Catatan Perjalananku Menuju Haji...

Umrah Pertama - September 1997 (32 tahun)
Umrah Kedua - September 1999 (34 tahun)
Haji Pertama (Haji Fardhu) - November 2009 (44 tahun)

Umrah Ketiga - May 2010 bersama suami dan mertuaku (45 tahun)
Umrah Keempat - Mac 2012 bersama anak-anak Umrah Ziarah Jordan (47 tahun)
Umrah Kelima - Mac 2015 bersama suami (50 tahun)
Umrah Keenam - in sya Allah Feb 2018 bersama suami (53 tahun)


Inilah perjalananku.....mencari , menghayati dan melalui saat indah mengenal Cinta Ya Rabbi !

.

Followers

Ads


INILAH PERJALANAN SEBENAR KISAH SEORANG HAMBA ALLAH, MENGUTIP PENGALAMAN DEMI PENGALAMAN SEPANJANG 44 HARI MENUNAIKAN IBADAH HAJI DAN AKHIRNYA MENJADIKAN , APA YANG KITA LIHAT SEPERTI SEMALAM TIDAK LAGI SETELAH MENUNAIKAN HAJI... PENGALAMAN "ITU" TELAH MEMBEZAKAN KITA YANG SEMALAM DENGAN KITA YANG HARI INI....

semuga ianya memberi iktibar dan panduan bagi mereka yang memerlukan...

Wednesday, December 30, 2009

Perjalanan ke Kompleks Tabung Haji...

Sewaktu perjalanan kami ke Kelana Jaya, debar dihati saya tidak berhenti. Rasa sesak didada. Berbagai persoalan menerjah diminda, takut ada halangan untuk sampai ke Kelana Jaya antara kereta tiba tiba rosak, banjir tiba-tiba apatah lagi sewaktu kami keluar dari rumah awan mendung tapi tidak kelihatan hujan lagi. Hati saya risau kalau hujan didalam perjalanan kami ke sana dan KL boleh banjir kilat tiba tiba. Apatah lagi kemalangan yang kecil juga boleh mengakibatkan jam yang teruk. Segalanya adalah mungkin. Lebih merisaukan saya kalau-kalau ada barang tertinggal seperti passport, buku kesihatan , gelang haji dan sebagainya. Mungkin kerana itulah debar dihati saya tidak berhenti. "Janganlah sampai kena patah balik kerumah , ambil barang yang tertinggal ", bisik hati saya.

Sesekali tangan saya menyeluk beg tangan saya mempastikan barang-barang penting tidak tertinggal. Walaupun saya mempunyai seorang suami yang sangat sistematik tetapi saya kena mula belajar tidak terlalu bergantung padanya kerana saya harus berdikari, ujian haji adalah ujian individu dan saya kena mula membiasakan diri menguruskan keperluan saya tanpa bantuan sesiapa. Segalanya adalah mungkin , itulah yang selalu saya ingat ! Saya kena berhati-hati dan tidak lagi boleh memanjakan diri seperti selalu. Selalunya suami sayalah yang menjaga saya setiap masa kini bila pergi haji saya kena belajar jaga diri sendiri ! No more manja manja. Kena serius , kadang kadang tertawa saya dengan perubahan diri kerana serius itu bukan saya tetapi kalau saya hendak Haji saya berjaya , saya kena berubah. Haji ini sebenar nya motivasi yang sangat bagus . Suami saya pun kadang kadang kagum bagaimana saya boleh "transform" menjadi "independant". Untuk Kekasih yang satu , saya rela buat apa sahaja...



ini bukanlah suasana sebenar sewaktu kami sampai kerana waktu itu sudah tidak teringat untuk ambil gambar.

Adik saya pula mengambil jalan yang agak jauh kerana katanya sewaktu beliau menuju kerumah saya , jam teruk jadi beliau cadangkan kami ambil jalan lain. Saya pula tidak berapa mahir jalan jalan di KL mengikut sahaja sambil tidak berhenti berdoa , semuga tiadalah halangan untuk sampai di Kelana Jaya. Adik saya pula tanpa pengetahuan saya melencong ke jalan kawasan perumahan dimana beliau baru membelinya dan masih belum tunjukkan pada saya. "Aduh, kak yong nak pergi haji pun sempat nak tunjuk rumah adik!", membuat adik saya tertawa kerana sememangnya adik adik saya pasti akan beritahu tahu terlebih dahulu tentang apa apa yang mereka lakukan samada naik pangkat , beli kereta apatah lagi beli rumah. Bertambah sesaklah nafas saya , walaupun seronok melihat rumah baru adik saya .

