Catatan Perjalananku Menuju Haji...

Umrah Pertama - September 1997 (32 tahun)
Umrah Kedua - September 1999 (34 tahun)
Haji Pertama (Haji Fardhu) - November 2009 (44 tahun)

Umrah Ketiga - May 2010 bersama suami dan mertuaku (45 tahun)
Umrah Keempat - Mac 2012 bersama anak-anak Umrah Ziarah Jordan (47 tahun)
Umrah Kelima - Mac 2015 bersama suami (50 tahun)
Umrah Keenam - in sya Allah Feb 2018 bersama suami (53 tahun)


Inilah perjalananku.....mencari , menghayati dan melalui saat indah mengenal Cinta Ya Rabbi !

.

Followers

Ads


INILAH PERJALANAN SEBENAR KISAH SEORANG HAMBA ALLAH, MENGUTIP PENGALAMAN DEMI PENGALAMAN SEPANJANG 44 HARI MENUNAIKAN IBADAH HAJI DAN AKHIRNYA MENJADIKAN , APA YANG KITA LIHAT SEPERTI SEMALAM TIDAK LAGI SETELAH MENUNAIKAN HAJI... PENGALAMAN "ITU" TELAH MEMBEZAKAN KITA YANG SEMALAM DENGAN KITA YANG HARI INI....

semuga ianya memberi iktibar dan panduan bagi mereka yang memerlukan...

Wednesday, September 19, 2012

Hari 13 - Solat Jumaat di Masjdil Haram


Lihatlah ramainya orang !

Semuapun mencari ruang untuk duduk . Walau sedikitpun jadilah ! Asalkan dapat tempat.


Mulanya duduk dihadapan hotel Hilton , agak redup . Tapi makin lama , matahari bergerak dan kita berada tepat dibawah matahari tanpa tempat berteduh.


Hendak bergerak mencari tempat , bukan mudah. Semuapun ada orang !


Tangga pun mereka solat disitu !




Mula panas ! Bayangkanlah hari hari biasapun kalau datang lambat , kena berpanas begini !



Merayu diberi tempat duduk ! Bukan mudah bagi jemaah wanita. Nasib baik , orang Badwi berikan aku tempat yang mereka "cop" secara berkumpulan mereka , yang besar . Kalau tidak ada mereka , dimanalah aku nak duduk. Hendak masuk kedalam Masjid , memanglah mustahil. Keliling pula , semuanya jemaah lelaki. Mujur . Allah makbulkan juga impianku untuk Solat Jumaat walaupun ianya sebenarnya sukar bagi wanita. Kalau mahu juga Solat Jumaat , lebih baik datang pukul 10 pagi dan duduk didalam Masjid dan jangan keluar lagi. Pastikan wudu terjaga untuk tempoh 2 ke 3 jam.! Kalau keluar juga , beginilah jadinya. Penuh yang amat ! Hendak balik ke Hotel pun susah kerana semuanya melimpah dengan manusia sehingga ke jalanraya malah dihadapan hotel hotel berdekatan .



Gambar ini aku ambil sewaktu selesai solat Jumaat dan kami makan tengahari di bangunan Hilton rasanya. Disitu ada banyak food court. Tapi susah nak cari tempat duduk yang terhad. Nasi beryaninya pula , mahal ! 30 riyal lebih rasanya sebungkus . Harga pula macam pasaran saham, makin dekat wukuf makin mahal. Bermakna harga hari ini lain , esok lain !


Kamal ambil gambar dibelakangnya. Terlihat hanya songkok kamal !



Melihat keadaan begini ramainya, bagaimanalah Padang Masyar nanti ! Jumpakah kita dengan kelaurga kita apabila dibangkit untuk dihitung samada Syurga atau Neraka! Memang menakutkan melihat suasana ramai begini !

Disini , bolehlah kita dibekalkan dengan handphone untuk berhubung. Kalau disana nanti , apakah bekal kita untuk menghadapi suasana ini ! Inilah yang menginsafkan . Padang Masyar bukan perkara kecil dan mudah ! Apatah lagi seluruh umat manusia dibangkitkan untuk dihitung...



Semuapun sabar dan tekun untuk selesaikan Solat Jumaat !



Pemandangan selepas Solat Jumaat. Masih ramai dan mengambil masa untuk "leraikan" manusia yang begitu ramai ! Dimana ada bottle neck, mesti ada kesesakan. Malah Kamal beritahu aku "Ada orang jatuh ditangga" selepas Solat Jumaat tadi.


Bayangkan , diluar Masjid pun begini ramai untuk beredar, bagaimana pula , sesaknya yang hendak keluar dari "dalam" Masjid . Tingkat bawah , Tingkat underground , Tingkat 1 , Tingkat 2 !




