Catatan Perjalananku Menuju Haji...

Umrah Pertama - September 1997 (32 tahun)
Umrah Kedua - September 1999 (34 tahun)
Haji Pertama (Haji Fardhu) - November 2009 (44 tahun)

Umrah Ketiga - May 2010 bersama suami dan mertuaku (45 tahun)
Umrah Keempat - Mac 2012 bersama anak-anak Umrah Ziarah Jordan (47 tahun)
Umrah Kelima - Mac 2015 bersama suami (50 tahun)
Umrah Keenam - in sya Allah Feb 2018 bersama suami (53 tahun)


Inilah perjalananku.....mencari , menghayati dan melalui saat indah mengenal Cinta Ya Rabbi !

.

Followers

Ads


INILAH PERJALANAN SEBENAR KISAH SEORANG HAMBA ALLAH, MENGUTIP PENGALAMAN DEMI PENGALAMAN SEPANJANG 44 HARI MENUNAIKAN IBADAH HAJI DAN AKHIRNYA MENJADIKAN , APA YANG KITA LIHAT SEPERTI SEMALAM TIDAK LAGI SETELAH MENUNAIKAN HAJI... PENGALAMAN "ITU" TELAH MEMBEZAKAN KITA YANG SEMALAM DENGAN KITA YANG HARI INI....

semuga ianya memberi iktibar dan panduan bagi mereka yang memerlukan...

Monday, August 31, 2009

Cuti Merdeka





Sempena menyambut cuti yang agak lama sempena cuti Merdeka, adik lelaki saya telah membuat Majlis Berbuka Puasa di Palm Garden Hotel tetapi malangnya kami sekeluarga tidak dapat hadir kerana berada di JB. Acara berbuka puasa sudah menjadi trend dalam keluarga kami, kalau sebelum ini dihari pertama berpuasa selalunya kami adik beradik akan berbuka puasa bersama-sama dirumah saya. Saya bersyukur walaupun saya jauh tetapi "trend" kami tidak dilupakan malah ianya sudah menjadi tradisi dalam keluarga kami untuk berbuka puasa bersama-sama terutama di hujung minggu dan selalunya kami akan mengambil giliran dari satu rumah kerumah yang lain. Cuma kali ini agak "eksklusif " kerana adik lelaki saya membuat jamuan berbuka di hotel. Agak ramai yang hadir selain ipar duai dan anak-anak buah , kawan rapat adik saya turut diraikan. Itulah yang buat saya bangga kerana apabila kita diberi rezeki yang lebih , kaum keluarga diraikan bersama. Walaupun kami adik beradik agak sibuk dengan kerja dan business masing-masing tetapi ikatan silaturrahim sentiasa mendapat tempat yang istimewa dalam hati kami.

Walaupun kini tinggal berjauhan dengan adik-adik saya ianya tidak menjadi alasan untuk kami untuk berbuka puasa bersama-sama kerana adik saya yang ke - 3 mengunjungi kami di JB . Seronok dapat berbuka bersama-sama selain dapat menjalankan Solat Terawih bersama di Masjid Sultan Abu Bakar. Malah pulang dari masjid saya dipujuk oleh suami , adik dan anak-anak untuk turut serta ke Kedai mamak untuk minum teh tarik. Saya yang berpakaian telekung dengan selambanya ditarik oleh mereka , menyebabkan orang ramai yang berada di kedai melihat kumpulan kami . Pastinya suasana itu tidak dapat dilihat apabila wanita berpakaian telekung masuk ke kedai mamak. Katanya anak lelaki saya " We must be proud being muslim, this is our culture wearing telekung!" . Ianya bukanlah seperti di Mekah kerana kemana-mana pun tidak kekok memakai telekung kerana semua orang pun berpakaian seperti itu.

Pada malam minggu pula , kami berbuka puasa di sebuah hotel di JB bersama anak-anak . Bukan mudah hendak "book" masa mereka untuk berbuka bersama kerana kesibukan mereka dengan kelas. Inilah satu-satunya hari kami dapat berbuka puasa di luar setelah di minggu pertama , pastinya berbuka puasa mestilah dirumah sendiri. Malah kami ada 2 lagi Hotel dalam cadangan untuk berbuka tetapi masa anak-anak lelaki kami yang agak terhad menyukarkan kami untuk berbuka puasa bersama.

Sewaktu berbual dengan anak-anak lelaki kami, suami saya memberi pilihan samada mereka mahu abahnya belikan mereka kereta atau mahu ikut kami mengerjakan umrah pada pertengahan tahun depan. "Shafiq lebih sanggup naik motor , tak ape tak beli kereta, mestilah shafiq nak pergi umrah!" , "Best umrah!", kata anak sulung saya kerana beliau telah pun pergi sewaktu berusia 11 tahun dan nampaknya dia masih memilih umrah dari mendapat kereta.

Pastinya "plan" kami buka sekadar membawa anak-anak kami tetapi adik-adik saya juga ingin turut serta menunaikan umrah bersama kami. Pastinya ianya akan menjadi pengalaman yang sangat indah bersama-sama anak , anak buah , adik-adik dan ipar sertua mertua berada didepan Kaabah. Kalau dulu saya mulakan jejak saya ke Mekah hanya dengan suami saya , insyallah akan ramai turut serta bersama-sama saya. Kelihatannya adik-adik saya begitu teruja untuk mengikuti kami dan mengalami indahnya perasaaan melalui umrah...

Semuga plan kami bukanlah hanya sekadar harapan !


Friday, August 28, 2009

Solat Taubat dan Solat Tasbih

Hari ini Majlis Tadarus kami tidak dijalankan kerana kami berjemaah bersama-sama untuk Solat Taubat dan Solat Tasbih. Rasa sangat bersykur mendapat peluang ini kerana telah begitu lama saya tidak melakukan Solat Tasbih apatah lagi di Bulan Ramadhan. Malah ustazah kami juga berkata beliau sendiri sukar untuk melakukannya sendirian di rumah . Bila dapat melakukan beramai-ramai , perasaan dekat antara jemaah sangat nostalgik sekali. Bukan 1 atau 2 baris tapi jemaah mengisi setiap ruang memenuhi masjid ini . Syukur kepada Illahi kerana memberi kekuatan untuk kami hadir untuk melakukan solat ini bersama-sama. Sayunya hati melihat wajah-wajah insan yang mengharap belas dan keredhaan Illahi.

Ustazah pula membaca setiap zikir dengan meletakkan microfon dikepalanya jadi mudahlah kami mengikuti setiap apa yang perlu dibaca. Begitu mudah sekali dan seronok kalau dapat melakukan solat ini sebanyak mungkin kerana di bimbing dengan teratur. Tidaklah terkejar dengan imam kalau bacaan mereka perlahan dan kita tidak tahu banyak mana yang telah dibaca,

Tuhan saja yang tahu betapa bersyukurnya saya mendapat peluang beribadat yang dibimbing dengan begitu teratur sekali. Apatah lagi dalam saat saya hendak pergi menunaikan Haji, Tuhan telah letakkan saya ditempat yang banyak membantu saya untuk memperbaiki pengetahuan agama saya.

Sebenarnya , belum lagi sampai ke bumi Mekah, perjalanan diri dan jiwa terasa semakin dimudahkan. Begitu ringan rasanya diri bila selalu dekat dengan MU.

Mungkin inilah yang dirasai oleh mereka yang hendak menuju ke jalan Allah. Satu perasaan yang sukar diceritakan. Ianya berlaku didalam diri kita dan hanya kita dan DIA yang tahu.....







Thursday, August 27, 2009

Tunku Masera yang menawan hati

Seperti biasa , ke Masjid Kobena untuk Juz 11 and 12. Seperti tidak percaya begitu banyak juz sudah dibaca dan bacaan saya semakin lancar. Sewaktu bersiap untuk pergi , saya berkata pada suami saya , bahawa sudah bertahun saya tidak bersiap-siap diawal pagi. Kalau dulu bersiap diawal pagi untuk pergi kerja tapi 20 tahun kemudian saya kini bersiap di awal pagi untuk ke Masjid untuk mengaji. Sesuatu yang tidak pernah saya sangka dimana perjalanan saya menuju Haji telah banyak mengubah rutin hidup saya. Saya tidak lagi seperti dulu. Kini bersama-sama makcik-makcik di Masjid , saya sibuk dengan dunia saya yang baru.

Balik dari Tadarus , kami terus ke Mawar untuk Majlis yang sepatutnya dihadiri oleh Baginda Sultanah Johor, tetapi atas sebab-sebab yang tidak dapat di elakkan Baginda Tuanku meminta anakandanya Tunku Masera Zahira untuk menyampaikan sumbangan kepada fakir miskin. Saya agak selesa di Majlis ini untuk pertama kalinya kerana sahabat saya adalah Pengerusi Biro Kebajikan MAWAR selain jiran saya mengiringi Tengku Maisarah. Inilah pertama kalinya saya melihat acara protokol yang tidak pernah saya lalui. Seronok melihat keletah Tengku Maisarah yang masih remaja mengendalikan Majlis seperti ini dengan bersahaja. Begitu ramah tutur bicara beliau dengan setiap penerima sumbangan. Kadang-kadang keletahnya mencuit hati kerana senda guraunya yang membuat hadirin tertawa dengan keletah bersahajanya.








Baru kini saya sedar mengapa rakyat Johor sangat menyanjung kerabat dirajanya. Walaupun tegas tetapi keramahannya tidak dapat dinafikan. Malah saya diberitahu , kalau baginda Sultanah Johor hadir, beliau akan salam pada setiap yang hadir. Baginda tidak mahu hadirin berebut untuk bersalam dengannya malah beliau sendiri akan pergi pada setiap yang hadir supaya semua orang dapat peluang untuk bersalam dengan Baginda. Begitu manisnya apabila seorang Sultanah sanggup berbuat begitu disetiap Majlis yang dihadirinya dan tidak mustahil rakyat Johor sangat sayangkan kerabat dirajanya.

Sebelum ini saya pernah tinggal di Sarawak, Sabah , Penang selain KL, tetapi pengalaman di Johor memberi pengalaman yang berbeza. Kita selalu mendengar cerita masyarakat tentang orang Sarawak , Sabah, Penang mahupun Johor. Tetapi saya mengalami pengalaman yang manis dengan masyarakat di setiap negeri yang saya tinggal. Malah mereka sehingga kini masih menjadi sahabat kami.

Mendengar cerita tidak sama dengan melalui pengalaman itu sendiri....



