Catatan Perjalananku Menuju Haji...

Umrah Pertama - September 1997 (32 tahun)
Umrah Kedua - September 1999 (34 tahun)
Haji Pertama (Haji Fardhu) - November 2009 (44 tahun)

Umrah Ketiga - May 2010 bersama suami dan mertuaku (45 tahun)
Umrah Keempat - Mac 2012 bersama anak-anak Umrah Ziarah Jordan (47 tahun)
Umrah Kelima - Mac 2015 bersama suami (50 tahun)
Umrah Keenam - in sya Allah Feb 2018 bersama suami (53 tahun)


Inilah perjalananku.....mencari , menghayati dan melalui saat indah mengenal Cinta Ya Rabbi !

.

Followers

Ads


INILAH PERJALANAN SEBENAR KISAH SEORANG HAMBA ALLAH, MENGUTIP PENGALAMAN DEMI PENGALAMAN SEPANJANG 44 HARI MENUNAIKAN IBADAH HAJI DAN AKHIRNYA MENJADIKAN , APA YANG KITA LIHAT SEPERTI SEMALAM TIDAK LAGI SETELAH MENUNAIKAN HAJI... PENGALAMAN "ITU" TELAH MEMBEZAKAN KITA YANG SEMALAM DENGAN KITA YANG HARI INI....

semuga ianya memberi iktibar dan panduan bagi mereka yang memerlukan...

Monday, April 12, 2010

Hari 9 - Mengisi ruang waktu bersama makcik makcik...

Hari ini kami balik awal , ke bilik masing-masing sementara menunggu makan tengahari pukul 11 pagi nanti. Selalunya waktu pagi begini makcik makcik atau saya dan suami akan menjalankan aktiviti bebas samada berada di Masjid atatu sebagainya. Tetapi pagi ini seawal pukul 10 pagi sudah ada di bilik kerana menyiapkan persiapan terakhir untuk berangkat ke Mekah selepas Solat Zuhor nanti. Lagipun kami akan berniat Ihram dan melakukan Umrah, pastinya kami perlukan rehat secukupnya kerana perjalanan hari ini ke Mekah , akan menuntut kekuatan minda dan fizikal.

Saya menghabiskan ruang waktu yang ada bersama makcik makcik yang akan berada di bilik yang berlainan sewaktu di Mekah nanti. Terasa sedih juga untuk berpisah apatah lagi sudah 9 hari kami tidur sebilik dan melalui berbagai kisah dan cerita. Keletihan , persiapan untuk keMasjid malah kisah kisah lucu antara kami terasa membuat kami akan rindu saat itu.

Saya menawarkan diri menjadi tukang urut untuk makcik dan menyapu baby lotion dikakinya yang terasa begitu kasar. Sambil berpesan padanya bila balik ke Malaysia nanti, supaya beli lotion dan sapukan pada kaki supaya kulit kaki tidak kering. "Makcik tak tahu", bisiknya perlahan-lahan sambil kelihatan wajah leganya kerana aku mengusap dan mengurut kakinya. Sebenarnya aku rindu pada emak. Kerenah makcik ini membuat aku mengingati kerenah emak. Ingin aku berikan sedikit keriangan dihatinya disaat saat akhir aku dapat bersama makcik ini. Walaupun dia datang keseorangan untuk menunaikan Haji, setidak-tidaknya kehadiran aku dalam hidupnya walaupun sebentar akan memberikan sedikit kebahagian di hatinya.

Makcik yang kelihatan sangat manja dengan aku, aku bekalkan ubat-ubatan yang masih aku miliki, walaupun itu bermakna , ubat untuk aku tidak ada lagi terutama ubat sakit sakit badan, namun dengan senang hati aku berikan pada makcik ini. Dia lebih memerlukan dari aku.

"Kalau nanti makcik sakit semasa di Mekah, call saya ok", pesan aku sambil memberi no. bilik aku di Mekah nanti. Dia melihat wajahku dengan pandangan yang sangat sayu. Sesekali celotehnya dengan makcik yang lain , seperti risau kerana aku tidak lagi sebilik dengan dia untuk menjaga dia.


