Catatan Perjalananku Menuju Haji...

Umrah Pertama - September 1997 (32 tahun)
Umrah Kedua - September 1999 (34 tahun)
Haji Pertama (Haji Fardhu) - November 2009 (44 tahun)

Umrah Ketiga - May 2010 bersama suami dan mertuaku (45 tahun)
Umrah Keempat - Mac 2012 bersama anak-anak Umrah Ziarah Jordan (47 tahun)
Umrah Kelima - Mac 2015 bersama suami (50 tahun)
Umrah Keenam - in sya Allah Feb 2018 bersama suami (53 tahun)


Inilah perjalananku.....mencari , menghayati dan melalui saat indah mengenal Cinta Ya Rabbi !

.

Followers

Ads


INILAH PERJALANAN SEBENAR KISAH SEORANG HAMBA ALLAH, MENGUTIP PENGALAMAN DEMI PENGALAMAN SEPANJANG 44 HARI MENUNAIKAN IBADAH HAJI DAN AKHIRNYA MENJADIKAN , APA YANG KITA LIHAT SEPERTI SEMALAM TIDAK LAGI SETELAH MENUNAIKAN HAJI... PENGALAMAN "ITU" TELAH MEMBEZAKAN KITA YANG SEMALAM DENGAN KITA YANG HARI INI....

semuga ianya memberi iktibar dan panduan bagi mereka yang memerlukan...

Wednesday, April 29, 2009

Penantian yang terjawab...

Kadang-kadang kita selalu tidak percaya malah tidak menduga apabila isyarat untuk menunaikan Haji telah terlihat, hati kita terasa sangat mudah, tiada tersekat apabila saat itu telah tiba. Pada bulan September 2008 , aku sudah mula memujuk suamiku untuk penuhkan duit Haji. Padahal waktu itu seperti dimanalah punca untuk mendapatkan duit . Padahal baru sahaja boleh bernafas setelah diduga dengan berbagai-bagai ujian. Malah rasanya khatam segala ujian yang Tuhan mahu kami lalui , dari fitnah, dari konspirasi, dari boikot, dari dengki dan iri, dari benci dan dendam, dari kesusahan kewangan, malah semua itu ,tidak sedikitpun dapat menepis perasaan ini untuk redha , bahawa segala apa yang Kau beri adalah ujian terbaik untuk kami.

Disaat suamiku , pasrah, aku terus menguatkan semangat bahawa apalah dugaan yang kita hadapi waktu ini , padahal ujian-ujian sebelumnya , tidak kurang sakitnya. Kami telah rasai semua, namun Tuhan tetap berikan kami yang terbaik. Tidak pernah cela apatah lagi terhina kerana kami selalunya pasrah dan yakin disebalik kesakitan yang diberi , walau cuma aku dan suamiku yang tahu, ia tidak pudarkan semangat kami.

September 2008 , aku tekad memujuk suamiku untuk memohon pinjaman untuk menunaikan Haji. Tidak tahu mengapa aku senekad itu. Kalau dikira harta dan duit simpanan EPF telah melebihi dari cukup , apatah lagi untuk membuat Haji, pasti tidak boleh kami ikhtiarkan. Cuma kami tidak mempunyai wang tunai pada waktu itu.

Tanpa pernah kami duga, suamiku mendapat rezeki terpijak dan apabila dikira jumlahnya, Subhanallah , ianya cukup untuk kami melakukan Haji pada tahun 2009. Ianya seperti mimpi. malah sehingga kehari ini , kami masih tidak percaya tentang keajaiban yang sukar dijelaskan. Suatu keadaan yang dimudahkan tanpa kita duga, puncanya "percuma" dari Yang Esa. Tidaklah kami sangka , dalam usaha kami untuk memohon pinjaman dari bank, kini Tuhan beri kami wang percuma mencukupi ,tanpa sesen pun kurang ,untuk kami melakukan Haji seperti yang kami rancangkan.

Bergegaslah kami ke Tabung Haji dengan hati yang gembira kerana buku simpanan kami telah di isi penuh. Namun , alangkah hampa hati , bila diberitahu bahawa nama kami telah naik pada tahun 2003 , dan kami tidak tahu tentang itu.

Tahun 2003 adalah tahun bermulanya ujian yang sangat hebat dalam hidup kami. Kami mendapat musibah dalam tempoh 10 hari yang akhirnya memaksa kami memulakan hidup kami dari "mula". Sudah sejauh ini perancangan kami yang dibuat dengan begitu teliti bertahun-tahun lamanya, akhirnya kecundang dengan "Ujian" dari Allah Yang Maha. Terpaksalah kami mengeluarkan kesemua simpanan yang ada untuk memulakan hidup kami. Terpaksalah kami mengeluarkan kesemua duit haji yang telah kami simpan sejak tahun 1999. Tuhan sahaja yang tahu sedihnya saat kami harus mengunjungi Tabung Haji untuk memulakan sesuatu yang tidak pernah kami duga.

Tanpa kami sedar , dengan mengeluarkan duit haji waktu itu, maka senarai nama kami telah terkeluar. Manalah dapat kami tahu , kesan akibat dari pengeluaran itu, dalam keadaan kami kehilangan punca untuk mendapatkan sumber kewangan . Dan disaat itu jugalah kami belajar, tentang erti kehidupan. Disaat kesusahan , tiadalah yang mahu membantu dan tidaklah kami ceritakan kesusahan kami. Tangan-tangan yang menerima pemberian dan pertolongan kami sebelum ini tidaklah menjadi tangan-tangan yang meneduhkan hati kami , disaat kami susah malah mereka tidak mahu ambil tahu! Yang mampu hanyalah berdoa dan terus berusaha , supaya apa yang diduga , sehebat ini, pasti hikmahnya juga hebat untuk kami. Aku sangat percaya , Tuhan tidak sia-siakan hambaMu ini.

