya lebih kurang 100 meter dari Masjid. Saya dapat bayangkan bila memasuki tempat toilet kerana didalam selalunya akan kelihatan ramai orang-orang badwi didalamnya , apatah lagi mereka selalunya tidak mempunyai tempat menginap, jadi Toilet adalah tempat utama tumpuan mereka. Sewaktu di Dataran Kaabah , tempat telaga Zam-Zam mengambil wudu, setiap kali saya masuk , kaum Badwi memenuhi kawasan itu ! Mereka mandi disitu membawa anak-anak mereka. Itu baru tempat ambil wudu , bayangkanlah di Toilet .

Hari ini saya sudah mula mengamalkan doa Jangan Batal Wudu dan Doa Berhenti Haid disetiap solat Fardhu sebagai ikhtiar supaya doa-doa saya dipermudahkan dalam urusan WUDU.

Ya Allah, bantulah aku.



Mengimbas persiapan sejak 11 bulan yang lalu..

Usaha yang bersungguh-sungguh sejak bulan December 2008 , iaitu 11 bulan yang lalu dari saat membuat rayuan untuk permohonan Haji, mengikuti Kursus Bersiri hampir setiap minggu sejak Bulan Mac , mengikuti Kursus Intensif sehinggalah Kursus Perdana, mengikuti kelas-kelas agama, menguruskan keperluan untuk visa dan passport , menguruskan kewangan sejak berbulan-bulan yang lalu, membeli persiapan barang-barang haji selain mempertingkatkan senaman fizikal dan pemakanan vitamin yang sudah dimulakan dari masa kesemasa kini segala usaha, lelah dan ikhtiar yang tidak jemu-jemu terasa membuahkan hasil apabila waktu untuk pergi tinggal beberapa hari sahaja.

Sesekali terasa sangat gembira, sesekali terasa sayu dan sedih , sesekali terasa besarNya kasihMu Tuhan mempermudahkan kami untuk melalui saat-saat indah begini. Dalam payah terasa pulangannya sangat lumayan apabila satu persatu hijab dibuka dan apa yang dicari semakin ternampak jelas di mata hati. Kalau dulu melihat dengan kabur tetapi yang kelihatan kini semakin membahagiakan hati. Benarlah ibadat itu menjadi nikmat bagi yang merasainya.

Barang-barang dan beg sudah pun semakin sempurna untuk dibawa, buku-buku dan doa yang hendak dibawa sudah diperiksa beberapa kali supaya tidak tertinggal. Sesekali menyemak checklist supaya tidak ada yang tercicir untuk dibawa. Cuma tugas untuk klien saya yang terpaksa saya uruskan sehinggalah hari Jumaat nanti , barulah saya akan "off" kan semua dari minda dan serahkanlah segalanya pada Yang Esa. Bayangkan Hari Khamis nanti masih terpaksa menghadiri Hearing di Pejabat Pendaftar ! Sehingga ke titisan darah terakhir saya akan jalankan amanah yang diberi Tuhan, takut juga kalau tak siap , kalau saya mati siapa yang harus uruskan pekerjaan saya yang terbengkalai.

Ya Allah, permudahkanlah segala urusan.


Titipan Doa

"Kawan abang beria-ia suruh abang datang jumpa dia, nak bagi doa", kata suamiku. "Pergilah, dah orang berhajat sangat nak jumpa , kesian dia", kataku.

Bila pulang setelah berjumpa Haji Ramli, sahabat suami saya yang baru dikenali , saya terharu kerana beliau menulis berbagai catatan yang sangat berguna untuk kami tentang "Hakikat (Roh) Haji". SubhanAllah, dalam saat untuk pergi sudah semakin dekat kami menerima bimbingan dan panduan dari insan-insan yang baru dikenali yang kadang kala buat kami rasa terharu.

"Suruh isteri call ustazah ini untuk sebuah pesanan, ustazah ini sudah 30 kali menunaikan Haji"., pesan Haji Ramli pada suami saya sewaktu hendak pulang. Semalam sewaktu di Puspanita , saya diberi tahu ada seorang Datin yang telah pergi haji 10 kali buat saya kagum, dan kini saya dikenalkan pula dengan seorang ustazah yang sudah 30 kali menunaikan Haji.

Ya Allah, Terimakasih atas Anugerah yang tidak terlafaz dengan kata, hanya hati yang merasa nikmatnya ibadat Haji ini.

Minggu Jogging terakhir

Hari Sabtu dan Ahad , kami melakukan jogging terakhir sebelum berangkat minggu ini. Kelihatan ramai pasangan yang akan menunaikan haji turut melakukan jogging seperti kami. Sakit jugak kaki kerana berjalan agak pantas untuk 3 pusingan.

Berjumpa dengan ex staf suami saya yang sepatutnya pergi tahun ini, tetapi menyatakan beliau telah mendapat surat dimana permohonan beliau dibatalkan dan tidaklah dia dapat pergi bersama tahun ini. Tetapi yang menariknya walaupun hampa tidak dapat pergi tahun ini, beliau terus seperti kami melakukan jogging dan kami masih bertembung dengan beliau dan isteri pada hari Ahad juga. Lihatlah bila semangat haji telah ada, walaupun tidak dapat pergi dan kecewa tetapi teruskan juga untuk mempersiapkan diri untuk permohonan tahun depan pula. Semangat mereka buat saya terharu.

Hari Jumaat yang Berkat

Hari Jumaat lepas saya berpeluang untuk melakukan Solat Taubat dan Solat Tasbih bersama-sama dengan jemaah di Masjid Kobena. Ramai yang hadir kerana melakukan Solat Tasbih sememangnya sesuatu yang agak sukar untuk dilakukan sendirian dirumah dibandingkan dengan solat solat sunat yang lain. Apatah lagi hendak mengira bacaan dengan jumlah yang betul disetiap perlakuan dalam solat tasbih tersebut. Ustazah yang membaca kuat dengan menggunakan mikrofon yang diletakkan di kepala memudahkan kami mengikutinya didalam hati.

Setelah selesai solat , Ustazah turut memnbacakan doa untuk jemaah yang akan menunaikan Haji. Terasa sedih dihati apatah lagi sewaktu bersalaman dengan semua jemaah . Waktu begini teringatkan emak yang seharusnya pergi haji bersama-sama saya tetapi telah pergi ke Rahmatullah.

Pada petangnya pula Majlis meraikan jemaah Haji yang akan pergi pada tahun ini di Rumah Puspanita. Agak ramai yang pergi tahun ini. Kami diberi Tazkirah oleh Ustazah Maimunah dan begitu banyak nasihat dan panduan yang beliau berikan untuk kami sebagai pedoman sewaktu disana.

Sebaik sahaja pulang dari rumah , bergegas menyediakan makan malam untuk staf suami saya yang hadir kerumah kerana beliau tidak dapat datang ke Majlis Kenduri kami tempohari. Walaupun penat dari pagi sehingga kemalam , tetapi berbagai manafaat yang saya pelajari dan terima dalam saat-saat untuk pergi semakin dekat.

Ya Allah, peliharalah aku.

Friday, October 23, 2009

Suami Isteri

Hampir setiap jemaah yang berpesan pada saya , supaya bersabar dengan ujian antara suami dan isteri. Kadang-kadang ianya membuat saya gementar kerana kita tidak tahu ujian apakah yang akan diberi disana nanti. Sewaktu kami menunaikan umrah pada tahun 1997 and 1999, tiada halangan yang kami hadapi selain kasih sayang kami sangat akrab . Ianya lebih indah dari percutian di Eropah sebelum itu.

Setiap malam sejak berbulan yang lalu , saya sentiasa mendoakan semuga kami tidak diuji dangan ujian yang tidak tertanggung oleh kami malah berdoa semuga dijauhkan segala dugaan yang merosakkan hubungan kami suami isteri. Terasa doa didengar, saya dapat merasakan hubungan kami semakin akrab. Saya pula semakin menjadi taat kepada suami saya. Apa saja kemahuannya pasti saya akan turuti kerana tiada salahnya kalau saya mendengar kehendak suami saya. Suami saya yang sememangnya menatang saya bagai minyak yang penuh , semakin terasa gembira dengan semangat saya untuk menjadi yang terbaik untuk dirinya.

Ya Allah . Peliharalah kasih sayang kami suami isteri.

Malam Jumaat di Masjid Sultan Abu Bakar

"Kita pergi sembahyang Magrib kat Masjid Sultan Abu Bakar hari ini", email yang kutulis pada suami ku tengahari semalam. Setuju dengan cadangan itu kerana malam tadi anak-anak perempuan saya tidak ada kelas tuition .

Menyusuri Masjid kelihatan seorang Pak Arab membawa dua orang anak kecilnya , seorang lelaki dan seorang perempuan masuk ke dalam Masjid. Ianya mengingatkan aku suasana di Mekah dan Madinah yang sangat meriah apabila tiba malam Jumaat. Mereka akan datang beramai-ramai dan duduk diluar masjid seperti hendak berkelah sebaik sahaja habis solat Isyak.