Solat Jumaat yang menginsafkan !



Hari 13 - Umrah di Hari Jumaat !

13 November 2009 - Jumaat

"Dia orang nak ikut kita Umrah sama!", ujar suamiku.

Memandangkan Dah dan Kak Ros , baru pertama kali datang ke Mekah dan tidak pernah melakukan umrah sebelum ini, mereka akhirnya bersetuju untuk ikut kami ke Tanaim . Selepas Solat Suboh kami bergerak dan kami menunggu van disekitar kawasan hotel kami di Sevilla .

Alhamdullilah , Umrah kami selesai sekitar pukul 10 pagi. Tetapi sewaktu menyusuri jalan di Masjidil Haram untuk pulang ke Hotel , jemaah kelihatan sangat ramai. Hairan juga mengapa begitu ramai sekali bergerak ke Masjid dan masih awal ! Baru pukul 10 pagi. Makin kami menghampiri hotel , makin ramai dan kami pula berjalan melawan arus , menyebabkan perjalanan jadi sukar. Sudahlah penat baru habis Umrah. Ingatkan , bolehlah rehat sekejap dan jalan perlahan-lahan balik ke Hotel.

Baru teringat , "Mungkin kerana Hari Jumaat !".

Kalau kami terus menunggu di Masjid , rasanya tidak selesa dan mahu mandi dulu sebelum turun semula untuk Solat Jumaat. Bergegas pulang ke bilik . Lantas mandi dan bersiap semula untuk ke Masjid. Jemaah wanita selalunya akan disarankan untuk tidak turut serta dan akan melalui program ceramah yang disediakan oleh pihak Tabung Haji. Tapi aku pula lebih suka untuk turut serta dalam Solat Jumaat kerana itulah yang kami lakukan sewaktu Umrah dulu bersama makcik-makcik yang berada dalam rombongan kami masa tahun 1997 dan 1999.

Apabila kami sampai sahaja di luar kawasan Masjdil Haram sekitar pukul 11 lebih , semuanya sudahpun penuh. Patutlah sewaktu dalam perjalanan dari hotel , terlihat jemaah sudah membentang sejadah di tepi jalan dihadapan hotel mereka. Rupa-rupanya bila sahaja sampai diperkarangan Hotel di hadapan KFC dan Safwa Tower, semuanya penuh. Takut dan gerun. Mataku berlegar mencari tempat duduk. Kamal temankan aku kerana ruang untuk wanita sangat sedikit. Semuanya pun lelaki. Mujur diantara celahan wanita wanita Badwi , aku duduk seorang diri diantara celahan kumpulan mereka. Memang takut kerana sekelilingku semuanya orang Badwi . Mereka melihat dengan wajah yang membuat kita gerun. Tapi aku cekalkan hati. Cuma ada satu tempat untukku !

Kamal pula bergerak dibelakangku dan sms darinya menyatakan dia dapat tempat disekitar tangga sebelah KFC. Jadi aku sudah boleh mengagak dimana Kamal kerana takut nanti bila selesai solat , tidak jumpa. Apatah lagi orang sangatlah ramai.

Duduklah aku disitu menunggu Azan. Makin lama makin terik mentari. Kali ini solatku ditengahari yang panas di luar Masjid. Bayangkanlah, mulanya mentara tidak mengenaiku tapi makin dekat nak Azan , akhirnya tidak ada lagi tempat berteduh. Sangat panas. Peluh menitik bagai air hujan. Tapi panas begitu , tiada siapa yang bergerak mahu meninggalkan tempat masing-masing. Malah ada yang datang lambat , masih merayu-rayu untuk diberi tempat untuk mereka solat. Terharu melihat suasana begitu. Panas bukan lagi alasan. Semuapun mahu diberi ruang supaya dapat ikut serta solat Jumaat. Pengalaman inilah yang indah. Kita tidak mungkin dapat lalui suasana berebut begini dimana-manapun didunia ini selain di Masjidil Haram !

Aku pula yang tidak tahan dek kerana peluh yang membasahi jubahku. Lantas aku gunakan sejadah dan berlindung dibawahnya. Selamba dan tidak malu ! Terpaksa buat begitu kerana lama lagi hendak menunggu untuk solat. Jemaah badwi disebelahku pun turut menumpang sama. Alih-alih kami berselindung bawah sejadah di atas kepala kami macam main pondok-pondok. Tiba-tiba hilang rasa takut denga orang Badwi . Seronok nak bercerita dengan mereka dengan bahasa isyarat. Dia senyum tengok aku , aku pun senyum tengok dia. Itulah saat menyeronokkan , berteduh dibawah sejadah dibawah terik mentari !