Tahun 2003, rupanya nama kami tersenarai , tapi kami tidak tahu , malah keluarkan semua duit kami. Tahun 2003, kami kehilangan Ibu kami yang tercinta. Perginya diatas pangkuanku dengan wajah tersenyum seperti menyatakan "kasih emak akan terus bersamamu". Padahal , emak yang hendak sangat untuk pergi Haji tahun itu. Malangnya anakmu tidak tahu "nama kita telah tersenarai tahun itu". Pujukku pada emak, "anakmu tidak mampu tahun ini, biarkan ku usaha bersungguh-sungguh agar dapat penuhi impian emak, agar aku dapat pulihkan kembali kewangan kami secepat mungkin".

Setelah memeriksa nama kami tidak tersenarai lagi seperti yang diberitahu oleh Tabung Haji, kami pun membuat permohonan rayuan. Menceritakan sebab-sebab kami mengeluarkan duit haji dengan alasan dan bukti yang kukuh. Selain mencari mereka yang sanggup menolong untuk menaikkan nama kami ke dalam senarai "rayuan". Kemudian berserah pada Illahi.

Masihku ingat pesan ustaz waktu belajar di Pusat Islam, kita berusaha, selainnya berserahlah pada Tuhan. Semuanya atas kuasaNYA samada nama kita menjadi salah seorang jemputan untuk tahun 2009. Ikhtiar itu usaha kami, selainnya terletak di TanganMU.

Hari ini , jam 10 pagi , panggilan dari suamiku mengabarkan kabar gembira. Aku seperti tidak percaya apa yang kudengar. Tidak ku duga begini hebatnya KasihMu , Ya Rabbi. Rupa-rupanya nama kami telah tersenarai untuk menunaikan Haji tahun ini. Surat telah pun di hantar di rumah kami di BB. Kami tidak tahu, mujur , suamiku memeriksa di Tabung Haji kerana harapan kami hanyalah untuk "calon rayuan" ataupun "calon menunggu". Tapi keajaiban Tuhan telah berikan kami sebagai "calon untuk pergi haji tahun ini". Padahal nama kami telah terbatal, padahal kami cuma ingin membuat Rayuan, kerana kami tahu situasi kami . Kami akur kami hanya layak untuk menjadi "calon Rayuan".

Kini, seperti tidak percaya , keajaiban demi keajaiban yang Kau perlihatkan sekian waktu seperti memberi petunjuk untuk aku "bertemuMU" . 10 tahun yang lalu , kali terakhir aku menunaikan umrah, aku menangis meninggalkan Kaabah.

Kini , genap 10 tahun kemudian, Kau terima aku kembali dengan jemputan Haji. Subhanallah!!

Sebaik sahaja aku meletakkan telefon, airmata bercucuran dan aku menangis sepuas-puasnya. Seperti menangisku sewaktu berada didepan Kaabah. Seperti Kaabah sudah terlihat didepan mataku. Suatu pandangan yang amat kurindu. Suatu perasaan yang sayu dan hiba. Sayu , Kau panggil aku akhirnya, Kau ajar aku tentang manisnya usaha untuk menunaikan Haji . Kau ajar aku tentang pahitnya kehidupan, sukarnya ketabahan, pilunya pengalaman dari satu kehilangan ke satu kehilangan . Namun tidak Kau halang aku, tidak Kau sekat aku dengan impian ku untuk berada di sisiMU.

Kau dengar bisikku....

saat ini terasa rindu dan sangat rindu untuk berada di RumahMU....hanya Kau yang tahu betapa sakitnya menanti dan merindui sesuatu yang amat sukar kulafazkan!

Tuesday, April 28, 2009

Pintu Kaabah terbuka ! Kenangan terindah...

Malaysian Hall , London


Selepas solat Isya' , seperti biasa kami dan jemaah yang lain makan malam bersama. Selalunya itulah saat yang paling santai dan gembira kerana Ayah Haji akan bercerita tentang pengalamannya menunaikan umrah dan haji . Sesekali diselang seli dengan kisah beliau sewaktu menjadi askar. Haji Saad juga tidak kurang hebatnya. Malah boleh dikatakan kumpulan kami memang sekepala.

Sebelum masing-masing kebilik untuk berehat, Ayah Haji berpesan pada suamiku untuk sama-sama beriktikaf di Masjid. Kebetulan malam itu Malam Jumaat dan sebagai senior-senior yang telah biasa dengan suasana di Mekah, mereka mahu suamiku turut serta untuk beriktikaf bersama-sama mereka.

Tinggallah aku seorang di bilik . Terasa gementar juga dalam keadaan di Hotel yang agak sunyi. Menanti saat kepulangan suamiku terasa amat lambat apatah lagi aku seorang yang penakut. Berbagai-bagai bunyi didengar diluar bilik , berpeluh aku menahan takut. Kubaca Quran sementara menunggu suamiku pulang . Rasa menyesal jugak tidak ikut sama ke Masjid , tapi rasa malu jugak takut nanti dikata asyik berkepit dengan suamiku, jadi terpaksalah aku membiarkan mereka , orang lelaki dengan iktikafnya.


Suasana itu, mengingatkan aku sewaktu tidur di bilik asrama di Malaysian Hall , sewaktu di London. Atas nama asrama , maka bahagian bilik perempuan dan lelaki dipisahkan. Selalunya student yag belajar di sekitar London atau UK akan tidur disini. Sewaktu mendaftar , kerana penjaga di kaunter berkata , bilikku ada seorang lagi pelajar Malaysia yang telah ada di bilik itu. Dengan senang hati aku masuk kebilik itu. Bilik airnya pula agak terperosok di satu lorong. Suasana seperti di asrama . Puas aku menunggu "room mate"ku tapi tidak balik-balik , padahal hari sudah hampir pukul 12 malam. Tingkapnya pula seperti bilik penjara, tinggi dan aku harus berdiri di atas katil untuk melihat diluar tingkap kecil. Bangunan lama yang memang menyeramkan menyebabkan aku tidak dapat tidur lena. Sedar-sedar hari sudah siang dan "room mate"ku tidak pulang-pulang. Kalau aku tahu seluruh malam itu aku tidur seorang, mesti aku menukar fikiran dan meminta suami ku untuk mencari bilik hotel yang lain !

