Catatan Perjalananku Menuju Haji...

Umrah Pertama - September 1997 (32 tahun)
Umrah Kedua - September 1999 (34 tahun)
Haji Pertama (Haji Fardhu) - November 2009 (44 tahun)

Umrah Ketiga - May 2010 bersama suami dan mertuaku (45 tahun)
Umrah Keempat - Mac 2012 bersama anak-anak Umrah Ziarah Jordan (47 tahun)
Umrah Kelima - Mac 2015 bersama suami (50 tahun)
Umrah Keenam - in sya Allah Feb 2018 bersama suami (53 tahun)


Inilah perjalananku.....mencari , menghayati dan melalui saat indah mengenal Cinta Ya Rabbi !

.

Followers

Ads


INILAH PERJALANAN SEBENAR KISAH SEORANG HAMBA ALLAH, MENGUTIP PENGALAMAN DEMI PENGALAMAN SEPANJANG 44 HARI MENUNAIKAN IBADAH HAJI DAN AKHIRNYA MENJADIKAN , APA YANG KITA LIHAT SEPERTI SEMALAM TIDAK LAGI SETELAH MENUNAIKAN HAJI... PENGALAMAN "ITU" TELAH MEMBEZAKAN KITA YANG SEMALAM DENGAN KITA YANG HARI INI....

semuga ianya memberi iktibar dan panduan bagi mereka yang memerlukan...

Wednesday, December 30, 2009

Perjalanan ke Kompleks Tabung Haji...

Sewaktu perjalanan kami ke Kelana Jaya, debar dihati saya tidak berhenti. Rasa sesak didada. Berbagai persoalan menerjah diminda, takut ada halangan untuk sampai ke Kelana Jaya antara kereta tiba tiba rosak, banjir tiba-tiba apatah lagi sewaktu kami keluar dari rumah awan mendung tapi tidak kelihatan hujan lagi. Hati saya risau kalau hujan didalam perjalanan kami ke sana dan KL boleh banjir kilat tiba tiba. Apatah lagi kemalangan yang kecil juga boleh mengakibatkan jam yang teruk. Segalanya adalah mungkin. Lebih merisaukan saya kalau-kalau ada barang tertinggal seperti passport, buku kesihatan , gelang haji dan sebagainya. Mungkin kerana itulah debar dihati saya tidak berhenti. "Janganlah sampai kena patah balik kerumah , ambil barang yang tertinggal ", bisik hati saya.

Sesekali tangan saya menyeluk beg tangan saya mempastikan barang-barang penting tidak tertinggal. Walaupun saya mempunyai seorang suami yang sangat sistematik tetapi saya kena mula belajar tidak terlalu bergantung padanya kerana saya harus berdikari, ujian haji adalah ujian individu dan saya kena mula membiasakan diri menguruskan keperluan saya tanpa bantuan sesiapa. Segalanya adalah mungkin , itulah yang selalu saya ingat ! Saya kena berhati-hati dan tidak lagi boleh memanjakan diri seperti selalu. Selalunya suami sayalah yang menjaga saya setiap masa kini bila pergi haji saya kena belajar jaga diri sendiri ! No more manja manja. Kena serius , kadang kadang tertawa saya dengan perubahan diri kerana serius itu bukan saya tetapi kalau saya hendak Haji saya berjaya , saya kena berubah. Haji ini sebenar nya motivasi yang sangat bagus . Suami saya pun kadang kadang kagum bagaimana saya boleh "transform" menjadi "independant". Untuk Kekasih yang satu , saya rela buat apa sahaja...



ini bukanlah suasana sebenar sewaktu kami sampai kerana waktu itu sudah tidak teringat untuk ambil gambar.

Adik saya pula mengambil jalan yang agak jauh kerana katanya sewaktu beliau menuju kerumah saya , jam teruk jadi beliau cadangkan kami ambil jalan lain. Saya pula tidak berapa mahir jalan jalan di KL mengikut sahaja sambil tidak berhenti berdoa , semuga tiadalah halangan untuk sampai di Kelana Jaya. Adik saya pula tanpa pengetahuan saya melencong ke jalan kawasan perumahan dimana beliau baru membelinya dan masih belum tunjukkan pada saya. "Aduh, kak yong nak pergi haji pun sempat nak tunjuk rumah adik!", membuat adik saya tertawa kerana sememangnya adik adik saya pasti akan beritahu tahu terlebih dahulu tentang apa apa yang mereka lakukan samada naik pangkat , beli kereta apatah lagi beli rumah. Bertambah sesaklah nafas saya , walaupun seronok melihat rumah baru adik saya .

Jalan ke Kompleks Tabung Haji ,Kelana Jaya , sudah banyak berubah. Agak melilau juga kami mencari jalan dan mujur kami terselamat dari kesesakan jalan raya walaupun tercari cari jalan mana yang betul. Kelihatan ramai orang dan bas sudah berderet di luar Kompleks. Mungkin kumpulan jemaah yang bergerak bertolak lebih awal dari kami sudah mula menaiki bas mereka. Rasa seronok dan barulah lega debaran dihati saya kerana sampai juga. Kerisauan tentang traffic jam , banjir , sesat jalan kini berakhir. Kami dibenarkan masuk ke kawasan kompleks untuk menurunkan jemaah. Terasa layanan istimewa sudah mula diberi kerana tumpuan kepada jemaah begitu terasa. Saya pula seperti tidak percaya, akhirnya sampai juga saya ke Kompleks Tabung Haji sekitar pukul 6.30 petang seperti kami jangkakan !

Hujan renyai menyambut kehadiran saya ! Hati saya riang ...sangat riang untuk menemui Khaliq nya.

Tuesday, December 29, 2009

Pusara Ibu , sebelum pergi....

Pagi Sabtu yang hening sebelum berangkat malam nanti, kami menyusuri pusara ibu saya . Kelihatannya ada jenazah hendak dikebumikan dan ramai orang yang berada dipersekitarannya untuk menggali kubur.




6 tahun pemergian ibu saya menyebabkan barisan kubur ibu saya makin jauh ke tengah diantara kubur kubur yang lain. Kami mulakan membaca yasin bersama anak anak kami. Hati terasa sangat sepi dan kosong melihat pusara ibu . Angin sejuk yang sangat berlainan dari biasa singgah dimuka. Hati terdetik inikah petanda Emak datang mencium dahi anakmu yang akan berpergian. Bergelodak hatiku riang. Dingin angin yang menyapa dimuka sangat berlainan kali ini, malah inilah pertama kali aku rasa, sejak sekian lama mengunjungi pusara ibuku.

"Opah cium dahi mama!", kataku pada anak anakku. Mereka melihatku terpinga-pinga . Sambil memegang dahiku , masih aku merasai sejuk dan dinginnya. Ianya seperti memberi aku kekuatan , emak tahu anakmu akan kesana. "Tunggu anakmu, kita jumpa disana!', bisik hati kecilku sambil melihat perkuburan ibuku hilang dari pandangan , didalam kereta yang dipandu oleh anakku ...perjalanan tidak berhenti disini.


Monday, December 28, 2009

Solat Musafir



Akhirnya , hari yang dinanti-nanti 31 Oktober 2009, Sabtu telah tiba.

Malam tadi lewat 2 pagi baru kami bersurai berkumpul adik beradik dirumah kami di KL. Saat kami untuk bersama-sama sebelum hampir 2 bulan acara ini tidak dapat kami lakukan. Agak penat juga kerana sejak dari pagi melayan tetamu yang hadir termasuk ibubapa mertua. Lebih memeranjatkan apabila bapa mertua saya terpaksa menjalani pembedahan mata membuatkan kami bergegas ke hospital. Agak lega kerana pembedahan ditunda apabila kami sampai tengaharinya. Suatu aktiviti yang agak memenatkan kerana masih melakukan ziarah di hospital disaat esoknya kami sudah akan bertolak. Mungkinkah ini ujian dari Illahi. Tuhan sahaja yang tahu kekuatan minda yang harus dikumpulkan oleh kami berdua tidak mahu fokus kami tersasar dengan apa yang akan mengiringi kami . Aku tahu selagi aku tidak berpijak di bumi mekah, segalanya mungkin untuk menggagalkan usaha . Oleh itu , tidak luput doa bergema dihati disetiap nafas ,'Tuhanku permudahkanlah ia !".

Hatiku menangis disaat esok hendak pergi , bapa mertuaku harus dimasukkan ke Hospital ! Padahal perkiraanku merekalah iaitu ibu dan bapa mertuaku yang akan mengiringi anaknya, iaitu suamiku untuk kesana. Sebagaimana aku perlukan emak dan abah , aku percaya , itulah juga yang diperlukan oleh suamiku . Tetapi kuasa Tuhan tidak mengizinkan bapa mertuaku malah mungkin juga ibu mertuaku tidak dapat berada disaat akhir kami akan pergi.

Hati mana tidak diulik sedih ! Bisikku pada suamiku, "Emak tak ada kerana sudah meninggal, abah tiada kerana sudah pergi jauh , tapi abang ada emak dan bapak, malangnya mereka juga tidak dapat bersama!", sambil menangis dibahu suamiku. Apakah ini dugaan yang harus kami lalui, kisah malang yang tiada noktah. "Abang lagi sedih", bisik suamiku . Lelaki yang kukenal ini membuang sejuta kecewa dan tidak mahu aku hilang bersama kecewa hatinya. "Biarlah", pujuk suami .

Awal pagi Sabtu kami dikunjungi , sepupu suamiku dan sepupuku selain jiran kami. Seronok mendengar pesan dan harapan mereka , kami berbual hingga tengahari. Terpaksa meleraikan pertemuan kerana hakikatnya kami sangat perlukan rehat . Minda yang penat , fizikal yang letih. Namun pesan dari jiran saya sangat menyengat di minda. Percaya pada Tuhan akan memudah dan menjaga kita . "PERCAYA DAN YAKIN". Jangan terdetik sedikit ragu !

Saya berpesan pada adik-adik saya supaya menunggu di Kelana Jaya dan tidak perlu hadir pagi itu . Cuma adik lelaki saya , Johari , saya panggil untuk turut berada bersama - sama saya saat kami akan melangkah keluar dari rumah selepas Solat Asar . Kami telah memilih Doa Pergi Haji untuk dibaca oleh adik saya. Sambil pastikan semua barang-barang tidak tertinggal . Hati saya semakin bergetar disaat Solat Musafir dilakukan oleh suami saya . Badan saya menggigil dan sejuk seluruh badan. Terasa seperti kita sudah dekat untuk menemuinya. Perasaan untuk pergi umrah yang terdahulu tidak pernah sebegini. Rupa-rupanya , hati kita menggigil, takut akan sejuta kemungkinan. Sampaikah aku kesana? Perjalanan sudah bermula dan seperti diajar oleh ustaz kami banyak beristighfar sebaik doa pergi haji sudah dibaca.

Suatu ketakutan yang tidak pernah dirasa. Menggigil ketakutan. Beginikah rasa kalau kita sudah menerima jemputan untuk meninggalkan dunia yang fana ini ?


sukarnya melepaskan anak kecil ini !


Kami mulakan dengan Kenduri Doa Selamat





Hari yang semakin dekat untuk terbang ke sana bererti berbagai bagai resah dan gelisah melanda di ingatan. Seronok , tidak sabar selain takut dan gementar. Sesekali teringat dan terdetik kalau sesuatu yang tidak terduga berlaku. Sesekali terkedu pada sejuta dosa dimasa silam apakah dibalas dan di uji disana nanti.