Friday, April 2, 2010

Hari 9 - Labaikallah Humma Labaik....Mekah!

9 November , Isnin


Suboh kali ini kami mandi Sunat Ihram dan melakukan Ziarah Wada di Makam Nabi. Pukul 11 pagi kami sudah makan tengahari kerana kami akan berangkat sebaik sahaja selepas Solat Zuhor. Perjalanan akan mengambil masa antara 7 ke 9 jam bergantung kepada keadaan bas dan pemandu. Jarak 445 km antara Madinah dan Mekah memungkin kami akan sampai sekitar pukul 10 malam. Niat akan dibaca di Bir Ali , Cuma 20 minit dari kota Madinah.
Kami telah diberi No. Bus dan didalam bas nama kami dipanggil seorang demi seorang oleh pihak Arab Saudi dimana mereka akan check dengan pasport kita sekali. Pasport kami diuruskan oleh pihak Tabung Haji. Setakat ini layanan diberi oleh pihak TH Travel agak memuaskan tetapi kami diberi penerangan tentang keselesaan yang akan terjejas sewaktu hampir 1 bulan di Mekah nanti. Aku sudah menyediakan minda ku supaya bersedia untuk setiap kemungkinan dan setiap kali ingat pada Allah untuk diberi kemudahan sewaktu disana. Disana kita akan diuji. Itulah selalu bermain dimindaku. Macam rasa nak berperang ada juga...berperang jiwa.

Dengan ilmu, pembacaan, kursus , persediaan fizikal dan minda selain nasihat dari insan insan terdekat , aku jadikan ianya bekal kerana aku mahu membuat Haji yang terbaik . Tuhanku, bantulah aku...

Kami sampai di sebuah Masjid untuk kami melakukan solat Jamak Magrib dan Isya. Masjid yang aku biasa lewati dalam umrah umrahku sebelum ini. masih seperti dulu...ianya mengimbau kisah dulu. Sangat manis untuk dikenang. Toiletnya masih seperti dulu tapi sudah diperbaiki . Aku tidakpun ke Toilet kerana sejak dari bergeraknya bas aku berzikir memohon Allah pelihara wudu ku. Mujur ianya tidak sia-sia, kerana sampai juga aku ke Masjid ini untuk lakukan Solat dan tidaklah perlu beratur panjang di toilet. Tempat solat wanita juga sangat kecil dan penuh sewaktu kami sampai. Hendak masuk kedalam ruang solat pun tidak dapat kerana jemaah dari Indonesia kebetulan ada sama.

Lalu terlihat Ustazah sedang memulakan solat dengan sehelai sejadah di luar tempat solat. Anith anak kecil seusia anakku , 9 tahun , aku pimpin untuk ikut solat dibelakang ustazah. Di atas batu-batu dan mengongsi 1 helai sejadah bersama anak kecil ini memanglah agak susah, kerana kalau sujud bersama-sama, pasti kami akan terkeluar dari kain sejadah dan mengenai batu batu dikeliling. Juga bukan mudah untuk sujud diatas batu batu. Terbit keinsafan begini lah Nabi Muhamad s.a.w didalam musafir bergerak dari Madinah ke Mekah untuk menunaikan ibadat haji, berjalan kaki dan menaiki untuk. Pastinya mengambil masa berhari hari untuk sampai. Melihat struktur bumi dari Madinah ke Mekah dalam gelap malam, hati rasa sangat sayu. Susah kita bagaikan langit dan bumi dizaman Nabi. Menitis airmata bila melaui perjalanan kali ini tidak seperi umrah yang dulu dulu. Melalui Haji kita rasa sangat sedih dan sayu dan entah mengapa ingatan pada Nabi Mumhammad sepanjang perjalanan ke Mekah membuat aku sangat insaf...