Kini suasana itu berlaku di malam Jumaat di Mekah. Walau sebenarnya , pergi cuma sekejap tapi setiap minit yang dihitung, terasa amat panjang dan menyeramkan. Aku hampir menangis ketakutan . Sesekali aku membuka pintu bilik dan melihat dilorong bilik hotel , tapi terasa takut untuk pergi ke bilik Mak Haji, takut tersilap bilik ! Akhirnya aku duduklah seorang diri diatas katil sambil membuka TV untuk meriuhkan suasana.

Apabila suamiku pulang , lantas kuceritakan padanya. Seperti biasa mendengar tanpa jemu ! Lebih kurang pukul 2 atau 3 pagi aku terkejut dari tidur. Tiba-tiba ada sesuatu mengajak aku pergi bersembahyang sunat dan tawaf sunat di Baitullah. Berpeluh-peluh menahan resah. Tentulah permintaanku tidak dipersetujui oleh suamiku. Sudahlah dia baru balik dari iktikaf, sekarang aku mendesak dia untuk menemani aku sembahyang di depan Kaabah. Puas dia memujuk aku supaya aku menunggu sekejap nanti kerana Subuh sudah hampir tiba . Tapi aku tidak memperdulikan nasihatnya. Puas aku merayu dan hampir menangis supaya mengikutiku pergi saat itu juga!

Seperti selalu , suamiku tidak pernah menghampakan permintaan isterinya yang memang dia tahu banyak kerenah. Gembiranya hatiku akhirnya dapat juga pergi menyusuri jalan dan masuk ke Masjidil Haram. Sunyi dan lengang tetapi kelihatan pengawal keselamatan ada di lorong lorong jalan. Memandangkan bilik hotel kami tidaklah berapa jauh dari Masjidil Haram, sekejap sahaja sudah sampai dan seperti biasa suasana didalam masjid seperti tiada surut dengan berbagai ibadah yang dilakukan oleh Jemaah. Ada yang baru sampai, ada yang mengerjakan tawaf , ada yang solat , ada yang membuat sai. Memang seronok bila ada di dalam Masjid ini.

Setelah melakukan tawaf sunat , kebetulan mereka yang beratur untuk mencium batu Hajarul Aswad tidak ramai. Berdirilah aku dibelakang suamiku dan dapat mencium batu itu. Sebuah batu hitam yang sejuk. Suamiku berpesan untuk mengesat dulu batu itu dengan tangan sebelum menciumnya. Terasa tidak percaya akhirnya aku dapat menciumnya juga dan tanpa di duga orang yang beratur tidak ramai di belakangku , suamiku menyuruh aku beratur kembali untuk mencium sekali lagi. Lebih kurang 5/6 rang sahaja didepanku , dan aku dapat menciumnya sekali lagi. Tuhan sahaja yang tahu betapa riang dan seronoknya hatiku.

Kemudian , seperti biasa kami sembahyang sunat di Makam Ibrahim berhadapan Kaabah. Sungguh tenang malam itu . Perasaan seperti melayang melakukan solat dan pastinya setiap kali sujud , perasaan sayu dan sedih menyelubungi hati nurani. Teresak-esak dengan tangis, airmata tidaklah dapat ditahan-tahan. Suatu pengalaman dan perasaan yang tidak mungkin dapat dilupakan. Terasa dekat sangat dengan Illahi. Terasa berbisik memohon kemaafan dan keampunan atas dosa hambamu yang sangat lemah ini.

Sesekali pandanganku melihat mereka yang beratur untuk mencium Hajarul Aswad kembali sesak. Terasa sayu kerana Kau berikan ruang yang sangat mudah pada hambaMu ini untuk mencium Hajrul Aswad. Betapa bersyukur dan berterimakasihnya aku. Melihat keajaiban yang terasa menusuk di kalbu.

Dalam khayal tangis sambil menatap Kaabah, sambil berbisik dengan begitu sarat doa, terasa seperti mengadu padaMU yang Rabbi. Tiba-tiba dikejutkan dengan segerombolan askar-askar yang memecah hening suasana. Mereka membuat kepungan di sekeliling Kaabah dan sebentar kemudian datanglah sekumpulan orang Arab yang memakai Jubah Putih melakukan tawaf. Duduklah aku melihat suasana itu tanpa di halau ketempat lain untuk solat oleh askar askar itu. Maka pandanganku sangatlah jelas melihat mereka melakukan tawaf.

Dan alangkah tidak percayanya aku, sebentar kemudian , datang pula sekumpulan askar yang membawa Tangga seperti tangga menaiki mimbar. yang diusung. Mereka mengusungnya hingga ke pintu Kaabah. Subhanallah! Aku mula menangis malah kelihatan jemaah lain yang ada disekitarnya mula bersuara dengan tangis. Mereka akan membuka pintu Kaabah! Suamiku berbisik padaku , kuatkan semangat, jangan ikut perasaan melihat suasana itu. Sememangnya sukar dikawal kerana tidak pernah terfikir , kami akan melihat sesuatu yang ajaib berlaku dalam hidup kami, "melihat pintu Kaabah terbuka".

Sebentar kemudian setelah rombongan orang Arab itu melakukan solat sunat, kelihatan 2 orang menaiki tangga itu dan membuka pintu Kaabah. Kain Kaabah di selakkan di muka pintu dan terbukalah pintu itu. Begitu besar sekali dan hanya Tuhan yang tahu betapa bersyukurnya aku di anugerahkan sebuah pengalaman yang tidak pernah terlintas di fikiranku.