Semakin hari semakin kerdil rasa diri. Semakin takut ! Apakah aku mampu lakukan ia dengan mudah ? Layakkah aku mendapat pertolongan dari yang Esa sedangkan aku hambaNya berbondot dosa yang harus dikendong. Segala yang tidak mampu diselindung, Tuhan lihat terus dan telus kedalam diri kita. Persoalan itulah yang sering bermain didalam diri walaupun hakikatnya jiwa terasa sangat tenang dan redha untuk melaluinya. Sebuah perjalanan Haji yang tidak pernah serupa antara satu sama lain. Semakin ianya sarat dengan persoalan semakin gelodak hatiku untuk cepat kesana. Aku mahu hidangkan seorang aku dihadapan Khaliq nya , aku redha atas setiap yang akan di uji. Aku telah sangat bersedia, biar buruk manapun aku sebagai hambaMu , aku sudah tekad untuk menemuiMU.

Riang itulah hatiku walaupun penat menguruskan satu persatu. Kali ini urusan Kenduri Doa Selamat dengan harapan yang sangat besar semuga "permudahkanlah kami kesana". Itulah harapanku yang sangat besar selain usaha sendiri , aku perlukan doa "mereka". Doa anak-anak, saudara mara, ibu bapa , adik beradik dan sahabat handai. Doa doa mereka mungkin dapat membantu memudahkan kami disana.

Jauh dihati aku terharu kerana katerer yang kupilih kali ini sangat memudahkan kami . Aku cuma mampu 1 waiter , pihak katerer beri 3 orang waiter. Pakej yang kupilih sepatutnya untuk pinggan mangkuk foam sahaja tetapi mereka bermurah hati memberi aku pinggan biasa , kalau setiap satu di hitung, Aku memang tidak mampu ! Mungkin berkat untuk pergi Haji, katerer tersebut bermurah hati untuk tidak terlalu berkira.

Seronok dan di luar jangkaan , semua tetamu yang dijemput , hadir , di Majlis Kenduri malah semua adik beradik kami dari KL turut menghadirkan diri. Terharu , mereka bersusah payah datang dari jauh untuk turut sama memberi sokongan. Staf suami saya pula boleh dikatakan semuanya hadir malah ada yang sanggup hadir ke kenduri kami sebelum memulakan cuti mereka. Sahabat-sahabat mengaji saya juga turut hadir walaupun mereka mempunyai beberapa kenduri yang perlu dihadiri. Musim haji sudah bermula , kenduri pun begitu banyak disekitar JB . Malah ada juga sahabat suami saya yang akan turut menunaikan haji tahun ini, turut serta dalam majlis kami. Buah tangan dan sedekah yang begitu banyak kami terima sungguh membuat kami terharu ! Disaat hendak pergi , tangan tangan yang menghulur bantuan memberi kekuatan kerana bersusah payah untuk turut berkongsi meringankan usaha kami. Sungguh terharu hanya Tuhan yang tahu kerana mereka yang pergi haji sahaja yang tahu getirnya dan susahnya hendak kesana. Apatah lagi pertolongan , sedekah dan sumbangan fizikal dan moral mereka sebenarnya memberi kekuatan disaat hati kita makin terharu . Terharu yang sangat sukar diterjemahkan !


Rumah kami penuh dengan hadirin tetapi jauh dihati saya tercari cari insan insan yang sangat saya harapkan untuk turut sama di majlis ini. Emak dan Abah ! Ketiadaan mereka membuat aku ingin menangis sekuat hati . Sungguh pilu tanpa mereka turut sama membuatkan airmata sukar untuk kulindungi. Dalam diam jauh dari keriuhan ini, anakmu mengharapkan doa emak dan abah mengiringi anakmu. Tiada apa yang lebih bahagia bila melihat wajah bangga seorang ibu, wajah lega seorang ayah , melihat anaknya meniti untuk melengkapkan Rukun Islam ke 5. Tapi Tuhan tidak beri itu untuk aku. Aku harus lakukan sendiri tanpa mereka. Kalaulah emak dan abah ada , pasti merekalah yang paling sibuk disaat ini , membantu aku menguruskan kenduri. Mujurlah adik adikku sentiasa ada dibelakang memberi sokongan yang tidak ternilai . Kekuatan untuk aku mulakan langkah ke sana.



anak-anakku dan sepupu mereka sibuk disaat mula hingga akhir kenduri



tanpa pertolongan anak anak kecil ini , kenduri entah kemana.


Thursday, December 24, 2009

Pergilah di waktu usia masih muda..

Apabila difikirkan apa yang saya lalui sepanjang berada di Mekah ialah ianya menuntut kekuatan fizikal yang bukan sedikit malah ianya bukanlah "event" untuk warga emas. Kalau kita pernah pergi aktiviti lasak seperti OBS atau kem bina semangat, kita akan menkategorikan , Haji , lebih lasak dari itu. Selain mengejar masa yang sangat suntuk apabila berulang alik untuk solat fardhu di Masjidil Haram, saya hanya berada didalam bilik sekitar 5 ke 10 minit untuk berehat sebentar di katil sebelum ambil wudu dan bersiap untuk ke Masjid semula setiap kali selepas solat Zuhor untuk ke Solat Asar dan selepas solat Asar untuk Solat Magrib and Isya'. Ruang rehat cuma ada selepas solat Suboh , itupun kalau tidak membuat Tawaf Sunat atau Umrah Sunat ! Cuma sehari dua dapatlah berehat selepas Suboh sementara menanti Solat Zuhor, selainnya , pastinya kita tidak mahu melepaskan ruang masa yang ada untuk Tawaf Sunat dan Umrah Sunat.

Umrah sunat hanya mampu saya lakukan selepas beberapa hari pulang dari Mina kerana menunggu surutnya jemaah di waktu Tawaf. Tetapi pastinya tiada istilah surut dimusim Haji jauh berbeza di waktu Umrah. 2 minggu sebelum wukuf sudah ramai dan saya hanya mampu lakukan 1 kali Umrah Sunat selain 1 kali Umrah Haji dan terpaksa menunggu selepas pulang dari Mina untuk lakukan Umrah Sunat , itupun selepas beberapa hari menanti bilalah jemaah lain nak balik tapi tidak juga balik balik malah makin hari makin ramai mengelilingi Baitullah kerana ibadat untuk Tawaf Haji, Tawaf Umrah Wajib (untuk Haji Ifrad), Tawaf Wada dan Tawaf Umrah Sunat.

Kesimpulannya , kita mestilah pandai dan komited mengejar masa, memastikan badan kita sihat dan yang utama juga ialah hendak pastikan kita tidak buang air kecil atau sakit perut , jadi kena tahu bila masa sesuai untuk minum dan jaga pemakanan supaya tidak salah makan supaya tidak mengganggu masa suntuk kita untuk mengejar setiap solat di Masjidil Haram. Itulah cabarannya dan strategi yang mesti ada . Menjaga wudu ! Menjaga Stamina !



panas !

Itu pun kalau kita pergi solat setiap waktu tanpa tertinggal dan membuat Tawaf sunat dan Umrah sunat setiap hari. Saya cuba untuk membuat Umrah Sunat 2 kali sehari tapi tidak terdaya kerana kemampuan fizikal saya tidak mengizinkan kerana terlalu ramai orang terutama untuk Tawaf . Setiap kali buat Umrah Sunat sehari sekali pun terasa tidak terdaya mengejar masa terutama untuk pastikan waktu solat fardhu tidak tertinggal.

Disana kita akan lihat berbagai cara jemaah melakukan ibadat mereka , ada yang memilih beberapa waktu yang sesuai sahaja untuk ke Masjid atau memilih untuk solat di Surau Hotel mahupun di bilik. Ada yang membuat Tawaf Sunat atau Umrah Sunat tetapi terpaksa mengorbankan solat fardhu di Masjid. Jadi kalau kita memilih seperti apa yang saya lakukan , tentulah saya cadangkan hanya yang kuat fizikal dan mental boleh melakukannya . Tetapi kalau kita tiada kekuatan fizikal maka pilihan alternatif seperti kebanyakan jemaah lakukan akan menjadi pilihan.

Mengapa saya berkata begitu adalah kerana kita memerlukan sekurang-kurangnya 45 minit ke 1 jam awal sebelum waktu solat untuk berada di Masjid , itupun sudah bersesak dengan begitu ramai manusia untuk ke Masjid. Kalau lambat kita tidak dapat solat di dalam Masjid ! Bila berada 1 jam awal sebelum waktu , kita kena pastikan kita mampu menjaga wudu kita. Kalau wudu kita batal , agak sukar mengambil wudu walaupun kita boleh mengambil di tempat air zam zam, tapi makin dekat waktu solat makin ramai orang. Lelaki dan perempuan pula boleh minum air zam zam ditempat yang sama jadi menyukarkan untuk ambil wudu yang terletak dibahagian belakang dinding masjid, itupun kalau tempat solat kita dekat dengan tempat minum air zam zam di dinding. Sebab itu membiasakan diri mempunyai wudu yang lama sewaktu di Malaysia lagi akan memudahkan kita sewaktu berada di Masjdil Haram.

Setiap kali selepas solat kita perlu menunggu masa sedikit untuk redakan jumlah jemaah yang hendak keluar dari Masjid dan pergerakan adalah sangat perlahan. Kalau kita tunggu lama supaya kita tidak turut dalam arus itu, masa kita akan suntuk untuk sampai ke Hotel semula. Kalau selepas Zuhor kita bukan sahaja berjalan dengan perlahan ditengah panas didalam arus manusia, bila sampai di dewan makan kena juga beratur untuk ambil makanan dan kadang kadang tiada tempat duduk kerana penuh. Selepas sahaja makan , bergegas untuk menunggu peluang untuk naik lif kerana ramai yang hendak naik pada waktu yang sama. Sampai di bilik , mungkin dapat rehat 5 minit dan terus ambil wudu untuk pergi Solat Asar pula. Kalau Asar pukul 3.15 petang, kita baru habis makan di dewan makan sekitar pukul 1.50 tgh, bermakna pukul 2.15 ptg sudah kena bersiap untuk turun dari hotel menuju ke Masjid. Ruang masa antara 1.15 tgh hingga 2.15 ptg itulah kita boleh rehat dan ambil wudu. Kalau rakan bilik kita semuanya hendak ambil wudu , tentulah kita kena pandai cari ruang waktu untuk ambil wudu dulu supaya kita tidak terlambat untuk turun dari hotel.

Lif untuk turun pun ramai juga dan selalunya penuh , jadi kena pastikan kita sudah keluar dari bilik sebelum jemaah mula hendak turun guna lif. Sebab itu strategi mesti ada ! Mesti pandai atur masa, mesti komited jaga kesihatan , mesti sentiasa rasa seronok setiap kali ke Masjid maka setiap halangan yang kita lalui , terkejar-kejar, beratur, penat dan panas mendapat pulangan yang istimewa setiap kali kita mengerjakan solat di Masjidil Haram . Ini adalah kerana setiap solat yang kita lakukan itu menuntut pengorbanan yang sangat tinggi. Barulah saya tahu mengapa pahalanya begitu banyak diberi kerana disebalik hendak lakukan setiap solat itu saya belajar erti kesabaran, disiplin, keinsafan dan kekuatan minda.