Wednesday, August 26, 2009

Tadarus di Rumah SUK

Hari ini adalah hari yang agak sibuk kerana habis dari Tadarus Al Quran untuk juz 9 and 10 , kami terus ke Rumah SUK untuk Majlis Tadarus oleh pihak Puspanita. Kelihatan ramai yang hadir dan mereka telah pun habis membaca , kerana setiap kumpulan diberi 1 juz untuk dibaca.

Untuk turut serta ke majlis Katam Al Quran , pihak jururawat dari Hospital telah ada dipekarangan Rumah SUK untuk memeriksa samada suhu badan kami dibenarkan untuk turut serta ke Majlis tersebut untuk mengawal wabak HINI . Kelihatan ada juga jemaah yang terpaksa memakai penutup muka yang saya pasti telah diberi oleh pihak hospital.

Kelihatannya sahabat saya yang juga Pengerusi Puspanita menyampaikan pemberian untuk ibu-ibu tunggal dan fakir miskin di sekitar JB. Beliau beria-ia mahu saya turut serta di Majlis ini. Seronok juga melihat sahabat-sahabat yang berminat menjalankan kerja-kerja amal seperti ini selain menjalankan aktiviti-aktiviti keagamaan. Saya makin seronok kerana hidup saya dikelilingi oleh mereka mereka yang mempunyai minat yang sama untuk menjadi hamba Allah yang sejati.


Sebenarnya menuju Haji ini banyak merubah orang-orang dikeliling saya. Kalau dulu jarang dapat berkumpul dengan makcik-makcik dan kakak-kakak seperti ini, kini mereka mengisi kebanyakan hidup saya.

Walaupun sebenarnya sangat sibuk kerana kerja saya juga bukan sedikit menanti untuk memberi "advise" tetapi saya sudah tidak dapat menolak aktiviti keagamaan saya ini. Jelas hati saya semakin seronok. Esok pula selepas Tadarus di Masjid Kobena , saya terpaksa pergi ke Mawar kerana Baginda Sultanah Johor akan menyampaikan sumbangan untuk fakir miskin dan sahabat saya telah bersusah payah menghantar baju Puspanita untuk dipakai esok hari. Padahal rasanya saya tidak dapat ikut serta ke Majlis tersebut , tapi tidak sampai hati hendak menolak permintaannya.

Monday, August 24, 2009

Ramadhan


AMALAN DI BULAN RAMADHAN
1. Mengucapkan tahniah (Selamat datang Ramadhan atau Selamat menyambut Ramadhan.
2. Niat sebulan bagi malam yang pertama dan selanjutnya niat untuk hari-hari.
3. Sembahyang Isyak berjamaah di masjid/surau.
4. Solat Tarawikh 20 rakaat.
5. Tadarus membaca bersemak dan berturut-turut juzuk.
6. Tidur malam membaca 4 ayat terakhir Surah Al Kahfi supaya dikejutkan bangun tepat jam 4.00 pagi.
7. Bangun jam 4.00 pagi dan setengah jam untuk Qiamullail ringan (Solat Tahjud, Solat Taubat dan Solat Hajat)

8. Jam 4.30 pagi kaum ibu masak sahur.
9. Jam 5.00 pagi/5.15 pagi makan sahur.
10.Jangan tidur sesudah sahur.
11.Solat Subuh berjemaah di Masjid.
12.Tadarus pendek.
13.Matahari tinggi segalah, lakukan solat Isyraq.
14.Menjalankan kerja harian dan menjaga pancaindera.
15.Jam 11.00 pagi tunaikan Solat Dhuha.
16.Lakukan Solat Kafarah Baul 2 rakaat. Rakaat pertama selepas Fatihah baca Surah Al Kautsar 7 kali dan rakaat kedua selepas Fatihah baca Surah Ikhlas 7 kali.
17.Jam 12.00 tengahari tidur, niat tidur waktu Qailulah (ganti jaga satu jam diwaktu sahur)
18.Solat Zuhur berjemaah.
19.Tadarus pendek.
20.Sebelah petang kaum ibu menyediakan berbuka petang.
21.Solat Asar berjemaah di Masjid.
22.Jika masa petang jangan gunakan untuk bersiar-siar atau menonton TV yang melibatkan kemaksiatan. Sebaik-baiknya digunakan untuk mengikuti majlis-majlis ilmu atau berdoa kerana waktu itu amat mustajab.
23. Berbuka dengan ala kadar iaitu minuman yang belum dipanas oleh api atau dengan buah kurma atau buah tempatan.
24.Segera Solat Maghrib di Masjid.
25.Makan malam bersama keluarga.
26.Bersiap sedia untuk ke masjid menunaikan Solat Isyak dan Tarawikh secara berjemaah.

KELEBIHAN-KELEBIHAN YANG LAIN

1. Menghadiri majlis ilmu setiap langkah di beri pahala ibadah sunah setahun.
2. Mengekali berjemaah diberi balasan dengan disediakan sebuah bandar khas di Syurga.
3.. Membuat hubungan baik kepda kedua ibu bapa, Allah pandang dengan penuh kasih sayang.
4. Isteri taat kepada suami diberi pahala seperti pahala Asiah dan Mariam.
5. Sesiapa yang menyampaikan hajat saudaranya disampaikan 1000 hajatnya di akhirat.
Mengurangkan berat badan di dalam menjalani ibadah Ramadhan
1. Sebelum puasa timbang badan
2. Kawal berbuka puasa
3. Pastikan semakin lama menunaikan ibadah puasa akan semakin kurang berat badan
4. Elakan daripada makan berlebihan

RANCANG PENINGKATAN IBADAH RAMADHAN
1. Sepuluh hari yang pertama adakan muhasabah amalan.
2. Sepuluh hari yang kedua, pastikan keimanan bertambah kuat dan selaraskan dengan sempena Nuzul Quran.
3. Sepuluh hari yang ketiga kuatkan azam untuk beramal di malam Al Qadr :
i. Dengan melakukan Solat Maghrib,Isyak dan Tarawikh berjemaah.
ii. Atau ditambah dengan Solat Subuh berjemaah
iii. Duduk dengan air sembahyang dan baca Al-Quran, Ayat Kursi, Surah Al Baqarah terakhir (Amanarrasul), Surah Az-zalzalah, Suraah Al Kafirun, Surah al Ikhlas dan Surah Yasin.
iv. Bagi kaum ibu yang uzur, baca zikir.
v. Bangun pukul 1.00 pagi tunaikan Solat Sunat Wuduk, Solat Hajat, Solat Tasbih, Solat Taubat, Solat Istikarah.
vi. Jika sedang beramal, badan terasa sejuk dan terharu maka inilah tanda-tanda mendapat Lailatul Qadar.

SELAMAT TINGGAL RAMADHAN
i. Pastikan Tarawikh terakhir
ii. Ucapkan Selamat Tinggal Ramadhan dengan penuh terharu dan berdoa semoga dipertemukan sekali lagi dengan Ramadhan yang akan datang.

Rutin di Bulan Ramadhan

Hari ini adalah hari ketiga Tadarus AlQuran dan kami telah memasuki Juz ke 6. Bacaan bermula pada pukul 8 pagi dan tamat pada pukul 10 pagi untuk bacaan 2 juz setiap hari. Saya rasa bersyukur kerana berpeluang untuk mengikuti Tadarus AlQuran pada tahun ini dan inilah pertama kalinya saya mengikutinya dalam hidup saya. Setahu saya t, adarus hanyalah untuk mereka yang mahir untuk membaca Al Quran menyebabkan orang yang tidak mahir tentang tajwid menjauhkan diri. Ianya hanya untuk orang-orang tua dan mereka yang arif membaca. Itulah yang selalu saya ingat menyebabkan kita takut untuk turut serta di majlis seperti ini.

Alhamdullilah , ustazah yang mengajar kami menggunakan pendekatan yang menarik ramai untuk turut serta. Selain dari anak-anak muridnya yang lebih kurang 50 orang terdapat 70 orang dari bukan pelajar yang turut serta. Di hari pertama saya duduk bersebelahan dengan Kak Mariam yang begitu mahir membaca membuat saya rasa betapa lemahnya pembacaan saya. Saya kemudiannya bertemu ustazah menceritakan masalah saya yang tergagap-gagap untuk mengikuti pembacaan yang agak laju. Selalunya diwaktu kelas mengaji , kami membaca perlahan-lahan , jadi bolehlah saya ikut dengan agak mudah.

Ustazah menyuruh saya supaya dengar dan ikut dengan mata dengan cara menyemak apa yang dibaca oleh mereka yang telah mahir. Barulah lega hati saya. Di hari kedua dan ketiga , saya rasa tidak tertekan lagi untuk mengejar pembacaan mereka yang laju dan menyemak selain mengikutinya diayat-ayat yang saya boleh baca. Baru hari ketiga saya rasa semakin mudah kerana didalam hati , saya berdoa semuga Allah mudahkan saya untuk membacanya dan saya harap di akhir Juz 30 saya akan membaca dengan lebih lancar.

Seronoknya membaca beramai-ramai kerana tidaklah yang tidak pandai membaca ini tertekan atau malu untuk turut serta. Malah ustazah memberitahu pada yang sudah mahir , ikutlah membaca dengan kuat dan yang kurang mahir buatlah semakan. Kelihatannya mereka yang telah menjadi pelajar lebih lama dari saya juga tidak lancar seperti saya , membuat hati saya lega, tidaklah saya seorang yang ketinggalan.

Semuga Tuhan beri kemudahan dan kekuatan untuk menghadirinya untuk 12 hari berikutnya. Saya pula terpaksa "schedule" waktu kerja saya untuk bertadarus, menyiapkan kerja-kerja yang bertimbun selain menguruskan rumah dan anak-anak , apatah lagi untuk menyediakan makanan berbuka puasa selain berterawih di malam hari. Bulan Ramadhan yang sibuk tetapi membuatkan hati kita gembira. Terutama apabila mengunjungi Masjid untuk berterawih dengan begitu ramai memakai telekung berjalan menyusuri Masjid. Ianya mengingatkan pada suasana di Mekah dan Madinah...

Friday, August 21, 2009

Tadarus Al Quran

Hari Jumaat , seperti selalu mengunjungi Masjid dipagi hari , kali ini untuk Majlis Yasin Hajat sempena menyambut Ramadhan esok hari. Begitu ramai sekali yang datang sehingga memenuhi masjid. Seronok sekali dapat membaca beramai-ramai dengan Tajwid yang dijaga begitu berhati-hati oleh Ustazah.