Didalam Masjid cuma ada seorang jemaah iaitu Hajjah Zaidah . Saya menangis sewaktu menunaikan Solat Maghrib kerana terasa Masjid ini sangat sepi. Mungkin kerana pelajar-pelajar dari Kolej Pengajian Islam disebelah Masjid ini bercuti, menjadikan Masjid ini sangat lengang dan ianya sangat sayu apabila cuma saya dan Hajjah Zaidah yang menjadi jemaah wanita.

Seperti biasa sebelum Solat Isya tiba kami membaca Yassin. Didalam hati terkenang , seminggu lagi saya akan berada di Masjid Nabawi. Berada didalam Masjid ini setidak-tidaknya menghilangkan rindu , walaupun cuma 1 minggu lagi saya akan kesana. Seperti sudah tidak tertahan menanggung rindu . Kali terakhir disana ialah 10 tahun yang lalu iaitu tahun 1999.

Sewaktu kami pulang selepas Solat Isya , "Masjid ini terasa sayu bila tiada orang !", kata suamiku. "Abang menangis". Yang jelas hati kami merasai suasana dan perasaan yang serupa . Sepi tetapi didalamnya ada damai yang tidak terucap dengan kata.


Thursday, October 22, 2009

Sebuah kisah kehidupan.

"Bila you cakap pasal M , abang dah tak boleh tahan sebak!", kata suamiku tentang seorang dari tetamu kami yang hadir di Majlis Kenduri kami tempohari. "Sebab itu mama bagi telekung kesayangan mama pada dia", jawabku ringkas. "Sorry, mama ambil Quran Terjemahan abang dan bagi pada M, nanti mama belikan yang baru untuk abang", bisikku pada suamiku.

Kami sebenarnya sangat tersentuh dengan kisah hidup M dan terharu kerana beliau mahu datang juga untuk menemui saya. Terasa waktu yang semakin sedikit buatnya membuat saya tidak berfikir panjang untuk memberikan sesuatu yang saya ada saat itu. Telekung yang diberikan oleh adik saya itu memang menjadi antara telekung kesayangan saya . Tetapi saya rasa ada yang lebih memerlukannya, biarlah saya memberi sesuatu yang saya sayang sebagai hadiah untuk M.

"Mama, nanti kita alter doa kita supaya masukkan juga nama M untuk kita doakan disana nanti", kata suamiku. Aku hanya mengganguk tanda setuju. Hanya doa yang dapat kami hadiahkan pada M semuga Tuhan mudahkan dia menjalani saat saat akhir hidupnya.

Solat Hormat Waktu


Penerangan dibawah mungkin dapat membantu bagi jemaah yang akan menunaikan Haji tidak lama lagi.

Mengikut Mazhab Syafi'e dalam rukun sholat fardhu kita harus berdiri tegak (untuk yang tidak uzur) dan mengadap kiblat. Jadi ada setengah setengah ulamak mengatakan kita boleh "hormat waktu" ketika masuk waktu sholat atas sebab yang berikut:

1.Kesempitan tempat dalam kapalterbang yang tidak membolehkan kita berdiri tegak.

2.Kalau kita mungkin dapat tempat untuk berdiri, tetapi air turbulence boleh membuatkan kita jatuh ketika bersolat dan boleh memudaratkan diri kita.

3.Arah kiblat yang kita tidak yakin, kerana kita harus yakin dan tidak boleh was was tentang arah kiblat kita. Memadailah kita yakin arah kiblat kita diawal solat iaitu waktu takbiratul ihram.

4.Tempat wuduk yang terhad. Bayangkan 4 tandas untuk di kongsi 400 ratus orang dalam kapal terbang. Tandas yang begitu sempit dan mungkin telah dipenuhi dengan najis, takut takut terkena najis pada pakaian kita.

5.Ada juga jemaah mengunakan botol spray untuk berwuduk, tetapi untuk muslimah ini kurang berkesan kerana ketika berwuduk ditempat duduknya akan menampakkan aurat mereka.

6.Istinjak yang tak sempurna maklumlah air yang terhad untuk kita gunakan beristinjak. Kalau istinjak kita tak sempurna maka sembahyang kita tak sah.

Jadi atas faktor faktor yang disebutkan diataslah setengah setengah ulamak mengatakan kita boleh "hormat waktu". Maksudnya kita tetap mengerjakan sholat ketika masuk waktu ditempat duduk kita dengan tidak perlu berwuduk tetapi setibanya kita ditempat yang kita tujui, kita kena qada' sembahyang kita.

Lafaz niat Solat Hormat Waktu :

"Sahaja aku Solat Hormat Waktu (2/ 3/4 rakaat) kerana Allah Taala"

Jadi adalah baik kalau kita biasakan diri sentiasa dalam wudu terutama apabila kita akan berangkat menaiki kapal terbang di Kompleks Tabung Haji. Pakailah sarung tangan untuk memudahkan kita menjaga wudu kita supaya tidak terbatal. Apabila kita sudah menaiki kapal terbang adalah sukar untuk kita ambil wudu. Seingat saya sepanjang saya menaiki kalapterbang sewaktu menunaikan Umrah dulu, saya tidak tidur walaupun perjalanan mengambil masa 8 jam lebih. Jadi kita sebenarnya boleh menjaga wudu kita.

Berkawan dengan jemaah di Masjid , saya lihat kawan-kawan saya sentiasa ada dalam keadaan wudu. Ianya tidak susah apabila kita membiasakan diri dan salah satu cara ialah sentiasa berzikir didalam hati supaya tidak sesaatpun hati kita terlepas untuk mengingatiNya. Insya Allah , dimudahkan kita menjaga wudu kita. Doa sebenarnya dapat membantu.

Solat Hormat Waktu adalah antara ujian pertama bila kita melangkah untuk menunaikan Haji. Sama-samalah kita saling mengingati dan membantu memperbaiki diri kita supaya kita semua akan mendapat keberkatan ibadah.




Mereka adalah ujian untuk kita.

Kita selalu menganggap ujian kesabaran akan bermula hanya apabila kita akan melangkah kaki ke bumi Mekah tetapi melalui pengalaman menunaikan haji sebenarnya menguji kesabaran kita , termasuklah dengan mereka yang ada di tanahair kita sendiri. Merekalah ujian pertama yang harus kita lalui. Merekalah halangan pertama kita untuk bersabar .

Semuga Tuhan cekalkan hati, semuga Tuhan tenangkan hati kalau ia adalah hampa, kecewa, marah, sesal dan sebagainya. Anggaplah ini ujian dari Allah.

Mereka juga adalah ujian untuk kita ! Supaya kita lali untuk sabar apabila bertemu dengan insan yang akan kita temui disana nanti.

Ya Allah, berilah aku kekuatan memujuk hati. Tiadalah daya kulalui ia tanpa pertolonganMu.

Harga Pakej termasuk..

1.Tiket penerbangan (cater Haji) pergi dan balik dari KL - Jeddah , Kelas Ekonomi.
2. Bilik berhawa dingin di Mekah, Madinah dan Jeddah
3.Bas berhawa dingin untuk semua perjalanan.
4.Buffet - Sarapan pagi , Makan Tengahari dan Malam serta kemudahan minuman disediakan 24jam(semasa di Mekah)
5.Program ZIarah di Makkah dan Madinah
6.Bimbingan Ibadah Haji oleh Guru Agama di setiap Hotel.
7.Urusan Tawaf dan Sai di pimpin sepenuhnya (semasa ketibaan)
8.Khemah berhawa dingin di Arafah dan di Mina Muassim
9.Khidmat Perubatan , kebajikan dan keselamatan sepanjang berada di Tanah Suci.

Doa Orang Tua untuk Anak

Dengan nama Allah yang Pengasih dan Penyayang , segala puji dan syukur hanya untuk Allah Tuhan alam semesta. Ya Allah limpahkanlah sholawat dan salam kepada Saiyidina Muhamad , pembuka pintu Rahmat Allah, sebanyak pengetahuan Allah , sholawat dan salam yang selalu tercurah sekekal kerajaan Allah dan juga kepada keluarga dan para sahabatnya.

Ya Allah , jadikanlah aku dan keturunanku orang-orang yang selalu mendirikan solat . Ya Allah kabulkanlah doaku.

Ya Allah , jadikanlah isteri (suami) dan keturunan kami sebagai buah hati kami dan jadikanlah kami pemimpin yang bertakwa.

Ya Allah , berikanlah aku ilham untuk mensyukuri nikmat yang telah Engkau kurniakan kepadaku dan kepada ibubapaku dan agar aku dapat beramal soleh yang Engkau redhai , jadikanlah keturunanku orang-orang yang soleh , sesungguhnya any bertaubat kepadaMu dan sesungguhnya aku termasuk orang-orang yang berserah.

Aku serahkan anak-anakku dibawah perlindungan kalimat Allah yang sempurna dari gangguan syaitan , mara bahaya dan dari pandangan yang penuh kedengkian.