Sebab itu tidak mustahil , kita selalu terdengar kisah mereka yang hanya solat di Hotel kerana bila kita berada disana baru kita tahu halangan dan cabarannya bukan sedikit setiap kali hendak ke Masjid.

Tetapi , kita yang memilih.

Adakalanya bila susah itulah manis, tetapi ada pula bila susah itulah pahit. Setiap ibadat memberi rasa yang berbeza bagi setiap individu.

Saranan saya , pergilah diwaktu usia kita masih berupaya untuk dihimpit dan diasak oleh manusia yang kuat kuat seperti orang Negro dan India. Tandingan kita untuk ke Masjid bukan dengan orang Asia yang baik baik tetapi beradu tenaga untuk berjalan dan berjalan dan berasak dengan manusia manusia gagah yang bukan bandingan kita apatah lagi bagi seorang wanita !




Thursday, December 17, 2009

Haji itu sangat Indah !


Hari ini aku telah pulang ke rumah dimana ianya bererti tamatlah sudah perjalanan Haji dan lengkaplah pengalaman Haji yang selalu kita terdengar dari mereka yang pulang dari Haji , kini telah menjadi sebuah lipatan sejarah dan kenangan paling manis dalam hidup saya.

Sebaik sahaja aku sampai di Hotel kami di Mekah selepas pulang dari Mina, " Aku hendak buat Haji lagi, rasa tidak puas !", kataku pada makcik Puan. Malah sampai sahaja dirumahku di JB , aku seperti tidak percaya akhirnya perit jerih, fokus, usaha dan komitmen sejak December tahun lalu kini telah berakhir dan memberi pulangan yang sangat istimewa dihatiku.

"Aku ingin mengulangi indahnya wukuf di Arafah, Mudzaliffah dan Mina !", bisik hati berulang kali. Malah sejak sampai ke Malaysia, jasad disini tapi roh dan jiwa aku masih berada di Masjidil Haram melakukan solat dan berlegar di Masjid seperti selalu. Terjaga dari tidur , aku terdengar laungan Laibakallah sayup dari tempat melontar di Jamrah, ianya sangat jelas kedengaran sehingga anak ku menyangka aku mengigau padahal aku benar-benar terjaga dan mendengar laungan itu dengan begitu jelas.

Kesimpulannya haji itu sangat mudah dan sangat indah. Momokan cerita yang didengar yang selalu membuat kita gementar akhirnya tidak berlaku dalam perjalanan haji saya malah saya diberi sebuah pengalaman yang sangat indah dan begitu mudah. Sehingga kini aku masih tidak percaya begitu mudahnya melalui haji .

Akan aku abadikan kisah kisah dan pengalaman yang aku lalui sepanjang berada disana dalam artikleku akan datang.

Friday, November 27, 2009

Hari Raya Haji

Pagi ini , Hari Raya Haji dan merupakan kali pertama dalam sejrah hidup anak-anak mama untuk merayakan dengan 4 beradik sahaja. Pastinya sedih kerana saat ini sudah hampir sebulan anak-anak mama hidup tanpa ibubapanya.

Selalunya dipagi raya begini, kita sudah ada juadah untuk dimakan dipagi raya sebelum kita pergi Solat Raya di masjid. Mesti sedih tetapi kita semua kena kuatkan hati . Mama dan Abah sudah Raya Haji semalam dan tak silap mama hari ini adalah hari Tasyrik ke 2 dan kami akan pergi melontar ke 3 , Tiga jamrah malam nanti. Perjuangan mama dan abah masih belum selesai kerana harus cukupkan 3 hari Tasyrik sebelum meneruskan Tawaf Haji, Sai dan Tahalul Thani . Ianya seperti mudah untuk disebut tetapi untuk melaluinya pasti akan menyimpan kenangan dan pengalaman yang sangat manis di ingatan.

Doakanlah mama dan abah untuk melalui hari-hari sukar kami disini. Kalian sentiasa ada dihati kami setiap saat. Doa mama tidak pernah berhenti untuk anak-anak mama apatah lagi hibanya hati mengenangkan anak-anak mama melalui Hari Raya ....

Untuk Shafiq dan Faisal, bawalah adik-adik ke Masjid, dan mama pasti Shafiq telah belikan rendang dan lemang untuk dimakan dipagi Raya. Selepas sembahyang nanti barulah pergi berkunjung ke rumah adik-adik mama.

Untuk Alia dan Aneesa, usahlah bersedih dan jangan menangis. Allah suruh kita menjadi seorang yang kuat semangat dan mesti sanggup berkorban dalam hidup kita walaupun kita masih kecil. Untuk menjadi manusia yang berjaya kita mesti berani dan tidak boleh menangis banyak-banyak. Give me a BIG SMILE ! Mama sentiasa ada di hati anak-anak mama....


Mabit di Mudzaliffah / Mina

Bergerak dari pukul 8 malam seperti dijadualkan oleh Tabung Haji , kami dijangka sampai sekitar 12 malam di Mudzaliffah. Mabit di Mudzaliffah membawa maksud berada di sana mulai 12malam sehinggalah terbit fajar (Suboh) walaupun hanya untuk sesaat kerana ianya adalah Syarat Wajib Haji yang Ke 3.


bergerak ke Mina setelah mabit di Mudzaliffah


Ianya seperti mudah tetapi bayangkanlah seramai 3 hingga 4 juta jemaah bergerak dalam satu masa tentulah kesesakannya diluar jangkaan. Walau sebaik manapun pengurusannya , segala kemungkinan boleh berlaku, sakit, hilang , tertinggal bas, bas rosak dan sebagainya adalah antara halangan yang mungkin terjadi. Hanya Allah yang dapat beri ruang dan jalan untuk kita sampai ke Mudzaliffah. Hanya Allah kita menyerahkan diri . Hanya Allah yang mampu lepaskan kita dari kesesakan ini. Bila Allah kita sandarkan seluruh kepercayaan dan keyakinan, biar sesak dan sempit manapun , pasti ada tapak demi tapak untuk kita susuri jalan ke Mudzalifah. Ianya sebenarnya dekat tetapi menjadi sangat lambat kerana pergerakan dari jutaan jemaah "serentak" menjadikan ianya cabaran yang bukan kepalang.

Doakanlah mama dan abah dapat melaluinya dengan mudah. Doa kalian akan mudahkan ibadat kami. Walaupun anak-anak mama jauh , doa kalian sentiasa didengar oleh Illahi...bantulah mama dan abah semuga dapat harungi perjalanan ini dengan mudah. Insya Allah.

Sesampainya kami di Mudzaliffah sekitar 12 malam , mama dan abah akan mengutip batu dan meneruskan perjalanan ke Mina yang dijangka tiba pukul 4 pagi tadi . Insya Allah!



mabit di Mina


Sewaktu anak-anak mama membaca blog mama , mama harap mama selamat sampai di Mina kerana jangka waktu untuk sampai kesini sukar dijangkakan kerana kadang kala akan mengambil masa sehingga 10 jam , terpulang kepada kecepatan bas . Kemungkinan besar juga mama dan abah berjalan kaki dari malam tadi dari Mudzalifah untuk sampai ke Mina kerana berjalan kaki adalah lebih cepat dari menaiki bas yang teringsut-ingsut dengan jam yang berjam-jam. Doakan kaki mama kuat untuk berjalan dan tidak sakit. Semuga kasut yang mama beli bersama Faisal akan dapat berikan semangat anak-anak mama. Ini adalah hari ketiga sejak 8 Zulhijjah, mama perlukan kekuatan minda untuk mengharungi cabaran ini. Dengan doa anak-anak mama insya Allah , mama dan abah dapat lakukan selain pertolongan dari Allah. Tiada siapa yang boleh bantu mama dan abah waktu ini selain doa anak-anak mama, doa mbah , doa adik adik mama, doa Tokki, doa dari kawan-kawan mama dan doa mereka mereka yang sayangkan mama. Itulah yang akan beri kekuatan pada mama.

Mama juga berharap mama sempat solat Suboh di Mina . Aktiviti selain solat jamak akan diteruskan selepas solat jama Magrib dan Isya nanti kami akan melontar di Jamrah Qubra , iaitu Jamrah yang pertama sebelum kami tahallul awal. Jamrah Qubra terletak 3 km dari kemah bermakna malam nanti kami akan berjalan kaki paling dekat 6 km dengan mengucap talbiah yang terakhir sebelum tahalul awal. Ianya pasti memerlukan kekuatan fizikal yang bukan calang-calang.



mama dan abah akan masuk ke terowong ini untuk sampai ke tempat
melontar yang pertama , iaitu Jamrah Qubra





beginilah suasana didalam terowong, tidak boleh berhenti dan
kena terus bergerak mengikut arus manusia, pastinya pergerakan yang perlahan mengundang kesabaran minda dan fizikal.


inilah tempat melontar

Untuk Aneesa dan Alia usahlah menangis , mama akan kuatkan semangat mama supaya mama boleh selesaikan ibadat haji dengan sempurna dan kita akan dapat berkumpul semula as a "happy family" macam selalu. Mama bukan sahaja milik anak-anak mama tetapi mama juga milik Allah dan mama kena lakukan apa yang Pemilik kita suruh lakukan dengan bersungguh-sungguh supaya Tuhan tahu yang kita sedar dan redha kita ini "Milik Allah".




Thursday, November 26, 2009

9 Zulhijjah - Wukuf di Arafah


Wukuf tahun 1920.


Inilah jadual mama dan abah hari ini :

5.20 pagi - Suboh
7.00 pagi - Sarapan pagi dan Ceramah Dhuha


12.09 tgh- Solat Zuhor dan Khutbah Arafah



1.30 tgh - Makan Tengahari


doa bermula....


3.16 ptg -Solat Asar


saat menjelang magrib , waktu tamat wukuf.



5.38ptg -Solat Jama Magrib dan Isyak
8.00mlm-Bergerak ke Mudzaliffah


8 malam kami dijangka bergerak ke Mudzaliffah



Inilah hari yang dinanti-nantikan iaitu Wukuf di Arafah, dimana inilah antara Rukun Haji yang kedua selepas Niat Haji . Tiada Wukuf , tiada lah Haji. Diwaktu Zuhor dan Magrib adalah saat pintu langit dibuka dan bermulalah doa kita , memohon keampunan , memohon belas, memohon ehsan dari seorang hamba kepada Khaliknya. Kita ini milik Dia. Kita ini hamba Dia. Maka berdoalah bersungguh-sungguh, berdoalah kerana pada Dia kita meminta , memohon pertolongan agar kita menjadi Hamba Dia yang diredhai. Kita datang kesini, dibumi gersang di padang pasir membawa harapan dan doa, terimalah ibadatku, terimalah aku hambaMu.....

Pastinya tiada apa yang dapat dilakukan selain terus berdoa dan berdoa bersama airmata yang tidak akan berhenti. Disinilah antara tempat penyucian jiwa...





airmata di bumi Arafah....





Wednesday, November 25, 2009

Bertolak ke Arafah

Buat anak-anak Mama,

Mama tulis artikle ini sebulan yang lalu sebelum mama melangkah ke bumi Mekah lagi. Insya Allah , kalau mama diberi rezeki umur untuk merasai saat-saat kemuncak Haji iaitu Wukuf di Arafah, mama akan merasai sesuatu yang sangat mama nantikan selama ini, sebuah pengalaman di Arafah. Inilah antara saat yang sangat penting . Saat ini mama sudah tidak dapat berhubungan dengan anak-anak mama kerana tiada tempat untuk charge Handphone.