Jalan ke Kompleks Tabung Haji ,Kelana Jaya , sudah banyak berubah. Agak melilau juga kami mencari jalan dan mujur kami terselamat dari kesesakan jalan raya walaupun tercari cari jalan mana yang betul. Kelihatan ramai orang dan bas sudah berderet di luar Kompleks. Mungkin kumpulan jemaah yang bergerak bertolak lebih awal dari kami sudah mula menaiki bas mereka. Rasa seronok dan barulah lega debaran dihati saya kerana sampai juga. Kerisauan tentang traffic jam , banjir , sesat jalan kini berakhir. Kami dibenarkan masuk ke kawasan kompleks untuk menurunkan jemaah. Terasa layanan istimewa sudah mula diberi kerana tumpuan kepada jemaah begitu terasa. Saya pula seperti tidak percaya, akhirnya sampai juga saya ke Kompleks Tabung Haji sekitar pukul 6.30 petang seperti kami jangkakan !

Hujan renyai menyambut kehadiran saya ! Hati saya riang ...sangat riang untuk menemui Khaliq nya.

Tuesday, December 29, 2009

Pusara Ibu , sebelum pergi....

Pagi Sabtu yang hening sebelum berangkat malam nanti, kami menyusuri pusara ibu saya . Kelihatannya ada jenazah hendak dikebumikan dan ramai orang yang berada dipersekitarannya untuk menggali kubur.




6 tahun pemergian ibu saya menyebabkan barisan kubur ibu saya makin jauh ke tengah diantara kubur kubur yang lain. Kami mulakan membaca yasin bersama anak anak kami. Hati terasa sangat sepi dan kosong melihat pusara ibu . Angin sejuk yang sangat berlainan dari biasa singgah dimuka. Hati terdetik inikah petanda Emak datang mencium dahi anakmu yang akan berpergian. Bergelodak hatiku riang. Dingin angin yang menyapa dimuka sangat berlainan kali ini, malah inilah pertama kali aku rasa, sejak sekian lama mengunjungi pusara ibuku.

"Opah cium dahi mama!", kataku pada anak anakku. Mereka melihatku terpinga-pinga . Sambil memegang dahiku , masih aku merasai sejuk dan dinginnya. Ianya seperti memberi aku kekuatan , emak tahu anakmu akan kesana. "Tunggu anakmu, kita jumpa disana!', bisik hati kecilku sambil melihat perkuburan ibuku hilang dari pandangan , didalam kereta yang dipandu oleh anakku ...perjalanan tidak berhenti disini.


Monday, December 28, 2009

Solat Musafir



Akhirnya , hari yang dinanti-nanti 31 Oktober 2009, Sabtu telah tiba.

Malam tadi lewat 2 pagi baru kami bersurai berkumpul adik beradik dirumah kami di KL. Saat kami untuk bersama-sama sebelum hampir 2 bulan acara ini tidak dapat kami lakukan. Agak penat juga kerana sejak dari pagi melayan tetamu yang hadir termasuk ibubapa mertua. Lebih memeranjatkan apabila bapa mertua saya terpaksa menjalani pembedahan mata membuatkan kami bergegas ke hospital. Agak lega kerana pembedahan ditunda apabila kami sampai tengaharinya. Suatu aktiviti yang agak memenatkan kerana masih melakukan ziarah di hospital disaat esoknya kami sudah akan bertolak. Mungkinkah ini ujian dari Illahi. Tuhan sahaja yang tahu kekuatan minda yang harus dikumpulkan oleh kami berdua tidak mahu fokus kami tersasar dengan apa yang akan mengiringi kami . Aku tahu selagi aku tidak berpijak di bumi mekah, segalanya mungkin untuk menggagalkan usaha . Oleh itu , tidak luput doa bergema dihati disetiap nafas ,'Tuhanku permudahkanlah ia !".

Hatiku menangis disaat esok hendak pergi , bapa mertuaku harus dimasukkan ke Hospital ! Padahal perkiraanku merekalah iaitu ibu dan bapa mertuaku yang akan mengiringi anaknya, iaitu suamiku untuk kesana. Sebagaimana aku perlukan emak dan abah , aku percaya , itulah juga yang diperlukan oleh suamiku . Tetapi kuasa Tuhan tidak mengizinkan bapa mertuaku malah mungkin juga ibu mertuaku tidak dapat berada disaat akhir kami akan pergi.

