Catatan Perjalananku Menuju Haji...

Umrah Pertama - September 1997 (32 tahun)
Umrah Kedua - September 1999 (34 tahun)
Haji Pertama (Haji Fardhu) - November 2009 (44 tahun)

Umrah Ketiga - May 2010 bersama suami dan mertuaku (45 tahun)
Umrah Keempat - Mac 2012 bersama anak-anak Umrah Ziarah Jordan (47 tahun)
Umrah Kelima - Mac 2015 bersama suami (50 tahun)
Umrah Keenam - in sya Allah Feb 2018 bersama suami (53 tahun)


Inilah perjalananku.....mencari , menghayati dan melalui saat indah mengenal Cinta Ya Rabbi !

.

Followers

Ads


INILAH PERJALANAN SEBENAR KISAH SEORANG HAMBA ALLAH, MENGUTIP PENGALAMAN DEMI PENGALAMAN SEPANJANG 44 HARI MENUNAIKAN IBADAH HAJI DAN AKHIRNYA MENJADIKAN , APA YANG KITA LIHAT SEPERTI SEMALAM TIDAK LAGI SETELAH MENUNAIKAN HAJI... PENGALAMAN "ITU" TELAH MEMBEZAKAN KITA YANG SEMALAM DENGAN KITA YANG HARI INI....

semuga ianya memberi iktibar dan panduan bagi mereka yang memerlukan...

Tuesday, February 23, 2010

HARI 4 - Hati Tenang

Sesuatu yang aku kagum ialah satu perasaan yang selalu aku risaukan sebelum datang menunaikan Haji ialah , "bagaimana berjauhan dengan anak-anak dan juga berasingan bilik dengan suamiku".

Kita tidak pernah menyangka sebenarnya apabila samapai sahaja di sini hati kita merasa sangat tenang. Kalau selalunya rindu pada anak anak sukar di tampung , bila berada disini, hati kita seperti tenang sangat. Tidak ada rasa kerisauan kerana seperti sesuatu menyatakan "tidak ada yang perlu dirisaukan".

Begitu juga dengan suami yang masuk ke bilik masing-masing. Rasa macam di zaman di kolej, hari hari kita dating , satu perasaan yang sangat menyeronokkan. Setiap kali kita makan bersama-sama, berjalan-jalan bersama-sama dan kemudiannya balik ke bilik masing-masing. Ustaz kata kami berada didalam era "bertunang". Tapi best juga di usia perkahwinan yang ke 23 , kita rasa seperti usia kita pun jadi 23 tahun kerana terpaksa melalui ,kehidupan seperti di asrama.

Yang ajaibnya , hati terasa sangat tenang. Di minda kita hanya mengingati DIA.

HARI 4 - Ziarah

4 November , Rabu

Pagi itu selepas sarapan kami menaiki bas untuk ziarah ke Masjid Quba dimana kami dinasihatkan untuk mempunyai wudu sewaktu diHotel lagi dan solat Tahyatul Masjid kemudiannya Solat Dhuha apabila tiba di Masjid Quba dan kabarnya pahalanya seperti melakukan 1 umrah. Apabila kami sampai di Masjid tersebut begitu ramai jemaah berada disekitar masjid , agak sukar juga untuk sampai ke pintu masuk jemaah wanita. Malah jemaah yang masuk kedalam untuk solat terpaksa tergesa-gesa kerana ditolak oleh jemaah lain keran suasana didalamnya kelihatan agak sesak. Seperti biasa jemaah Indonesia begitu ramai dengan berbagai fesyen dan warna. Sesekali mereka ini kelihatannya seperti melancung kerana warna yang dipilih begitu terang terang sekali, ada yang bertopi besar , ada yang berjaket dan jelas mereka tetap dengan tradisi cara pemakaian mereka, jauh sekali mahu memakai jubah seperti kebiasaan jemaah Malaysia apabila ke sini.

Masjid Quba begitu jauh berbeza dengan Umrah 10 tahun yang lalu. Dulu sewaktu solat disini suasananya sangat tenang dan aman dan tidaklah besesak-sesak seperti hari ini. Mungkin kerana musim haji , bilangan yang hadir jauh berbeza sewaktu umrah.