Aku berikan coklat snickers padanya. Dia gembira. Kawan disebelahnya pun hendak sama. Aku berikan lagi. Kemudian yang sebelah lagi hendak sama , lalu aku beri isyarat tangan "sudah habis". Bila selesai solat Jumaat , aku hadiahkan sejadah itu kepadanya. Dia begitu riang dan aku gembira . Gembira kerana mereka sebenarnya baik !



Hari 12 - Tawaf sentiasa penuh !


12 November 2009 - Khamis Malam Jumaat




Masjidil Haram 7.50 malam

Menunggu Solat Isya , ramai yang masih melakukan tawaf. Apatah lagi malam ini Malam Jumaat . Sememangnya makin ramai jemaah Arab dan kawasan sekitar datang selain jemaah yang akan melakukan Haji . Seronok dapat melalui Malam Jumaat di Masjidil Haram.

Di Hotel kami juga setiap hari bilangan jemaah yang baru datang , semakin hari semakin ramai . Terasa sangat meriah. Meriah dengan ibadat !



Hari 12 - Ziarah

12 November 2009 - Khamis





Mentari 8.15 pagi !




Bersama makcik makcik yang tinggal sebilik denganku sewaktu di Madinah .

Ziarah kami bermula setelah diberi rehat 1 hari . Sebaik selesai Solat Suboh dan minum pagi di hotel , kami sampai ke Jabal Rahmah sekitar pukul 8.30 pagi. Kali ini aku tidak memanjat sehingga ke atas kerana melihat orang agak ramai. Apatah lagi bas berhenti disebelah bukit sini dimana agak sukar untuk memanjat melalui batu batu. Jadi aku sekadar berlegar dibawah Jabal Rahmah. Lagipun aku pernah naik sampai ke atas. Kali ini sekadar berada dibawah sahaja. Terasa kudrat pada usia 30 an memanjat bukit ini , sudah tidak serupa apabila usia sudah menjangkau 44 tahun !




Bergambar bersama parents Zura .



Kami juga dibawa melihat suasana di Mina nanti.


Mina secara dekat. Risau , takut , teruja . Tidak sabar melalui suasana sebenar berada di Mina. Selalu bila ziarah Sewaktu Umrah , kita hanya melihat dan tidak tahu bila akan merasai pengalaman di Mina yang cuma berlaku 3 hari untuk 1 tahun dan mungkin juga 3 hari di Mina sekali seumur hidup. Tempat ini hanya dibuka hanya untuk beberapa hari dan tidak semua orang dapat melalui suasana itu...



Arafah ! Hanya padang pasir dan pokok-pokok yang tidak seberapa. Dulu waktu Umrah , pokok-pokok tidak ada lagi , seingat aku.



Kami sampai ke Hotel sekitar pukul 11 pagi dan bersiap untuk Solat Zuhor !



Hari 11 - Haji bukan Umrah !


11 November 2009


Kalau di musim Umrah yang pernah aku lalui pada tahun 1997 dan 1999 , tidak ada istilah berkejar-kejar mahupun berhimpit-himpit untuk setiap kali ulang alik dari Hotel ke Masjid bagi setiap waktu solat. Tetapi suasana yang kita biasa sewaktu musim Umrah terlihat sangat berbeza.

Kita perlu 1/2 jam awal untuk ke Masjid setiap kali waktu Solat. Kalau tidak tempat duduk sukar untuk dicari apatah lagi ditingkat bawah. Sebab itu tingkat 1 memang memudahkan kerana timing yang aku dapat agak iaitu 1/2 jam sebelum Azan kami harus bergerak ke Masjid. Kalau lagi lambat bergerak , untuk turun lif dari bilik hotel juga akan menjadi masalah kerana makin lambat makin susah hendak menunggu lif kosong. Jadi kalau 1/2 jam awal , jemaah belum bersiap untuk turun , kita sudah melepasi masa untuk tunggu lama kerana lif.

Teringat pesan Mak Padilah , jangan fikir lif penuh. Nanti sampai habis asyik lif penuh. Fikirkan semuanya mudah, Insya Allah akan ada ruang untuk kita setiap waktu. Kalau kita kata susah , penuh, jawabnya sampai habis kita akan tersekat dengan apa yang kita fikirkan.

Isu untuk sampai ke Masjid jadi mudah kalau kita pandai merancang waktu. Bila habis Solat , misalnya solat Zuhor , kita mesti agak waktu untuk turun kerana lebih kurang 1/2 jam untuk tunggu keadaan bersesak sesak lega ! Kalau kita turut dalam arus , kita akan bergerak dalam pergerakan yang agak ramai sehingga sampai ke hotel. Jadi aku selalunya akan gunakan sejadah yang dilipat untuk diletakkan di atas kepala sebagai pelindung dari panas terik mentari. Jadi terasa proses ulang alik ke Masjid sangat mudah . Tidak rasa panas . Muka juga perlu ditutup untuk melindungi habuk. Kita perlu sihat dari sakit supaya sakit dek kerana batuk , selsema mahupun sakit tekak dapat diatasi supaya memudahkan ibadat kita sepanjang berada disana.