Hati mana tidak diulik sedih ! Bisikku pada suamiku, "Emak tak ada kerana sudah meninggal, abah tiada kerana sudah pergi jauh , tapi abang ada emak dan bapak, malangnya mereka juga tidak dapat bersama!", sambil menangis dibahu suamiku. Apakah ini dugaan yang harus kami lalui, kisah malang yang tiada noktah. "Abang lagi sedih", bisik suamiku . Lelaki yang kukenal ini membuang sejuta kecewa dan tidak mahu aku hilang bersama kecewa hatinya. "Biarlah", pujuk suami .

Awal pagi Sabtu kami dikunjungi , sepupu suamiku dan sepupuku selain jiran kami. Seronok mendengar pesan dan harapan mereka , kami berbual hingga tengahari. Terpaksa meleraikan pertemuan kerana hakikatnya kami sangat perlukan rehat . Minda yang penat , fizikal yang letih. Namun pesan dari jiran saya sangat menyengat di minda. Percaya pada Tuhan akan memudah dan menjaga kita . "PERCAYA DAN YAKIN". Jangan terdetik sedikit ragu !

Saya berpesan pada adik-adik saya supaya menunggu di Kelana Jaya dan tidak perlu hadir pagi itu . Cuma adik lelaki saya , Johari , saya panggil untuk turut berada bersama - sama saya saat kami akan melangkah keluar dari rumah selepas Solat Asar . Kami telah memilih Doa Pergi Haji untuk dibaca oleh adik saya. Sambil pastikan semua barang-barang tidak tertinggal . Hati saya semakin bergetar disaat Solat Musafir dilakukan oleh suami saya . Badan saya menggigil dan sejuk seluruh badan. Terasa seperti kita sudah dekat untuk menemuinya. Perasaan untuk pergi umrah yang terdahulu tidak pernah sebegini. Rupa-rupanya , hati kita menggigil, takut akan sejuta kemungkinan. Sampaikah aku kesana? Perjalanan sudah bermula dan seperti diajar oleh ustaz kami banyak beristighfar sebaik doa pergi haji sudah dibaca.

Suatu ketakutan yang tidak pernah dirasa. Menggigil ketakutan. Beginikah rasa kalau kita sudah menerima jemputan untuk meninggalkan dunia yang fana ini ?


sukarnya melepaskan anak kecil ini !


Kami mulakan dengan Kenduri Doa Selamat





Hari yang semakin dekat untuk terbang ke sana bererti berbagai bagai resah dan gelisah melanda di ingatan. Seronok , tidak sabar selain takut dan gementar. Sesekali teringat dan terdetik kalau sesuatu yang tidak terduga berlaku. Sesekali terkedu pada sejuta dosa dimasa silam apakah dibalas dan di uji disana nanti.

Semakin hari semakin kerdil rasa diri. Semakin takut ! Apakah aku mampu lakukan ia dengan mudah ? Layakkah aku mendapat pertolongan dari yang Esa sedangkan aku hambaNya berbondot dosa yang harus dikendong. Segala yang tidak mampu diselindung, Tuhan lihat terus dan telus kedalam diri kita. Persoalan itulah yang sering bermain didalam diri walaupun hakikatnya jiwa terasa sangat tenang dan redha untuk melaluinya. Sebuah perjalanan Haji yang tidak pernah serupa antara satu sama lain. Semakin ianya sarat dengan persoalan semakin gelodak hatiku untuk cepat kesana. Aku mahu hidangkan seorang aku dihadapan Khaliq nya , aku redha atas setiap yang akan di uji. Aku telah sangat bersedia, biar buruk manapun aku sebagai hambaMu , aku sudah tekad untuk menemuiMU.

Riang itulah hatiku walaupun penat menguruskan satu persatu. Kali ini urusan Kenduri Doa Selamat dengan harapan yang sangat besar semuga "permudahkanlah kami kesana". Itulah harapanku yang sangat besar selain usaha sendiri , aku perlukan doa "mereka". Doa anak-anak, saudara mara, ibu bapa , adik beradik dan sahabat handai. Doa doa mereka mungkin dapat membantu memudahkan kami disana.

Jauh dihati aku terharu kerana katerer yang kupilih kali ini sangat memudahkan kami . Aku cuma mampu 1 waiter , pihak katerer beri 3 orang waiter. Pakej yang kupilih sepatutnya untuk pinggan mangkuk foam sahaja tetapi mereka bermurah hati memberi aku pinggan biasa , kalau setiap satu di hitung, Aku memang tidak mampu ! Mungkin berkat untuk pergi Haji, katerer tersebut bermurah hati untuk tidak terlalu berkira.