Setelah memasuki di dalam Kaabah untuk beberapa ketika, mereka pun menuruni tangga itu setelah menguncinya kembali. Pulanglah mereka bersama-sama gerombolan askar tadi. Menitis airmata ini sukar diceritakan. Dalam doa dan tangis, keajaiban tidak berhenti disitu. Tidak sampai beberapa saat gerombolan itu pergi, tiba-tiba hujan yang agak kasar turun. Bertambahlah riuh suasana dengan jeritan dan tangis. Ramailah yang berlari ke Pancuran Emas kerana disitu air hujan itu mengalir keluar.

Suamiku memegangku supaya aku tidak lemah semangat melihat suasana itu. Kami berdoa dibawah gerimis hujan, memanjatkan doa demi doa bersama airmata yang luruh tidak berhenti. Hati kami terasa sesuatu, sesuatu yang tidak mampu dilafazkan dengan kata-kata. Suatu pengalaman yang tidak mampu ditulis dengan kata-kata dan ianya telah berlaku dalam hidup kami. Jadilah ia kenangan yang sangat indah yang "matanya" tidak lepas menatap Kaabah.

Setelah hujan mulai berhenti , kami menyusuri jalan pulang ke bilik hotel. Sambil memegang erat tangan suamiku...gembira yang sukar dilafazkan. "Mujur you mendesak kita pergi juga malam ini!" bisik suamiku...

Wednesday, April 22, 2009

HAJI MABRUR

Ustadz Abu Ubaidah Al-Atsari



Dari Abu Hurairah Radhiyallahu ‘ahu bahwasanya Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda :

Umroh ke umroh berikutnya merupakan pelebur dosa antara keduanya, dan tiada balasan bagi haji mabrur melainkan surga”
[HR Bukhari : 1683, Muslim : 1349]

Haji Mabrur memiliki beberapa kriteria.

Pertama : Ikhlas. Seorang hanya mengharap pahala Allah, bukan untuk pamer, kebanggaan, atau agar dipanggil “pak haji” atau “bu haji” oleh masyarakat.

“Artinya : Mereka tidak disuruh kecuali supaya beribadah kepada Allah dengan penuh keikhlasan” [Al-Bayyinnah : 5]

Kedua : Ittiba’ kepda Nabi Shallallahu ‘alaihi wa sallam. Dia berhaji sesuai dengan tata cara haji yang dipraktekkan oleh Nabi Shallallahu ‘alaihi wa sallam dan menjauhi pekara-perkara bid’ah dalam haji. Beliau Shallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda.

“Artinya : Contohlah cara manasik hajiku” [HR Muslim : 1297]

Ketiga : Harta untuk berangkat haji adalah harta yang halal. Nabi Shallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda.

“Artinya : Sesungguhnya Allah itu baik, Dia tidak menerima kecuali dari yang baik” [HR Muslim : 1015]

Keempat : Menjauhi segala kemaksiatan, kebid’ahan dan penyimpangan

“Artinya : Barangsiapa menetapkan niatnya untuk haji di bulan itu maka tidak boleh rafats (berkata-kata tidak senonoh), berbuat fasik, dan berbantah-bantahan pada masa haji..”[Al-Baqarah : 197]

Kelima : Berakhlak baik antara sesama, tawadhu’ dalam bergaul, dan suka membantu kebutuhan saudara lainnya.

Alangkah bagusnya ucapan Ibnul Abdil Barr rahimahullah dalam At-Tamhid (22/39) : “Adapun haji mabrur, yaitu haji yang tiada riya dan sum’ah di dalamnya, tiada kefasikan, dan dari harta yang halal” [Latho’iful Ma’arif Ibnu Rajab hal. 410-419, Masa’il Yaktsuru Su’al Anha Abdullah bin Sholih Al-Fauzan : 12-13]

Tuesday, April 21, 2009

Kursus Haji - Tasbih 7 biji

Ustaz juga ingatkan kami supaya membuat tasbih yang mempunyai 7 butiran , supaya digunakan sewaktu melakukan tawaf. Jadi apabila , pusingan kita terbatal air sembahyang jadi kita boleh tandakan , ambil wudu kembali dan mulakan kembali tasbih yang telah ditanda.

Malah dengan wudu yang terbatal , dalam keadaan yang bersesak tidak mustahil untuk kita terlupa jumlah pusingan yang telah kita lakukan atau timbul perasaan ragu tentang pusingan yang ke berapa untuk mulakan semula. Sebab itu aku bersetuju dengan pesan ustaz untuk membuat 7 butiran tasbih untuk memudahkan apatah lagi dalam setiap langkah pusingan tawaf , kita asyik dengan doa dan zikir , tidak mustahil kita terlupa pusingan kita.

Sekiranya kita lupa atau ragu samada pusingan yang ke 3 atau 4, maka ambil yang ke 3 , atau yang kecil dan mulakan mengikut apa yang kita yakin.

Didalam tawaf mestilah ada wudu malah pakaian solat atau ihram kita bersih dari sebarang kekotoran dan najis.

Ia buat aku berfikir...Haji itu bukan mudah!



Diceritakan, ketika Ibnu Muwaffaq berada di suatu masjid di Mina, ia sempat tertidur sejenak. Dalam tidurnya, ia melihat dan mendengar dialog dua orang malaikat. Seorang bertanya kepada temannya, ''Berapa jumlah jamaah haji tahun ini?'' ''Enam ratus ribu orang,'' jawabnya. ''Berapa orang dari mereka yang hajinya maqbul?'' tanyanya lagi. ''Enam orang saja,'' kata temannya, singkat. Mendengar jawaban ini, Ibnu Muwaffaq terjaga. Gemetaran ia termenung sejenak, memikirkan betapa besarnya jumlah jamaah haji ketika itu, tetapi betapa sedikitnya jumlah mereka yang maqbul.