Perjalanan mama akan bermula bermakna ujian untuk mama dan abah akan bermula juga. Ibarat mempersiapkan diri melalui Padang Mashyar dimana Tuhan akan timbang segala dosa dan pahala kita samada kita akan berada di Syurga atau Neraka. 3 perkara yang dapat membantu hanyalah Sedekah, Amal yang ditinggalkan selain DOA ANAK-ANAK MAMA. Mama harap anak-anak mama akan mendoakan semuga Abah dan Mama akan dapat melalui Wukuf di Arafah dengan selamat dan diberi kekuatan dan kesihatan untuk memanjatkan Doa dan Memohon KeAmpunan dari yang Esa. Hari ini akan bermulanya ujian yang sangat besar untuk Abah dan Mama dan doakanlah semuga kami dapat melaluinya dengan mudah. Pertolongan anak-anak mama mungkin akan dapat memudahkan . Kita hamba Tuhan membawa berbondot-bondot dosa dan pastinya dibumi Arafah , kita akan merasainya peritnya melalui Padang Mashyar. Hanya amalan menjadi teman kita disaat genting seperti ini. Disinilah pergelutan jiwa dan nurani sebagai insan. Disinilah gambaran dan isyarat siapakah kita disana nanti. Disinilah juga akan menceritakan segla-galanya tentang seorang yang bernama "aku" yang digelar Hamba Allah.


Kami bergerak awal sehari iaitu 8 Zulhijah supaya kami "pasti" berada di Arafah untuk Wukuf pada 9 Zulhijjah yang bermula sebaik sahaja Solat Zuhor dan berakhir sebaik sahaja Solat Magrib. Sebentar lagi seperti dijadualkan iaitu selepas Zuhor , kami akan bergerak ke Arafah dan dijangka tiba sebelum pukul 3 petang , iaitu sebelum Asar. Semuga perjalanan kami menaiki bas dengan hampir kesemua jutaan jemaah yang mula bergerak ke Arafah. Pastinya setiap ruang jalan akan sesak . Tiada lain yang akan disebut dihati selain zikir kepadaNya semuga perjalanan mama dan abah dimudahkan untuk kami sampai ke Arafah. Pastinya fizikal kami akan diuji, anak-anak mama tahu , mama bagaimana, tapi mama percaya "kekuatan dariNya" akan mudahkan segala.
Malam ini kami akan bermalam di Padang Arafah, pastinya mama sudah mulakan doa yang anak-anak mama kirimkan , akan mama baca berulang kali sehinggalah kemuncak esok iaitu selepas Zuhor , dimana itulah hari Wukufnya, "pintu langit dibuka"....

Semuga mama diberi kekuatan untuk berjaga untuk terus berzikir dan beribadat, mama tidak mahu melepaskan peluang untuk beribadat disini kerana mungkin inilah yang pertama dan terakhir untuk kita lakukan seumur hidup kita.

Saat ini , hanya Tuhan yang tahu betapa mama amat rindukan anak-anak mama. Doakanlah untuk mama dan abah...






Saturday, November 14, 2009

rutin yang hectic.....

Hari ini adalah hari yang ke 6 berada di Mekah dan baru hari ini dapat bernafas untuk menulis . Cerita detail hanya boleh ditulis selepas balik haji kerana ruang masa begitu terhad untuk berfikir selain berulang alik ke masjid di samping mencari masa untuk melakukan umrah sunat dan tawaf sunat.

Waktu solat zuhor pukul 12 tgh , Asar 3.15 , Magrib 5.40 dan Isya 7.05 . Setiap kali hendak ke masjid , begitu ramai berpusu pusu seperti di Arafah. Tanpa minda dan fizikal yang kuat untuk mengerjakan solat fardhu di Masjidil Haram akan menjadi sukar.



Wz
Wwaktu
.

Friday, November 13, 2009

Ziarah

Hari ini kami dijadualkan melakukan program ziarah disekitar Makkah dimana kami akan melawat tempat kami akan wukuf dan melontar supaya memberi gambaran ringkas bagaimanakah suasana waktu itu nanti. Tempat yang kami akan ziarah hari ini ialah di Jabal Thur, Padang Arafah , Jabal Rahmah , Mudzaliffah , Jamrah di MIna dan Masjid Jaaranah dimana di Masjid Jaaranah kami akan berniat Ihram untuk Umrah sunat pada hari ini.





Padang Arafah, disinilah tempat wukuf !


Seperti biasa kami akan ke Mekah dan sempurnakan ibadat Umrah. Rasanya , Shafiq sudah familiar dengan aktiviti umrah kerana kita lakukan setiap hari sewaktu berada disini dulu. Mesti Shafiq rindu mendengar cerita dari mama.



Jabal Rahmah , tempat pertemuan nabi Adam dan Siti Hawa
ditemukan setelah dicampakkan dari Syurga.



Doa mama semuga kita sekeluarga akan dapat bersama kesini, Insya Allah.

Wednesday, November 11, 2009

Acara Bebas - Umrah

Hari ini dan esok , adalah acara bebas dimana selalunya di isi dengan berulang alik ke Masjidil Haram untuk setiap solat Fardhu. Pastinya mama dan abah tidak lepaskan peluang untuk melakukan Umrah setidak-tidaknya sekali setiap hari kerana pada minggu hadapan kami dinasihatkan untuk berehat supaya kesihatan kami tidak terjejas untuk ibadat yang lebih penting kerana ianya adalah Rukun Haji yang Ke - 2 , iaitu Wukuf di Arafah.

Suasana pasti sudah mulai sesak kerana jemaah haji sudah semakin ramai membanjiri Mekah kerana lagi 2 minggu wukuf akan bermula. Seperti yang dicadangkan oleh abah sewaktu di Malaysia, mama dan abah untuk membuat Umrah sunat di malam hari kerana sewaktu Umrah dulu kita buat dipagi dan petang hari dan tidak pernah membuat Umrah di malam hari. Semuga kami dapat mencuba pengalaman baru untuk lakukan dimalam hari tetapi itupun terpulang pada nasihat pihak tabung haji samada selamat atau tidak . Kalau mereka nasihatkan buat siang, maka kami akan turut arahan mereka.


Tuesday, November 10, 2009

Hotel Sevilla Barakat

Hotel inilah yang akan jadi penginapan mama sepanjang berada di mekah. Mama harap mama akan mendapat kawan sebilik yang terbaik , itulah doa mama . Semuga Tuhan makbulkan doa mama supaya perjalanan haji mama sepanjang berada di bumi bertuah ini akan menjadi suatu sejarah terindah dalam hidup mama.

Seperti pengalaman umrah sebelum ini , mama dikelilingi oleh sahabat yang terbaik dan semuga ianya lebih cemerlang pada ibadah haji kali ini.

Makkah...Laibakallah Humma La Baik



Rehal yang menandakan kami memasuki Mekah !


Hari ini kami dijadualkan akan bertolak ke Makkah , bermakna hari ini mama dan abah akan memakai pakaian Ihram dan berniat Ihram Umrah di Bir Ali. Perjalanan antara Madinah dan Mekah adalah sejauh 447 km dan mengambil masa 8 jam perjalanan. Ini bermakna ibadat haji sudah bermula dimana dengan menggunakan cara tamattuk , kami akan membuat Ihram Umrah terlebih dahulu. Talbiah juga akan mula di suarakan sebaik sahaja kami berniat di Bir Ali. Pasti meletihkan tetapi pemandangan yang berlainan dari selalu , iaitu gurun dan padang pasir akan insafkan kita betapa sukarnya menyebarkan Agama Islam dizaman dahulu. Tanpa iman yang bersungguh-sungguh dengan keadaan muka bumi yang mencabar ditambah pula penjajahan dahulu memerlukan kekuatan fizikal untuk berperang , hati kita akan kagum dengan besarnya rahmat di beri Tuhan , agama Islam tersebar diseluruh pelusuk dunia.

Disaat musim haji, mereka dari setiap ceruk benua datang dengan berbagai cara menyahut Lambaian Kaabah. Bukankah itu suatu keajaiban kerana mereka ini datang dan dijemput Tuhan setiap tahun sejak berkurun yang lalu. Kini mama dan abah adalah salah seorang dari mereka ! Bertuah , itulah yang dapat mama rasakan dan pastinya peluang keemasan ini , merasai nikmat Haji tidak mahu mama lepaskan begitu sahaja.

Setiap saat sejak kali pertama melihat Kaabah dan berada di bumi Mekah, perasaan untuk terus berada disini tidak pernah luntur, terkadang ia hadir dalam mimpi . Mama pernah bermimpi berada di Masjidil Haram dimana ianya terapung di lautan luas dan mama menaiki sebuah kapal yang besar untuk sampai ke Masjidil Haram. Seperti didalam dunia yang lain, mama lihat air pancuran disekitar masjid dengan suasana yang dingin seperti lewat pukul 3 pagi. Mama solat dan masih ingat mengambil wudu di sekitar dataran Kaabah yang sangat lapang. Suasana itu sangatlah indah sekali malah saat melalui mimpi itu tidak pernah lepas di ingatan untuk dilupakan.





Adakalanya mama menangis kerana rindu yang amat untuk berada disisi Kaabah, duduk mengadap Multazam di malam yang dingin. Melihat wajah Kaabah , kita tidak perlu berkata apa selain melihat dengan mata hati, hati yang tersentuh menyebabkan kita tidak berhenti henti menangis. Menangis melihat Kaabah , bagaimanalah kita hendak melihat Allah di akhirat sana ? Mampukah kita, layakkah kita ?

Insya Allah , kalau tiada aral , rombongan kami akan sampai di Mekah sekitar 12malam ke 3 pagi. Sebaik sahaja menghantar barang-barang ke bilik , kami akan terus ke Masjidil Haram untuk meneruskan ibadat umrah dengan Tawaf dan Sai sebelum Tahalul. Kalau dulu sewaktu Umrah, Umrah hanya siap sekitar 3 pagi , tidak tahulah keadaan bila musim haji telah tiba. Pastinya walaupun sampai pukul 2 pagi, mama jangkakan waktu itu mama pasti tenggelam diantara pertemuan "Kau dan Aku", "Pemilik dan hambaNya". Inilah episod kerinduan apabila kita dapat pulang menemui Kekasih yang kita rindui sekian lama. Pastinya mama mahu abadikan ia di ingatan dan dihati, sesuatu yang mama tunggu sekian lama. 10 tahun yang lalu mama menangis meninggalkan Masjidil Haram, kini doa mama di makbulkan untuk menemui Khalik dengan sebuah ibadah Haji.

Maka , Terimalah aku, hambaMu datang kepadaMU....



Sunday, November 1, 2009

Madinah selepas 10 tahun....

Akhirnya , mama sampai juga ke Madinah yang mama tinggalakan 10 tahun yang lalu. tentu Shafiq masih ingat kita tinggal di Hotel yang berhadapan dengan Masjidil Haram. Hotel disini selalunya tidak jauh dari Masjid. Di Madinah , selama 9 hari , kami akan tinggal di Hotel Movenpick Madinah . Kecuali kalau ada berlaku pertukaran ,hotel lain akan diganti.