Ya Allah , berkahilah anak-anakku , janganlah Kau celakakan mereka, kurnialah aku ketaatan mereka , jadikanlah mereka buah hati Nabi Muhamad S.A.W dan kedua orangtua mereka.

Ya Allah singkapkan kepada mereka ilmu kaum arifin, jadikanlah mereka faqih (alim) dalam agama , ajarkan mereka pengetahuan takwil , dan tuntunlah mereka ke jalan yang lurus dan benar , dan jadikanlah mereka ulama yang mengamalkan ilmunya dan masukkanlah mereka kedalam golongan hambaMu yang soleh.

Ya Allah , tumbuhkan mereka dengan sebaik-baik pertumbuhan dan jadikanlah mereka orang-orang yang memberi petunjuk dan mendapat petunjuk.

Ya Allah , berikanlah mereka taufik untuk mencintaiMU , mentaatiMu dan mencari keredhaanMu. Ajarkanlah mkepada mereka semua yang bermanafaat dan berilah mereka manafaat dari semua yang Kau ajarkan.

Ya Allah , lindungilah mereka dari segala fitnah , baik yang nyata maupun tersembunyi , dan juga segala macam kejahatan.

Ya Allah , mudahkanlah urusan mereka dan perbaikilah keadaan perbuatan dan niat mereka.

Ya Allah , berilah mereka kehidupan yang baik didunia dan akhirat.

Ya Allah , bantulah mereka agar dapat mengingatMu , mensyukuri nikmatMu dan beribadah kepadaMu dengan sebaik-baik ibadah.

Ya Allah , akhirilah semua urusan mereka dengan keberhasilan dan selamatkanlah mereka dari kehinaan dunia dan akhirat.

Ya Allah , jadikanlah pendengaran , pandangan dan kekuatan mereka menyenangi jalan PetunjukMu dan jadikanlah hawa nafsu (keinginan) mereka patuh pada ajaran yang dibawa oleh kekasihMu Muhamad S.A.W

Ya Allah , selamatkanalah mereka, berilah kesihatan dan maafkanlah mereka , panjangkan umur mereka dalam ketaatan dan keredhaan Mu dan terimalah amal mereka . Sesungguhnya Engkau Maha Kuasa atas segala dan Engkaulah yang patut mengabulkan doa.

Dan limpahkanlah selawat dan salam Saidina Muhamad S.A.W serta keluarga dan apara sahabatnya . Dan sesungguhnya segala puji dan syukur hanya untuk Allah Tuhan semesta alam.


*inilah doa yang akan sentiasa mama bacakan untuk anak-anak mama, permata hati mama, Shafiq, Faisal, Alia dan Aneesa. Seluruh hidup mama adalah untuk menjadikan kalian hamba Allah yang diredhai Illahi. Amin

Wednesday, October 21, 2009

Ubat

Pagi tadi mengunjungi Dr Saadiah di Klinik Utama. Beliau bekalkan saya ubat-ubatan , vitamin yang saya perlukan termasuklah inhaler sebanyak 2 kotak. Berbagai tips diberikan pada saya antaranya menjaga pandangan mata supaya tidak terlahir dengan kata-kata. Kalau ianya berlaku , banyaklah ber istighafar. Solat Taubat sangatlah penting untuk dilakukan berterusan untuk memudahkan segala.

Dr Saadiah juga memberitahu saya Doa Jangan Batal Wudu beliau dapat dari seorang Ustaz sewaktu beliau menunaikan Haji dan melalui pengalamannya Wudunya hanya batal setelah semua ibadahnya selesai sehingga ber tahallul.

Persiapan barang-barang sudah hampir lengkap bagi kami suami isteri. Sesekali tidak percaya , ianya sudah semakin dekat.

Ya Allah , Permudahkanlah segala....

Info

Saya sebenarnya banyak memasukkan info-info tentang solat dan berbagai-bagai didalam blog saya supaya kalau saya lupa sewaktu disana , boleh saya gunakan sebagai rujukan. Tidaklah perlu saya bawa buku banyak-banyak.

Insya Allah saya akan masukkan juga buku doa Anak dan ibu bapa yang saya dapat dari Kak Ruby tempohari yang saya rasa sangat berguna kerana ianya memberi kesimpulan yang ringkas tentang doa kita. Manalah tahu ianya dapat juga membantu jemaah yang lain. Lagipun buku doa ini hanya didapati di Singapura, itupun dibawa oleh ustaz Habib Zain bila beliau memberi kelas Fardhu Ain.



Lightbook

Bila saya fikir semula , samada mahu bawa lightbook saya atau tidak dan setelah mempertimbangkan pandangan dari anak-anak dan suami, saya rasa ada baiknya saya bawa supaya setidak-tidaknya anak-anak saya dapat maklumat dan mengikuti perkembangan sewaktu saya disana. Pastinya reda juga kerinduan anak-anak pada ibu bapa mereka.

Lagipun saya difahamkan Hotel tempat saya menginap mempunyai perkhidmatan wifi, pasti memudahkan untuk saya update . Lagipun ianya cuma mengambil masa tidak sampai 10 minit untuk menulis di blog . Malah handphone saya juga boleh digunakan untuk update , jadi dunia kini tiada sempadan jadi mengapa harus saya sempitkan. Cuma saya mesti berjanji pada diri saya supaya tidak buka email ofis saya kerana yang pasti saya tidak mahu minda saya terganggu dengan kerja-kerja dari klien yang tiada sudah.

Forget work ! Concentrate ibadah.


Proses Lapor Diri di Kompleks Haji

Lapor Diri di Kompleks Tabung Haji , Kelana Jaya (sekurang-kurangnya 2 jam awal sebelum waktu Lapor Diri) kerana proses berikut akan dilakukan :


1. Ambil Tag Nama , Tag Bagasi dan Beg Selendang
2. X ray beg beg besar
3.Ambil Passport dan Boarding Pass
4.Timbang beg-beg besar
5.Taklimat di Dewan Besar Kompleks Haji
6. Bertolak ke KLIA
7. Menaiki Pesawat

Tuesday, October 20, 2009

Sedekah

Duit riyal sudahpun ditukar oleh suami saya. Saya juga berpesan pada suami saya untuk menukarkan duit 1 riyal untuk sedekah sewaktu disana terutamanya pada fakir miskin. Tetapi kali ini saya bercadang untuk bukan sahaja bersedekah dalam bentuk duit tetapi dalam bentuk tasbih dan buku doa.

Sewaktu saya di Masjidil Haram , saya lihat ada beberapa jemaah yang mengerjakan solat bersama-sama akan mengedarkan tasbih atau lampiran surah atau doa kepada beberapa jemaah selepas habis solat. Jadi tidak semestinya kita perlu bersedekah pada orang susah sahaja tetapi pada orang tidak susah pun boleh diberikan sedekah tetapi dalam bentuk yang berlainan. Saya masih ingat seorang jemaah dari Pakistan tak silap saya, datang memeluk saya selepas habis solat dan menghulurkan lampiran doa berwarna biru kepada saya. Rasa sungguh terharu apatah lagi apabila dia beri pada saya seorang.

Jadi saya merancang untuk kali ini , turut membuat perkara yang sama. Kalau kita ada 100 buku doa yang kecil (1 muka sahaja) dan 100 tasbih kecil, kemudian kita bawa 5 setiap hari dimana setiap kali solat Fardhu, kita beri pada seorang untuk 44 hari sewaktu berada disana. Oleh itu kita boleh bersedekah yang berada didalam Masjid dalam bentuk tasbih dan buku doa manakala fakir miskin atau pekerja masjid kita beri dalam bentuk duit.

Saya masih ingat seorang fakir miskin yang mengendung anaknya datang bersalam dengan saya sewaktu habis Solat di Masjid Nabawi dan saya berikan sedikit sedekah untuk beliau . Sewaktu saya membetulkan kedudukan saya, saya lihat seutas tasbih yang halus seperti dibuat sendiri ditinggalkan ditepi kaki saya . Rupa-rupanya fakir ini juga meninggalkan sedekah tasbihnya untuk saya, itu yang mengharukan saya. Walaupun susah , fakir ini masih mahu bersedekah.

Ironinya, dibumi Mekah semua orang berlumba-lumba untuk memberi sedekah dengan berbagai cara tidak kira samada miskin atau kaya.

Solat Jenazah

Boleh dikatakan setiap solat sewaktu di Masjid Nabawi dan Masjidil Haram, Solat Janazah akan dilakukan dan apabila mereka berbahasa Arab kita tidak tahu samada Jenazah yang hendak disembahyangkan adalah perempuan, lelaki atau kanak-kanak . Oleh itu adalah lebih baik mengambil jalan selamat dengan membaca lafaz niat seperti berikut :

"Sahaja aku solat keatas mayat yang disolatkan oleh imam 4 takbir fardu kifayah mengikut imam kerana Allah Taala".

Bagi wanita , kenalah kita ingatkan kembali bagaimana cara Solat Jenazah kerana lazimnya di Malaysia , Solat Janazah dilakukan oleh orang lelaki sahaja. Memandangkan disana nanti hampir setiap kali habis solat Fardhu , akan ada Solat Jenazah, eloklah kita turut sama ikut serta untuk turut solat bersama mereka.