(Ihya Ulumuddien - Imam Ghazali)

Monday, April 20, 2009

Kursus Haji - Yang selalu bertanya

Selain yang telah veteran , kulihat majoriti yang hadir dari adalah di usia 50 dan 60 an. Tapi melihat yang muda datang , malah lebih muda dari kami, mereka inilah yang rajin bertanya. Semangat orang muda lain dari yang tua. Mereka teruja dan berbagai soalan yang ditanya. Aku suka melihat mereka ini, bersesuaian dengan usia mereka , sifat hendak tahu mereka kadang-kadanag sangat kreatif. Soalan yang ditanya juga seperti mahu menguji Ustaz. Malah tidak sempat ustaz bertanya mereka sudah sediakan soalan.

Setidak-tidaknya dalam usia yang muda mereka sudah mendapat seru itu dan lebih menarik mereka sudah mula mengikuti Kursus Haji ! Syukur untuk mereka.

Kursus Haji - mengawal riak

Kursus haji ini juga telah meletakkan aku pada suatu perasaan untuk terus tunduk . Tundukkan riak. Bukanlah mudah mengawal riak malah ramai yang tidak menyangka riak itu akan merosakkan haji kita. Apatah lagi bila pergiku dengan pakej, seboleh mungkin tidak mahu aku kabarkan malah tidak seorang dari makcik-makcik atau kakak yang kutemui sepanjang Kursus yang tahu . Aku mahu duduk lebih rendah dari mereka walaupun majoriti dari mereka menggunakan Muassasah. Aku mahu mereka merasakan aku juga seperti mereka akan melalui kesukaran seperti mereka juga. Tidak ada istimewanya pakej. Padaku ianya cuma sekadar "usaha" yang terbaik aku untuk menemui Tuhanku. Pakej tidak pasti akan menjanjikan yang mudah dan selesa. Itulah yang selalu kubisikkan dihati. Inilah ikhtiar terbaikku untuk beribadat kepada Mu. Kalau sukar yang Kau beri , aku telah duduk bersama-sama mereka , dan belajar kesusahan yang akan dilalui bersama mereka. Bukan tidak boleh aku mencari Ustaz mengajarku dirumah tapi aku mahu seperti orang lain. Melalui getir yang sama!

Aku selalu melihat makcik makcik yang mungkin tidak belajar tinggi tapi semangat mereka membuat aku gembira. Semangat mereka membuat aku mahu sekuat mereka. Mungkin bukan mudah untuk mereka memahami tapi lihatlah kuasa Tuhan. Terkadang mudahnya mereka menerima pelajaran yang diajar. Mereka menunggu setiap tahun giliran mereka tanpa jemu , tanpa sedikit kesal untuk terus belajar dan belajar setiap tahun. Meraka datang menaiki bas, malah datang dan sampai awal dari mereka yang berkereta. Ada waktu panas terik, bila berselisih di pintu masuk dewan, tidak terlihat keletihan diwajah mereka. Terkadang aku tertanya , anak mereka tidak hantar mereka kah? Mereka kulihat ada setiap kali Kursus, tidak ponteng . Melihat mereka aku selalu berfikir dan kagum.

Sengaja kami parking kereta jauh sedikit, malah bila masuk ke kereta aku tunduk , aku tidak mahu mereka melihat kereta apa yang kunaiki. Aku takut riak ! Aku tidak mahu perasaan ini digoda untuk merasa aku lebih baik dari mereka. Aku mahu membunuh naluri itu. Aku mahu selalu mengingati "akulah hanya seorang hamba Allah!" Dengan Allah juga walau seorang hamba, aku mahu jadi Hamba yang terbaik....peliharalah aku.


Kursus Haji - usaha bersama

Apa yang aku lihat sepanjang Kursus yang kulalui , ramai yang belum berpeluang mengerjakan umrah menyebabkan mereka bertanya berbagai soalan yang kadang buat kami tertawa. Tapi memang benar, kalau kita tidak pernah ke Mekah, kita tidak dapat gambarkan bagaimana Miqat, bagaimana tawaf, bagaimana sai? Malah soalan-soalan mereka juga , kadang-kadang buat aku sendiri tidak pasti kerana melakukan umrah adalah sangat mudah sepanjang pengalaman ku sebelum ini kerana aku tidak pernah punyai masalah untuk ke toilet , malah aku tidak pernah pergi ke toilet awam di Masjidil Haram! Semuanya aku pastikan sempurna sewaktu dihotel lagi, jadi bila mereka mula bertanya tentang wudu yang batal, bagaimana nak mulakan kembali tawaf, niatnya bagaimana dan berbagai-bagai membuatkan aku pun tidak tahu. Kerana tidak pernah melalui pengalaman yang sukar lagi!

Apa yang dapat kuperhatikan , keadaan yang sangat sesak di Mekah ketika musim haji akan meletakkan kita pada berbagai kemungkinan dan untuk setiap keadaan yang kita tidak sangka , kita mesti bersedia dengan sedikit ilmu untuk mempastikan Haji tidak terbatal tanpa kita sedari. Kadang-kadang aku hairan , semangat untuk belajar seperti mahu menduduki peperiksaan besar. Suamiku siap denga peta mindanya dan aku pula sampai hari ini masih belum buat peta mindaku. Yang ada cuma nota-nota penting sewaktu Kursus selain berbagai koleksi buku Haji. Kami selalunya aku berbincang apa yang kami faham atau soalan soalan dari jemaah yang mungkin menarik untuk dikupas bersama. Bila dua-duapun kabur dengan jawapan , masing-masing mencari bab-bab untuk mencari jawapan. Itu yang menariknya, seperti kami berdua berada di kampus yang sama-sama dan sama-sama akan hadapi ujian pada musim haji nanti.

Secara tidak langsung Kursus ini sebenarnya memperbaikkan lagi pemahaman kita. Janganlah kita sangka kita telah pergi umrah , kita tahu semua keadaannya apabila menunaikan Haji nanti. Kisah dan perkara-perkara yang berlaku disana , kadang-kadang tidak tercapai di minda. Yang remeh itulah kadang-kadang tuhan yang jadikan keraguan dihati kita. Ianya tidaklah sama kalau semangat pergi yang bersungguh-sungguh dengan usaha dan ilmu. Apa yang aku rasa , aku tidak boleh sambil lewa. Naluri kegembiraan yang sudah mula kurasakan ini tidak mahu kusia-siakan dengan sikap tidak fokus. Aku mahu yang terbaik ...malah aku dapat rasakan Tuhan mahu aku lalui yang terbaik ...dengan kuasa Mu...bimbinglah aku!