Kami kemudiannya dibawa ke Bukit Uhud dan diceritakan kembali tentang sukarnya mempertahankan Islam dizaman Nabi dimana musuh begitu beria-ia hendak membunuh Rasul kesayangan kita. Terasa hiba mendengar kisah silam, melihat struktur muka bumi yang sukar kita boleh membayangkan betapa kuatnya jihad mereka dizaman silam dan sangat jauh berbeza dengan semangat kita dizaman kini. Äku bertekad akan membawa anak-anakku untuk melakukan Umrah kerana hanya dengan itu kita akan melihat , berfikir kemudiannya dapat menerbitkan iman yang sangat berbeza apabila kita sendiri melihat dengan mata kita sendiri sukar menyebarkan agama Islam dan indahnya Islam.

Kami kemudiannya melewati Masjid Qiblatain dan Masjid Tujuh hanya dari bas sambil diceritakan kisahnya oleh mutawif yang membawa kami. Didalam bas kami sempat membeli Habatus Sauda yang dijual oleh Mutawif bila diberitahu ianya boleh menyembuhkan penyakit , ingatkan aku pada birasku yang sakit dan mungkin ikhtiar penawar ini akan dapat membantunya.

Menuju ke Pasar Kurma kelihatan begitu ramai yang bersesak membeli kurma terutama Kurma Najwa pada harga yang agak murah. Disini harganya masih seperti 10 tahun yang lalu iaitu 50 Riyal untuk 1 kg dan di Malaysia Kurma ini berharga RM150 untuk 1 kg. Kami membeli 5 kilo selain kurma yang berlainan jenis untuk dibawa bersama . Saya sempat juga mencari kurma muda dan memang rasanya sangat sedap. Itulah yang menjadi manisan saya apabila dibilik. Suasam di Pasar Kurma , memang sesak. dalam sesak itu terdengar sindiran pasangan jemaah yang memarahi Mutawif, katanya membawa kami ke tempat yang sesak kerana mendapat komisen. Kasihan juga melihat mutawif itu dimarahi. Lebih menyakitkan telinga , katanya lagi beli kurma tak penting , "kami nak kejar waktu solat di masjid". Begitulah lebih kurang kata jemaah ini, padahal waktu kami sampai di Hotel ialah sekita pukul 11 pagi , masih banyak waktu untuk menanti waktu zuhor. Saya hanya mengerling melihat jemaah ini akhirnya turut sama membeli Kurma di tempat kami. Berbagai kerenah! Aku sudah menduga kita akan menemui berbagai ragam manusia dan aku selalu ingatkan mindaku supaya sentiasa "cool" dalam apa juga keadaan. Dugaan sedikit demi sedikit akan mengelilingi hidup kita sepanjang berada di bumi bertuah ini.


Seperti biasa selepas solat zuhor kami lunch bersama dan sempat berbual dengan Hj Mohd Taib yang juga mempunyai kenalan yang agak ramai dengan Management suami saya membuatkan kami berbual panjang di Café. Selepas Asar , suami saya mengajak saya turun untuk berjalan-jalan dan seperti biasa saya membeli juice mango dan kebab. Saya berpesan pada suami saya saya tidak mahu makan malam kerana masih kenyang. Tinggal disini kami hanya makan dan makan selain ke masjid. Makanan pula agak mewah sampai rasanya tak terlarat nak makan lagi. Kenyang tidak habis rasanya, Didalam bilik saya hanya membaca buku selain melihat ditingkap bilik mereka yang solat di Masjid. Mujur boleh lihat mereka solat , sesekali mengambil gambar mereka dari tingkap bilik. Alhamdulillah ! di Madinah saya dapat habiskan bacaan Al Quran Terjemahan hingga ke Juz 30.


Tidur awal malam ini , mungkin terasa letih, perbualan antara makcik makcik dibilik ku layan sesekali. Aku hanya mendengar selain sesekali menyampuk cerita mereka. Seronok melihat kerenah mereka , asyik terlupa baju letak dimana , stoking tersilap letak mana, duit tersilap sorok , puas dicari dalam beg rupa-rupanya dalam bra makcik, tak larat juga ketawa dengan kerenah mereka. Sesekali teringat , kalau mak ada , lebih kurang begini juga riuhnya.