Hari ini terasa sangat riang kerana anak-anak saya akan pulang dari Kolej dan dapatlah kami solat Terawih bersama-sama. Saya juga bercadang untuk memasak masakan istimewa anak-anak saya iaitu kari ikan masin dengan nenas kerana kami perlu makan awal iaitu diwaktu Maghrib supaya tidak lewat untuk Solat Terawih di Masjid Sultan Abu Bakar malam nanti.

Tahun ini terasa kedatangan Ramadhan sangat dinantikan kerana semakin hari semakin tidak sabar menghitung hari untuk ke sana. Pastinya Ramadhan kali ini lebih istimewa dengan persiapan diri dan minda sekaligus memperbaiki iman dari tahun-tahun sebelumnya.

Lebih menyeronokkan kerana esok adalah untuk pertama kalinya saya mengikuti Tadarus AlQuran di Masjid. Setakat ini sudah 100 orang mendaftar untuk menyertai Tadarus , esok hari. Lebih teruja di akhir Majlis Khatam Al Quran kami akan diraikan seperti pengantin. Semuga tiada halangan untuk mengikuti Majlis untuk 15 hari berturut-turut.

Saya juga turut terharu kerana suami saya memberi kelonggaran dan keizinan untuk saya mengikuti Tadarus Al Quran walaupun di Hari Sabtu dan Ahad. Apatah lagi cuti kami untuk ke KL terpaksa ditunda sehingga saya selesai dengan Tadarus ini.

Semuga Tuhan mudahkan cita-cita saya untuk katam Al Quran sebelum pergi ke Mekah nanti....




Wednesday, August 19, 2009

Kesilapan penyebab kita "dekat pada Allah"

Saya tertarik dengan kehendak Kartika yang djatuhkan hukuman sebat kerana meminum arak dimana dia sendiri mahu disebat dikhalayak ramai sebagai pengajaran pada dirinya dan orang ramai . Malah dia tidak mahu disebat didalam penjara kerana mesej yang hendak disalurkan tidak sampai pada masyarakat. Terharu membaca sebuah pengakuan dari insan yang kerdil ini dan rela dengan sendiri dihukum .

Tidak ramai yang mampu menjadi seperti Kartika walaupun dia seorang yang beriman yang pernah membuat silap tidak berani ke depan untuk dihukum menurut ajaran Islam. Malah orang-orang yang kelihatan beriman lebih rela menutup aib dari diketahui masyarakat kerana malu pada manusia mengatasi malu pada Tuhan.

Sebab silap Kartika telah membuat rasa keinsafan yang datang dengan sendiri dan rela hati dan beliau redha untuk menerima hukuman, membuat saya sangat terharu. Janganlah kita anggap kita seperti berada di "track" yang betul kita sudah cukup, dan janganlah kita lihat mereka yang kelihatan tidak berada di "track" yang betul tidak diberi cahaya iman. Bukanlah kita selayaknya untuk mengukur iman seseorang dengan silap dan benar seseorang insan kerana kita hanyalah "hamba" yang hanya layak dihukum oleh Allah.

Kesilapan juga kadang-kadang menjadi pemula sebuah jihad. Keberaniannya untuk mengaku kesilapannya dan dihukum dikhalayak ramai mungkin akan mencelikkan "kisah-kisah benar" yang disimpan oleh begitu ramai manusia di luar sana. Kita mungkin terlepas didunia, kita mungkin mulia di dunia, kita mungkin tidak dimalukan didunia, tapi mungkinkah kita terlepas di Akhirat sana dimana Allah yang cipta kita, bolehkah kita lari dari hukuman Allah bila kita ada disana nanti ?



Sebat depan khalayak

Oleh Zaitie Satibi dan Raja Norain Hidayah Raja Abdul Aziz
am@hmetro.com.my


IPOH: “Saya agak terkejut dan terkilan apabila dimaklumkan bahawa anak saya, Kartika Sari Dewi akan menjalani hukuman sebat di Penjara Wanita Kajang, di mana tempatnya tertutup.

“Seboleh-bolehnya saya mahu hukuman dijalankan di tempat terbuka agar dapat memberi pengajaran kepada orang lain supaya mengambil iktibar daripada hukuman itu. Jika hukuman itu dijalankan dalam penjara, mungkin mesej berkenaan tidak kesampaian,” kata Shukarnor Mutalib, 60, bapa kepada model sambilan yang didapati bersalah atas tuduhan meminum arak, bulan lalu.

Dia juga mempertikaikan mengapa anaknya perlu dibawa ke penjara kerana Kartika Sari bukan seorang banduan dan hukuman penjara yang dijatuhkan kepadanya sudah diketepikan.

Pada 20 Julai lalu, Mahkamah Tinggi Syariah Kuantan, Pahang, menjatuhkan hukuman denda RM5,000 dan enam sebatan terhadap Kartika Sari, 32, selepas disabitkan kesalahan meminum arak.

Shukarnor berkata, dia menerima panggilan telefon daripada pegawai Mahkamah Tinggi Syariah Kuantan kira-kira jam 12 tengah hari semalam, yang memaklumkan Kartika Sari perlu melaporkan diri di Penjara Kajang, Selangor, pada 24 Ogos ini untuk menjalani hukuman sebat.

“Saya terus menghubungi Kartika untuk memaklumkan hal berkenaan dan dia bersetuju bertolak pulang ke kampung sebelum ke penjara bagi menjalani hukuman berkenaan.

“Difahamkan, Kartika akan ditahan seminggu untuk menjalani hukuman sebat dan selepas itu Kartika akan dibebaskan,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Bagaimanapun, Shukarnor berharap hukuman sebat ke atas anaknya dilaksanakan di depan khalayak iaitu di tempat terbuka seperti dikehendaki Kartika Sari sendiri.

Usaha Harian Metro menghubungi Kartika Sari bagaimanapun gagal kerana difahamkan wanita itu kini dalam perjalanan pulang ke kampung halamannya di Sungai Siput, dekat sini, selepas bertolak dari Singapura, kira-kira jam 4 petang semalam.

Mahkamah Tinggi Syariah Kuantan, semalam, mengeluarkan waran penahanan terhadap ibu kepada dua anak itu yang dijatuhi hukuman denda RM5,000 dan enam sebatan selepas mengaku bersalah meminum arak, bulan lalu.

Hakim Syarie, Datuk Abdul Rahman Yunus memerintahkan Kartika Sari ditahan berkuat kuasa 24 Ogos ini bagi tempoh tujuh hari untuk melaksanakan hukuman sebatan.

Mahkamah bagaimanapun bersetuju mengeluarkan waran pelepasan ke atas Kartika dalam tempoh kurang dari tujuh hari sekiranya hukuman sebatan dilaksanakan lebih awal.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Syarie Saiful Idham Sahimi memfailkan tiga permohonan bagi memohon perintah menahan Kartika di Penjara Wanita Kajang, perintah menguatkuasakan hukuman sebatan secara syariah dan permohonan perintah pelepasan selepas hukuman dijalankan.

Permohonan berkenaan dibuat selepas tempoh rayuan terhadap hukuman yang dijatuhkan pada 20 Julai lalu, berakhir pada 3 Ogos lalu.

Tiada sebarang rayuan dikemukakan pihak Kartika Sari Dewi.

Abdul Rahman membenarkan semua permohonan itu dalam kamarnya.

Dakwaan terhadap Kartika dibuat mengikut Seksyen 136 Enakmen Pentadbiran Agama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang yang membawa hukuman denda maksimum RM5,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya dan disebat tidak melebihi enam sebatan.

Sejurus selepas dijatuhi hukuman enam sebatan pada 20 Julai lalu, Kartika Sari dipetik sebagai berkata, dia rela dirinya disebat kerana jika tidak dikenakan hukuman itu, mungkin dia tidak insaf hingga sekarang.

“Saya akan terima hukuman di dunia. Hukuman di akhirat kelak biar Allah s.w.t yang menentukannya. Saya menghormati keputusan mahkamah dan mengaku itu kesalahan saya, bukannya kesalahan ibu bapa, keluarga saya atau orang lain.

“Justeru, saya memohon mahkamah mempercepatkan hukuman sebatan itu memandangkan mahkamah belum memberitahu bila hukuman ini akan dijalankan,” kata Kartika Sari.

Dia yang dijatuhkan hukuman itu selepas mengaku bersalah meminum arak, memohon mahkamah mempercepatkan hukuman sebatan supaya dia boleh menumpukan masa depan bersama keluarganya.

“Saya anggap ini ketentuan Allah dan balasan kepada saya kerana memandang ringan soal agama. Sekiranya kejadian ini tidak berlaku mungkin saya masih lagi ‘hanyut’ dalam keseronokan dunia.

“Namun, saya bersyukur keluarga saya tetap menerima saya walaupun sudah menconteng arang dan memalit lumpur ke muka mereka,” katanya sambil menitiskan air mata.

Dia yang berasal dari Sungai Siput, dekat Kuala Kangsar, menetap 15 tahun di Singapura sejak berkahwin dengan warga negara republik itu dan mempunyai dua anak berusia tujuh dan lima tahun.



Aurat

Saya masih ingat pesan Ustazah Rokiah sewaktu Kursus Haji Intensif baru-baru ini supaya membiasakan diri untuk menjaga aurat. Antaranya supaya membiasakan diri memakai stokin kaki dan sarung lengan. Malah dagu juga hendak ditutup . Macammanalah hendak cari tudung yang menutup dagu. Kata ustazah, dia membuat sendiri kain yang menutup dagunya. Seorang ustazah tentulah tidak hairan kalau sentiasa berjubah dibandingkan kita orang biasa hendak berjubah dengan keadaan masyarakat dan aktiviti ke pasar, ke sekolah dan sebagainya. Tapi kena buat juga sebab itu Ustazah berpesan supaya apabila kita sudah membiasakan diri , tidaklah menjadi susah apabila pulang dari menunaikan haji nanti.

Ianya bukanlah sesuatu yang mudah untuk menukar cara berpakaian apatah lagi bila pakai baju kurung atau blaus , kita mesti juga biasakan pakai sarung lengan. Sudah hampir 2 bulan saya cuba, ianya sekejap pakai sekejap tidak. Apatah lagi bila hanya keluar untuk mengambil anak pulang dari sekolah , hendak sarung kaki dan sarung tangan juga , padahal cuma duduk didalam kereta. Tapi saya cuba juga paksa diri untuk pakai.