Seronok dan di luar jangkaan , semua tetamu yang dijemput , hadir , di Majlis Kenduri malah semua adik beradik kami dari KL turut menghadirkan diri. Terharu , mereka bersusah payah datang dari jauh untuk turut sama memberi sokongan. Staf suami saya pula boleh dikatakan semuanya hadir malah ada yang sanggup hadir ke kenduri kami sebelum memulakan cuti mereka. Sahabat-sahabat mengaji saya juga turut hadir walaupun mereka mempunyai beberapa kenduri yang perlu dihadiri. Musim haji sudah bermula , kenduri pun begitu banyak disekitar JB . Malah ada juga sahabat suami saya yang akan turut menunaikan haji tahun ini, turut serta dalam majlis kami. Buah tangan dan sedekah yang begitu banyak kami terima sungguh membuat kami terharu ! Disaat hendak pergi , tangan tangan yang menghulur bantuan memberi kekuatan kerana bersusah payah untuk turut berkongsi meringankan usaha kami. Sungguh terharu hanya Tuhan yang tahu kerana mereka yang pergi haji sahaja yang tahu getirnya dan susahnya hendak kesana. Apatah lagi pertolongan , sedekah dan sumbangan fizikal dan moral mereka sebenarnya memberi kekuatan disaat hati kita makin terharu . Terharu yang sangat sukar diterjemahkan !


Rumah kami penuh dengan hadirin tetapi jauh dihati saya tercari cari insan insan yang sangat saya harapkan untuk turut sama di majlis ini. Emak dan Abah ! Ketiadaan mereka membuat aku ingin menangis sekuat hati . Sungguh pilu tanpa mereka turut sama membuatkan airmata sukar untuk kulindungi. Dalam diam jauh dari keriuhan ini, anakmu mengharapkan doa emak dan abah mengiringi anakmu. Tiada apa yang lebih bahagia bila melihat wajah bangga seorang ibu, wajah lega seorang ayah , melihat anaknya meniti untuk melengkapkan Rukun Islam ke 5. Tapi Tuhan tidak beri itu untuk aku. Aku harus lakukan sendiri tanpa mereka. Kalaulah emak dan abah ada , pasti merekalah yang paling sibuk disaat ini , membantu aku menguruskan kenduri. Mujurlah adik adikku sentiasa ada dibelakang memberi sokongan yang tidak ternilai . Kekuatan untuk aku mulakan langkah ke sana.



anak-anakku dan sepupu mereka sibuk disaat mula hingga akhir kenduri



tanpa pertolongan anak anak kecil ini , kenduri entah kemana.


Thursday, December 24, 2009

Pergilah di waktu usia masih muda..

Apabila difikirkan apa yang saya lalui sepanjang berada di Mekah ialah ianya menuntut kekuatan fizikal yang bukan sedikit malah ianya bukanlah "event" untuk warga emas. Kalau kita pernah pergi aktiviti lasak seperti OBS atau kem bina semangat, kita akan menkategorikan , Haji , lebih lasak dari itu. Selain mengejar masa yang sangat suntuk apabila berulang alik untuk solat fardhu di Masjidil Haram, saya hanya berada didalam bilik sekitar 5 ke 10 minit untuk berehat sebentar di katil sebelum ambil wudu dan bersiap untuk ke Masjid semula setiap kali selepas solat Zuhor untuk ke Solat Asar dan selepas solat Asar untuk Solat Magrib and Isya'. Ruang rehat cuma ada selepas solat Suboh , itupun kalau tidak membuat Tawaf Sunat atau Umrah Sunat ! Cuma sehari dua dapatlah berehat selepas Suboh sementara menanti Solat Zuhor, selainnya , pastinya kita tidak mahu melepaskan ruang masa yang ada untuk Tawaf Sunat dan Umrah Sunat.

Umrah sunat hanya mampu saya lakukan selepas beberapa hari pulang dari Mina kerana menunggu surutnya jemaah di waktu Tawaf. Tetapi pastinya tiada istilah surut dimusim Haji jauh berbeza di waktu Umrah. 2 minggu sebelum wukuf sudah ramai dan saya hanya mampu lakukan 1 kali Umrah Sunat selain 1 kali Umrah Haji dan terpaksa menunggu selepas pulang dari Mina untuk lakukan Umrah Sunat , itupun selepas beberapa hari menanti bilalah jemaah lain nak balik tapi tidak juga balik balik malah makin hari makin ramai mengelilingi Baitullah kerana ibadat untuk Tawaf Haji, Tawaf Umrah Wajib (untuk Haji Ifrad), Tawaf Wada dan Tawaf Umrah Sunat.