Yang bestnya , makcik-makcik ini sudah semakin akrab denganku. Apatah lagi , ubat-ubatan yang aku bawa , satu persatu aku berikan pada mereka. Sehingga suami saya menegur, "You jangan baik hati sangat, nanti sendiri sakit tak ada ubat , asyik bagi kat orang lain". Tapi tak tahu mengapa aku seronok bagi ubat ubatan ku pada makcik-makcik ini. Setakat ini , kesihatanku TIP TOP.

Tuesday, February 9, 2010

HARI 3 - RAUDAH


3 November , Selasa
Raudhah


Terjaga pukul 2.30 pagi apabila pintu bilik diketuk. Rupa-rupanya sahabat-sahabat , makcik-makcik sebilik saya sudah mengajak ke Masjid kerana takut tidak mendapat tempat untuk solat didalam Masjid. Waktu itu juga menerima sms dari suami saya yang baru pulang dari Masjid dan syukur suami saya dapat juga akhirnya solat di Raudah selain Tahajud, solat Taubat dan solat Hajat. Katanya sebaik sahaja selesai , orang mula ramai memasuki Raudhah.


Dan sangat bersyukur kerana suami saya dapat juga membaca skrip doa kami yang akan kami usahakan untuk membaca disetiap tempat-tempat yang mustajab doanya , dan antaranya adalah Raudah. Selalunya bukan mudah untuk dapat solat lama-lama di Raudah , habis sahaja solat sunat kita sudah dihalau dan tidak sempat berdoa kerana ramai yang lain hendak mengambil giliran mereka pula. Syukur, suami saya mendapat rezeki tersebut. Saya pula tidaklah tahu samada dapat atau tidak kerana waktu bagi jemaah perempuan agak ketat berbanding dengan jemaah lelaki boleh berada di Raudah 24 jam.


Seperti yang kami rancang , suami saya balik dari Raudah pukul 2.30 pagi dan tidur semula sebelum pukul 4.30 pagi dimana saya akan kejutkan melalui handphone untuk solat Suboh pula. (Kehidupan kami seperti di asrama kerana berasing bilik). Pukul 4.30 kira dah lambat tetapi setidak-tidaknya sudah ke Raudah sebelum itu, kerana itulah sahaja cara untuk dapat solat disana. Semakin hari semakin ramai memenuhi ruang masjid kerana jemaah sudah mula sampai jadi peluang kita akan semakin tipis kalau kita tidak membuat strategi yang betul .

Selepas sarapan , kami menyusuri Masjid dan duduk berhampiran Makam Nabi. Setelah di explain oleh suami saya, barulah saya perasan pintu masuk ke Raudah 10 tahun dulu adalah berbeza dengan sekarang menyebabkan saya keliru . Kalau dulu jemaah wanita memasuki Raudah, cuma bersebelahan dengan Makam Nabi tetapi kini ianya diletakkan dipintu hadapan yang agak jauh dari Raudah . Memandangkan saya masih belum boleh masuk ke dalam Masjid, duduklah saya berdoa diluar Masjid. Kelihatannya begitu ramai kumpulan dari berbagai Negara melintas dihadapan saya namun tidaklah saya endahkan kerana kyusyuk membaca skrip doa. Hati terasa sangat sayu , sesekali melirik pada Kubah Hijau yang tersergam . Teringat dulu , sewaktu Umrah , saya berada disekeliling Makam Nabi, melihatnya dengan jelas suasana dipersekitaran Makam. Entah mengapa kali ini sangat berlainan dari dulu, setiap kali mengenang dan menyebut Nabi Muhamad s.a.w, hati rasa sangat sayu, airmata mula bergenang....


PERKUBURAN BAQI

Kami pada mulanya ingin menziarahi Perkuburan Baqi dari luar Gate tetapi secara tidak sengaja diberitahu bahawa jemaah lelaki dibenarkan masuk ke kawasan Perkuburan. Pastinya peluang ini tidak dilepaskan . Saya menyuruh suami saya masuk ke kawasan Perkuburan sementara saya menunggu dari luar.

Saya duduk diluar Gate Perkuburan Baqi bersama jemaah wanita yang lain sementara menunggu suami saya.