Sewaktu saya pergi ke kelas mengaji , cuba memakai sarung kaki dengan kasut tinggi terasa licin pulak hendak berjalan. Kelakar juga melihat keadaan diri untuk mengubah kebiasaan diri. Kadang-kadang hendak aja pakai jubah hitam yang saya beli sewaktu umrah dahulu yang begitu selesa di sarung diluar , tapi tidak sesuailah hendak dipakai di siang hari , takut nanti orang berkata pulak. Padahal saya bukanlah alim sangat sehingga hendak berjubah sentiasa. Susah juga hendak membiasakan diri dengan pakaian kerana baju kurung pun bukanlah banyak sangat. Kalau ada pun adalah baju kurung untuk ke Majlis, tak akanlah hendak hantar anak ke sekolah pun hendak berbaju kurung bersulam-sulam.

Sebenarnya mengubah dan menyesuaikan diri juga perlukan modal selain membiasakan diri. Kalau blaus dan T-shirt semuanya mengikut bentuk badan , puas di selindung masih juga kelihatan susuk badan. Saya pula memakai baju sejuk untuk cover pakaian saya sewaktu sarapan pagi dengan suami saya....kadang-kadang saya tergelak dengan diri saya, macam-macam gaya hendak disesuaikan dengan baju yang sedia ada. Saya juga kena prihatin dengan penampilan kerana suami saya tidak gemar saya berpakaian yang tidak sedap dilihat dimatanya. Sebolehnya dia mahu isterinya sentiasa masih seperti dulu.

Benarlah kata Ustazah, cubalah belajar dari sekarang untuk biasakan diri. Saya kini dalam proses membiasakan diri. Ianya bukan mudah tapi ianya tidak mematahkan semangat saya untuk mengikut garis panduan yang telah ditetapkan.



Tuesday, August 18, 2009

Motivasi Haji (petikan dari Kembara Hati di Tanah Suci

Cubalah renungkan apa yang ditulis dari Ustaz Ghazali Ibrahim didlam bukunya yang mungkin membuat kita berfikir...









Masjid Nabawi kini dibuka 24 jam

Satu info yang menarik hati iaitu Masjid Nabawi kini dibuka 24 jam. Ini bererti kita boleh berada di Masjid ini sentiasa dan mudahlah untuk beriktikaf selama mungkin didalam Masjid. Semenjak tahun 2007 , Masjid Nabawi di buka sentiasa , tidak seperti sebelum ini, ianya dibuka sebelum Subuh dan di tutup selepas Solat Isya'.

Memandangkan tempat tinggal kami di Madinah berhadapan dengan Masjid Nabawi , tentulah seronok untuk berada di dalam Masjid sentiasa. Kalau hendak balik ke bilik pun boleh berulang balik ke Masjid terutamanya dilewat malam hari, satu saat yang paling tenang untuk berada di Masjid Nabawi yang sangat indah....

Wukuf

Saat-saat melalui untuk menunaikan haji adalah menanti saat melalui wukuf di Padang Arafah. Itulah saat-saat kita dapat merasakan betapa kerdilnya kita dengan bekal yang kita bawa . Ibarat di Padang Masyar nanti , kita tidak dapat lagi ulangi hidup di dunia ini. Kita tidak dapat cukupkan apa yang kita kurang sewaktu di Padang Masyar. Disaat itu , kalaulah kita boleh balik kembali ke dunia, pasti kita tidak seperti sekarang ini. Pasti kita akan akur kita ini "hamba" , kita ini "hamba Dia". Kita datang ke dunia untuk pulang kembali kepada "Dia". Tapi dunia ini yang penuh fatamorgana, kelihatan cantik dan asyik sehingga tanpa kita sedar kita dilekakan. Kita lupa tujuan asal kita didunia ini untuk mengutip sebanyak bekal, untuk mengumpul sebanyak bekalan , untuk hidup yang kekal di Akhirat sana.

Kita alpa mengenal "siapa kita" sebenarnya. Kita asyik dengan pangkat dan harta. Kita lemas dalam kesibukan dunia sehingga kita hampir terlupa tujuan sebenar kita di sini. Kita yang hanyut dengan cinta insan yang tidak abadi. Dunia yang cuma "persinggahan sementara" . Sehingga kita terleka dan asyik bahawa dunia ini seperti sangat sayang untuk dilepaskan. Padahal keasyikan dunia ini tidak dapat menandingi dunia akhirat nanti. Ianya lebih indah, ianya lebih sempurna dari dunia yang fana ini....dunia yang tidak kekal ini.

Saat itu yang aku rasakan , Padang Arafah suatu saat yang sangat menyedihkan untuk melihat 'siapalah kita" sebagai "hambaNya". Siapalah kita, daifnya kita, kerdilnya kita. Apalah yang termampu oleh kita tanpa belasNya...

Aku dapat merasakan dan sangat menantikan saat Wukuf di Arafah......


selain berharap bimbinglah aku !






Monday, August 17, 2009

Keistimewaan Masjid Nabawi (petikan dari Kembara Hati di Tanah Suci)

1. Kelebihan Solat di Masjid Nabawi :

Anas r.a meriwayatkan bahawa Rasulullah s.a.w telah bersabda : "Barangsiapa yang mendirikan solat di masjidku ini sebanyak 40 solat . Dia akan dikurniakan pembebasan iaitu bebas daripada api neraka , bebas dari azab dan bebas dari sifat nifaq (munafiq)".

Riwayat Tabrani.


2. Dapat Syafaat Rasulullah s.a.w andai meninggal dunia di Madinah :

Ibnu Umar r.a meriwayatkan bahawa Rasullulah s.a.w bersabda : " Barangsiapa yang mampu meninggal dunia di Madinah , maka hendaklah dia meninggal disana. Kerana bagi mereka yang meninggal dunia disana (Madinah) sesungguhnya aku akan menjadi penjamin (syafaat) bagi mereka".

Riwayat Bukhari.


3. Bersama Rasullulah s.a.w :


Anas r.a meriwayatkan Rasullulah s.a.w bersabda : "Barangsiapa menziarahiku di Madinah dengan tujuan memperolihi ganjaran . Dia akan bersama denganku dan aku akan menjadi penjamin (pemberi syafaat) baginya di hari kiamat".

Riwayat Baihaqi.


4. Menziarahi Rasullulah s.a.w. dapat dua haji :

Ibnu Abbas r.a meriwayatkan bahawa Rasullulah s.a.w bersabda : " Barangsiapa yang mengerjakan haji di Mekah , kemudian datang ke Madinah semata-mata untuk menziarahiku di dalam masjidku . Maka di tuliskan baginya ganjaran seakan-akan dia mengerjakan dua haji".

Riwayat Dailami.


5. Salam kita di jawab oleh Rasullulah s.a.w :

Abu Hurairah r.a meriwayatkan bahawa Rasullulah s.a.w bersabda : " Bilamana seseorang itu memberi salam kepadaku di maqamku. Allah mengembalikan rohku kepada jasadku supaya aku dapat menjawab salamnya itu ".

Riwayat Ahmad.


6. Disempurnakan Hajat bila berselawat di Maqam Nabi :

Abu Hurairah r.a meriwayatkan bahawa Rasulullah s.a.w bersabda : " Apabila seseorang berdiri di maqamku lalu berselawat atasku , aku mendengarnya . Dan barangsiapa berselawat keatasku di tempat-tempat lain , maka setiap keperluannya di dunia dan di akhirat akan disempurnakan . Sesungguhnya pada hari kiamat aku akan memberikan syafaat kepadanya".

Riwayat Baihaqi .


7. Berjiran dengan Rasullulah s.a.w. di akhirat :

"Barangsiapa yang datang keMadinah semata-mata untuk menziarahi kuburanku , dia akan menjadi jiranku pada hari kiamat. Dan barangsiapa yang tinggal di madinah dalam keadaan yang sanggup menanggung kesusahan, kepayahan dan dugaan. Sesungguhnya aku akan menjadi saksi kepadanya dan aku akan memberi syafaat di hari kiamat. Dan barangsiapa yang meninggal dunia di salah satu Haramain (Mekah atau Madinah) . Dia akan dibangkitkan bersama-sama orang-orang yang beroleh keselamatan".

Riwayat Baiqahi.



8.Seperti menziarahi nabi semasa hidup :


Ibnu Omar r.a meriwayatkan bahawa Rasullulah s.a.w bersabda , " Barangsiapa menziarahiku selepas kewafatanku , maka sesungguhnya seakan-akan dia menziarahiku semasa hidupku".

Riwayat Tabrani.


9. Pasti beroleh syafaat Rasulullah s.a.w :

Ibnu Umar r.a. meriwayatkan bahawa Rasullulah s.a.w bersabda , "Barangsiapa menziarahi maqamku , wajib baginya syafaatku".


Riwayat Bazzar.


10. Raudhah (Taman Syurga):

Abu Hurairah r.a meriwayatkan bahawa Rasullulah s.a.w bersabda , "Diantara rumahku dan mimbarku terdapat sebuah taman dari taman-taman syurga dan mimbarku akan berada di atas kolam airku ".

Riwayat Bukhari.



Oleh itu , rebutlah peluang untuk menunaikan umrah diwaktu usia kita masih muda kalau kita rasa kita hanya mahu menunaikan Haji disaat kita telah 'bersedia', setidak-tidaknya kita telah komited untuk melakukan umrahnya terlebih dahulu, dimana kosnya dan pengorbanannya tidaklah setinggi dan sehebat untuk menunaikan Haji.

Kalau kita mati di usia mudapun , kita tidak terkilan kerana mungkin umrah kita itu telah atau mungkin dapat membantu kita di dunia akhirat nanti....



Berjalan pantas di Kebun Bunga

Sewaktu anak-anak lelaki saya bercuti Semester minggu lepas, kami tidak berpeluang untuk melakukan aktiviti berjalan pantas di Danga Bay setiap kali menunggu anak-anak perempuan balik dari tuition kerana memenuhi permintaan anak-anak lelaki untuk "spend time" dengan mereka dengan aktiviti makan malam bersama.

Setelah 1 minggu menunda aktiviti "exercise" kami , kami berpeluang untuk mulakan semula dipagi Sabtu dan Ahad tadi , di Kebun Bunga. Seronok juga melakukannya ia di pagi hari setelah beberapa minggu sebelum ini , kami hanya dapat berpeluang melakukannya hanya dimalam hari memandangkan hujung minggu kami yang sentiasa penuh dengan aktiviti.