Berbalik pada solat kami tadi ianya merupakan satu pengalaman yang sangat nostalgik. Disini kita solat dimana mana walaupun berbumbungkan langit. Sebaik selesai solat , aku dan ibu Anith memimpin anak kecil ini, kerana mindanya mula mahu bertanya tentang itu dan ini. Kami memujuk anak kecil ini supaya jangan fikir bukan-bukan kerana kalau kita fikir bukan-bukan kita akan temui apa yang kita fikirkan. Mekah cuma beberapa km dari Masjid ini . Gerun , risau , takut tetapi hati pasrah dalam kuasaMU....



Hari 8 - Ulat



8 November , Ahad

ULAT
Suboh seperti biasa tetapi kali ini agak berbeza kerana selalunya setiap kali aku solat aku akan berubah dibanyak tempat untuk mendapat pengalaman yang berbeza. Kali ini solat bersama dengan jemaah dari Turki. Sewaktu sujud rakaat pertama , aku terasa sesuatu menjalar ditanganku dan tiba-tiba teringat ulat-ulat dan ular juga. Sekali lagi menggosok tanganku dan kali ini aku benar-benar terasa ada seperti kumbang sedang menjalar naik ke tanganku , kemudian dibelakangku pun terasa ada.

Mulalah terasa ada beberapa ekor sedang menaiki baju jubah ku. Menggigil aku ketakutan walaupun masih dalam rakaat kedua. Aku beristighfar sebanyak mungkin sambil memohon ampun dari Tuhan kerana aku sememangnya takut dengan ulat-ulat. Berdoa bersungguh-sungguh , kalau benar ulat itu naik ke tengkuk mahu rasanya aku menjerit . Tetapi dalam saat itu , aku hanya mengharapkan Tuhan untuk menolongku. Dan ajaibnya sebaik sahaja aku selesai memberi salam ,terasa sudah tiada yang menjalar dibelakang badanku. Aku pun cuba memegang tangan dan belakangku dan tiada apa lagi yang terasa . Alhamdullilah ! Padahal aku dah sudah 'plan" untuk menarik kain telekungku sebaik sahaja selesai salam dan pedulikan orang melihat kerana aku sememangnya sangat takut dengan ulat ulat ini. Mujur, dengan pertolongan Allah ianya tidak berlaku. Kadang rasa hairan juga bagaimana boleh tiba tiba hilang padahal gerak kuku jari kumbang atau ulat itu dapat aku rasa sewaktu ia menjalar naik kedalam jubahku.

Pukul 9 pagi kami diberi ceramah untuk Haji dan Umrah oleh ustaz untuk mengingatkan kami apa yang akan kami lalui kalau-kalau kami terlupa. Kami juga diberi Taklimat oleh pihak Tabung Haji untuk pergerakan kami ke Mekah pada esok harinya. KT35 sahaja yang tinggal dihotel ini kerana yang lainnya sudah pergi ke Mekah menjadikan suasana dewan makan tenang dan tidaklah sesak seperti selalu.

Mulanya kami bercadang untuk ke Masjid Quba untuk Solat Dhuha setelah Talkimat , tetapi memandangkan kami perlu meletakkan beg-beg besar diluar bilik selepas solat Asar, terpaksalah kami membatalkan niat kami ke Masjid Quba kerana kesuntukan waktu. Kelihatannya jemaah mula sibuk untuk pack kan barang-barang didalam beg. Termasuklah makcik makcik dibilikku. Satu suasana yang seronok. .

Kami pula tidaklah terlalu risau tentang berat beg kerana sebahagiannya telah pun dihantar melalui pos. Di Mekah bolehlah fokus untuk ibadat kerana barang-barang untuk disedekahkan apabila pulang di Malaysia hampir kesemuanya sudah kami selesaikan semasa di Madinah lagi. Kalau di Mekah nanti sekadar membeli apa yang patut sahaja lagi . Sejak dulu lagi aku tidak gemar membeli barang barang untuk disedekahkan di Mekah kerana waktu kami pasti sangat suntuk mengejar waktu solat apatah lagi di musim haji, pastinya waktu dan keupayaan fizikal menjadi terbatas.