Hotel Movenpick Madinah



Pastinya mama dan abah tidak sabar untuk solat di Masjid Nabawi. Nantilah mama ceritakan pengalaman itu kalau mama berpeluang. Walaupun perjalanan yang panjang tetapi seingat mama melihat Masjid Nabawi , kita lupa untuk letih. Masih mama ingat sewaktu pertama kali menjejaki kaki ke Madinah pada tahun 1997, mama dan abah terus turun Hotel dan terus ke Masjid Nabawi di tepi Raudah, masa tu tak tahu apa itu Raudhah, ramai wanita yang keluar masuk dengan pakaian jubah yang cantik berseri. Hendak tanya tidak tahu kerana mereka orang Arab, mama dan abah kemudiannya terus ke Perkuburan baqi disebelah iaitu bertentangan dengan Raudah. Pastinya kami buat survey dulu kerana tidak sabar-sabar menunggu jemaah lain bersiap-siap untu Solat Asar tak silap mama.

Kini , suasana pasti tidak seperti 10 tahun dulu. nanti mama elaborate apa perbezaan Masjid Nabawi dulu dan sekarang. Beza yang jelas pastinya Payung-Payung di luar Masjid Nabawi, dulu masa Shafiq datang , ianya tidak ada lagi.


Sebuah catatan untuk anak-anak mama..

Buat Anak-anak mama,

Mama pasti anak-anak mama menanti cerita dari mama. Sejak dari kecil kisah "Nina & Nino" , selalu menjadi kisah fantasi yang selalu mama ceritakan setiap kali mahu pastikan anak-anak mama akhirnya tidur. Mama selalu bercerita tentang kisah fantasi kita di Syurga kerana disana apa sahaja mungkin tentang kisah yang indah-indah. Kita akan terbang dari satu negara ke satu negara, dari satu planet ke satu planet, dari satu lautan kesatu lautan dan bertemu dengan berbagai kisah lucu yang selalunya membuat anak-anak mama tertawa. Klimaks cerita bila mama kata "Mama tunggu disebuah pokok besar, cepat terbang kesini kerana kita akan mulakan fantasi kita didunia Syurga", membuat anak-anak mama lelapkan mata sehingga kita bertemu didalam mimpi.

Begitulah juga saat ini, hari kedua ketiadaan cerita dari mama , pasti membuat Alia dan Aneesa rindu dan akan menangis seperti selalu. Bukankah mama kata , "Mama selalu ada dalam hati ". Datanglah jumpa mama dalam mimpi. Mama sentiasa menanti dan mungkin kita akan sentiasa ada bersama-sama walaupun jasad kita jauh tetapi hati kita sangatlah dekat. Anak-anak mama adalah permata dihati mama. Seluruh hidup mama adalah untuk membesarkan kalian untuk menjadi insan yang diredhai Illahi. Insan yang berjaya didunia dan akhirat. Insan yang akan membela bangsa dan agamanya. Sejak dari mula mendengar degup jantung didalam tubuh mama sehingga melihat kalian membesar dan dewasa , setiap saat bersama kalian adalah "hidup mama". Seorang ibu akan sanggup berkorban apa sahaja demi anak-anaknya, walaupun ada kalanya dia tidak terdaya, adakala hatinya tersentuh, adakala dugaan membuat dia lemah namun tidak sedikit kasihnya pada anak-anaknya akan luput atau terhakis malah terus duduk bersimpuh berdoa dan berdoa "peliharalah anak-anakku". Tuhan jangan sakiti anak-anakku, jangan cederakan anak-anakku, jangan uji anak-anakku kerana terlalu kasihnya aku pada setiap insan yang lahir dari diriku.

Saat ini melalui Haji , mama harus lepaskan anak-anak mama tanpa adanya mama dan abah di sisi. Bukanlah mudah mama melakukan ia. Kalau dulu Opah ada memberi seluruh perhatian dan mengganti kasih ibu sepanjang mama tiada, kini kalian harus menjaga antara satu sama lain tanpa ada kasih seorang ibu. Kelemahan mama bila terlalu melindungi dan menyayangi anak-anak mama. Bukan kerana mama tidak sayang , mama pergi Haji disaat Alia dan Aneesa masih kecil. Mama pergi kerana panggilan dari Yang Lebih Menyayangi. Kalau mama rasa mama sangat sayang anak-anak mama, ketahuilah anak-anak mama, ada yang lebih menyayangi kita di atas sana. Kita mesti kuatkan hati tinggalkan segala yang kita sayang didunia ini , walau bagaimana sayangnya kita , ianya tidak dapat menandingi kasih DIA pada kita.

Izinkan mama dan abah , melepaskan "hak anak-anak mama" untuk 44 hari demi "hak Allah pada hambaNYA".

Diantara kita adalah doa. Jangan berhenti berdoa.


Perjalanan sudah bermula...

Buat anak-anak mama ,

Inilah catatan mama sepanjang pemergian mama semuga menghilangkan rindu dihati kita...redhakan pemergian mama dan abah demi menyahut Lambaian Kaabah.

Sewaktu artikle di publish , mama sudah pun berada di Kompleks Kelana Jaya dan kami akan melalui proses pemeriksaan beg, Xray, taklimat dan kemudiannya akan menaiki bas secara konvoi ke KLIA. Ianya akan di escort oleh polis traffic, pasti perjalanan itu sungguh memilukan kerana perjalanan mama dan abah sudah bermula. Sewaktu mama menulis artikle ini , airmata mama menitis apatah lagi bila ianya benar-benar sudah berlaku. Tuhan sahaja yang tahu , semakin dekat kita akan bertemu dengan Nya , hati kita makin tersentuh...perjalanan ini seperti 'pulangnya kita kepada DIA".

Ujian yang pertama pastinya melepaskan anak-anak mama tanpa mama dan abah selama 44 hari. Mama berdoa semuga anak-anak mama sentiasa mendapat perlindungan dari Yang Esa. hanya pada DIA mama serahkan anak-anak mama . Jaga diri baik-baik. Bukanlah mudah buat Shafiq untuk menjaga adik-adik tetapi mama percaya , mama mempunyai anak-anak yang bertanggungjawab. Jagalah Alia dan Aneesa dengan kasih sayang kerana ketiadaan mama dan abah pasti membuat mereka rindu.




bas yang membawa jemaah ke KLIA







di KLIA



Sekiranya tiada aral melintang mama dan abah di jangka berlepas pukul 1 pagi , 1 November . Penerbangan terus ke Madinah di jangka tiba 8 1/2 jam kemudian. pastinya waktu mama yang terluang di isi dengan zikir dan mama bercadang untuk habiskan Terjemahan Al Quran yang masih di Juz 24. Insya Allah , disaat mama sampai di Airport nanti mama dah habiskan bacaan mama.

Doakanlah perjalanan mama selamat sampai di Madinah dan dipermudahkan melalui urusan Imigresen di sana.

Saturday, October 31, 2009

Doa Pergi Haji

Kami akhirnya memilih untuk membaca doa ini sebelum berangkat dari rumah petang nanti untuk dibaca oleh adik saya. Doa ini di faks oleh sahabat suami saya dari Majlis Agama Islam Johor sebelum suami saya mula bercuti beberapa hari yang lalu. Mungkin doa ini juga membantu jemaah lain .



SELAWAT

Ya Allah , Engkaulah teman dalam perjalanan dan Engkaulah penjaga keselamatan kaum keluarga , harta benda , anak cucu dan sahabat handai.

Ya Allah peliharalah bakal-bakal haji ini. Kami bermohon supaya perjalanan mereka dimudahkan , didekatkan . Kurniakanlah keselamatan tubuh badan dan harta benda sepanjang perjalanan . Sampaikanlah maksud mereka mengerjakan Haji dan mengunjungi makam Nabi Muhamad s.a.w

Ya Allah , kami memohon perlindungan dari segala mala bahaya didalam perjalanan dan perkara-perkara yang mendukacitakan. Jauhilah pandangan yang buruk terhadap kaum keluarga , jiran tetangga , harta benda dan sahabat handai . Lindungilah mereka semua didalam peliharaanMu. Janganlah Engkau lucutkan nikmatMu daripada mereka. Janganlah Engkau mengubah kesihatan mereka kecuali kepada keadaan yang lebih baik Wahai Tuhan yang Maha Pengasih lagi Penyayang.

Ya Allah , wahai Tuhan kami , kehadiran merea ke Tanah Suci adalah atas perintah dan kehendakMu. Oleh itu kurniakan kepada mereka perkara-perkara menyenangkan dirumah suci itu. Jika cuacanya panas , sejuk atau sederhana , jadikanlah segala keadaan cuaca disana nanti sesuai dan menjadi nikmat kepada mereka. Berikanlah mereka selera makan dan minum walau apa makanan dan rasa dan jauhilah segala kesan buruk akibat makanan dan minuman mereka. Suaikanlah rumah-rumah tumpangan yang akan mereka diami walau bagaimana keadaannya sekalipun.

Suaikanlah mereka bergaul dengan rakan seagama di Tanah Suci nanti dimana juga mereka berjumpa dan mereka berkumpul dalam mengerjakan perintahMu . Suaikanlah semua jenis kenderaan yang mereka naiki kemana sahaja mereka pergi dalam menjalankan kerja yang Engkau perintahkan.

Kurniakanlah mereka keselesaan serta mendapat kepuasan dalam melihat , memikirkan dan mengambil iktibar kemana sahaja tempat yang mereka ziarahi dan janganlah Engkau jadikan kedatangan mereka ke Tanah Sucimu kali ini sebagai kedatangan kali terakhir.

Ya Allah anugerahkanlah mereka kesihatan zahir dan batin serta kemahuan dalam mengerjakan segala perintahMu dari awal hingga ke akhir diTanah Suci Mu nanti dan juga meneruskan setelah mereka pulang ke Tanah Suci.

Ya Allah Ya Tuhan Kami , Kurniakan kepada mereka Haji yang Mabrur , dosa diampunkan , usaha yang dipuji , amalan soleh dan perniagaan yang tidak rugi.

Amin...

Rabbana Atina Fidunya Hasanah Wafil Akhiratau ...

Selawat.

Siap juga akhirnya...

Alhamdullilah , akhirnya siap juga kerja-kerja klien buat sementara walaupun nanti Submission dateline berderet sebaik sahaja pulang dari Haji nanti. Setidak-tidaknya lega juga rasa hati dapat sempurnakan tugasku-tugasku setakat ini. Semuga Allah memudahkan dan beri ruang untuk aku beribadat tanpa diganggu hal-hal kerja yang tiada sudahnya. Bolehlah simpan fail fail kerja dan fokuskan pada persiapan akhir kerana selepas Asar nanti kami akan bertolak ke Kompleks Tabung Haji di Kelana Jaya.

Adik-adik saya akan berkumpul dirumah untuk sama-sama Azan dan berdoa sebelum kami berangkat pergi. Tertib yang diajar oleh ustaz, seboleh mungkin akan kami turuti seboleh mungkin kerana kita hanya mampu berusaha untuk yang terbaik.

"Masa Mak pergi Umrah, kita Azan dari rumah, kita kena buat macam tu jugak yong!", kata adikku .

Ya Allah berikanlah jiwa yang tenang menghadapi saat-saat akhir keberangkatan kami. Terasa gementar , cukupkah persiapan kami selama ini ?