Kelihatan beberapa pasangan yang seusia kami turut serta di Kebun Bunga dan mereka juga saya rasa adalah bakal-bakal jemaah haji seperti kami yang juga fokus seperti kami tentang "fitness". Semakin bersemangat untuk melakukan aktiviti kecerdasan fizikal melihat pasangan-pasangan ini. Alhamdullilah , saya tidak lagi mengalami kesakitan dikaki malah badan terasa sihat dan ringan sejak "exercise", satu aktiviti yang sebenarnya tidak pernah malah sangat jarang berlaku dalam hidup saya sebelum ini. Segalanya berubah kerana Haji dan hairan juga badan saya yang bukan sport woman boleh jadi "fit" kerana semangat haji telah meresap di minda. Saya tidak mahu kesihatan saya memudaratkan ibadat saya disana nanti...


Sunday, August 16, 2009

Handphone

Membawa handphone adalah satu keperluan sewaktu menunaikan haji terutama apabila hendak menunggu untuk pulang bersama selepas solat selain hilang. Bagi yang belum pernah solat di Masjidil Haram, tempat solat wanita dan lelaki adalah bersebelahan mengikut "section - section" . Tetapi selalunya di bahagian ruang depan Kaabah adalah tempat untuk orang lelaki . Seingat saya , saya pernah juga solat berjemaah di bahagian depan Kaabah sewaktu Umrah dulu tetapi diwaktu yang tidak sesak dimana jemaah tidaklah ramai sangat. Seronok kalau dapat solat , betul-betul mengadap Kaabah, terasa kita betul-betul berhadapan dengan Allah dan terasa Allah sangat dekat , mendengar rintihan kita. Waktu itulah mengadu macam-macam dan airmata usahlah dicerita. Paling tersentuh apabila solat di Hijr Ismail dimana kawasan ini adalah di kira dalam kawasan Kaabah . Terasa sangat lain bila dapat solat disini...

Apabila kita memasuki Masjidil Haram , kita harus melalui pemeriksaan dari "security" Masjid. Selalunya bagi orang perempuan, mereka akan periksa dalam beg kita, jadi kalau ada handphone atau Kamera selain benda tajam (termasuk gunting), ianya akan dibuang. Jadi adalah lebih baik handphone dipegang oleh suami kita kerana pemeriksaan oleh pihak lelaki tidak se Strict orang perempuan. Eloklah suami kita yang bawa handphone isteri didalam poket baju singlet , misalnya. Bila dah selesai checking barulah kita ambil handphone kita. Kalau hendak bawa gunting pun bawalah gunting lipat yang kecil (untuk tahalul).



Tawaf Tahiyat Al Bait

Pada saya mengikuti Kursus Haji Bersiri yang dianjurkan oleh pihak Tabung Haji amatlah berguna sebagai pedoman untuk kita menunaikan haji. Kalau kita beranggapan kita telah pergi umrah beberapa kali, usahlah memandang remeh untuk mengikuti Kursus Haji Bersiri kerana terlalu banyak pedoman dan "guidance" yang adakalanya tidak terdapat dari buku-buku Haji yang kita beli.

Saya juga baru tahu rupa-rupanya Tawaf Tahiyat Al Bait adalah lebih afdal dilakukan setiap kali kita solat di Masjidil Haram. Diwaktu unrah-umrah saya dahulu, saya selalunya akan Solat Tahiyatul Masjid setiap kali sampai di Masjidil Haram, satu rutin yang selalu kita lakukan setiap kali masuk ke Masjid. Tetapi apabila kita berada di Masjdil Haram , kita seharusnya membuat Tawaf Tahiyat Al Bait sebagai menghormati Kaabah dan tidak perlulah kita buat Solat Tahiyat Masjid kerana kita sudah buat Tawaf tersebut.

Selalunya Tawaf saya buat adalah Tawaf Umrah atau Tawaf Sunat dan dengan pengetahuan yang sedikit sewaktu menunaikan umrah dulu, saya terlepas pandang untuk membuat Tawaf Tahiyat Al Bait.


Mujurlah dengan pendedahan ilmu yang sentiasa di perbaiki , saya kini mendapat ilmu baru untuk saya gunakan sewaktu menunaikan Haji nanti iaitu membuat Tawaf Tahiyat Al Bait.



Nota dari anak-anakku




Sebuah nota yang ditulis oleh anak saya , diletakkan diatas note book saya , buat saya terharu. Nota-nota ucapan dan luahan dari anak-anak saya begitu banyak saya terima dan saya masih simpan . Masih ingat nota-nota dan kad-kad ucapan yang dibuat sendiri oleh setiap anak-anak saya begitu banyak terkumpul dan saya simpan. Bila membaca kad yang ditulis oleh anak saya di usia 4 tahun, 12 tahun , 15 tahun , buat saya tertawa malah kadang-kadang terharu melihat harapan-harapan mereka ....

Thursday, August 13, 2009

Ustaz Asri Rabbani

Menggigil diri saya apabila terbaca tentang pemergian Ustaz Asri (Rabbani ) , padahal minggu lepas saya baru menghadiri ceramah Motivasi dari adiknya ,Ustaz Ghazali dimana dia menceritakan sedikit sebanyak tentang abangnya Ustaz Asri , yang cuma beza 2 tahun dari usianya. Kata abangnya , kalau jumpa peminat dan tanyakan pasal dirinya Ustaz Asri, 'Kau sign aje bagi pihak aku", kata adiknya Ustaz Ghazali.

Sungguh terharu pada usia yang masih muda , iaitu 40 tahun dia telah pergi dipanggil oleh yang Maha Menyayangi. Tetapi dalam usia yang masih muda , begitu banyak nasyid dan zikirnya yang ditinggalkan untuk kenangan. Usia ini hanyalah pinjaman tetapi kita dilekakan oleh dunia. Terasa semakin takut menanti saat ajal memanggil kita. Bersediakah kita ?

Bulan Syaaban selalunya menceritakan tentang pemergian orang-orang yang "menyentap" di hati kita. "Minggu ni aja , 2 orang kat kampung meninggal ", kata suamiku sewaktu kami makan malam semalam. "Bulan Syaaban kan selalu orang meninggal!", jawabku.

Padahal semalam juga 21 Syaaban , ibu saya pergi sejak 6 tahun yang lepas. Syaaban selalunya meninggalkan kenangan tentang orang-orang yang istimewa untuk dikenang....

Tuesday, August 11, 2009

Kembara Hati di Tanah Suci - Ustaz Ghazali Ibrahim

IKTIBAR MIQAT:


Miqat antara lain bermaksud "turning point", "titik tolak" untuk kita melakukan perubahan diri dari tidak baik kepada baik...daripada baik kepada lebih baik.

Dari Miqat kita menuju "Mi'ad" dalam lautan manusia dengan pakaian yang sama, darjat dan kedudukan tanpa perbezaan. Apakah semua diterima?


IKTIBAR MENANGGALKAN PAKAIAN :


Tanggalkan sifat riya' sombong dan ego
Tanggalkan pakaian yang menonjolkan puak atau golongan , kuasa atau darjat
Leburkan keakuan menjadi kami (umat)

Ihram putih melambangkan jiwa yang bertukar menjadi suci dan bersih
Hati yang sejahtera (salim) ialah hati yang jernih dari titik hitam dosa dan bersih daripada unsur yang keji dan jahat.



IKTIBAR DARIPADA TAWAF :


Melihat Kaabah, rasa melihat Allah.
Hati gementar , tak sabar tertarik yang amat , rindu ingin menatap.
Kaabah tidak menghadap ke satu arah . Simbolik bahawa Allah tidak punya arah (Allah dimana ?)

Rasakan Allah sentiasa melihat dari setiap penjuru (maqam ehsan). Kaabah bukan tujuan tetapi ia adalah simbol penunjuk jalan.
Kosongnya Kaabah memberi isyarat untuk dekat dengan Allah.
Kita perlukan suasana kosong , tenang , tiada gangguan dan bukan sesuatu yang melekakan kita.

Tawaf bermaksud lari negatif kepada positif
Tiga pusingan pertama bermaksud lari daripada kerja dosa kepada kerja berpahala
Empat pusingan kedua bermaksud lepas dari kesakitan pohon kenikmatan , lepas dari murka pohon keampunan

Waktu tawaf leburkan kepentingan diri , rasakan semua dalam satu dan satu dalam semua. Jangan hanya fikir diri, berikan juga hak orang lain.
Tawaf adalah untuk mencari cinta Allah dan juga mencari kemaafan dan keampunan Allah.



Al Quran Terjemahan

Semalam , sewaktu menunggu anak kami pulang dari tuition , kami berkesempatan ke Kedai Buku di Plaza Angsana. Suami saya bercadang membeli AlQuran Terjemahan untuk dibaca dan dibawa sewaktu menunaikan haji nanti. Saya agak terperanjat AlQuran Terjemahan yang saya ingin beli itu berharga RM175.00. Malah AlQuran yang saya beli sebelum ini yang berharga RM108.00 telah menjadi RM130.00. " Mungkin hendak Raya, harga naik... AlQuran pun boleh naik jugak", kataku pada suamiku dengan nada terperanjat.

Saya memang berminat untuk membeli AlQuran Terjemahan tetapi memandangkan harganya agak mahal, saya bercadang beli selepas hari raya nanti. Lagipun saya perlukan Terjemahan tersebut kerana boleh gunakan sewaktu Kelas Tafsir.

Setelah difikirkan , kalau saya bawa AlQuran Terjemahan yang besar , memanglah mudah hendak dibaca, tetapi bagaimana saya hendak simpan Terjemahan itu sewaktu solat di Masjidil Haram nanti ? Keadaan solat adalah bersesak-sesak pastinya susah untuk simpan Terjemahan itu nanti. Setelah berbincang dengan suami saya , kami akhirnya membeli AlQuran Terjemahan yang kecil yang boleh disimpan didalam beg kecil kami ataupun dalam poket jubah .

Bila saya check balik , banyaknya buku-buku yang hendak dibawa dan dibaca disana nanti. Seperti nak masuk kolej pulak rasanya. Kedai buku disana , semuanya tulisan Arab sebab itu saya perlu membawa buku-buku dari Malaysia untuk mengisi setiap ruang masa terutama di waktu uzur. Rugi tak baca untuk tempoh 1 minggu, setidak-tidaknya saya boleh baca Terjemahan Al Quran berulang kali selain zikir dan doa yang disarankan oleh berbagai-bagai pihak. Mujurlah buku-buku yang diberi oleh pihak Tabung Haji dan TH Travel dalam saiz yang kecil supaya mudah dibawa.