Malam selepas Solat Isya dan makan malam kami membaca yasin beramai-ramai untuk keselamatan kami bergerak ke Mekah pada esok harinya. Satu acara yang sangat menyentuh hatiku. Kita tidak tahu bagaimana kita akan di uji sewaktu di Mekah apatah lagi ibadat haji sudah semakin dekat untuk dilaksanakan.




Hari 7 - Raudah aku datang lagi...

7 November , Sabtu

Selepas Solat Suboh aku sekali lagi pergi ke Raudah. Bergerak ke penjuru bertentangan dari Hotel kami, aku menyusuri Masjid dengan jemaah yang semakin hari semakin ramai. Berkumpul diruang untuk jemaah Malaysia aku duduk menunggu sambil solat Dhuha. Seperti biasa jemaah dari Indonesia menenggelamkan jemaah Malaysia . Mereka hampir semua mengelilingiku dari berbagai daerah dan aku hanya seorang dari kelompok mereka.

Oleh kerana aku sudah tahu cara kami akan diatur dari satu ruang ke satu ruang , aku agak tenang melalui proses menanti. Hampir 4 jam menunggu giliran namun aku leraikan resah dengan menghayati keindahan Masjid Nabawi. Biarlah berlama-lama menunggu didalam Masjid ini kerana aku mahu puas puas berada di Masjid ini. Takut nanti entah bila lagi dapat kesini lagi .... biarlah penantian menunggu giliran ke Raudah aku menafaatkan dengan rasa bersyukur kerana berada disini.

Mulanya menyangka hatiku akan tenang dan tidak tersentuh melihat Raudah dan Makam Nabi kerana baru semalam mengunjunginya , tetapi bila ianya sudah didepan mata , bila dahi sudah sujud di RaidahMU , aku tidak mampu menahan sebak dan tangis . Mengadu pada Tuhan. Melepaskan Rindu pada Illahi , terasa ianya sangat dekat setiap kali aku menyentuh lantai Raudah. Sesuatu berlaku dinaluri, perasaan yang sangat sukar dijelaskan dan yang pasti setiap mereka yang berada disini akan menangis.


Aku pulang ke Hotel lebih kurang pukul 11 pagi dalam keadaan yang begitu letih apatah lagi sejak pagi dan Suboh tadi tidak makan lagi. Balik ke bilik terus menjamah Kurma muda kegemaran ku untuk mendapatkan tenaga kembali. Berehat cuma sebentar kira-kira setengah jam cuma kerana harus bersiap pula untuk Solat Zuhor pula.

Walaupun badan terasa letih kerana sejak pukul 4 pagi sudah ke Masjid, namun hati merasa sangat puas berada didalam Masjidil Haram. Keindahan disaat bersendirian di masjid sangat sukar diterjemahkan kerana ianya sepi dalam riuh orang ramai tetapi sepi itu kita rasa ditemani. Jiwa kita tidak kosong menghitung setiap detik beredar....



Kitab Bughyatul Mustarsyidin :

"Telah berkata Al Khauwas daripada tanda-tanda yang menunjukkan diterima Haji seseorang hamba dan bahawa dia sesungguhnya telah dikurniakan dengan keredhaan Allah ,iaitu bahawasanya sesudah ia kembali daripada mengerjakan haji , dia berakklah dengan akhlak Rasullulah (akhlak Muhamaddiyah) hampir dia tiada memandang dirinya lebih tinggi daripada seseorangpun daripada hamba-hamba Allah dan tiada pula berebut-rebut untuk mendapatkan sesuatu daripada perkara dunia sehingga meninggal dunia.

Dan tanda yang menunjukkan hajinya tiada diterima bahawa dia kembali semula kepada keadaannya sebelum mengerjakan Haji.