Monday, October 19, 2009

Solat Musafir


www.e-zakat.com.my


PENGENALAN

Dalam islam terdapat beberapa kelonggaran yang diberikan di dalam solat kepada para musafir yang keluar dengan tujuan yang baik. Ia merupakan satu keringanan yang diberikan oleh Allah sebagai rahmat kepada seluruh umat Islam.

Terdapat beberapan perkara yang perlu diberi perhatian sekiranya ingin menunaikan solat musafir tersebut. Antaranya :




AMALAN SUNAT SEBELUM MUSAFIR
Tujuan is bermusafir adalah dengan niat yang baik bukan atas tujuan maksiat, ini semoga perjalanannya itu sentiasa diberkati oleh Allah
Menunaikan 2 rakaat solat sunat musafir sebelum berangkat
Memulakan musafir pada hari khamis ataupun Isnin. Elakkan bermusafir seorang diri,sunat membawa teman
Meminta kaum keluarga supaya mendoakan kita agar selamat dalam perjalanan.
Membaca doa ketikan hendak keluar dari rumah dan juga menaiki kenderaan
Jika jarak yang hendak dituju itu melebihi dua marhalah (60 batu/ 96.6 KM) maka disunatkan kita untuk menjamak dan mengqasarkan solat.



SOLAT DALAM KENDERAAN

Seseorang yang sedang bermusafir dibolehkan menunaikan solat di tempat duduknya di dalam kenderaan. Ia dibolehkan jika didapati sukar untuk mencari tempat selat semasa dalam perjalanan ataupun kenderaan yang dinaiki itu tidak berhenti.

Demikian juga jika kita sukar untuk mendapatkan air wuduk, kita boleh menunaikan solat tapa wuduk tetapi solat tersebut hanya dikira sebagai menghormati waktu dan WAJIB di qada' kemudiannya. Jika ianya solat sonat tidak perlu mengqada'nya. Solat dalam kenderaan juga boleh dijamak atau diqasarkan setelah cukup syarat-syaratnya.



PANDUAN SOLAT DALAM KENDERAAN

Duduk dengan menegakkan badan di tempat duduk dalam kenderaan
Menghadap ke arah kiblat dengan berpandukan kompas atau kaedah yang sesuai walaupun tidak semestinya tepat. Memadai juga jika kita meyakini arah kiblat itu hanya pada awal solat sahaja ketika takbitarul ihram.
Niatkan solat yang hendak kita tunaikan itu ketika takbiratul ihram
Bacaan surah dalam solat adalah sama sepertu solat biasa


Rukuk hendaklah dilakukan dengan isyarat iaitu dengan menundukkan sedikit kepala serta badan dan kedua tangan di letakkan pada lutut.
Sujud pula dilakukan dengan menundukkan kepala dan badan terkebawah sedikit dari isyarat rukuk.
Duduk diantara dua sujud, duduk tahiyat awal dan akhir masih kekal sepeertu biasa dengan duduk di kerusi kenderaan.
Kita tidak perlu mengubah tempat duudk untuk membetulkan arah kiblat jika kenderaan yang kita naiki itu sering bertukat arah.




APAKAH SOLAT MENGHORMATI WAKTU ?


Solat menghormati waktu ialah solat yang dilakukan dalam keadaan berhadas (kerana tiada air untuk berwuduk atau tiada tanah untuk bertayammum) dan juga solat yang tidak dapat menghadap kiblat. Solat ini WAJIB di qada semula setelah beroleh air atau tanah ataupun dapat menghadap kiblat kembali. Kita juga boleh mengqada' solat solat hormat waktu ini secara jama' ataupun qasar dengan syarat kita masih berada di dalam musafir.

Apbila kita telah kembali ketempat asal maka solat hormat waktu mestilah di qada' secara sempurna. Jika ditakdirkan kita meninggal semasa musafir dan kita masih belum mendapatkan air untuk berwuduk atau tanah untuk bertayammun bagi megqada' solat maka memadai solat menghormati itu telah diterima Allah.

Sebaliknya jika kita berpeluang untuk mengqada' solat hormat waktu ini setelah adanya air atau tanah tetapi kita masih melengahkannya maka kita dikira berdosa.


Mungkin ianya boleh membantu...

Saya mendapat tips tips yang mungkin boleh membantu diri saya malah jemaah yang lain , Insa ALLAH :

DOA :

Ramai yang mengirimkan doa pada saya tetapi Doa berikut "istimewa buat saya ingat".

1. "Makbulkan doa yang saya baca sewaktu berdoa sewaktu solat".

Jadi secara tidak langsung apa yang kawan saya doakan didalam solatnya kita tolong doa sewaktu wukuf nanti. Tidaklah payah kita "itemise" setiap doa mereka kerana telah disimpulkan dalam doa sewaktu solat sahabat saya ini.

2. "Doakan untuk rakyat Malaysia supaya kita hidup aman, supaya negara kita aman makmur".

Doa ini dipesan oleh seorang Ibu yang berusia 8o tahun dan begitu sayangkan negara Malaysia sehingga berpesan pada saya supaya tidak lupa mendoakan untuk negara kita yang tercinta.

3. "Neesa nak doa supaya semua orang spastic tidak cacat lagi dan semua orang miskin tidak miskin lagi , supaya semua orang kaya raya".

Doa ini dipesan oleh anak bongsu saya yang berusia 9 tahun. Tidak sangka dalam usia begini beliau sudah prihatin tentang persekitarannya.

Saya diberi Tip-tip berikut:

1. Tiada masa hendak basuh pakaian . Walaupun dobi tetapi apabila waktu yang kritikal dimana semua hantar dobi, dobi tak sempat siap malah selalu berlaku baju tertukar. Walaupun disarankan bawa baju sedikit sahaja , adalah lebih baik bawa pakaian secukupnya , jangan bawa 2 helai seperti disarankan kerana kita tiada masa hendak basuh baju , kalau basuhpun tidak boleh kering dalam masa yang singkat apabila semua rakan sebilik basuh baju serentak.

2. Bawa siap dari Malaysia terutama disposable panties , panty liner malah sanitary pad kerana disana sukar hendak cari kedai untuk barang-barang tersebut. Bawa secukupnya .

3. Kasut perempuan susah hendak dicari di sana. Selipar senang dicari tetapi bukan kasut wanita. Jadi pastikan kasut kita selesa dipakai dan tahan , kerana kita banyak berjalan sepanjang berada disana.

4. Bawa telekung sabanyak mungkin . Kita disarankan bawa 2 helai telekung tapi melalui pengalaman jemaah yang telah pergi , ianya tidak mencukupi. Apatah lagi hampir seharian aktiviti kita ialah dengan berpakaian telekung, eloklah bawa lebih.


5. Pergi kemana-mana dengan suami.

6. Setiap hari ambil air zam-zam sendiri yang kita isi dari Masjidil Haram , jadi kita yakin air itu kita ambil dengan usaha kita sendiri dan di isi didalam botol botol mineral yang bersaiz kecil. Bila telah cukup banyak untuk sekotak misalnya , kita poskan botol-botol tersebut melalui courier. Bila kita hendak sedekahkan di Malaysia senang diberi didalam botol-botol kecil ini dan istimewanya air zam zam itu kita ambil sendiri di Masjidil Haram (usaha kita berhari-hari) .

7. Beli quran kecil yang digunakan seperti di Masjidil Haram, baca Quran tersebut sehingga khatam atau mungkin kita baca surah-surah yang kita biasa , dan kita sedekahkan dan tinggalkan di rak-rak didalam Masjid untuk dibaca oleh orang lain. Tulis nama kita , insya Allah setiap mereka yang membaca Quran di dalam Masjid akan sedekah doa pada kita kembali apabila mereka membaca Quran kita tadi. Berjuta-juta orang ke Mekah dan kebarangkalian orang membaca Al Quran yang kita sedekahkan adalah tinggi. Aktiviti membaca Al Quran didalam Masjid adalah perkara biasa kita lihat sewaktu disana. Setahu saya Quran dalam Masjdil Haram dan Masjid Nabawi , tiada siapa yang tergamak curi atau ambil. Jadi bertahun-tahun lamanya ianya dibaca dan terus dibaca. Manalah tahu , sedekah yang kecil ini dapat membantu kita di akhirat sana.

8. Sedekah pada pekerja-pekerja yang menjaga Masjidil Haram dan Masjid Nabawi. Selalunya kita akan bersedekah dengan orang-orang yang kita lihat susah seperti fakir miskin, orang cacat , perempuan Badwi dan sebagainya. Jangan terlepas pandang untuk turut bersedekah dengan pekerja-pekerja yang menjaga Masjid. Tanpa mereka kita tidak dapat solat dengan sempurna didalam Masjid.

9. Solat Duha 8 rakaat. Cuba komited untuk lakukan ia sebelum kita pergi untuk pergi membuat Umrah terutama apabila kita hendak buat Umrah dari awal pagi , sebelum ke Tanaim , pergi ke Masjidil haram dulu untuk Solat Duha 8 rakaat.