Ya Allah , Permudahkanlah segala urusan...

Bonda

Pagi Jumaat , menyusuri pusara Bonda bersama anak-anakku dan suami. Membaca Yasin dan berbisik padamu Bonda, "anakmu datang memberitahu , kami akan pergi ". Saat doa habis dibaca , dapat kurasai sejuk didahiku , dapat kurasa Bondaku , untuk pertama kalinya mencium dahiku dipusaramu. Sudah lama Bonda tidak hadir didalam mimpi tetapi sejak mahu pergi , Bonda kerap ada dalam mimpi.

Diatas sejadah sejak bertahun yang lalu, memohon doa pada Illahi, "izinkanlah aku bersama ibuku menunaikan Haji , izinkan aku membawa ibuku bersama-sama , walau cuma sesaat berilah aku peluang menatap wajah ibuku disaat Hajiku, izinkan aku bersama rohnya menemaniku disana nanti". Ajaibnya sudah sedikit demi sedikit kurasakan dan aku tidak akan pernah berhenti berharap dan berdoa kerana aku yakin tiada yang mustahil disana.

Keterujaanku melalui Haji kerana Bondaku sudah terasa ikut sama....

Indahnya Haji..

Ianya kini sudah makin terdengar seruan "La Baikallah Humma La Baik....". Sebenarnya sangat gembira apabila penat lelah sekian lama akhirnya membuahkan hasil. Saat untuk pergi semakin hampir. Apatah lagi insan yang hampir dengan hidup kita, anak-anak, mertua , adik beradik, ipar duai, sahabat handai , jiran tetangga ada disekeliling kita disaat kita sudah akan pergi. Ada semangat ria, ada rasa duka, ada rasa sedih , semuanya berbaur melihat wajah setiap mereka dengan sayu, sesekali berbisik dihati , "Kalaulah ia yang terakhir kali....".

Entah mengapa setiap kali ingin menyebut "La Baikkallah " , perasaan ini sangat sayu, mengucap dan menyebut ia dengan tangis....benarlah , kini aku , Kau panggil menemuiMu dan kali ini ianya adalah Haji. Kerdilnya aku , insan daif ini, Kau pimpin setiap langkahku, perlahan-lahan, saat demi saat kau isi diriku dengan berbagai kekuatan , agar aku akhirnya boleh berjalan sedikit demi sedikit ke arahMU. Kini aku seperti ingin berlari , bila ianya seperti sudah kelihatan didepan mata. Aku ingin memeluk dan mendakap walaupun ianya cuma didalam sujud, betapa aku yang sangat merinduiMU. Tidak terlihat tapi kasihNYA ujud didalam hati. Setiap saat degup jantung tidak pernah mahu lupakanMU. Betapa aku yang sangat rindu. Inikah jiwa insan yang melalui nikmatnya ibadat Haji. Tidaklah pernah aku tahu , ianya menuntut seluruh pengorbanan tapi memberi pulangan nikmat yang tidak terlafaz dengan kata. Bila letih tidak terasa letih, bila sakit tidak terasa lemah, bila payah tidak terasa susah, Haji itu sangat indah sebenarnya. Pertemuan diri dengan DIA.

Ya Allah , sesungguhnya aku sangat berSYUKUR anugerah nikmat yang Kau beri padaku...



Friday, October 30, 2009

Sms dari seorang sahabat

Lega menerima sms dari sahabat saya yang kebetulan suaminya baru sahaja pulang semalam dari Mekah menghadiri meeting sekaligus melakukan Umrah. "Nanti saya suruh suami saya check keadaan terkini ", kata kawan saya.

Alhamdullilah menerima sms dari kawan saya Ana, "Cuaca tidak berapa panas dan habuk pun tak ada". Semuga keadaan ini memudahkan kami untuk ibadat disana nanti. Terharu menerima sms dari sahabat-sahabat yang masih terus mahu membantu saya dengan memberi berbagai maklumat dan nasihat serta panduan. Semangat mereka ada bersama-sama saya menyebabkan saya berkali berkata pada suami saya, Haji ini seperti sangat meriah dengan kasih sayang dari insan-insan disekeliling kita.

Rumah di KL pula

Subuh hening di pagi Rabu, walaupun begitu penat , kami masih mampu melakukan ibadat di Suboh hening yang syahdu. Suasana di awal pagi 5 pagi memang mendamaikan dengan KLCC dihadapan mata. Begitu ramai yang tinggal di kawasan kondo kami tetapi dihening pagi ianya tetap sepi seperti dirumah kami di JB. Yang seronoknya disini kami boleh duduk diverandah melihat pemandangan diluar rumah dan merasa sangat selamat.

Seawal pagi kami sudah mula mengemas rumah di KL pula. Penat malam tadi belum berhenti, tetapi telah memulakan tugas untuk rumah disini pula kerana anak-anak kami akan berada disini sepanjang ketiadaan kami. Saya mahu mereka seronok berada dirumah jadi semua kemudahan tetap ada termasuklah astro dan internet , malah keyboard anak gadis saya juga telah dibawa awal supaya masa mereka akan terisi untuk elakkan dari bosan. Buku-buku latihan selain buku-buku cerita juga kami beli untuk mengisi masa lapang mereka. Malah ustaz untuk mengajar anak-anak kami pun gembira kerana boleh mengajar kembali sepanjang kami berada di KL. Kami juga terpaksa menguruskan tuition untuk 2 bulan untuk kedua anak-anak kami . Begitu banyak tempat yang harus dituju untuk menguruskan kehidupan anak-anak kami sepanjang ketiadaan kami. Disebaliknya ianya memerlukan modal yang bukan sedikit. Tetapi jauh dihati saya tidak pernah terkilan kerana dengan Pertolongan dari Yang Esa, rezeki itu datang dari Nya.

Hari Khamis , menghadiri Hearing di Pejabat Pendaftar , membuat saya lega apabila akhirnya telah siapkan sebahagian dari kerja . Sempat lunch di Cheras kerana kami memang suka makan ayam kampung di Velodrom. Pulang kerumah , menerima sms dari mertua adik saya untuk berkunjung menziarahi saya di pagi Jumaat, maka terpaksa petang Khamis kami bergegas ke rumah kami di BB pula kerana tukang kebun yang jaga rumah memberitahu lampu rumah kami padam. Anak-anak lelaki yang pulang dari kolej malam tadi seakan memahami ibunya sudah kepenatan menguruskan berbagai-bagai kerja. Malah pukul 3 pagi sudah bangun untuk siapkan kerja yang harus dihantar pagi nanti. Esok juga , Jumaat , saya sudah bersedia untuk menerima kehadiran saudara mara yang akan datang ziarah dari pagi hingga ke malam. Ianya sebenarnya sangat memenatkan sejak datang ke KL tetapi inilah pengorbanan apabila kita pergi diusia anak-anak kita masih kecil. Mereka adalah pengorbanan yang sangat sukar apatah lagi mempastikan keselamatan , kecukupan duit mereka dan keseronokan mereka untuk melalui hari-hari tanpa ibu bapa mereka , membuat kita berusaha bersungguh-sungguh untuk meletakkan satu suasana, mama tiada di rumah tetapi "seperti ada".



Pengorbanan kecil juga bermula...

Semenjak petang Selasa yang lalu , kami terpaksa mempastikan rumah yang di tinggalkan selama hampir 2 bulan selamat ditinggalkan walaupun ada yang menjaga rumah kami untuk membuka lampu di malam hari selain security dari ofis suami saya yang akan membuat pemeriksaan dua kali setiap hari. Pasu-pasu bunga dikeluarkan diluar rumah malah ayam katek anak-anak saya pun telah di ambil oleh kawan suami saya untuk dijaga sepanjang kami tiada. Terasa sedih untuk meninggalkan rumah kerana perjalanan kami sebenarnya sedikit demi sedikit telah pun bermula.

"Mama dan abah pergi haji, semua orang perlu berkorban sama!", kata anak gadisku. "Alia pun kena berkorban exam awal". Malah kataku ," Cikgu Alia pun kena berkorban jaga Alia exam , dapatkan kertas soalan awal". Memang benar ianya menuntut pengorbanan dari banyak pihak . Bila melalui Haji , baru kita sedar definasi pengorbanan yang sangat luas dan tanpa tekad dan semangat yang bersungguh-sungguh , ianya mungkin sukar untuk mencapai maksud "pengorbanan" yang harus kita terapkan kedalam diri kita.

Malah sewaktu perjalanan ke KL, kami benar-benar keletihan dan terpaksa tidur didalam kereta hampir 2 jam kerana , saya pun sudah tidak larat untuk temankan suami saya memandu. Didalam kereta, barangan penuh kerana bukan sahaja beg-beg untuk pergi haji, pakaian anak-anak saya juga terpaksa dibawa, file-file untuk menguruskan klien saya , computer saya malah barang-barang computer anak lelaki saya dan beg pakaiannya juga turut terpaksa dibawa kerana anak saya itulah yang akan menjaga adik-adiknya selain terpaksa berulang alik ke Melaka untuk menghadiri kelasnya.

Kami sampai di KL ,lebih kurang pukul 1.30 pagi. Mujurlah anak-anak gadis kami berjanji tidak akan menangis bila dikejutkan dan mereka turut sama menolong kami mengangkat barang-barang yang begitu banyak dilewat dinihari. Ironinya, lif rosak terpaksa kami memanjat 3 tingkat untuk sampai ke rumah. Bayangkan suami saya terpaksa mengangkat beg-beg haji naik kerumah. Tapi entah mengapa , kami tidak terkilan jauh sekali mengeluh kerana kami seperti sudah menyediakan minda bahawa 'disana lagi penat". Mujurlah senaman fizikal yang kami lakukan sebelum ini telah turut memberi keupayaan untuk kami membawa kesemua barang-barang naik ke atas rumah. Malah anak-anak gadis kami seronok membantu dan keletah mereka tidak seperti selalunya yang akan menangis bila dikejutkan dari tidur , apatah lagi kena menaiki tangga. Mereka juga sebenarnya turut sama mahu ikut berkorban hampir setiap hari , melihat dan melalui pengorbanan haji ibu bapanya.

Kami hanya dapat tidur dalam keletihan menjadi pemunggah barang-barang pukul 3 pagi. Ianya bukan mudah tetapi ajaibnya hati kami malah hati anak-anak kami sudah bersedia untuk berkorban apa sahaja dan terasa Haji itu semakin nikmat.... ianya sebenarnya membuat hubungan sebuah keluarga semakin erat.


Tuesday, October 27, 2009

Pulang ke KL

Insya Allah, malam ini kami akan bertolak ke Kuala Lumpur . Alhamdullilah juga akhirnya dapat juga kemas semua barang-barang walaupun macam tidak percaya kerana begitu banyak yang hendak di uruskan . Pakaian untuk beberapa hari di KL, pakaian haji yang hendak dibawa, computer dan fail-fail untuk siapkan di KL, pakaian anak-anak sepanjang hampir 2 bulan mereka di Kl, pakaian untuk "Hearing" dengan Registry , mengemas rumah yang ditinggalkan di JB, makanan dan kuih muih yang hendak dibawa , pakaian yanhg hendak dihantar dobi dan dibasuh , rasanya sudah tidak terdaya. Sudah beberapa malam bangun seawal 3 pagi untuk sedikit demi sedikit siapkan semua.