Kesimpulannya , kita mestilah pandai dan komited mengejar masa, memastikan badan kita sihat dan yang utama juga ialah hendak pastikan kita tidak buang air kecil atau sakit perut , jadi kena tahu bila masa sesuai untuk minum dan jaga pemakanan supaya tidak salah makan supaya tidak mengganggu masa suntuk kita untuk mengejar setiap solat di Masjidil Haram. Itulah cabarannya dan strategi yang mesti ada . Menjaga wudu ! Menjaga Stamina !



panas !

Itu pun kalau kita pergi solat setiap waktu tanpa tertinggal dan membuat Tawaf sunat dan Umrah sunat setiap hari. Saya cuba untuk membuat Umrah Sunat 2 kali sehari tapi tidak terdaya kerana kemampuan fizikal saya tidak mengizinkan kerana terlalu ramai orang terutama untuk Tawaf . Setiap kali buat Umrah Sunat sehari sekali pun terasa tidak terdaya mengejar masa terutama untuk pastikan waktu solat fardhu tidak tertinggal.

Disana kita akan lihat berbagai cara jemaah melakukan ibadat mereka , ada yang memilih beberapa waktu yang sesuai sahaja untuk ke Masjid atau memilih untuk solat di Surau Hotel mahupun di bilik. Ada yang membuat Tawaf Sunat atau Umrah Sunat tetapi terpaksa mengorbankan solat fardhu di Masjid. Jadi kalau kita memilih seperti apa yang saya lakukan , tentulah saya cadangkan hanya yang kuat fizikal dan mental boleh melakukannya . Tetapi kalau kita tiada kekuatan fizikal maka pilihan alternatif seperti kebanyakan jemaah lakukan akan menjadi pilihan.

Mengapa saya berkata begitu adalah kerana kita memerlukan sekurang-kurangnya 45 minit ke 1 jam awal sebelum waktu solat untuk berada di Masjid , itupun sudah bersesak dengan begitu ramai manusia untuk ke Masjid. Kalau lambat kita tidak dapat solat di dalam Masjid ! Bila berada 1 jam awal sebelum waktu , kita kena pastikan kita mampu menjaga wudu kita. Kalau wudu kita batal , agak sukar mengambil wudu walaupun kita boleh mengambil di tempat air zam zam, tapi makin dekat waktu solat makin ramai orang. Lelaki dan perempuan pula boleh minum air zam zam ditempat yang sama jadi menyukarkan untuk ambil wudu yang terletak dibahagian belakang dinding masjid, itupun kalau tempat solat kita dekat dengan tempat minum air zam zam di dinding. Sebab itu membiasakan diri mempunyai wudu yang lama sewaktu di Malaysia lagi akan memudahkan kita sewaktu berada di Masjdil Haram.

Setiap kali selepas solat kita perlu menunggu masa sedikit untuk redakan jumlah jemaah yang hendak keluar dari Masjid dan pergerakan adalah sangat perlahan. Kalau kita tunggu lama supaya kita tidak turut dalam arus itu, masa kita akan suntuk untuk sampai ke Hotel semula. Kalau selepas Zuhor kita bukan sahaja berjalan dengan perlahan ditengah panas didalam arus manusia, bila sampai di dewan makan kena juga beratur untuk ambil makanan dan kadang kadang tiada tempat duduk kerana penuh. Selepas sahaja makan , bergegas untuk menunggu peluang untuk naik lif kerana ramai yang hendak naik pada waktu yang sama. Sampai di bilik , mungkin dapat rehat 5 minit dan terus ambil wudu untuk pergi Solat Asar pula. Kalau Asar pukul 3.15 petang, kita baru habis makan di dewan makan sekitar pukul 1.50 tgh, bermakna pukul 2.15 ptg sudah kena bersiap untuk turun dari hotel menuju ke Masjid. Ruang masa antara 1.15 tgh hingga 2.15 ptg itulah kita boleh rehat dan ambil wudu. Kalau rakan bilik kita semuanya hendak ambil wudu , tentulah kita kena pandai cari ruang waktu untuk ambil wudu dulu supaya kita tidak terlambat untuk turun dari hotel.