Kursus Haji - perasaan

Alhamdullilah , aku kini dapat mengikuti Kursus Haji untuk minggu yang keenam. Sepanjang setiap minggu aku mulai mengikuti Kursus ini , seperti ada magnet yang mengajak aku terus mengikutinya. Terasanya tidak tergamak untuk meninggalkan walau 1 kelas kerana setiap minggu , rasa dan laungan "Labaikallah" semakin gembira di hati. Hatiku semakin terdetik kuat , Insyallah tahun ini Rayuan kami dengan Tabung Haji akan dapat diterima. Seperti ada satu keyakinan yang sukar dilafazkan. Mungkin inilah di katakan , apabila saatnya telah tiba, apabila jemputan seperti sudah ada, "rasa" gembira , rasa ringan, rasa mudah , datang dengan sendiri.

Aku tidak tahu, mengapa dengan mudah , seperti mengajak untuk aku mulakan sembahyang Hajat untuk memohon supaya harapan untuk menunaikan Haji dapat dicapai tahun ini. Padahal , sewaktu aku membaca buku buku Prof Muhd Kamil , tentang dia sudah mulai membuat sembahyang Hajat sejak 6 bulan tidak silap aku , sebelum untuk tunai haji, kini berlaku dengan sendirinya pada diriku. Benarlah, perasaan ini tidak boleh dipaksa. Makin dipaksa makin jauh, tapi bila ada sekelumit "cahaya" yang kita sendiri tidak sangka, badanku terasa sangat ringan untuk lakukan sembahyang Hajat hanya untuk memohon supaya dapat melakukan Haji pada tahun ini. Inilah keajaiban yang sukar diceritakan. Padahal aku bukanlah seorang yang warak, malah aku sama seperti manusia lain yang alpa dengan kesilapan dengan kesilapan . Tapi kali ini, perasaan itu datang , gelodak kegembiraan tak dapat ditahan-tahan. Mungkin inilah yang selalu kita lihat pada mereka yang dapat ditawarkan mengerjakan Haji, suatu kegembiraan yang sukar digambarkan apatah lagi apabila kita sudah sangat bersedia untuk kesana. Tiada apa yang dapat dihalang, biarlah anak-anakku masih kecil. Terkadang , anak sulung dan adiknya bertanya , bagaimana Alia dan Neesa , bila mama ke Mekah nanti? Aku seperti tidak risau, malah tidak ada kerisauan langsung. Seperti ada sesuatu yang meyakinkan aku untuk tidak risau. Itulah yang menghairankan aku. Padahal , kerja ku yang harus kutinggalkan untuk tempah 1 bulan pasti akan membuatkan aku terlepas dengan bisnesku yang lumayan. Tapi tidak sedikitpun ada perasaan terkilan. Padaku, fokus aku , aku mahu kesana. Tuhan telah mudahkan perasaan ini, seharusnya aku gunakan sebaik mungkin.

Perasaan istimewa ini sudah dapat dirasa setiap kali hadir ke Kursus Haji. Inilah pengalaman yang sangat mempersonakan kerana aku tidak menyangka dengan hanya hadir disetiap minggu , rasa untuk pergi sudah semakin dekat. Ditambah dengan setiap minggu aku pasti bertemu dengan kakak atau makcik makcik yang membuat aku kagum dengan kegigihan mereka. Semalam makcik yang tinggal di Kempas , katanya setiap minggu dia ke Masjid Al Mizan setiap pukul 9 pagi -11 pagi , dimana diMasjid , ustaz mengajar cara sembahyang Jamak dan dilakukan bersama-sama. Malah mereka juga diajar begaimana mengerjakan sembahyang Tasbih dan berbagai sembahyang sunat bersama-sama. Satu maklumat yang sangat menarik dan lebih kagum disebelah pagi , makcik ini ke Masjid Al Mizan dan tengaharinya pula di Pusat Islam semenjak 3 tahun yang lepas! Alangkah hebatnya semangat makcik ini. Walau banyak perkara yang diulang ulang tapi dia tidak jemu jemu untuk menghadiri Kurus ini. Apakah yang menarik makcik ini ? Mungkin perasaan yang sama seperti yang kurasai ini.

Wednesday, April 15, 2009

Asyiknya melihat Kaabah ....

Aku tidak ingat berapa hari aku sudah berada di Mekah, melakukan umrah 2 kali setiap hari sehingga suatu hari , sewaktu solat Asar bersama Mak Haji , beliau bertanya , "dah cium Hajaratul Aswad?". Aku terpaku seketika. Rupanya kerana terlalu asyik dengan tawaf dan umrah , aku terlupa untuk mencium Hajaratul Aswad. Walaupun selalu mengelilingi Kaabah dan tawaf kemudian solat di Hijr Ismail, aku boleh tidak teringat untuk melakukan sesuatu yang selalu ingin dilakukan oleh setiap yang datang kesini .

Jawabku pada Mak Haji , "tak teringat, nanti insyallah saya pergi". Dalam hatiku , syukur amat kerana di ingatkan oleh Mak Haji. Sewaktu di sana, Mak Haji dan Ayah Haji adalah seperti ibu bapaku sendiri, mereka melayan kami dengan begitu baik sekali sambil menunjuk ajar mana yang patut memandangkan mereka telah banyak kali melakukan umrah dan haji. Sementelah pula mereka hanya ada seorang anak tunggal mereka , yang kebetulan pernah menjadi rakan sekerjaku sewaktu di Zaid Ibrahim.