Kami kemudiannya ke Perkuburan Baqi dan kebetulan waktu untuk ziarah bagi jemaah lelaki. Suami saya masuk sementara saya duduk diluar menanti. Kata suami saya , perkuburan Baqi , kalau dulu, kami cuma dapat berada diluar Pintu besar tetapi kini mereka membenarkan masuk sehingga ke kawasan perkuburan tetapi disekitarnya dibuat gate. Tidak juga dibubuh nama bagi setiap perkuburan takut berlaku perbuatan khurafat, tetapi melalui buku Haji kita boleh mengagak pelan kubur untuk susunatur perkuburan itu.

Kami kemudiannya ke Bazar sekitar Perkuburan Baqi dan kelihatannya begitu ramai orang orang Badwi dikawasan ini selain orang Indonesia. Mencari barang-barang yang pelik pelik untuk hadiah buat anak-anak gadisku. Sempat membeli telekung dan beg untuk mereka. Seronok melihat suasana di Madinah, kelihatan deretan bas dan begitu banyak barang barang yang hendak dibawa bersama untuk ke Mekah pula. Susunatur bangunan begitu mudah dan rasanya kita tidak sesat kalau berada di Madinah. Begitu banyak kedai kedai jualan sepanjang deretan Bangunan Hotel. Hotelnya pula semuanya sudah jauh lebih baik dari 10 tahun dahulu. Malah di Gate besar Masjid Nabawi sudah ada tugu dan dataran seperti di Trafalgar Square berhadapan dengan Hilton Madinah.

Kami kemudiannya mencuba memakan kebab dan membeli juice mangga kegemaran saya. Suami saya pula mengadu charger bateri handphone rosak lagi dan kami mencarinya di bawah supermarket Hotel kami , mujur ada . Lega juga kalau tidak susah juga hendak mencari kedai handphone. Sementara menunggu Zuhor tiba kami duduk makan kebab di café di hotel kami , mujur juga mereka tidak marah kami membawa makanan dari luar untuk dimakan disitu. Malah disitulah "pot" kami untuk duduk bercerita , ibarat tempat dating kami selain di Dataran Masjid.


Pulang Zuhor, kami menghantar dobi dan suami saya mengajak saya makan tengahari padahal rasa sudah kenyang makan kebab . Tetapi menemankan suami saya lunch , ikutkan juga sebelum kami keluar lagi berjalan jalan disekitar kawasan yang belum diterokai. Sempat lagi mencari Tasbih yang mengeluarkan bau wangi selain membeli jubah untuk dihadiahkan. Lega kerana akhirnya kami sudah dapat mencari semua barang-barang untuk disedekah apabila pulang nanti. Suami saya juga sudah membeli 2 kotak untuk mengisi semua barang barang untuk diposkan. Semalam sudah poskan 4 botol air zam-zam ke Malaysia. Hari akhir penghantaran barang-barang ialah hari Sabtu, jadi kami bercadang untuk siapkan semua supaya apabila berada di Mekah kami tidak lagi payah mencari barang barang untuk dijadikan cenderamata. Mulanya malas juga hendak beli tetapi suasana disini dan harga yang sangat berpatutan membuat kita rasa tidak sampai hati untuk pulang tangan kosong.


Selepas Asar , kami tidak lagi keluar berjalan-jalan , sehinggalah selepas Isya barulah makan malam bersama suami saya. Kami diberi Taklimat di dewan makan untuk ziarah esok hari. Itupun ramai yang tersengguk mengantuk kerana setiap mereka bangun sejak pukul 3 pagi , bila dah pukul 9 malam semuanya sudah keletihan. Saya pun tidak mengajak suami saya berada di Luar Masjid selepas Isya kerana kasihan pada suami saya yang akan bangun pukul 1 pagi untuk solat di Raudah.


Makcik Yang Sakit


Dibilik kelihatannya , makcik makcik sebilik saya sudah pengsan kepenatan. Kecuali seorang makcik yang masih tidak boleh tidur kerana badannya gatal. Puas dia tergaru garu sehingga merisaukan saya takut kulitnya luka . Makcik ini mempunyai kencing manis membuatkan saya risau. Melihat dia masih tidak boleh tidur shingga pukul 1 pagi saya sapukan ubat gatal dibadannya. Kelihatannya habis seluruh badannya berbiji biji kasar kerana gatal, mungkin kerana waktu makan tadi kami diberi makan udang dan makcik ini alah makan udang tapi disini dia makan juga udang. Keadaannya seperti sudah bercelaru kerana gatal seluruh badan seperti hendak terkopek kulitnya apabila dia menggaru.