Lif untuk turun pun ramai juga dan selalunya penuh , jadi kena pastikan kita sudah keluar dari bilik sebelum jemaah mula hendak turun guna lif. Sebab itu strategi mesti ada ! Mesti pandai atur masa, mesti komited jaga kesihatan , mesti sentiasa rasa seronok setiap kali ke Masjid maka setiap halangan yang kita lalui , terkejar-kejar, beratur, penat dan panas mendapat pulangan yang istimewa setiap kali kita mengerjakan solat di Masjidil Haram . Ini adalah kerana setiap solat yang kita lakukan itu menuntut pengorbanan yang sangat tinggi. Barulah saya tahu mengapa pahalanya begitu banyak diberi kerana disebalik hendak lakukan setiap solat itu saya belajar erti kesabaran, disiplin, keinsafan dan kekuatan minda.

Sebab itu tidak mustahil , kita selalu terdengar kisah mereka yang hanya solat di Hotel kerana bila kita berada disana baru kita tahu halangan dan cabarannya bukan sedikit setiap kali hendak ke Masjid.

Tetapi , kita yang memilih.

Adakalanya bila susah itulah manis, tetapi ada pula bila susah itulah pahit. Setiap ibadat memberi rasa yang berbeza bagi setiap individu.

Saranan saya , pergilah diwaktu usia kita masih berupaya untuk dihimpit dan diasak oleh manusia yang kuat kuat seperti orang Negro dan India. Tandingan kita untuk ke Masjid bukan dengan orang Asia yang baik baik tetapi beradu tenaga untuk berjalan dan berjalan dan berasak dengan manusia manusia gagah yang bukan bandingan kita apatah lagi bagi seorang wanita !




Thursday, December 17, 2009

Haji itu sangat Indah !


Hari ini aku telah pulang ke rumah dimana ianya bererti tamatlah sudah perjalanan Haji dan lengkaplah pengalaman Haji yang selalu kita terdengar dari mereka yang pulang dari Haji , kini telah menjadi sebuah lipatan sejarah dan kenangan paling manis dalam hidup saya.

Sebaik sahaja aku sampai di Hotel kami di Mekah selepas pulang dari Mina, " Aku hendak buat Haji lagi, rasa tidak puas !", kataku pada makcik Puan. Malah sampai sahaja dirumahku di JB , aku seperti tidak percaya akhirnya perit jerih, fokus, usaha dan komitmen sejak December tahun lalu kini telah berakhir dan memberi pulangan yang sangat istimewa dihatiku.

"Aku ingin mengulangi indahnya wukuf di Arafah, Mudzaliffah dan Mina !", bisik hati berulang kali. Malah sejak sampai ke Malaysia, jasad disini tapi roh dan jiwa aku masih berada di Masjidil Haram melakukan solat dan berlegar di Masjid seperti selalu. Terjaga dari tidur , aku terdengar laungan Laibakallah sayup dari tempat melontar di Jamrah, ianya sangat jelas kedengaran sehingga anak ku menyangka aku mengigau padahal aku benar-benar terjaga dan mendengar laungan itu dengan begitu jelas.

Kesimpulannya haji itu sangat mudah dan sangat indah. Momokan cerita yang didengar yang selalu membuat kita gementar akhirnya tidak berlaku dalam perjalanan haji saya malah saya diberi sebuah pengalaman yang sangat indah dan begitu mudah. Sehingga kini aku masih tidak percaya begitu mudahnya melalui haji .

Akan aku abadikan kisah kisah dan pengalaman yang aku lalui sepanjang berada disana dalam artikleku akan datang.
Kitab Bughyatul Mustarsyidin :

"Telah berkata Al Khauwas daripada tanda-tanda yang menunjukkan diterima Haji seseorang hamba dan bahawa dia sesungguhnya telah dikurniakan dengan keredhaan Allah ,iaitu bahawasanya sesudah ia kembali daripada mengerjakan haji , dia berakklah dengan akhlak Rasullulah (akhlak Muhamaddiyah) hampir dia tiada memandang dirinya lebih tinggi daripada seseorangpun daripada hamba-hamba Allah dan tiada pula berebut-rebut untuk mendapatkan sesuatu daripada perkara dunia sehingga meninggal dunia.

Dan tanda yang menunjukkan hajinya tiada diterima bahawa dia kembali semula kepada keadaannya sebelum mengerjakan Haji.