Kisah seorang Insan

Perjalanan Haji sebenarnya menemukan kita dengan berbagai-bagai insan yang diberikan Tuhan untuk kita berfikir selain menginsafi diri kita. Orang yang kita kenali baru sehari sanggup datang ke Majlis Kenduri untuk turut sama mendoakan kita tetapi insan yang kita kenal bertahun-tahun belum tentu mempunyai keikhlasan yang sama. Begitulah lumrah kehidupan yang secara tidak langsung mengenalkan kita tentang "terkilan". Terkilan yang sangat sukar diterjemahkan dengan kata-kata.

Tidak lah mampu menahan sebak melihat wajah "seorang insan" yang kukenal menahan sedih , sayu , kecewa , kesal , hampa dan katanya perasaan yang berbaur selain tidak faham "mengapa mereka begitu?" . Aku hanya mampu memujuk , "biarlah ". Pesan emak selalu menjadi pegangan !

Perasaan terkilan bukanlah baru dalam hidup setiap insan. Setiap insan pasti akan merasai dan melaluinya tetapi percayalah selagi kita mampu untuk terus memberi dan tidak berhenti untuk terus memberi , kita akan rasakan Tuhan berkati rezeki kita tidak berhenti-henti. Cuma setakat mana dan sejauh mana kita boleh bersabar . Tidak ada formula yang terbaik selain "teruslah bersabar". Dalam sakit Tuhan beri kemanisan "berkatnya kehidupan".

Ya Allah , berikanlah aku insan-insan yang ikhlas mengisi setiap ruang hidupku. Supaya dengan mereka keihklasan hatiku tidak berhenti. Aku bermohon pada MU , Hindarkanlah aku dari insan-insan yang memudaratkan keikhlasanku.




Hujan

Hati mana tidak risau apabila setiap hari tanpa "miss" , pasti hujan lebat dan ribut diawal pagi mahupun dipetang hari. Kenduri yang semakin dekat pasti merisaukan kerana dalam keadaan hujan pasti akan menjejas keselesaan tetamu yang saya jemput di Majlis tersebut. Pulang dari Kelas Habib Zain , hujan sangatlah lebat. Sesekali hampa kerana sebentar lagi orang yang memasang Kemah dan kerusi meja akan sampai. Bagaimanalah nanti! Hanya itu yang bermain diminda. Didalam hati aku merintih pada Illahi, bantulah aku, hambamu. Kalau ada emak , pasti aku sampaikan resah padanya tetapi kini aku harus melalui keadaan ini tanpa ibu bapa disisi , terasa kosong dihati. Melepaskan diri pada sesuatu yang kita tidak terdaya namun tidak pernah berputus harap, "Hanya PadaMu aku mengadu , bantulah aku !".

Ajaibnya , sewaktu Kemah siap dipasang, kelihatan mendung tetapi perlahan-lahan ianya pergi tanpa setitik air hujan membasahi Kemah. Alhamdulillah, sehingga habis kenduri , hujan dan ribut tidak kelihatan . Memandang ke langit , seperti tidak percaya , Tuhan dengar bisik hatiku, insan yang daif ini.

Ya Allah , Terimakasih tidak terhingga kerana AnugerahMU.


Kelas Habib Zain

Pagi Jumaat lepas saya tergerak untuk pergi juga ke Masjid kerana ingin mengikuti kelas Fardhu Ain mengenai Solat yang diberikan oleh Habib Zain. Suami saya memujuk saya supaya berehat kerana berbagai perkara hendak diuruskan menjelang Kenduri yang akan diadakan keesokan harinya kerana takut saya keletihan. Tapi entah mengapa saya rasa saya mahu pergi jua ke Kelas Habib Zain. Pertama kali melihat wajah Habib Zain, jelas terpancar "nur" diwajahnya yang sangat bersih.

Alhamdullilah , topik yang kami belajar berkaitan dengan solat yang sangat bermanfaat untuk saya ketahui . Baru saya tahu , kalau kita buat Solat Qada tidak payah kita membaca surah-surah malah doa iftitah pun tidak payah selain yang wajibnya sahaja iaitu membaca Surah Al Fatihah. malah saya juga diajar tentang Solat Hormat Waktu.

Duduk disebelah Kak Ruby , lebih mengharukan apabila baru berkenalan tetapi tidak lokek memberikan saya petua-petua yang sangat bermanafaat untuk digunakan. Malah turut memberikan saya doa dan buku doa selain tip untuk kesana. Saya sungguh bersyukur bertemu dengan insan sebaik Kak Ruby. Semakin hari saya hendak kesana, semakin ramai insan-insan yang baru saya kenal menaungi saya dengan nasihat dan kasih sayang yang sungguh mengharukan.

Ianya secara tidak langsung mengingatkan saya tentang Umrah-umrah saya sebelum ini yang dikelilingi dengan mereka mereka yang ikhlas menyayangi saya walaupun saya baru mengenali mereka. Kini ianya berulang sewaktu saya belumpun melangkah ke bumi Mekah, kasih sayang sudah dapat saya rasai bagaimana ianya menjadi mudah dan tidaklah dapat menahan airmata yang sering bergenang dimata apabila Kasih Tuhan semakin terasa.

Tidaklah sia-sia saya pergi ke Kelas hari ini kerana rupa-rupanya ada sesuatu yang sangat berharga hendak diberikan pada saya pada saat-saat akhir.

Ya Allah, bagaimanakah dapat kusampaikan rasa terharunya hati ini...



Ujian Haji !



Saya banyak membaca dan mendengar nasihat tentang ujian sebenar Haji itu lebih hebat apabila kita selesaikan ibadah Haji dan ramai yang gagal atau terlepas pandang dengan ujian-ujian kecil dan ujian ujian besar yang tidak kita sedari. Kita bersiap sedia untuk menunaikan Haji dengan sebaik mungkin tetapi kita juga perlu bersiap sedia mempertingkatkan diri tentang penyucian diri melalui ibadah Haji dan menerapkan cara hidup yang positif , berdisiplin , amanah dan produktif selepas pulang menunaikan Haji.

Bapa Mertua saya bercerita sewaktu beliau menunaikan Haji menaiki kapal pada tahun 1969 selama 2 minggu belayar, sebilah jarum yang jatuh dilantai kapal pun boleh dicari atau dalam kata lain kalau jarum itu jatuh akan ada jemaah lain , yang kalau terjumpa jarum itu akan pulangkan kepada kita. Tetapi sebaik sahaja pulang setelah selesai menunaikan ibadah Haji , didalam kapal dalam perjalanan pulang ke Malaysia, tingkah laku dan displin jemaah jauh berbeza dengan waktu sebelum menunaikan Haji. Begitulah payahnya , kita hanya "menjadi baik" apabila hendak menghadapi peperiksaan dengan ujian Haji, tetapi setelah selesai dan kita anggap ujian kita lulus cemerlang , kita "pulang keasalnya" apabila tingkah laku dan tabiat semulajadi menjadi sikap dan cara yang "membesarkan kita sekian lama" sehingga amat sukar kita ubah dalam tempoh 45 hari melalui ibadat Haji.

Saya menerima kisah pengalaman dari pengunjung blog saya yang kita boleh ambil iktibar dan panduan tentang permasalahan Haji selepas tamat ibadah untuk dijadikan renungan :


Bila nak pulang semula ke Malaysia, semua jemaah haji akan dibawa keluar meninggalkan Mekah menuju ke Madinatul Hujjaj di Jeddah. Since u r going with the THT, I guess u will be spending 1 night at Jeddah's hotel. Tapi sebelum tu jemaah akan dibawa ke Madinatul Hujjaj untuk urusan timbangan luggage dan checkin bagasi sebelum penerbangan pulang.

Apa yang berlaku ialah hampir kebanyakan bagasi kita akan lebih berat dari had yang ditetapkan. Caj lebihan kalau thn 2006 dulu adalah SR15 sekilo, sekarang mungkin dah naik.

Kerja2 menimbang akan dilakukan oleh pekerja2 kontrak yg dtg dari India atau Bangladesh. Mereka ini akan menawarkan jemaah untuk declare berat bagasi yang kurang dari had sekiranya kita membayar mereka duit kopi sedikit.

1. Isunya - syarikat penerbangan telah menetapkan had max bagasi dan akan mengenakan denda excess baggage.
2. Saya melihat perkara ini sebagai satu penipuan dan mungkin juga sogokan untuk mengelak penalti. Jadi apakah yang kita dapat selepas tidak sampai 24 jam keluar dari Mekah sekiranya kita gagal dalam 1 ujian kecil dari Allah ini?
3. Ramai jemaah mungkin dalam keadaan tidak sedar sedia membayar wang kopi ini untuk elak denda.
4. So, I cadangkan supaya kalau boleh hantar terlebih dahulu brg2 dgn perkhidmatan kurier utk elak caj lebihan. 1 cara lagi ialah dengan cari kwn2 untuk buat group check-in, jadi, kita boleh share the excess sebab biasanya dlm group akan ada org kurang dan ada yg lebih. Tapi semua kena setuju dari awal lagi.
5. Last sekali, kalau excess tu, sedia untuk bayar denda dengan redha sebab pada saya itulah ujian pertama dari Allah setelah menjalani proses penyucian diri selama lebih 40 hari. Jangan rosakkan ibadah yg kita buat.