Sampai sahaja di Hotel terus ke dewan makan. Memang ramai malah kadang-kadang lauk pun habis. Anggaplah itu bukan perkara utama. Sepanjang di sana , Alhamdullilah , selera makan sangat bagus , walaupun lauknya hampir sama setiap hari. Kalau kita rasa sedap , sedaplah jadinya. Kalau kita rasa cukup , semuanya akan terlihat cukup. Pernah terlihat seorang lelaki yang mengamuk kerana setiap kali giliran dia sampai untuk ambil makanan , makanan akan habis. Masa itulah kena tunggu untuk di tambah. Mungkin kerana sudah beberapa kali terkena begitu, dia mengamuk dengan suara yang lantang. Sudahlah duduk semeja dengan kami. Cucunya (rasanya) ada bersama lelaki itu kelihatan diam sahaja bila Datuk / Pakciknya menengking marah. Padahal , aku baru sahaja sampai dan makanan kelihatan banyak untuk di ambil. Bila lelaki itu pergi lagi untuk ambil makanan, makanan yang baru sahaja ditambah ,sudah habis. Kami hanya melihat gelagat lelaki itu . Ironinya , jangan merungut. Bukankah Haji itu ujian sabar dan pengorbanan!


Hari 11 - Hari Pertama di Masjidil Haram

11 November 2009



Dataran Kaabah - 7.30 pagi


Sebaik selesai Solat Suboh , kami tidak pulang ke Hotel tetapi mahu menghabiskan waktu Dhuha kami di hadapan Kaabah. Mahu menatap sepuas hati . Mahu melepaskan rindu setelah 10 tahun tidak menatapnya.

Terlihat ramai jemaah berlegar-legar di Dataran Kaabah. Ada yang baru sampai. Ada yang sedang melakukan Umrah dengan melakukan Tawaf. Ada yang solat dengan berbagai-bagai . Ada yang duduk sambil fikiran melayang dengan mulut terkumat kamit menadah sejuta doa yang tidak sudah-sudah. Ada juga yang menangis . Begitulah suasana yang sering terlihat . Riuh dengan La Baikallah ! Gerombolan demi gerombolan bersilih ganti .




Inilah rutin kami sepanjang hampir 2 minggu sementara menunggu hari Wukuf. Suatu tempat yang tidak mampu diterjemah dengan kata-kata. Kita hanya perlu berdoa dan berdoa. Terkadang seperti kita mengadu pada Illahi ...


Beginilah suasana yang agak lengang setelah selesai solat Isya . Sekitar pukul 9 malam.



Selepas Solat Asar - 4.20 petang


Tiang inilah tempat aku dan Kamal berehat sebentar sementara menunggu tangga untuk ke tingkat bawah lega dari orang ramai. Lebih kurang setengah jam barulah kami turun menyusuri Masjidil Haram untuk pulang ke Hotel. Kali ini kami solat di tingkat 1 , masuk melalui pintu King Abdul Aziz. Disini ada aircon dan agak lega untuk mencari tempat solat kerana tidak bersesak-sesak seperti di tingkat bawah. Orang Malaysia juga ramai di tingkat ini.



tertunda


Tahun ini merupakan tahun ke 3 setelah menunaikan Fardhu Haji tetapi blog ini masih belum habis menceritakan pengalaman-pengalaman yang aku lalui.

Dek kerana buku catatan separuh sudah hilang bermakna aku terpaksa menulis berdasarkan gambar-gambar yang ada.
Kitab Bughyatul Mustarsyidin :

"Telah berkata Al Khauwas daripada tanda-tanda yang menunjukkan diterima Haji seseorang hamba dan bahawa dia sesungguhnya telah dikurniakan dengan keredhaan Allah ,iaitu bahawasanya sesudah ia kembali daripada mengerjakan haji , dia berakklah dengan akhlak Rasullulah (akhlak Muhamaddiyah) hampir dia tiada memandang dirinya lebih tinggi daripada seseorangpun daripada hamba-hamba Allah dan tiada pula berebut-rebut untuk mendapatkan sesuatu daripada perkara dunia sehingga meninggal dunia.

Dan tanda yang menunjukkan hajinya tiada diterima bahawa dia kembali semula kepada keadaannya sebelum mengerjakan Haji.