Semakin banyak kita belajar semakin banyak yang kita tidak tahu.... Saya selalu marahkan diri saya kenapalah tidak pandai-pandai....hmm




Kembara Hati di Tanah Suci - Ustaz Ghazali Ibrahim



Sewaktu kami menghadiri taklimat dari TH Travel minggu lepas, Ustaz Ghazali Ibrahim iaitu adik Ustaz Asri (Rabbani) memberi ceramah Motivasi Haji yang ringkas tapi padat dengan pemikiran yang sangat menarik hati saya. Mujurlah beliau ada menulis sebuah buku hasil dari pemergian Haji beliau pada tahun 2007 dan 2008 dimana beliau dilantik menjadi guru agama yang ditugaskan oleh TH Travel. Alhamdullilah , tahun 2009 juga beliau akan turut serta bersama-sama kami menunaikan Haji dimana beliau turut ditugaskan sekali lagi untuk membimbing kami di Tanah Suci nanti.

Setelah habis membaca buku beliau saya rasa ianya adalah sebuah buku yang perlu dimiliki oleh setiap orang. Cubalah baca....

Berikut adalah beberapa mukasurat yang sempat saya scan.






Monday, August 10, 2009

Hijrah didalam diri...

Sewaktu saya kecil kalau tak silap saya sewaktu usia saya 9 Tahun, saya mempunyai hobi melihat awan. Setiap ketika saya pasti akan memandang kelangit dan lihat corak awan . Saya suka melihat corak yang berbagai-bagai malah adakalanya saya 'imagine" ini bentuk apa.

Sewaktu perhimpunan disekolah yang dibuat di Padang Sekolah, mata saya pasti terarah pada cahaya matahari. Saya selalu cuba lihat matahari dengan keadaan mata yang sakit kerana silaunya tapi itulah antara hobi saya yang saya lakukan setiap hari. Selalu berimaginasi dan kagum dengan kisah awan dan matahari saya.
Apabila saya semakin dewasa pada usia 13 tahun, saya suka mencari sesuatu yang saya rasa tersembunyi tapi keinginan saya begitu meluap-luap untuk tahu sesuatu . Sesuatu yang saya tidak tahu. Pada usia itu hampir semua buku yang saya dapat berkenaan agama akan saya baca. Saya baca buku Tafsir Al Quran bapa saya malah beberapa buku-buku yang ada dirumah mahupun di perpustakaan sekolah. Malah buku-buku agama Datuk saya yang sudah lusuhpun saya baca walaupun pada usia itu saya tidak faham. Saya masih tidak berpuas hati kerana fekah hanya menceritakan hal-hal Fardhu Ain , hukum dan asas . Saya masih ingat tentang sebaris ayat yang dibaca tentang air lautan tidak akan dapat menulis kesemua Ilmu tentang besarnya Ilmu Allah. Diwaktu itu , tiada internet, had pembacaan hanyalah tertumpu pada buku-buku yang ada dirumah atau disekolah.

Hati saya tidak merasa puas, seperti apa yang saya cari masih tidak saya temui. Pada saya mesti ada rahsia disebalik setiap perlakuan yang disuruh Illahi. Teruslah saya dengan apa yang diajar atau terlihat dimata tentang ibadat. Membaca Yasin sudah menjadi rutin hidup saya. Semakin dewasa semakin banyak yang saya belajar makin banyaklah koleksi surah-surah kegemaran saya antaranya Surah Al Mulk, Surah Sajadah, Surah Ar Rahman, Surah Al Kahfi dan Surah Waqiah.

Sehinggalah saya dapat menemui Tafsir Hamka, barulah saya berpuas hati definasi Al Quran yang diterjemahkan dengan lebih luas. Tafsir Hamka lah yang akhirnya membimbing hati saya untuk terus menyelami sesuatu yang sukar kita fahami. Rahsia tersirat disebalik ibadat membuatkan kita kagum luasnya Al Quran yang melengkapi kehidupan manusia untuk setiap zaman.
Hijrah didalam diri saya susuri satu demi satu, melihat dan terus berfikir. Semuga Allah beri jalan yang lurus, jalan yang Kau redhai. Saya masih ingat pada usia 7 tahun, bapa saya suruh kami menghafal maksud surah AL Fatihah dimana kami boleh dengan lancar memahami maksud setiap ayatnya. Disitulah pemula segala yang telah kita mulakannya sejak kecil, tapi pengisiannya hanya kita faham seiring dengan usia. Tuhan beri kita dugaan dan pengalaman untuk kita lebih memahami erti kehidupan ini . Memahami siapa kita ?

Sebab itu sewaktu berpeluang untuk pertama kalinya mengumpul duit , itulah yang saya cari, mencari diri saya, mencari Allah dengan pertama kalinya saya menjejaki kaki saya di Baitullah. Episod pencarian tidak berhenti semenjak saat pertama saya melihat Kaabah. Sejak dari kecil , saya lihat awan, saya percaya ada sesuatu disebaliknya. Saya lihat Matahari, saya percaya ada sesuatu yang sangat besar di sebaliknya. Saya lihat bulan dan bintang. Saya lihat lautan. Saya lihat keindahan alam . Saya diberi peluang untuk merasakan sesuatu yang dibuka satu persatu. Inilah kuasa Tuhan, memberi dan membenihkan iman dihati hambanya yang sangat daif ini.

Sungguh kerdilnya diri disaat sujudku dihadapan Kaabah , hanya airmata dapat menceritakan segala-galanya ....

Tuhan tinggalkan kita "seorang" supaya kita dekat pada Nya.
Tuhan beri kita pengalaman yang menyakitkan supaya kita dekat pada Nya.





Persiapan yang menerujakan...

Semalam sewaktu kami berada di Melaka , kami sempat membeli sedikit persiapan untuk Haji antaranya sarung lengan , baju tshirt putih buat suami dan sarung kaki. Telekung dan pakaian haji saya telah pun dibeli sewaktu di Bandung , bulan Jun yang lepas. Begitu juga kain ihram buat suamiku telah pun ada 2 helai dimana sehelai diberi oleh pihak Tabung Haji Travel yang begitu selesa untuk dipakai. Mungkin akan cuba beli dari pihak Tabung Haji Travel untuk sepasang lagi kerana saiznya begitu sesuai dengan suami saya.

Untuk pakaian jubah suami saya , tidak ada masalah kerana jubah-jubah yang dibeli 12 tahun dulu masih elok lagi malah lebih dari mencukupi. Ditambah pula dengan jubah-jubah yang dibeli sewaktu di Dubai beberapa tahun yang lepas. Kami sedikit demi sedikit memenuhi keperluan yang kami kena penuhi supaya nanti tidaklah tergesa-gesa mencari barang-barang haji. Beg galas yang diberi oleh pihak TH Travel juga sangat menarik perhatian anak-anak perempuan saya. "Nanti , abah balik dari Haji, beg ni Neesa nak bawak pergi sekolah!". Itulah juga yang dipesan oleh pihak TH Travel supaya berhati-hati simpan beg itu takut nanti bila nak pergi , begnya entah kemana kerana diambil atau digunakan oleh anak-anak atau cucu. Memang betulpun...anak-anak memang suka beg tersebut.

Selain mengasingkan buku-buku doa yang diberikan oleh pihak Tabung Haji dan TH Travel yang akan kami bawa bersama. Saya juga bercadang untuk membeli Buku Tafsir Alquran untuk dibawa disana, supaya diwaktu uzur dapat membaca tafsir. Hendak bawa Tafsir Hamka terlalu banyak dan berat jadi cukuplah sekadar membeli Tafsir AlQuran. Lagipun sejak belajr mengaji balik, terasa takut hendak baca Alquran tanpa di pandu oleh guru kerana terlalu banyak Tajwid yang salah takut nanti bila dibaca di sana , sebutan yang silap akan membawa padah pada diri sendiri. Jadi untuk jalan selamat lebih baik saya baca Tafsir , setidak-tidaknya inilah masa dan peluang untuk menghayati makna setiap surah dalam Al Quran itu sendiri. Sudah memahami keadaan yang akan kami lalui disana, pastinya apa yang akan kami isi kena disediakan dari awal supaya waktu kami akan terancang dan dapat di isi dengan ibadat dan pembacaan yang berkualiti.

Sepulangnya dari Melaka, suami saya mencuba kembali cara memakai ihram, sekejap tukar yang ini sekejap try baju jubah, dikemasnya beg-beg yang hendak digunakan, begitu sibuk sekali mengalahkan orang perempuan. Keterujaan yang tidak dapat di bendung memandangkan minggu hadapan sudah mula berpuasa , tentulah aktiviti hendak membeli apa yang belum dibeli kena kami sediakan awal . Itu belum lagi untuk memotong pakaian jubah suami saya yang terlebih panjang sedikit supaya tidak meleret-leret kerana disana nanti kena banyak berjalan . Takut nanti kalau terpanjang sangat Jubahnya akan menyebabkan kotor dan tentulah susah hendak di cuci selalu.

Saya juga masih belum mencari stokin yang tebal yang saya akan gunakan sebagai kasut apabila berada didalam Masjid nanti . Bukan senang nak cari stokin itu tapi kena cuba juga cari sampai dapat. Ianya penting kerana tawaf dan sai bukan memgambil masa yang sedikit seperti menunaikan umrah. Jadi kalau sentiasa terdedah kaki pada lantai marmar yang sejuk dan panas dalam jangkamasa berjam-jam , pastinya tumit kaki akan luka atau melecet. Itulah yang dialami oleh suami saya kerana orang lelaki tidak boleh pakai stokin. Jadi peluang yang diberi pada kaum wanita untuk guna stokin kenalah dimanafaatkan sebaik mungkin. Saya tidak mahu kaki saya melecet kerana seboleh mungkin seperti selalu saya mahu ibadat yang terbaik dapat dilakukan dengan keadaan fizikal yang tidak memudaratkan.


"Bila you nak siapkan doa", tanya suamiku. Doapun kena hendak disiapkan skripnya untuk dibaca terutama di Padang Arafah nanti. Nantilah, terasa begitu banyak yang hendak dibuat tapi hati tetap berlagu girang....




Sebuah pengorbanan dari seorang Anak...

Semalam , kami sekeluarga menghantar anak-anak kami pulang ke Melaka kerana cuti semester telah berakhir. Terasa 1 minggu cuti semester begitu pendek sekali. Saya juga agak lega anak-anak bujang saya semakin menyenangkan hati . Bersyukur saya kerana dianugerahkan anak-anak yang sentiasa menggembirakan hati kami suami isteri walaupun sesekali kenakalan mereka tidak dapat disorok tetapi mereka masih lagi menepati apa yang saya mahu anak saya jadi, iaitu anak-anak yang baik.