Sama-samalah kita saling mengingatkan diri kita untuk bersedia dengan ujian awal begini.

Thursday, October 15, 2009

Adik beradik

Rumah saya dipenuhi dengan berbagai barang-barang untuk persiapan Kenduri Doa Selamat pada Hari Sabtu nanti. Esok adik saya sudah mula datang dan hampir kesemuanya akan sampai kerumah saya pada hari Sabtu nanti sebelum Majlis bermula. Hati terasa sangat gembira meraikan mereka yang akan hadir. Kalau dulu sewaktu di KL, kami berkumpul adik beradik hampir setiap minggu . Walaupun saya kini duduk berjauhan , mereka selalu berkunjung kerumah saya atau kami berkumpul di KL setiap kali saya kesana , aktiviti kami tetap terus menjadi tradisi walaupun tidak sekerap setiap minggu seperti dulu.

Terharu, adik saya yang masih di Vietnam berusaha pulang awal untuk pasti kan dia dapat hadir. Malah yang terpaksa ke Australia , sanggup menunda supaya dapat hadir. Begitu komited dengan setiap aktiviti bersama, itulah kami !



saat indah bersama yang tidak lekang dengan tawa !


Apatah lagi bila saat untuk pergi sudah semakin dekat, terasa sedih dan sayu. Melihat foto-foto lama diberbagai tempat dan aktiviti bersama, membuat kita tertawa kecil selain terselit memori dan kerinduan pada kisah-kisah pahit dan manis yang harus kita lalui bersama-sama. Ada suka , ada duka semuanya mewarnai hidup kita . Disaat kita diuji, kami sama-sama rapatkan saf untuk kuatkan semangat antara kami. Disaat kita meraikan kejayaan, kita tertawa dengan gelak dan tawa . Susah senang kita lalui bersama menjadikan adik beradik satu ikatan yang sangat istimewa , apatah lagi disaat kakak nya yang pertama dalam keluarga memulakan langkah untuk menunaikan ibadah haji. Terlihat wajah bangga mereka , sesekali tidak percaya kakaknya akan pergi juga menunaikan Haji. Mereka juga tidak sabar dan selalu berbisik ditelinga, "Doakanlah , agar kami dapat kesana juga!".


Hari yang semakin dekat, rasa bersemangat bila adik beradik berkumpul , memanjatkan doa , membaca Yasin bersama-sama, Solat bersama , memohon pada yang Esa , agar Tuhan beri kita kekuatan sebagaimana diberinya kuatnya ikatan sebuah kasih sayang antara kami 5 beradik.

Tuhanku, Terima kasih Anugerahkan kami saat indah bersama digelar Kak yong, Abang Chik, La, Adik dan Abang.



Tiada tempat bergantung

Anak sulong saya mula melahirkan kerisauan kalau kedua ibubapanya meninggal di Mekah. Sebagai anak yang sulong beliau kelihatan sangat risau untuk memikul tanggungjawab atau kemungkinan yang berlaku sekiranya kami ditakdirkan tiada. Disuruhnya saya mengajar dan memberitahu apa yang harus beliau lakukan . Kasihan juga melihat dia yang semakin dan sangat risau kerana hidup tidaklah mudah tanpa tempat untuk bergantung apatah lagi mereka dibesarkan dengan penuh kemewahan sejak dari kecil pastinya sukar untuk hidup susah tanpa kami.

"Doakanlah semuga mama dan abah selamat!". Hanya itu yang dapat aku ucapkan untuk meredakan kerisauannya. "Afiq doa siang malam, Afiq takut mama dan abah tak ada!", jawab anakku.

Ya Allah, selamatkan kami dari segala malapetaka. Usahlah Kau uji anak-anakku dengan ketiadaan kami dalam hidup mereka. Berilah kami peluang untuk kami membesarkan mereka , menyempurnakan tanggung jawab kami sebagai ibubapa mereka sebaik mungkin. Selamatkan pemergian kami agar dapat pulang ke pangkuan keluarga dengan selamat.


Majlis Hari Raya di Masjid

Malam tadi menerima sms dari ustazah untuk menghadiri Majlis Hari Raya bersama jemaah di Masjid Kobena. Kebetulan menerima sms tersebut sewaktu kami menghadiri open house staf suami saya. Bergegas ke kedai untuk mencari apa yang patut untuk dibawa keesokan hari kerana waktu itu sudah pukul 10 malam. Alhamdullilah ! memang rezeki saya , dapatlah saya membeli sedikit buah tangan untuk dibawa ke Majlis tersebut.

Pagi tadi seronok berjumpa kembali dengan rakan-rakan jemaah yang telah agak lama tidak saya temui , baru 3 minggu terasa lama sungguh ! Sesampainya saya di Masjid , Jamilah yang baru saya kenali kelihatan sangat gembira kerana beliau akan berpindah pada awal bulan November nanti. Bermakna cuma beberapa kali sahaja kami dapat bersama di Masjid ini menghadiri kelas kerana saya juga akan pergi menunaikan haji tidak berapa lama lagi. Harapannya sangatlah besar supaya saya dapat mendoakan anak-anaknya sewaktu saya di Mekah nanti. Bagi mereka yang tahu besarnya fadhilat doa di sana, pasti tidak melepaskan peluang. Saya menulis nama setiap anak-anaknya untuk turut dibaca sewaktu disana.

Insya Allah , walaupun persahabatan kami cuma sebentar tetapi kami ditemukan untuk beliau menumpangkan doa untuk saya bawa ke Mekah nanti. "Itulah rezeki!,kata saya pada Jamilah. Pada saya tiada apa salahnya saya membaca doa untuk anak-anaknya, mungkin itu antara sedekah yang terbaik dari seorang sahabat.



Wednesday, October 14, 2009

Raikan Cinta

"Apa perasaan you?". Soalan yang semakin kerap ditanya oleh suamiku. Aku hanya terdiam , "Blank!". Jawabku ringkas. Itulah sebenarnya yang dirasa. Gembira, gusar, resah, tenang, sedih malah berbagai rasa berbaur dihati. Sekejap rasa begitu, sekejap nanti rasa begini.

Sewaktu menyusuri jalan selepas kami pulang dari Tawaf dan Sai sewaktu Kursus Perdana tempohari, kelihatan pasangan suami isteri berjalan bersama-sama sambil berbual antara mereka. Ada yang berpimpin tangan dan ada pula yang jalan seiringan. Mereka kelihatannya saling menjaga satu sama lain takut tercicir atau tertinggal .

"Haji aje , suami isteri dapat jalan sama-sama !", itulah yang diucap oleh suami saya. Memang benar selain Umrah, Haji adalah kemuncak "honey moon" untuk setiap pasangan suami isteri kerana dalam waktu sekurang-kurangnya 30 hari, kita akan melalui aktiviti bersama , siang dan malam tanpa ada gangguan dari anak-anak bermakna inilah masa dan saatnya "waktu terindah" dalam setiap pasangan suami isteri. Dengan payah memulakan hidup bersama , membina keluarga dan anak-anak, kini kita berjalan seiringan untuk membina dan memperkuatkan jiwa kita "untuk kesana".




Haji sebenarnya kemuncak untuk kita raikan cinta antara seorang wanita yang kemudiannya digelar isteri dan dipimpin oleh seorang lelaki yang berikrar dengan sebuah lafaz nikah untuk sebuah keluarga yang bahagia.

Ya Allah. Terima kasih atas Anugerah Cinta kepada Kami untuk merasai manisnya ibadat HAJI.

Hari yang sibuk !

Hari ini bermulalah persiapan untuk Majlis Kenduri yang akan di adakan pada hari Sabtu nanti. Dari pagi staf suami saya sudah datang untuk memasang lampu diluar rumah kerana padang rumah kami agak luas dan kalau tidak dipasang lampu, ia agak gelap untuk meraikan tetamu yang akan makan diluar rumah. Tukang kebun dan pakcik-pakcik yang mencuci rumah juga sudah mula membersihkan rumah . Kami juga terpaksa mengenepikan barang-barang untuk membentang permaidaini diruang tamu rumah. Hari Jumaat pula khemah akan mula dipasang. Sibuknya seperti hendak mendapat menantu !

Pada mulanya kami hanya mahu membuat ringkas sahaja tetapi memandangkan kami meraikan keluarga dikedua-dua belah pihak selain kawan-kawan ianya jadi tidak selesa. "Biarlah kita buat untuk selesakan semua orang", kataku. Saya selalu percaya memberi makan untuk tetamu dengan ikhlas dan makanan terbaik pasti akan mendapat pulang keberkatan rezeki. Sebab itu apabila meraikan tetamu saya tidak suka bersikap sambil lewa atau alakadar. Saat bersama dengan keluarga dan sahabat handai bukanlah selalu dapat diabadikan dalam hidup kita apatah lagi kami mengharap "saat berkumpul" begini akan mengeratkan silaturrahim yang telah sedia ada.