Ya Allah, berilah aku keupayaan ...

Monday, October 26, 2009

Kak Ruby yang istimewa

Kadang-kadang kita perlukan jangka masa yang sangat lama untuk rapat dengan seseorang . Tetapi entah mengapa insan yang seorang ini seperti didatangkan Illahi untuk menjadi sahabat yang dekat dihati. Padahal baru dapat duduk disebelahnya cuma 1 jam sewaktu belajar kelas Habib Zain tetapi ada sesuatu yang menarik untuk menjadikan kami rapat.

Sebentar tadi menerima sms dari Kak Ruby yang baru mendengar ceramah haji semalam dan sampaikan pada saya "Nampak sahaja Kaabah, ucaplah syukor dan mulakan dengan minta ampun dengan Allah". Masih menyampaikan pesan dan panduan pada saya buat saya terharu dengan insan yang seorang ini. Didalam diri saya dapat rasakan kerinduan Kaabah dihati Kak Ruby.

Ya Allah, sampaikanlah Hajat , kakak ku yang seorang ini.....merinduiMU , kadang-kadang sukar dilafazkan walaupun Haji itu tidak mudah tetapi manisnya ibadat sukar diceritakan.




Peperiksaan


Minggu lepas kami telah membuat surat permohonan dengan pihak sekolah supaya anak-anak gadis kami dibenarkan bercuti awal memandangkan kami akan pulang ke Kuala Lumpur iaitu beberapa hari sebelum tarikh penerbangan.

Atas perbincangan dengan pihak sekolah mereka cuba memberi peluang untuk anak-anak saya menduduki peperiksaan akhir tahun lebih awal. Hari ini dan esok anak-anak saya sudah mula menduduki peperiksaan akhir tahun. Esok malam kami akan bertolak pulang ke Kuala Lumpur.

cuma 26 ribu

Bilangan jemaah haji dari Malaysia cuma 26 ribu dari hampir 3 ke 4 juta jumlah jemaah dari seluruh negara. 207 ribu adalah dari Indonesia bermakna jumlah jemaah dari rakyat Malaysia akan tenggelam dengan jumlah dari kalangan negara lain.

Itulah antara sebab mengapa kami memilih 1 bilik untuk 5-6 orang supaya , "Isteri ada teman untuk ke Masjid", kata rakan suamiku yang baru menunaikan Haji tahun lepas. Pada mulanya kami mahu mengambil pakej untuk 2 orang 1 bilik tetapi apabila membayangkan , ramainya jemaah yang ada dan saya perlu ada kawan untuk berada didalam masjid , kami terpaksa mempertimbangkan soal keselamatan. Didalam lautan manusia yang berjuta , sebagai wanita kita mungkin tidak mampu untuk sendirian terutama didalam masjid. Walaupun suami kita ada bersama, ada ketika kita terpaksa berpisah diruang lelaki dan perempuan.

Ya Allah , selamatkanlah kami.


Jam dan Handphone

"Kali ini , tak mahu pakai jam, pakai handphone aje", kataku pada suami. Jam saya hilang sewaktu mengambil wudu di Telaga Zam Zam. Selalunya kita lupa bila sudah membuka jam dari tangan. Oleh itu , kali ini saya bercadang untuk tidak memakai Jam kerana ianya akan menyusahkan saya malah cincin pun tidak saya pakai kerana selalunya saya rimas dengan barang-barang ini yang selalunya perkara pertama yang saya akan tanggalkan sebaik sahaja pulang dari rumah.


Kali ini handphone adalah lebih penting untuk dibawa kerana itulah jam loceng, itulah tempat menyimpan segala maklumat , itulah alat untuk berkomunikasi., itulah kamera, itulah internet, itulah video camera. Kami telah membeli extra bateri untuk handphone masing-masing, malangnya extra bateri itu telah merosakkan Handphone suami saya. Terpaksalah membeli yang baru. nasib baik kami mencuba extra bateri itu disini , kalau tidak susah juga hendak mencari handphone baru sewaktu disana.



Toilet di Mekah

Walaupun saya sudah mengunjungi Mekah sebanyak 2 kali tetapi saya tidak mempunyai pengalaman memasuki Toilet nya. Hotel saya waktu itu terletak di Babu Salam berhampiran dengan Tempat Sai . Setiap hari melintasi Toilet yang berhampiran dengan pintu yang selalu saya gunakan untuk memasuki Masjidil Haram tapi hanya melihat dari ekor mata. Saya tidak berani kesitu dan Alhamdulillah sepanjang saya berada di Mekah , wudu saya tidak pernah batal sepanjang solat di Masjidil Haram. Malah setiap kali selesai Tawaf saya sengaja mengambil wudu di Tempat Air Zam Zam berhampiran Dataran Kaabah. tTtapi saya difahamkan Telaga Zam Zam di Dataran Kaabah , kini , sudah lama ditutup.

Setiap jemaah yang saya temui , hampir kesemuanya berpesan pada saya untuk berdoa, solat sunat dan berbagai-bagai panduan untuk menjaga WUDU kerana disana nanti itulah masalah yang paling merisaukan . Saya telah melakukan doa dan Solat Hajat sejak berbulan yang lalu supaya dimudahkan urusan Wudu sewaktu berada di sana.

Hotel saya pula agak jauh iaitu 650 meter dari Masjid tetapi sewaktu umrah dulu pun saya tidak pernah berulang ke Hotel untuk Wudu walaupun Hotel saya lebih kurang 100 meter dari Masjid. Saya dapat bayangkan bila memasuki tempat toilet kerana didalam selalunya akan kelihatan ramai orang-orang badwi didalamnya , apatah lagi mereka selalunya tidak mempunyai tempat menginap, jadi Toilet adalah tempat utama tumpuan mereka. Sewaktu di Dataran Kaabah , tempat telaga Zam-Zam mengambil wudu, setiap kali saya masuk , kaum Badwi memenuhi kawasan itu ! Mereka mandi disitu membawa anak-anak mereka. Itu baru tempat ambil wudu , bayangkanlah di Toilet .

Hari ini saya sudah mula mengamalkan doa Jangan Batal Wudu dan Doa Berhenti Haid disetiap solat Fardhu sebagai ikhtiar supaya doa-doa saya dipermudahkan dalam urusan WUDU.

Ya Allah, bantulah aku.



Mengimbas persiapan sejak 11 bulan yang lalu..

Usaha yang bersungguh-sungguh sejak bulan December 2008 , iaitu 11 bulan yang lalu dari saat membuat rayuan untuk permohonan Haji, mengikuti Kursus Bersiri hampir setiap minggu sejak Bulan Mac , mengikuti Kursus Intensif sehinggalah Kursus Perdana, mengikuti kelas-kelas agama, menguruskan keperluan untuk visa dan passport , menguruskan kewangan sejak berbulan-bulan yang lalu, membeli persiapan barang-barang haji selain mempertingkatkan senaman fizikal dan pemakanan vitamin yang sudah dimulakan dari masa kesemasa kini segala usaha, lelah dan ikhtiar yang tidak jemu-jemu terasa membuahkan hasil apabila waktu untuk pergi tinggal beberapa hari sahaja.

Sesekali terasa sangat gembira, sesekali terasa sayu dan sedih , sesekali terasa besarNya kasihMu Tuhan mempermudahkan kami untuk melalui saat-saat indah begini. Dalam payah terasa pulangannya sangat lumayan apabila satu persatu hijab dibuka dan apa yang dicari semakin ternampak jelas di mata hati. Kalau dulu melihat dengan kabur tetapi yang kelihatan kini semakin membahagiakan hati. Benarlah ibadat itu menjadi nikmat bagi yang merasainya.

Barang-barang dan beg sudah pun semakin sempurna untuk dibawa, buku-buku dan doa yang hendak dibawa sudah diperiksa beberapa kali supaya tidak tertinggal. Sesekali menyemak checklist supaya tidak ada yang tercicir untuk dibawa. Cuma tugas untuk klien saya yang terpaksa saya uruskan sehinggalah hari Jumaat nanti , barulah saya akan "off" kan semua dari minda dan serahkanlah segalanya pada Yang Esa. Bayangkan Hari Khamis nanti masih terpaksa menghadiri Hearing di Pejabat Pendaftar ! Sehingga ke titisan darah terakhir saya akan jalankan amanah yang diberi Tuhan, takut juga kalau tak siap , kalau saya mati siapa yang harus uruskan pekerjaan saya yang terbengkalai.

Ya Allah, permudahkanlah segala urusan.


Titipan Doa

"Kawan abang beria-ia suruh abang datang jumpa dia, nak bagi doa", kata suamiku. "Pergilah, dah orang berhajat sangat nak jumpa , kesian dia", kataku.

Bila pulang setelah berjumpa Haji Ramli, sahabat suami saya yang baru dikenali , saya terharu kerana beliau menulis berbagai catatan yang sangat berguna untuk kami tentang "Hakikat (Roh) Haji". SubhanAllah, dalam saat untuk pergi sudah semakin dekat kami menerima bimbingan dan panduan dari insan-insan yang baru dikenali yang kadang kala buat kami rasa terharu.

"Suruh isteri call ustazah ini untuk sebuah pesanan, ustazah ini sudah 30 kali menunaikan Haji"., pesan Haji Ramli pada suami saya sewaktu hendak pulang. Semalam sewaktu di Puspanita , saya diberi tahu ada seorang Datin yang telah pergi haji 10 kali buat saya kagum, dan kini saya dikenalkan pula dengan seorang ustazah yang sudah 30 kali menunaikan Haji.

Ya Allah, Terimakasih atas Anugerah yang tidak terlafaz dengan kata, hanya hati yang merasa nikmatnya ibadat Haji ini.

Minggu Jogging terakhir

Hari Sabtu dan Ahad , kami melakukan jogging terakhir sebelum berangkat minggu ini. Kelihatan ramai pasangan yang akan menunaikan haji turut melakukan jogging seperti kami. Sakit jugak kaki kerana berjalan agak pantas untuk 3 pusingan.

Berjumpa dengan ex staf suami saya yang sepatutnya pergi tahun ini, tetapi menyatakan beliau telah mendapat surat dimana permohonan beliau dibatalkan dan tidaklah dia dapat pergi bersama tahun ini. Tetapi yang menariknya walaupun hampa tidak dapat pergi tahun ini, beliau terus seperti kami melakukan jogging dan kami masih bertembung dengan beliau dan isteri pada hari Ahad juga. Lihatlah bila semangat haji telah ada, walaupun tidak dapat pergi dan kecewa tetapi teruskan juga untuk mempersiapkan diri untuk permohonan tahun depan pula. Semangat mereka buat saya terharu.

Hari Jumaat yang Berkat

Hari Jumaat lepas saya berpeluang untuk melakukan Solat Taubat dan Solat Tasbih bersama-sama dengan jemaah di Masjid Kobena. Ramai yang hadir kerana melakukan Solat Tasbih sememangnya sesuatu yang agak sukar untuk dilakukan sendirian dirumah dibandingkan dengan solat solat sunat yang lain. Apatah lagi hendak mengira bacaan dengan jumlah yang betul disetiap perlakuan dalam solat tasbih tersebut. Ustazah yang membaca kuat dengan menggunakan mikrofon yang diletakkan di kepala memudahkan kami mengikutinya didalam hati.