Aku nekad untuk mencium batu yang istimewa itu tapi sayup dari tempat solatku , ku lihat tidak pernah surut orang ramai beratur untuk menunggu giliran mereka. Sesekali rasa takut menyelebungi hatiku. "Bolehkah aku?". Kelihatannya orang-orang Badwi begitu sasa dan tinggi , kelihatan sentiasa ada dikawasan itu. Aku agak takut melihat mereka apatah lagi kalau harus bertolak-tolak dengan mereka yang agak kuat dan gagah sekali. Lebih baik beralah kalau dengan mereka!

Sambil terus mengharap bila dapat melakukan itu , aku hanya mampu menitipkan harap pada Ilahi , aku ingin melakukan ciuman itu , bantulah aku......


Tuesday, April 7, 2009

Kisah Wuduk sebelum Tawaf..

Setelah sampai di bilik hotel , rasanya telah melebihi pukul 12 malam, kami terus berkumpul di lobi hotel untuk terus mengerjakan rukun umrah seterusnya. Kami dibawa oleh mutawif menyusuri Masjidil Haram . Sambil di ingatkan untuk mengambil wuduk kepada rombongan kami , semuanya diam membisu. Bisik seorang kakak padaku , dia tiada wuduk tapi takut nak beritahu kerana kerisauannya , kerana dia akan melambatkan jemaah lain untuk menunaikan Tawaf. Dan yang jelas , kakak itu takut pada suaminya yang kelihatan agak garang padanya. Saya kata , kalau tiada wuduk , tidak mengapa , kita bagi tahu pada Ustaz. Pujukan saya , kuat dan gagahkan dia untuk kabarkan pada Ustaz. Agak lega kerana bukan kakak itu sahaja yang tiada wuduk malah ramai lagi dikalangan jemaah yang tiada wuduk. Yang pasti, kakak itu tidak perlu risau kerana suaminya tentu tidak boleh marahkan dia kerana , orang lain pun kena pergi ambil wuduk dan kami sama-sama menunggu mereka.

Walaupun telah lewat malam , penat tapi hati mana yang akan letih , bila sudah berada di dalam Masjidil Haram yang tidak pernah sunyi dari dikunjungi oleh jemaah , silih berganti !

Bila berada di sini, usahlah tergesa-gesa ...take your sweet time. Ibadah di sini sangat berbeza dari tempat lain kerana didalamnya ada "ketenangan" yang sukar di lafazkan...

Monday, April 6, 2009

Masjidil Haram yang menanti....



"Daripada Anas bin Malik r.a dari nabi s.a.w. sabdanya : "Sesiapa melakukan empat puluh waktu sembahyang di Masjidku tanpa ketinggalan satu waktupun, maka kurniakan kepadanya pembebasan dari api neraka, pembebasan dari azab dan terlepas daripada kemunafikan"

Riwayat Ahmad dan Al-Tabarani



Syukur kami dapat melakukan 40 waktu tanpa ketinggalan dengan pertolongan Allah yang Maha Penyayang.

Setelah genap 8 hari berada di Madinah , kami meneruskan perjalanan kami ke Mekah untuk menunaikan umrah. Menaiki van , kami mulakan perjalanan . Pemandangan padang pasir dengan batu batan mengisi pandangan mata sepanjang perjalanan itu.

Akhirnya setelah niat di Miqat di Bir Ali, bermulalah Talbiah , La baikallah Humalabbaik...kami suarakan tanpa henti . Terasa begitu sayu, perjalanan dan detik yang dilalui terasa sangat sedih dan sayu. Betapa kerdilnya kita insan yang hanya layak digelar hamba...kini menyusuri jalan memasuki kota Mekah dan akhirnya nampak Gah dengan limpahan cahaya lampu , tersergam "Masjidil Haram".

Seperti tidak percaya , ianya kini di depan mata. Seperti tidak percaya, ianya kini bukan lagi mimpi , bukan lagi cerita yang didengar. Ianya kini menjadi sebahagian dari catatan sejarah hidupku pada usiaku 32 tahun. Akhirnya , seperti tidak percaya bermulalah cintaku jatuh di kaki Kaabah...

No Camera !


Terowong yang kelihatan adalah jalan menuju ke Tanaim, ditempat miqat yang kami kunjungi 2 kali setiap hari.

Ini adalah pemandangan Masjidil Haram dari bilik hotel sewaktu di Mekah. Kami memasuki dari pintu Babusalam. Bangunan yang tinggi disebelah tembok adalah Istana Raja.

Sewaktu aku berada disana, mereka yang pernah ke sana dan juga ustaz yang mengiringi kami berpesan supaya tidak membawa Camera atau cuba mengambil foto sesuka hati terutama di Mekkah kerana takut nanti dirampas oleh Pak Arab.

Jadi , gambar yang dapat di ambil agak terhad terutama di Masjidil Haram.

Di temani ibu-ibu yang penyayang...



Aku amat bersyukur kerana Umrah yang kelihatan tidak ada persiapan tentang pengetahuan tentang bagaimana nanti ia, dimudahkan kerana pakej Umrah ku di ikuti bersama 4 pasangan jemah suami isteri yang telah berkali-kali menunaikan Umrah dan Haji. Merekalah yang membimbing kami , ceritakan kepada kami dan bimbing bagaimana yang terbaik sewaktu disana. Memandangkan kamilah pasangan paling muda dan pertama kali melakukan Umrah, kami ditatang oleh pasangan Ayah dan Ibu bagai anak sendiri ! Betapa mereka sangat sayang dan mesra dengan kami walaupun tempoh berkenalan amatlah singkat.


Alangkah leganya aku , kerana tidak perlu takut dan risau lagi kerana Ibu-Ibu ini sentiasa menemani aku dan ceritakan kepada aku dengan berbagai cerita.