Terkadang hati terdetik, kalau ini kenduri terakhir dapat saya beri pada mereka yang ada sepanjang saya ada di dunia ini, saya mahu beri yang terbaik. Biarlah sehingga saat akhirpun saya boleh meneruskan tradisi bersedekah yang telah diajar oleh kedua orang tua saya sejak dari kecil...

Ya Allah. Berkatilah Majlis ini.





Tuesday, October 13, 2009

7 anggota sujud


Soalan :

Adakah hidung juga wajib bersentuh dgn bumi?

b. bagaimana kalau ketika sujud, tgn atau tapak ibu jari kaki kita bergerak2 kecil (tapi masih bersentuh dgn bumi). Adakah sah solat kita?

Jawapan:

بسم الله
والحمد لله والصلاة والسلام على رسول الله وعلى آله وصحبه ومن والاه أما بعد

a) Dalam hadis yang masyhur tentang anggota sujud yang diriwayatkan oleh Bukhari (no: 779) dan Muslim (no: 490) Nabi SAW menyebut anggota sujud ialah tujuh anggota, antaranya DAHI, tanpa menyebut hidung. Tetapi ketika menyebut dahi, baginda menunjukkan ke arah hidung.

Maka dari sini timbul perselisihan adakah meletakkan hidung wajib ataupun sunat sahaja.

Namun, pendapat yang mengatakan wajib dikuatkan dengan riwayat Muslim, Nabi SAW menaskan dengan kata-kata “Aku diperintahkan sujud di atas tujuh (anggota); dahi, hidung, dua tangan, dua lutut dan dua kaki”.

Walaupun begitu, hidung tidak dianggap satu anggota. Cuma dikira sebagai ikutan kepada dahi.

Ulama yang berpendapat sunat pula mentakwilkan suruhan sujud di atas hidung sebagai suruhan sunat.

b) pergerakan kecil di dalam solat tidak menjejaskan sahnya solat. Begitu juga ketika sujud, selagi anggota-anggota sujud masih tetap di atas tanah.

Ustaz Mahathir

"Abang dah jumpa Ustaz Mahathir!", kata suami sebaik sahaja pulang dari tempat kerja. Lega rasanya , akhirnya dapat juga Ustaz yang saya mahu . "Boleh tak dia bagi tazkirah topik yang mama mahu tu?", balasku tidak sabar-sabar. "Ustaz kata susah topik tu, tapi dia boleh !", jawab suamiku. Alhamdullilah !

Rupa-rupanya ada 2 orang ustaz yang namanya sama. Ustaz Mahathir yang imamkan kami sewaktu Solat Terawih di Masjid Sultan Abu Bakar bukan Ustaz Mahathir yang kami akan jemput untuk Majlis kami. Kebetulan nama mereka sama. Tapi seperti kata ustazah saya , Ustaz Mahathir yang beliau jumpa sewaktu majlis di Istana memang sedap bacaannya. Entahlah yang mana satu , tapi saya mahu Ustaz yang sedap bacaannya. Yang penting juga , ustaz dapat sampaikan topik yang saya mahu didengar sewaktu Tazkirah.

"Mina , tempat yang paling hebat ujiannya!", pesan Ustaz Mahathir sewaktu berbual dengannya. "Terutamanya masalah tandas, najis merata-rata , begitu juga di sekitar Kaabah. Orang-orang tua yang uzur, selalunya tidak sempat untuk ke tandas ," ujar Ustaz lagi. "Mama, tak pernah dengar kisah tu !", kataku pada suamiku. Inilah pertama kali aku mendengar kisah begini. Rasa takut juga untuk melalui suasana itu.

Ya Allah , Permudahkanlah kami menguruskan diri kami sepanjang berada disana.


Monday, October 12, 2009

Kursus Perdana Haji - Day 2

Sewaktu menyusuri masuk dipagi hening ke kawasan Masjid, terasa sangat tenang. Beginilah situasinya setiap hari ketika berada di Mekah dan Madinah, kita sudah berjalan ke Masjid didalam gelap untuk menunaikan Solat Suboh. Inilah antara saat yang paling saya sukai didalam hidup saya. Sebelum Suboh.

Kelihatannya ramai jemaah yang lain turut sama sampai diwaktu kami mula berjalan ke Masjid. Semuanya dengan bertelekung bersama pasangan masing masing menuju ke arah yang sama. Sejuk dan dingin serta kesenyapan suasana menimbulkan suatu perasaan yang sangat sayu. Rasanya tidak sabar untuk kesana melalui rutin yang sangat jarang dapat kita lakukan di Malaysia.

Di Masjid, kelihatan ramai yang sudah bersedia untuk menanti Azan . Ada yang berbaring sementara menantikan Azan. Ada yang mengaji dan ada yang duduk berbual . Saya menuju kearah tempat yang saya duduki selalu dan kelihatan kakak dan makcik-makcik sudah siap sedia untuk solat. Seronok juga bersama mereka apatah lagi tidur beramai-ramai.

Setelah sarapan pagi kami pun ke Parking Bas untuk mengutip batu dan melakukan lontaran di Jamrah Sughra, Wusta dan Qubra. Setelah itu kami menuju ke tempat Tawaf dan melakukan Sai. Cuaca pagi yang mula panas memang terasa apabila kali ini pihak Tabung Haji melepaskan kesemua jemaah bergerak serentak menyebabkan bilang yang ramai melakukan tawaf Haji. Mula dapat merasakan suasana disana pasti akan lebih menguji kekuatan fizikal. Kalau malam tadi melengkapkan pusingan tawaf agak cepat kerana tidak ramai, tetapi apabila bilangan jemaah makin ramai, kita terpaksa berjalan perlahan-lahan supaya tidak melanggar orang lain. Disitulah ujian menguji kesabaran kita . Selain fizikal yang diuji, kita mesti ingat apa yang hendak dibuat dan dibaca supaya tawaf dan sai kita sempurna.

Akhirnya bila selesai, ianya memang memenatkan. Terasa kaki tidak terdaya hendak melangkah. Tambah kasihan melihat warga tua yang terbongkok-bongkok berjalan dengan perlahan sekali dipapah dan dipimpin oleh anak mereka. "Kita yang sihat pun terasa hebatnya pukulan akibat letih , inikan pula melihat keadaan mereka yang uzur". Syukur kepada Tuhan, kerana memberi peluang untuk mengerjakan Haji diusia yang masih terdaya.


Sesampai di dalam masjid , hampir sebahagian terbaring kepenatan. Tudung bagai boleh diperah. Wajah-wajah keletihan jelas disetiap wajah. Namun berpuas hati , kami selesai menjalani semua aktiviti yang dirancang mengikut jadual yang ditetapkan. Kami masih boleh bergurau dan tertawa melihat keadaan kami yang keletihan...

Pulang dirumah , saya mula terasa sakit seluruh badan . Sehingga saat ini badan sudah mula terasa hendak demam. Ianya ingatkan kita Haji itu sebenarnya ujian fizikal yang sangat hebat.

Ya Allah , permudahkanlah keupayaanku....


Kursus Haji Perdana - "Seorang"

Apabila berada di Mekah, terutamanya apabila kita solat di Masjid, selalunya saya akan solat sendirian tanpa ada kawan-kawan dan "pandai-pandailah membawa diri". Selalunya saya dengan dunia saya , antara aku dan DIA, menjadikan situasi "seorang" sudah sinonim di Masjid. Ianya sangat sayu apabila disekeliling kita tiada siapa yang kita kenali dan carilah kita ditempat yang kita rasa selesa untuk duduk, menantikan waktu solat masuk. Kalau ada rezeki dapatlah duduk di sebelah jemaah dari Malaysia dan kalau tidak duduklah kita dikalangan bangsa Arab. Perbezaan bahasa membuatkan kita hanya mampu tersenyum setiap kali bertentang mata dengan jemaah disebelah kita.

Begitulah juga yang saya rasakan sewaktu Kursus tempohari. Selalunya kalau di restoran , suami sayalah yang menguruskan nak order makanan apa terutama kalau kena ke kaunter. Saya hanya akan menanti di meja . Saya ditatang bagai minyak yang penuh sepanjang hidup saya dengan suami saya. Tetapi bila berada didalam situasi begini , saya harus turun beratur dan mencari tempat sendiri untuk makan dimana. "Seorang diri" begini mengingatkan kita dan menginsafkan kita bila kita memulakan langkah ke alam kubur, dunia yang baru seterusnya ke alam akhirat, semuanya berbekalkan diri kita yang seorang. Kita dan amalan kita. Itulah teman. Sebab itu bila berada dalam situasi "seorang" dikelilingi dengan keadaan yang baru dan orang-orang yang baru kita kenali , mengingatkan aku tentang kesayuan "kita akhirnya membawa diri seorang diri".....