Saya cuba tenteramkan dia dengan memegang tangannya dan menggosok perlahan sambil berdoa Tuhan selamatkan ibu ini. Saya dengan rasa berserah pada Tuhan , gagahkan juga untuk beri pil ubat gatal dan sakit badan kepadanya dengan harapan ianya tidak memberi konflik pada badannya kerana makcik ini pesakit kencing manis. Takut juga ubat yang saya beri member komplikasi. Saya temankan dia sambil mengusap badannya sehingga dia lega dan menemaninya sehingga dia tertidur lena. Tangan saya masih memegang kedua tangannya untuk pastikan Makcik ini tidak terlupa dan tergaru garu balik seluruh badannya . Saat sepi malam begini teringatkan emak. Biarlah saya khidmat pada makcik ini, pengganti rindu saya pada emak.




"Kalau masih tidak baik selepas makan ubat saya bercadang untuk memberitahu pihak Tabung Haji untuk dibawa ke doctor", bisik hati saya. Alhamdullilah , makcik ini akhirnya dapat tidur dengan lena, bila bangun dia kelihatan sangat segar walaupun cuma dapat tidur 1 jam sebelum solat suboh di Masjid. Sepertinya malam tadi tidurnya sangat lena, hati saya sangat lega. Saya berpesan padanya kalau tidak larat usah ke Masjid pagi itu tetapi Alhamdullilah , beliau kembali sihat seperti biasa, seperti tiada apa-apa yang berlaku. Suatu keajaiban !



Padahal Makcik inilah yang secara sinis menegur saya siang tadi , "Datang sini tak gi Masjid!". Padahal beliau tahu saya uzur syarie tetapi saya ditempelak dengan pandangan yang sangat sinis. Apatah lagi melihat saya membeli berbondot-bondot barang setiap kali pulang ke bilik. Padahal pengalaman Umrah saya sebelum ini membuatkan saya memilih Madinah untuk membeli barang-barang kerana suasana Mekah adalah sangat tidak selesa untuk mencari barang-barang.


Mahu sahaja saya menangis tetapi saya tahu minda saya mesti kuat untuk menghadapi kerenah rakan rakan sebilik. Kalau diturut hati yang tersentuh, mahu sahaja saya buat tidak tahu apabila tahu makcik tadi resah tergaru - garu , tetapi saya tidak sampai hati , apatah lagi dengan orang tua.


Pesan saya bagi mereka yang belum pernah datang ke Mekah atau Madinah, selalulah percaya , untuk sentiasa memohon ampun dan memberi kemaafan sepanjang berada disini kerana setiap apa yang berlaku adalah sebenarnya ujian yang selalu tidak kita sangka. Jangan terlepas pandang walau 1 saat pada nafsu amarah. Kalau insiden yang berlaku tidak bersesuaian dengan diri kita sentiasalah memohon ampun dan maaf dari yang Esa, Insya Allah , jalan yang mudah menanti dihadapan kita tanpa kita sangka-sangka. Setiap perlakuan kita adalah ujian dan ibadah.


Jangan sebut "penat !"

“Abang tak pergi Raudah malam tadi, penat sangat”, kata suamiku sewaktu kami sarapan pagi bersama. “Mungkin tak boleh sebut penat, padahal abang dah terjaga pukul 1 pagi”, kata suamiku . “Tak apalah , kena istighfar, minta maaf dengan Tuhan pasal sebut penat”, balasku. Lagipun malam esok masih ada. Syukur melihat suamiku mampu melakukan Tahajud dan istimewanya ialah ianya dilakukan di Masjid Nabawi, bukan semua orang mendapat keisitimewaan seperti itu apatah lagi Tahajud dilakukan di Raudah, inilah yang aku paling cemburui kerana lelaki kesayanganku ini sebenarnya sangat disayangi Illahi kerana akupun tidak berpeluang Tahajud di Raudah kerana waktu untuk ke Raudah begitu terhad untuk jemaah wanita.