Lebih mengharukan anak sulung saya yang memang terkenal dengan sifat penyayang terutama pada adik-adiknya meluahkan rasa, sebaik sahaja pulang bercuti seminggu yang lalu, "Mama , betul ke mama nak bagi Alia dan Aneesa duduk dikampung masa mama pergi haji nanti?". Aku hanya mengganguk kerana itulah sahaja jalan yang ada walaupun jauh dihatiku hanya Tuhan yang tahu. Bukanlah mudah melepaskan 2 anak perempuan kesayanganku itu selama hampir 2 bulan duduk dikampung. Satu suasana yang sangat berbeza dari dirumah dan pastinya kerinduan itu aku sendiri tidak mampu menjawabnya sepanjang ketiadaan kami nanti. Tetapi aku berserah pada Tuhan. Aku yakin Tuhan akan menjaga anak-anakku itu sebaik mungkin. Tidak surut doaku untuk anak-anakku sejak berbulan-bulan yang lalu. Terasa begitu payah meninggalkan mereka tetapi kerana Allah aku kuatkan semangat .

Mungkin doaku didengar, resahku dipertimbangkan. Kita tidak pernah menduga akhirnya keyakinan pada Illahi yang tidak akan mempersia-siakan harapan hambanya. "Biarlah , Shafiq jaga Alia dan Aneesa. Afiq risau Alia takut Alia sakit , Mama kan tahu Alia tu cam mana!, keluh anakku itu. "Berserah pada Tuhan", kataku ringkas. Tidak mahu "elaborate" perasaanku kerana pada Tuhanlah sebaik-baik tempat untuk berserah.

"Mama, bulan November dan Disember, Afiq "short semester" and Afiq boleh ambil 1 atau 2 paper saja, kelas Afiq pun tak banyak, biarlah Shafiq jaga adik-adik", kata-kata yang sangat bersungguh-sungguh terlontar dari hatinya."Afiq risau Ma, especially Alia, Afiq tak boleh tidur fikirkan adik-adik nak tinggal kat kampung". "Apakata kita orang tinggal kat rumah KL, and Shafiq ulang alik pergi kelas, balik hari , itupun cuma 2 atau 3 hari, Afiq boleh schedule kelas Shafiq". Itulah antara altenatif yang diberi yang kelihatannya agak menarik hatiku tetapi bolehkah mendapat kelulusan dari suamiku. Padahal suamiku sudah begitu gembira hendak menghantar anak-anaknya untuk pulang ke rumah ibunya. Aku tidak mahu mengecewakan harapan suamiku walaupun keresahan dihati tentang kemampuan anak-anak kecil itu menghadapi satu situasi yang sangat berlainan dengan kehidupan mereka.


"Silapnya aku terlalu memanjakan anak-anakku", bisik hatiku sesekali. Kelemahan yang sangat ketara pada diriku terlalu sayangkan anak-anak. Hampir seminggu berlalu, "Macam mana , Mama, dah bagi tahu Abah?", resah hati anakku kerana cuti semester sudah habis. Sudah mahu pulang ke Kolej , aku masih belum mampu memberikan usul anakku itu pada suamiku. Tidak tahu aku mahu mulakan dari mana. "Bukan senang nak bagi tahu Abah!", kataku ringkas. "Nantilah", bisikku dan biarkan ia berlalu. Harapan sangatlah tipis. "Biarlah , kalau kat kampungkan ok jugak, nanti beli kelambu dan 'train" budak-budak tu uruskan baju mereka sendiri, tentu tiada masalah, sampai bila mereka harus bergantung pada Mama", kata hatiku untuk legakan suasana.


Akhirnya , sampai dirumah Shafiq sebelum kami pulang ke JB, Shafiq cuba ceritakan pada Abahnya tentang short semesternya dan dia boleh jaga adik-adiknya. Nampaknya dia tak sanggup lagi tunggu Mama yang masih tidak suarakan "proposalnya" pada Abah, dan kuatkan dirinya untuk memberitahu sendiri. Seperti diduga, belum habis bercerita, Abah nya tidak mahu mengubah keputusan yang telah dibuat sebelum ini. Aku hanya berdiam diri, "malas nak fikir". kata hatiku.

Dalam perjalanan pulang ke JB , didalam kereta, aku cuba "elaborate" apa yang Shafiq maksudkan disamping alternatif yang diberi selain sebab-sebab yang perlu diambil kira terutama apabila Alia dan Aneesa sakit apatah lagi dengan H1N1 , pastinya ketika bulan November, angka kematian akan lebih menakutkan pastinya akan mengundang resah dihati kami . Kalau kritikal manalah Mbah nya akan dapat bawa ke hospital kalau ianya berlaku dimalam hari. Apatah lagi Alia mempunyai sakit Asma.

Tanpa kuduga , apabila aku jelaskan semua yang diharapkan oleh Shafiq, malah pengorbanannya untuk adik-adiknya, suamiku menerimanya dengan mudah. Macam tak percaya juga. Mungkin suamiku hendak mengambil hatiku atau mungkin itulah sebenarnya yang terbaik untuk meleraikan masalah kami...Entahlah.

Tapi aku bersyukur kerana aku kini sangat lega, anak-anakku dapat berkumpul sama dirumah kami di KL walaupun Shafiq terpaksa bersusah payah berulang alik untuk menghadiri kelas di Melaka. Inilah harga pengorbanan yang harus dilakukan bukan oleh kami sahaja malah seluruh anak-anak kami. Pengorbanan ini sebenarnya mengeratkan lagi kasih sayang kami yang sangat akrab.....

Terima kasih Tuhan....





Zikir Asma Husna

Hari Jumaat yang lepas saya berpeluang untuk pertama kalinya mengikuti Zikir Asma Husna di tempat saya belajar mengaji. Alhamdullilah diberi peluang yang tidak pernah saya tempuhi selama ini dan khabarnya hanya di Johor sahaja Majlis begini dilakukan . Saya tertarik juga dengan aktiviti begini kerana selalunya kita hanya melakukan Majlis doa selamat atau Tahlil tetapi pengalaman baru dalam hidup saya sangat menggembirakan hati saya.


Saya makin seronok menghadiri majlis-majlis ilmu begini. Diberi keringanan yang saya sendiri tidak sangka dan begitu mudah diberi jalan oleh Illahi. Saya tidak terkilan memperuntukkan hari Khamis dan Jumaat untuk kelas-kelas keagamaan. Selalunya saya hanya melakukan dirumah seorang diri dengan pembacaan demi pembacaan tapi kini saya dapat keluar untuk sekian lamanya dan saya diberikan keseronokan hati yang tidak terucap dengan kata. Itulah ajaibnya kuasa Tuhan.


Lebih ajaib walaupun saya tidak melakukan kerja rutin saya setiap Khamis dan Jumaat secara agresif seperti selalu tetapi setiap kali pulang dari kelas, proposal dari klien klien baru terus masuk tanpa berhenti.

Seperti kata ustazah :

"Kita cari dunia kita dapat dunia sahaja...
Kita cari akhirat kita dapat dunia dan akhirat..."

Hidup ini sebenarnya adalah pilihan kita sendiri....

Friday, August 7, 2009

Nifsu Syaaban

Tahun ini merupakan Tahun yang agak manis dihati kami , suami isteri kerana kami dapat berpeluang berpuasa pada hari Nifsu Syaaban bersama-sama dengan kesemua anak-anak saya. Sesuatu yang sangat sukar berlaku kerana selalunya salah seorang dari anak kami pasti tiada di rumah kerana berada di asrama ataupun di Kolej.

Terasa saat berbuka puasa begitu seronok sekali apatah lagi dapat solat berjemaah bersama-sama dengan anak-anak kami . Anak-anak saya kelihatannya agak teruja juga untuk menanti peluang mereka untuk menunaikan umrah bersama-sama. Sesekali anak saya Ameer menceritakan keseronokan yang tidak dapat dilafazkan apabila dapat bersembahyang di hadapan Kaabah. Lebih nostalgia diwaktu usia 11 tahun beliau sudah dapat mengucup Hajar Aswad.

" Insyallah , mama akan cuba sedaya upaya supaya kita semua dapat bersama-sama menunaikan umrah, impian mama sejak 12 tahun yang lalu, " bisik hati kecilku.



Wednesday, August 5, 2009

Taklimat Tabung Haji Travel - 5 Ogos 2009

Hari ini menghadiri Taklimat dari TH Travel di Bangunan MPC . Satu taklimat yang sangat padat dengan maklumat berhubung dengan apa yang akan kami lalui dari saat kami sampai ditempat melapor diri di Pusat Haji di Kelana Jaya sehinggalah kami pulang ke Malaysia. Satu penerangan yang sangat penting dan jelas tentang apa yang akan berlaku kepada kami termasuk kemungkinan-kemungkinan yang harus kami lalui.

Seperti yang saya duga TH Travel tidak pernah mengecewakan saya berikutan dengan pengalaman menggunakan perkhidmatan mereka sebelum ini. Kami juga di beri ceramah Motivasi Haji oleh adik Ustaz Asri (Rabbani). Ceramah beliau sangat menarik dimana pendekatan Haji dalam versi baru yang menarik perhatian saya tentang "Haji di saat Muda". Satu usaha yang harus diterapkan kepada generasi muda supaya ibadat Haji bukan lagi di fahami atau popular hanya untuk golongan veteran . Ianya adalah satu ibadat yang amat dituntut apatah lagi apabila kita masih muda dan ada pula pendapatan tetap. Ianya bukan lagi alasan untuk menjadikan ibadat Haji sebagai ibadat terakhir dalam hidup kita.

Melengkapkan Rukun Islam yang ke-5 mestilah dijadikan satu semangat yang bersungguh-sungguh. Apa yang terbayang di fikiran , saya akan pastikan , anak-anak saya akan melakukan Haji sebelum usia 40 tahun dan satu bonus kalau mereka bersedia untuk pergi pada usia sebelum 30 tahun. Insyaallah , kami akan berusaha sedaya upaya untuk membawa anak-anak kami untuk melakukan Umrah sepulangnya kami dari melakukan Haji nanti. Ianya bukanlah satu misi yang mudah untuk mengumpul duit tetapi niat dan usaha yang bersungguh-sungguh , tiada apa yang mustahil.

Kami juga tidak melepaskan peluang membeli buku yang ditulis oleh Ustaz. Insyallah dalam artikel seterusnya saya akan tulis apa yang saya dapat dari pembacaan saya itu.