Kursus Perdana Haji - Day 1 (kerenah jemaah)

Apabila kita berkumpul beramai-ramai , kita akan bertemu dengan berbagai cerita, berbagai background, berbagai kerenah. Majoriti jemaah yang saya temui tidak mendapat tarikh pergi , samada melalui muasasah mahupun pakej. Lebih mengejutkan saya ada yang baru saya sahaja mendapat tawaran untuk pergi sebelum bulan puasa dan tidak pernah menghadiri kursus lagi. Mendengar berbagai cerita dan kisah , kadang-kadang membuat kita takut. Ada juga mengajukan pertanyaan yang membuat kita confuse. Saya membuat jalan selamat, dengan menasihatkan mereka supaya tanya ustazah atau ikut mutawif yang bimbing kita nanti. Sememangnya tidak mudah untuk beri penerangan kerana diri kita sendiri pun masih terus mengumpul maklumat untuk mencari bab yang mungkin kita terlepas pandang. Belajar Haji tidak hanya membaca buku , pengalaman saya , apa yang kita baca tidak banyak membantu apabila benar-benar berada disana.

Selain Kursus , latihan praktikal sangat penting, apa yang diceritakan hanya kita akan benar-benar faham apabila kita melaluinya dan di bimbing. Sebab itu saya sangat bersyukur diberi peluang dan masa untuk menghadiri Kursus Haji. Makcik Siti telah mengikuti Kursus Haji sejak 5 tahun dulu , baru kini dipanggil untuk mengerjakan Haji. Proses belajar tidak berhenti , bila kita tahu yang ini, kita lihat ada juga ruang yang kita terlepas pandang.



Kursus Perdana Haji - Day 1 (makan)

Kami diberi minum petang dan makan malam. Tempat makan ditempatkan ditingkat bawah sekali. Dengan bilangan yang ramai, pergerakan adalah agak lambat. Suasana inilah yang akan kita rasai. Tetapi seronoknya dalam beratur beramai-ramai kami sempat berkenalan antara satu sama lain. Semuanya kelihatan sangat baik dan saling bertolak ansur antara satu sama lain. Inilah hasil ceramah demi ceramah yang diberi oleh olih pihakTabung Haji sejak berbulan lalu , menghasilkan jemaah yang sangat berdisiplin. Semuanya kelihatan bekerjasama antara satu sama lain dan semangat "kita bersaudara" jelas kelihatan. Tidak ada rasa perbezaan antara kita selain semuanya mempunyai tujuan yang sama .

Malah pihak Arab Saudi pun buat statement "contohi jemaah Malaysia". Kita adalah jemaah contoh kerana latihan , pendedahan , kursus, penyediaan minda , pengurusan yang diberi telah menghasilkan warganegara yang dicontohi .

Berbalik kepada aktiviti kami beratur untuk mengambil makanan , ianya habis dan kami harus datang lagi selepas solat magrib. Yang seronoknya hati tidak merungut walau beratur lama, walaupun hampa bila makanan sudah habis , kena berulang alik naik dari tingkat bawah ke tingkat 3. Terasa diri terasa sangat ringan, tidak ada rasa marah, tidak ada rasa menyusahkan. Hati saya tenang sekali, walaupun lapar tetapi masih boleh menunggu. Bila saya dapat pek makanan saya, walaupun cuma lauk ikan kembong, kari daging dan sayur tetapi saya makan dengan berselera. "Sedap pulak!", bisik hati saya . Begitulah juga yang dirasa oleh suami saya yang cuma dapat ikan kembong dan sayur !. Alhamdullilah Tuhan beri kami selera dan nikmat rezeki ! Semuga ianya berterusan sewaktu disana malah sampai bila-bila.

Kursus Perdana Haji - Day 1

Kami menghadiri Kursus Perdana Haji selepas solat Zuhor. Kelihatannya ramai yang hadir malah beberapa bas sudah mula memasuki kawasan Masjid. Pertama kalinya memasuki Masjid ini, ianya memang besar dan tak silap saya menpunyai 4 atau 5 tingkat. Kami cuma mengambil buku doa sebagai tanda kami sudah mendaftar dan terus masuk kedalam Masjid. Terdapat 3 maktab iaitu maktab 71 , 72 dan 73 di bahagikan mengikut daerah. Jumlah yang hadir ialah 2,415 orang dan Maktab 71 adalah dari daerah Johor Bahru, Skudai dan Kulai merangkumi 960 orang peserta. Memandangkan saya uzur syarie , maka saya ditempatkan ditingkat 3 Masjid dan duduk diluar pintu Masjid yang tidak ada carpet .

Aturcara sememangnya "punctual' dimana kami diberi taklimat ringkas untuk ingatkan kembali perjalanan Haji kami dari mula kami bergerak dirumah sehinggalah sampai ke Mekah. Di ibaratkan kami berada di Mekah dan melakukan Umrah terlebih dahulu ,maka selepas Asar kami bergerak ke Padang Kawad untuk melakukan Tawaf Umrah dan Sai Umrah. Kami bergerak mengikut Maktab dan dibawa oleh seorang Ustaz . Seronok berjalan beramai-ramai menyusuri jalan sehingga ke Padang Kawad. Kelihatan replika Kaabah sudah berada di tengah-tengah Padang Kawad.

Mujurlah hujan pada paginya dan cuaca agak mendung dan tidaklah berapa panas sewaktu kami memulakan Tawaf. Latihan ini amat berguna kerana dapat "fresh up" ingatan saya yang telah lama menunaikan Umrah, bila buat semula , rasa yakin kembali apabila melalui pengalaman sebenar disana. Berpeluh juga untuk menghabiskan pusingan sebelum kami membuat pula Sai.

Kami kemudiannya pulang ke Masjid beramai-ramai. Suasana itu sememangnya membangkitkan nostalgia sewaktu berada disana. Beginilah keadaan kita , dengan bilangan yang tidak ramai pun kita rasa bersesak-sesak juga untuk berjalan , apatah lagi sewaktu disana di musim Haji.

Pada Malamnya selepas Isyak kami diberi ceramah sehinggalah pada pukul 11 Malam (diibaratkan kami wukuf di padang Arafah dan mabit di Mudzalifah )kami bergerak di kawasan Parking Bas untuk mengutip batu dan melontar di Jamrah Qubra . Jamrah Qubra ini adalah Jamrah yang terjauh sekali iaitu 3 km dari kem penginapan kami di sana nanti. Selepas melontar dan mempraktikkan cara lontaran yang betul kami pun Tahalul Awal dengan menggunting rambut. Bermakna selesailah aktiviti kami untuk malam inidan bolehlah pihak lelaki membuka pakaian Ihram mereka dan terlepaslah 10 larangan.

Kamipun pulang ke Masjid dan saya pun menurut saja kehendak suami saya untuk pulang pada malam itu. Sebilangan besar yang tinggal di JB pulang malam itu . Ada juga isteri-isteri yang tidak mahu pulang walau diminta suami mereka , tetapi pada saya biarlah dari sekarang kita sudah ingat untuk"tidak berbalah" dengan suami dan ikut sahaja apa yang disuruh supaya ianya sudah biasa apabila kita berada di Mekah nanti. Lagipun , ketiadaan kami setidak-tidaknya memberi ruang yang selesa untuk jemaah yang datang dari daerah yang jauh untuk bermalam dimasjid. Ini kerana setiap ruang masjid penuh sewaktu solat , jadi bayangkan sewaktu tidur nanti tentu tidak cukup ruang.

Kami sampai dirumah pukul 12.30 malam dan seperti dijangkakan apabila diberitahu oleh seorang jemaah yang juga mengikuti TH Travel, beliau dapat surat sebelum datang ke Kursus Perdana, kami berharap surat itu sampai pada kami juga. Alhamdullilah ! benar surat itu kami terima juga akhirnya. Maklumat yang diberi adalah sama seperti diberitahu sewaktu menelefon mereka tempohari.

Tanpa berlengah kami tidur kerana pukul 4.30 pagi kena bangun untuk pergi ke Masjid kembali. Ianya sememangnya memenatkan tapi mujurlah kaki saya tidak sakit. Cuma letih yang amat sangat. Beginilah pengalaman penting yang perlu kita biasakan....



Kitab Bughyatul Mustarsyidin :

"Telah berkata Al Khauwas daripada tanda-tanda yang menunjukkan diterima Haji seseorang hamba dan bahawa dia sesungguhnya telah dikurniakan dengan keredhaan Allah ,iaitu bahawasanya sesudah ia kembali daripada mengerjakan haji , dia berakklah dengan akhlak Rasullulah (akhlak Muhamaddiyah) hampir dia tiada memandang dirinya lebih tinggi daripada seseorangpun daripada hamba-hamba Allah dan tiada pula berebut-rebut untuk mendapatkan sesuatu daripada perkara dunia sehingga meninggal dunia.

Dan tanda yang menunjukkan hajinya tiada diterima bahawa dia kembali semula kepada keadaannya sebelum mengerjakan Haji.