Tuesday, February 2, 2010

HARI 2 - Sekitar Madinah

2 November , Isnin

Bangun seawal 3 pagi dan turun ke Masjid bersama suami saya untuk merasai suasana di Subuh hening, Begitu ramai jemaah sudah datang ke Masjid satu suasana yang sangat indah. Ianya tidak berlaku di Malaysia, suasana inilah yang selalu kita rindukan setiap kali berada di Mekah dan Madinah. “Abang pun tak seronok , you tak ada dan balik sama-sama dari Masjid, tapi sabarlah !”, pujuk suami saya. Suami saya menghantar saya pulang ke Hotel, apabila saya mula was-was samada saya boleh berada di luar kawasan masjid / dataran atau tidak. “Nanti kita tanya Ustazah”, pesan suami saya .



sementara menunggu Solat seterusnya , inilah masanya menelefon anak-anak !




hanya mampu melihat jemaah Solat melalui tingkap bilik .

Mujurlah dari bilik hotel saya dapat melihat mereka solat. Bilalah saya ? Minum air zam-zam dengan kayu sugi memang terasa payau tetapi diminum juga. Inilah antara ikhtiar. Pagi ini selepas makan pagi kami dibawa ziarah ke Makam Nabi , Pintu Babus Salam , Raudah dan Perkuburan Baqi. Bertanya kepada Ustazah Zawiyah tentang was-was samada kawasan luar Masjid boleh dikunjungi atau tidak . Mujurlah kata Ustazah , saya boleh berada disekitar Dataran dan boleh turut serta untuk Ziarah ke Masjid bersama-sama jemaah yang lain. Sewaktu kami berkumpul , mujur juga bertemu dengan Nurul Azura yang ikut serta bersama ibu bapanya dan yang menariknya dia baru berusia 16 tahun.

Saya ke mana-mana pun memegang tangannya kerana dialah yang akan jadi kawan apabila jemaah lain masuk ke dalam Masjid untuk Solat Tahyatul Masjid kemudiannya ke Raudah. Kami berdua duduk menjenguk dari luar pintu besar melepaskan keterujaan kami untuk masuk. Setidaknya-tidaknya dapat melegakan rasa tidak sabar untuk solat didalam masjid apatah lagi hendak ke Raudah. Khabarnya makin ramai bersesak untuk solat disitu. Kata Ustazah , akan ada kumpulan yang uzur syarie tapi yang jelas hanya kami berdua tinggal diluar masjid , yang lainnya semua masuk ke dalam Masjid. Syukur jumpa adik Azura , kalau tidak pasti saya terkontang kanting diluar seorang diri. Kami berdua menyusuri sekitar masjid dan barulah saya faham kedudukan Hotel saya sewaktu umrah dahulu. Setelah agak lama menunggu diluar masjid dan kelibat jemaah yang lain masih tidak kelihatan , kami pun pulang berdua ke hotel. Azura pun rasa seronok kerana beliau boleh turun ke Masjid dan duduk disekitar dataran kerana sejak sampai semalam , beliau terperuk didalam bilik dan menangis , kata ibunya.







duduk berdoa dibahagian luar Masjid Nabawi mengadap Makam Rasul

Sekitar 9 pagi , apabila suami saya selesai dengan ziarah bersama jemaah wanita, kami membuat survey di sekitar belakang Hotel Movenpick. Rupa-rupanya kedai-kedai yang saya kunjungi seperti dulu masih ada, cuma mereka kini berada didalam bangunan yang lebih teratur. Kelihatannya banyak jualan seperti jubah , tasbih , sejadah dan berbagai-bagai. Kami akhirnya membeli jubah lelaki yang agak murah dibandingkan kalau dibeli di KL atau pun di Dubai. Tasbih juga dapat kami beli dari harga 5 riyal dapat menawar ke 2 riyal, apabila kami membeli dengan kuantiti yang banyak. Mujurlah suami saya pakar dalam tawar menawar jadi belian kami hari ini agak lumayan diskaunnya.