Setelah selesai solat , Ustazah turut memnbacakan doa untuk jemaah yang akan menunaikan Haji. Terasa sedih dihati apatah lagi sewaktu bersalaman dengan semua jemaah . Waktu begini teringatkan emak yang seharusnya pergi haji bersama-sama saya tetapi telah pergi ke Rahmatullah.

Pada petangnya pula Majlis meraikan jemaah Haji yang akan pergi pada tahun ini di Rumah Puspanita. Agak ramai yang pergi tahun ini. Kami diberi Tazkirah oleh Ustazah Maimunah dan begitu banyak nasihat dan panduan yang beliau berikan untuk kami sebagai pedoman sewaktu disana.

Sebaik sahaja pulang dari rumah , bergegas menyediakan makan malam untuk staf suami saya yang hadir kerumah kerana beliau tidak dapat datang ke Majlis Kenduri kami tempohari. Walaupun penat dari pagi sehingga kemalam , tetapi berbagai manafaat yang saya pelajari dan terima dalam saat-saat untuk pergi semakin dekat.

Ya Allah, peliharalah aku.

Friday, October 23, 2009

Suami Isteri

Hampir setiap jemaah yang berpesan pada saya , supaya bersabar dengan ujian antara suami dan isteri. Kadang-kadang ianya membuat saya gementar kerana kita tidak tahu ujian apakah yang akan diberi disana nanti. Sewaktu kami menunaikan umrah pada tahun 1997 and 1999, tiada halangan yang kami hadapi selain kasih sayang kami sangat akrab . Ianya lebih indah dari percutian di Eropah sebelum itu.

Setiap malam sejak berbulan yang lalu , saya sentiasa mendoakan semuga kami tidak diuji dangan ujian yang tidak tertanggung oleh kami malah berdoa semuga dijauhkan segala dugaan yang merosakkan hubungan kami suami isteri. Terasa doa didengar, saya dapat merasakan hubungan kami semakin akrab. Saya pula semakin menjadi taat kepada suami saya. Apa saja kemahuannya pasti saya akan turuti kerana tiada salahnya kalau saya mendengar kehendak suami saya. Suami saya yang sememangnya menatang saya bagai minyak yang penuh , semakin terasa gembira dengan semangat saya untuk menjadi yang terbaik untuk dirinya.

Ya Allah . Peliharalah kasih sayang kami suami isteri.

Malam Jumaat di Masjid Sultan Abu Bakar

"Kita pergi sembahyang Magrib kat Masjid Sultan Abu Bakar hari ini", email yang kutulis pada suami ku tengahari semalam. Setuju dengan cadangan itu kerana malam tadi anak-anak perempuan saya tidak ada kelas tuition .

Menyusuri Masjid kelihatan seorang Pak Arab membawa dua orang anak kecilnya , seorang lelaki dan seorang perempuan masuk ke dalam Masjid. Ianya mengingatkan aku suasana di Mekah dan Madinah yang sangat meriah apabila tiba malam Jumaat. Mereka akan datang beramai-ramai dan duduk diluar masjid seperti hendak berkelah sebaik sahaja habis solat Isyak.

Didalam Masjid cuma ada seorang jemaah iaitu Hajjah Zaidah . Saya menangis sewaktu menunaikan Solat Maghrib kerana terasa Masjid ini sangat sepi. Mungkin kerana pelajar-pelajar dari Kolej Pengajian Islam disebelah Masjid ini bercuti, menjadikan Masjid ini sangat lengang dan ianya sangat sayu apabila cuma saya dan Hajjah Zaidah yang menjadi jemaah wanita.

Seperti biasa sebelum Solat Isya tiba kami membaca Yassin. Didalam hati terkenang , seminggu lagi saya akan berada di Masjid Nabawi. Berada didalam Masjid ini setidak-tidaknya menghilangkan rindu , walaupun cuma 1 minggu lagi saya akan kesana. Seperti sudah tidak tertahan menanggung rindu . Kali terakhir disana ialah 10 tahun yang lalu iaitu tahun 1999.

Sewaktu kami pulang selepas Solat Isya , "Masjid ini terasa sayu bila tiada orang !", kata suamiku. "Abang menangis". Yang jelas hati kami merasai suasana dan perasaan yang serupa . Sepi tetapi didalamnya ada damai yang tidak terucap dengan kata.


Thursday, October 22, 2009

Sebuah kisah kehidupan.

"Bila you cakap pasal M , abang dah tak boleh tahan sebak!", kata suamiku tentang seorang dari tetamu kami yang hadir di Majlis Kenduri kami tempohari. "Sebab itu mama bagi telekung kesayangan mama pada dia", jawabku ringkas. "Sorry, mama ambil Quran Terjemahan abang dan bagi pada M, nanti mama belikan yang baru untuk abang", bisikku pada suamiku.

Kami sebenarnya sangat tersentuh dengan kisah hidup M dan terharu kerana beliau mahu datang juga untuk menemui saya. Terasa waktu yang semakin sedikit buatnya membuat saya tidak berfikir panjang untuk memberikan sesuatu yang saya ada saat itu. Telekung yang diberikan oleh adik saya itu memang menjadi antara telekung kesayangan saya . Tetapi saya rasa ada yang lebih memerlukannya, biarlah saya memberi sesuatu yang saya sayang sebagai hadiah untuk M.

"Mama, nanti kita alter doa kita supaya masukkan juga nama M untuk kita doakan disana nanti", kata suamiku. Aku hanya mengganguk tanda setuju. Hanya doa yang dapat kami hadiahkan pada M semuga Tuhan mudahkan dia menjalani saat saat akhir hidupnya.

Solat Hormat Waktu


Penerangan dibawah mungkin dapat membantu bagi jemaah yang akan menunaikan Haji tidak lama lagi.

Mengikut Mazhab Syafi'e dalam rukun sholat fardhu kita harus berdiri tegak (untuk yang tidak uzur) dan mengadap kiblat. Jadi ada setengah setengah ulamak mengatakan kita boleh "hormat waktu" ketika masuk waktu sholat atas sebab yang berikut:

1.Kesempitan tempat dalam kapalterbang yang tidak membolehkan kita berdiri tegak.

2.Kalau kita mungkin dapat tempat untuk berdiri, tetapi air turbulence boleh membuatkan kita jatuh ketika bersolat dan boleh memudaratkan diri kita.

3.Arah kiblat yang kita tidak yakin, kerana kita harus yakin dan tidak boleh was was tentang arah kiblat kita. Memadailah kita yakin arah kiblat kita diawal solat iaitu waktu takbiratul ihram.

4.Tempat wuduk yang terhad. Bayangkan 4 tandas untuk di kongsi 400 ratus orang dalam kapal terbang. Tandas yang begitu sempit dan mungkin telah dipenuhi dengan najis, takut takut terkena najis pada pakaian kita.

5.Ada juga jemaah mengunakan botol spray untuk berwuduk, tetapi untuk muslimah ini kurang berkesan kerana ketika berwuduk ditempat duduknya akan menampakkan aurat mereka.

6.Istinjak yang tak sempurna maklumlah air yang terhad untuk kita gunakan beristinjak. Kalau istinjak kita tak sempurna maka sembahyang kita tak sah.

Jadi atas faktor faktor yang disebutkan diataslah setengah setengah ulamak mengatakan kita boleh "hormat waktu". Maksudnya kita tetap mengerjakan sholat ketika masuk waktu ditempat duduk kita dengan tidak perlu berwuduk tetapi setibanya kita ditempat yang kita tujui, kita kena qada' sembahyang kita.

Lafaz niat Solat Hormat Waktu :

"Sahaja aku Solat Hormat Waktu (2/ 3/4 rakaat) kerana Allah Taala"

Jadi adalah baik kalau kita biasakan diri sentiasa dalam wudu terutama apabila kita akan berangkat menaiki kapal terbang di Kompleks Tabung Haji. Pakailah sarung tangan untuk memudahkan kita menjaga wudu kita supaya tidak terbatal. Apabila kita sudah menaiki kapal terbang adalah sukar untuk kita ambil wudu. Seingat saya sepanjang saya menaiki kalapterbang sewaktu menunaikan Umrah dulu, saya tidak tidur walaupun perjalanan mengambil masa 8 jam lebih. Jadi kita sebenarnya boleh menjaga wudu kita.

Berkawan dengan jemaah di Masjid , saya lihat kawan-kawan saya sentiasa ada dalam keadaan wudu. Ianya tidak susah apabila kita membiasakan diri dan salah satu cara ialah sentiasa berzikir didalam hati supaya tidak sesaatpun hati kita terlepas untuk mengingatiNya. Insya Allah , dimudahkan kita menjaga wudu kita. Doa sebenarnya dapat membantu.

Solat Hormat Waktu adalah antara ujian pertama bila kita melangkah untuk menunaikan Haji. Sama-samalah kita saling mengingati dan membantu memperbaiki diri kita supaya kita semua akan mendapat keberkatan ibadah.




Mereka adalah ujian untuk kita.

Kita selalu menganggap ujian kesabaran akan bermula hanya apabila kita akan melangkah kaki ke bumi Mekah tetapi melalui pengalaman menunaikan haji sebenarnya menguji kesabaran kita , termasuklah dengan mereka yang ada di tanahair kita sendiri. Merekalah ujian pertama yang harus kita lalui. Merekalah halangan pertama kita untuk bersabar .

Semuga Tuhan cekalkan hati, semuga Tuhan tenangkan hati kalau ia adalah hampa, kecewa, marah, sesal dan sebagainya. Anggaplah ini ujian dari Allah.

Mereka juga adalah ujian untuk kita ! Supaya kita lali untuk sabar apabila bertemu dengan insan yang akan kita temui disana nanti.

Ya Allah, berilah aku kekuatan memujuk hati. Tiadalah daya kulalui ia tanpa pertolonganMu.

Harga Pakej termasuk..

1.Tiket penerbangan (cater Haji) pergi dan balik dari KL - Jeddah , Kelas Ekonomi.
2. Bilik berhawa dingin di Mekah, Madinah dan Jeddah
3.Bas berhawa dingin untuk semua perjalanan.
4.Buffet - Sarapan pagi , Makan Tengahari dan Malam serta kemudahan minuman disediakan 24jam(semasa di Mekah)
5.Program ZIarah di Makkah dan Madinah
6.Bimbingan Ibadah Haji oleh Guru Agama di setiap Hotel.
7.Urusan Tawaf dan Sai di pimpin sepenuhnya (semasa ketibaan)
8.Khemah berhawa dingin di Arafah dan di Mina Muassim
9.Khidmat Perubatan , kebajikan dan keselamatan sepanjang berada di Tanah Suci.
Kitab Bughyatul Mustarsyidin :

"Telah berkata Al Khauwas daripada tanda-tanda yang menunjukkan diterima Haji seseorang hamba dan bahawa dia sesungguhnya telah dikurniakan dengan keredhaan Allah ,iaitu bahawasanya sesudah ia kembali daripada mengerjakan haji , dia berakklah dengan akhlak Rasullulah (akhlak Muhamaddiyah) hampir dia tiada memandang dirinya lebih tinggi daripada seseorangpun daripada hamba-hamba Allah dan tiada pula berebut-rebut untuk mendapatkan sesuatu daripada perkara dunia sehingga meninggal dunia.

Dan tanda yang menunjukkan hajinya tiada diterima bahawa dia kembali semula kepada keadaannya sebelum mengerjakan Haji.