Niat yang serupa dan usaha yang bersungguh-sungguh mengapa saya begitu komited dengan blog ini adalah kerana untuk menjadikan ia satu kenangan yang terindah dalam hidup saya yang melalui setiap episod mendirikan ibadat haji itu selain meninggalkan kata-kata termahal untuk anak-anak saya , yang saya harap akan menjadi panduan untuk mereka kenang dalam hidup mereka. Ianya bukanlah dalam bentuk harta tetapi pengalaman ibu bapa mereka .

Pastinya juga untuk saya memberi perkongsian ilmu yang saya cari dan temui sepanjang perjalanan Haji ini dimana harapan saya , setidak-tidaknya dapat mengetuk hati insan yang membacanya bahawa Haji itu sangat indah...



TH Travel - Panduan Pakaian/Keperluan/Barangan untuk dibawa ke tanah Suci (40-45hari)

Aktiviti Masyaer - Jadual 1

Aktiviti Masyaer - Jadual 2

TH Travel - Penginapan Jemaah di Madinah

TH Travel - Penginapan Jemaah di Mekah

Penginapan di Mekah - yang bertanda merah penginapan bagi pakej TH Travel manakala yang berwarna hijau bagi pakej Muasasah.


TH Travel - Aturcara Perjalanan Awal/Pertengahan - Ke Madinah (Haji Tamatuk)

Tuesday, August 4, 2009

Tempat Mustajab Berdoa

Telah datang daripada Al-Hassan Al Basri Rahimatullah Taala :

Semulia-mulia tabi'in bahawa tempat-tempat mustajab doa pada Tanah Haram Al Mukarramah iaitu 15 tempat seperti yang berikut, maka di sunatkan berdoa dengan bersungguh-sungguh pada NYA :


1. Di Tempat Wukuf - pada bila-bila masa
2. Di Multazam - tengah malam
3. Di bawah pancuran Emas - waktu sahur
4. Di Makam Ibrahim - waktu sahur
5. Di Dalam Kaabah - waktu Asar
6. Di Atas Bukit Safa - waktu Asar
7. Di Atas Bukit Marwah - waktu Asar
8. Di Tempat Sai - waktu Asar
9. Di Sisi Zam Zam - waktu gurup matahari
10. Di Arafah / Wukuf - waktu naik matahari
11. Di Mudzalifah - waktu naik matahari
12. Di Jamrah Sughra - waktu naik matahari
13. Di Jamrah Wusta - waktu naik matahari
14. Di Jamrah Kubra - waktu tengah malam
15. Di Mina - 14 Zulhijah

Sunday, August 2, 2009

Golf



Semalam terbaca artikle dari Blog Prof. Muhd Kamil tentang Golf. Sememangnya permainan Golf adalah satu permainan yang dimonopoli oleh golongan senior management. Suami saya terpaksa berjinak-jinak dengan dunia golf sejak kami tinggal di Kuching, Sarawak. Setiap kali boss dari KL datang , pastinya kena arrange permainan golf dan ada waktu kena ikut serta untuk menemani mereka. Ianya lebih kepada 'skil yang diperlukan untuk entertain the bosses", pada saya. Apatah lagi untuk menjalin hubungan baik dikalangan "bankers".

Saya agak tidak setuju kerana apabila mereka sudah bergiat dalam bidang golf , hampir setiap minggu mereka terpaksa menghabiskan masa untuk latihan dan "social meeting" di padang golf seawal sebelum Suboh. Kalau diseimbangkan waktu lain supaya bangun sebelum Suboh untuk beribadat mungkin saya boleh bersikap rasional dengan aktiviti bermain golf. Ianya lebih membuat saya tidak setuju apabila suami saya terpaksa bersama kawan-kawannya hampir setiap minggu. Kalaupun suami saya terpaksa mengikuti program saya bersama-sama anak, suami saya terpaksa dalam keadaan yang letih , terpaksa continue untuk aktiviti bersama-sama anak dengan keadaan dirinya yang letih.


Pada saya , kalau kita hanyalah seorang pekerja adalah lebih baik kita tidak aktif sangat dengan sukan golf . Ianya hanya sesuai untuk "the big bosses" atau "businessman" kerana golf sangat bersesuaian digunakan supaya mereka boleh 'decide certain issues in a relaxing situation".

Saya, kadang-kadang rasa bersalah kerana suami saya kini semakin menjauhkan diri atau mengelak dari rakan-rakannya untuk menjadi team bermain golf kerana saya. Begitulah hebatnya kasih suami saya apabila membuat pilihan dalam hidupnya, selalunya dia akan membuat apa sahaja untuk membuat saya bahagia.

Mujurlah dia memahami mengapa saya tidak bersetuju dengan Golf kerana saya perlukan suami saya terutama di hujung minggu kerana masa yang sangat berharga adalah saat bersama-sama membesarkan anak-anak dengan aktiviti disetiap hujung minggu. Pada saya itulah saat yang sangat penting kerana zaman anak-anak adalah sangat penting dalam hidup saya dan saya perlu komited untuk menjadi ibubapa yang diharapkan oleh setiap anak-anak saya.

Selalunya soalan hairan diajukan pada suami saya, "Apa yang dibuat setiap minggu?". Kami mempunyai waktu bersama yang sangat berharga dan kami sentiasa "looking forward" setiap hujung minggu semenjak 22 tahun yang lalu.....

Apabila sudah berusia begini, golf sudah tidak penting selain menyibukkan diri untuk Allah...zaman Golf sudah berlalu....






Kerja yang tiada sudah...


Hari ini sepatutnya saya kena pergi ke Kuala Lumpur kerana urusan kerja dan hanya akan balik secepatnya pun pada hari Rabu. Selalunya kalau ke Kuala Lumpur , suami saya akan menemani saya , tapi kali ini saya bercadang untuk pergi dengan anak sulong saya kerana kebetulan minggu hadapan anak saya bercuti semester selama seminggu.

"Pergi hari ini , baliklah esok!", kata suami saya. Satu kenyataan yang ringkas tetapi saya memahami maksud tersirat. Itulah suami saya yang tidak pernah mahu saya tinggalkan rumah walaupun satu hari , padahal suami saya tidak pernah menghalang tetapi sudah biasa dengan sikap taat pada suami , saya akan sentiasa ada disisinya seperti apa yang dia mahu. Rumah ini akan menjadi sangat sunyi tanpa adanya saya. Jadi untuk memenuhi harapan suami , terpaksalah saya adjust kerja saya supaya , ianya dapat diwakili oleh anak saya tanpa perlu saya hadir sama. "Mama , suruh Shafiq pergi esok pagi", kataku sambil melihat reaksi lega diwajah suami saya.

Saya tidak dapat membayangkan bagaimanalah nanti saya terpaksa meninggalkan kerja saya selama hampir 2 bulan sepanjang ketiadaan saya sepanjang menunaikan Haji nanti. Tiada kerja tiadalah pendapatan untuk tempoh 2 bulan nanti, jadi terpaksalah saya bekerja lebih agresif untuk beberapa bulan sebelum pemergian saya nanti. Ianya bukanlah mudah kerana kerja saya mempunyai dateline yang agak terhad dan klien-klien saya pula memerlukan nasihat saya hampir setiap hari . Saya hanya mampu berdoa semuga segala urusan dimudahkan . Biarlah urusan kerja dan rezeki saya berserah seluruhnya kepada Illahi. Ianya bukanlah mudah untuk saya kendalikan tetapi dengan keyakinan dan kuasa Allah , hati saya tetap akan relax seperti biasa. Saya tidak mahu kerja saya mengawal apa yang saya mahu lakukan dalam hidup saya...saya ingin mencari redha Allah.

Ya Rabbi...bimbinglah aku.



Saturday, August 1, 2009

Katam Quran

Saya yang bercita-cita untuk katam Al Quran untuk kali yang seterusnya sebelum pergi menunaikan Haji bulan November ini, agak kecewa kerana sempat kah saya mencapai target saya itu. ? Padahal saya masih terkial-kial dengan Surah Al Baqarah dan sekarang sudah masuk bulan Ogos.

Kadang-kadang, kita tidak sangka niat kita sekecil itu yang kita suarakan dihati, Allah beri jalan untuk kita memenuhi impian itu. Saya diberitahu bahawa Bacaan Tadarus Alquran akan dibuat di tempat saya mengaji dimana Ustazah akan "lead" kami untuk tadarus sebanyak 2 juzuk setiap hari di Bulan Puasa , supaya kami akan katam Quran pada hari ke 15 Puasa.

Alhamdullilah, impian saya tercapai juga dan diberi jalan. Kadang-kadang saya semakin terharu kerana belum tiba di Mekah lagi saya telah merasai keajaiban dan keistimewaan diberi jalan yang sangat mudah yang saya sendiri tidak pernah sangka....

Tidaklah tahu kenapa airmata sangatlah mudah bergenang dimata setiap kali menyebut namamu Allah...



Nama yang pendek


Semalam menghadiri kelas agama dimana , Kadi dari Pulai Jaya , memberi ingatan yang membuat saya berfikir. Seorang sahabatnya sewaktu pengajiannya di Jordan , kini telah pun belajar sehingga ke peringkat Phd untuk pengajian Syariahnya. Tetapi , kata Ustaz, apabila sampai ke satu peringkat , seseorang itu akan mempunyai nama yang pendek sahaja iaitu nama dirinya dan bapanya sahaja. Tidak digunakan gelaran Dr. dihadapan namanya kerana itu sudah tidak penting lagi.

Bila kita mati, kita hanya bawa sehelai kain kapan untuk menemani kita selain amalan kita. Itulah yang akan temani kita. Cinta anak-anak , cinta isteri, cinta kaum keluarga , kawan-kawan malah kekayaan dan gelaran tidak akan pernah sanggup untuk turut sama menemani kita didalam kubur.

Kita hanyalah seorang insan yang tetap akan membawa gelaran sebagai "hamba Allah".....

Kita datang seorang , kita pergi juga seorang....
Kitab Bughyatul Mustarsyidin :

"Telah berkata Al Khauwas daripada tanda-tanda yang menunjukkan diterima Haji seseorang hamba dan bahawa dia sesungguhnya telah dikurniakan dengan keredhaan Allah ,iaitu bahawasanya sesudah ia kembali daripada mengerjakan haji , dia berakklah dengan akhlak Rasullulah (akhlak Muhamaddiyah) hampir dia tiada memandang dirinya lebih tinggi daripada seseorangpun daripada hamba-hamba Allah dan tiada pula berebut-rebut untuk mendapatkan sesuatu daripada perkara dunia sehingga meninggal dunia.

Dan tanda yang menunjukkan hajinya tiada diterima bahawa dia kembali semula kepada keadaannya sebelum mengerjakan Haji.