Selepas Asar , kami membeli roti dan air juice dan duduk disekitar Dataran Masjid sambil menelefon anak-anak kami di KL. “Neesa takut mama lupakan Neesa pasal mama asyik ingatkan Tuhan aje”, kata anak gadisku. Menghitung hari bila mama akan pulang , padahal kami baru sampai disini 2 hari. Aneesa agak gembira kerana memberitahu dia , “mama sudah belikan jubah dan inai yang dipesan”. “Bila aneesa dapat?”, Tanya anakku tidak sabar. “Sebelum Hari Raya Haji !”, pujuk ku pada anak kecilku yang seorang ini.

Berita yang kuterima , anak gadis ku Alia kini sudah baligh dan uzur syarie. Dia hanya tertawa , mungkin riang kerana sudah dewasa. Terpaksalah anak lelakiku menguruskan Alia dan aku berpesan pada anakku supaya meminta adik-adikku untuk membimbing Alia menguruskan dirinya.

Aku sempat bercerita pada suamiku tentang toilet 8 tingkat dibawah Dataran Masjid seperti yang diceritakan oleh adik Azura. “Nanti abang pergi rengok macam mana,” kata suamiku. Äbang masih tak dapat sembahyang kat Raudhah”, kata suamiku sewaktu kami melepak sebentar di Dataran Kaabah selepas makan Malam sebaik sahaja habis Solat Isya’. Mulanya saya mahu berada lama di luar Masjid kerana inilah peluang berada di sekitar masjid iaitu selepas atau sebelum solat fardhu. Angin malam di Dataran Masjid sangat mendamaikan. Kelihatan ramai jemaah lain bersama kumpulan atau keluarga mereka duduk minum dan makan bersama-sama. Suasana sungguh romantik bersama suami dengan suasana Masjid , kami duduk berbual sambil sesekali berposing tangkap gambar. Mulanya hendak duduk lama disitu tetapi aku bercadang supaya suamiku tidur awal dan bangun pukul 1pagi untuk pergi ke Raudhah, mana tahu dapat solat dengan mudah waktu itu.

Kami pun pulang ke hotel dan singgah mencari kopi panas sambil berjalan disekitar dalam Hotel Movenpick yang sebenarnya mempunyai shopping complex sendiri, tetapi kami tidak berkesempatan untuk melihat . Setakat hari itu kami cuma turun ke Supermarketnya di bahagian bawah hotel , untuk membeli minuman. Malam itu tidak sengaja menyusuri Kompleks itu rupa-rupanya disitu terdapat Jubah Abaya yang dijual dengan cantik sekali tetapi harganya harga butik. Paling murah 300 Riyal. Terdapat juga sebuah kedai yang agak murah juga dan sempat lagi membeli 2 helai jubah untuk anak-anak lelaki dengan hanya 25 riyal sehelai.

Waktu itu teringat pesan Mak Fadilah tentang Jam Azan ditingkat 4, tetapi tidak tahu dikedai mana. Mencari dibeberapa kedai akhirnya kami menemuinya, agak menarik kerana ianya mempunyai jadual solat untuk 2000 atau 200 cities in the world ! Termasuklah Malaysia, jadi ianya agak mudah bagi kita kalau traveling diluar Negara untuk mengetahui waktu solat. Cuma tekan Negara mana dan kita akan dapat tahu jadual solatnya. Saya tertarik saiz yang agak kecil supaya mudah dibawa kemana-mana. Penjual kedai berjanji akan jual pada harga 95 Riyal bila kami datang lagi kerana waktu sudah pukul 10 malam kami sudah penat untuk membeli lagi.





Kitab Bughyatul Mustarsyidin :

"Telah berkata Al Khauwas daripada tanda-tanda yang menunjukkan diterima Haji seseorang hamba dan bahawa dia sesungguhnya telah dikurniakan dengan keredhaan Allah ,iaitu bahawasanya sesudah ia kembali daripada mengerjakan haji , dia berakklah dengan akhlak Rasullulah (akhlak Muhamaddiyah) hampir dia tiada memandang dirinya lebih tinggi daripada seseorangpun daripada hamba-hamba Allah dan tiada pula berebut-rebut untuk mendapatkan sesuatu daripada perkara dunia sehingga meninggal dunia.

Dan tanda yang menunjukkan hajinya tiada diterima bahawa dia kembali semula kepada keadaannya sebelum mengerjakan Haji.