Rupanya tempat yang aku intai di tepi Masjid tadi adalah Raudah, berdoalah disitu disetiap waktu yang diberi kelonggaran untuk jemaah wanita . Betapa ruang yang agak sempit tapi dikerumuni oleh begitu ramai orang yang melakukan solat . Mereka menangis dan berdoa didalam sujud mereka walaupun tempat solat hanyalah seluas tapak kaki berdiri. Tapi masih boleh bersujud walau cuma hanya ada ruang untuk 2 tapak kaki ! Kelihatan Makam Nabi berada berhampiran. Hatiku melayang dengan airmata dan doa dan seperti tidak percaya , aku kini dapat sujud di Raudah Mu , aku dapat melihat Makam Mu, aku dapat rasakan sentuhan dihatiku...Sentuhan yang begitu ajaib tidak terucap dengan kata selain airmata menitis tanpa mahu berhenti. Sujud seperti tidak mahu lagi ianya sudah , tidak peduli begitu ramai yang melangkah namun aku hilang dengan dunia yang sukar kuceritakan. Tempat yang membuat aku hilang dalam sujudku....

Terus ke Masjid Nabawi !


Daripada Abdullah bin Zubair r.a. katanya , Rasullah s.a.w bersabda , "Satu sembahyang yang dikerjakan di masjidku , lebih utama (lebih besar pahala) dari seribu sembhayang yang dikerjakan di masjid yang lain, kecuali masjidil Haram. Satu sembhayang di Masjidil Haram lebih utama dari seratus ribu sembahyang di Masjidku"

Riwayat Ahmad




Sampai sahaja di bilik , kami terus bercadang untuk turun ke Masjid Nabawi. Bagaimana hendak mengawal hati yang teruja , apabila sudah sampai kita tidak sanggup untuk menunggu , walau sebentar nanti akan masuk waktu Asar.

Kami berlegar di sekeliling Masjid setelah sembahyang sunat. Sungguh indah , sungguh tidak percaya , aku kini dapat sujud di lantaimu Masjid Nabawi. Betapa bertuahnya dapat aku rasakan.

Sambil berpimpin tangan kami berjalan disuatu sudut di tepi Masjid , kelihatan ramai kesana dan menangis. Aku mengintai dan cuba memasuki ruang itu . Terpinga , begitu cantiknya tapi tempat apakah ini? Kami tidak dapat bertanya kerana tiada rakyat Malaysia waktu itu selain melihat orang Badwi dan Arab keluar masuk dari situ.



Raudah bermaksud "taman"

"Daripada Abdullah bn Zaid r.a. katanya Rasullulah s.a.w. bersabda ; Tempat yang diantara rumahku ini dengan mimbar Masjidku , adalah suatu taman daripada taman-taman syurga".

Riwayat Muslim







Kami terus berjalan ke Perkuburan Baqi yang cuma bersebelahan dengan Masjid Nabawi. Suasana luar Masjid dengan lantai batu marmar yang putih terbentang luas begitu mendamaikan hati. Setelah berdoa di luar pintu Perkuburan Baqi kami pulang ke bilik sementara teruja untuk melakukan Sembahyang yang Pertama kali di Masjid Nabawi iaitu Sembahyang Asar!

Madinah...sampai juga!



Daripada Abu Hurairah r.a. Rasullulah s.a.w. bersabda, "Janganlah (tidak digalakkan) mengembara melainkan untuk mengunjungi tiga buah masjid iaitu Masjidil haram, masjidku ini (Masjid Nabawi) dan masjidil Aqsa (di Baitul Maqdis)"

Riwayat Al-Bukhari






Apabila sampai di Madinah , hati begitu teruja. Kami masuk ke bilik kami dan meninjau dari tingkap bilik dan kelihatan perkuburan Baqi, terbentang luas dihadapan hotel kami menginap. Hotel ini mungkin agak lama tapi yang bestnya menaiki lif zaman dulu , sama seperti waktu aku menaiki lif di Greenwich Meridian , London.

Tenang ...

Keajaiban kedua ku rasakan betapa hati ku begitu tenang sebaik sahaja menjejaki kaki ke dalam Kapal Terbang. Walaupun perjalanan mengambil masa hampir 8 jam tidak seperti semasa pergi ke London selama 14 jam, ianya sangat tenang. Bukanlah membosankan kerana didalam Kapal Terbang sibuk membaca buku !

Sesekali terdetik dihati, bagaimana nanti pertama kali sampai kesana? Takut kalau banyak yang tidak tahu tapi aku berdoa "Mudahkanlah ia , Gembirakanlah ia!"

Sampai di Jeddah sudah lewat malam dan kami beratur panjang di Kaunter Imigresen. Penat tapi seronok. Pihak Tabung Haji travel begitu "infomartive". Orang Arab di Imigresen agak "strict" dengan penumpang dari negara lain tapi agak baik dengan orang dari Malaysia. Masa itu , bangganya jadi Rakyat Malaysia! Selalu terdengar penduduk Arab memandang tinggi dan hormat selain suka orang Malaysia, kini baru beberapa jam di Jeddah ianya semakin benar , seperti kata orang!

Kami bermalam di Jeddah sebelum memulakan perjalanan ke Madinah keesokkan harinya.

Hati sudah tidak ingat Malaysia...kalau berenggang dengan anak-anakku walaupun sehari, aku sudah mula menangis, tapi setelah semalaman , hati ku tenang dan tenteram...

Akhirnya , ia mudah !




Anak-anakku riang di Airport, walaupun inilah kali pertama aku berenggang lama dengan mereka. Tapi , mama perlu mencari sesuatu yang mama inginkan ....

Berdoa di depan Kaabah !

Bukan mudah meninggalkan anak-anak !



Apabila sampai di Kuala Lumpur, ibulah yang paling gembira kerana betapa risaunya dia , takut kami tidak dapat terbang ke Kuala Lumpur. Doa ibu mudahkan anakmu, mudahkan Harapan anakmu ini !

Ibu tahu betapa keinginan ku untuk memiliki anak perempuan. Ibu tahu betapa aku sangat sukakan kanak-kanak. Aku ingin melahirkan anak perempuan untuk seorang lelaki yang amat ku cintai, suamiku. Walaupun , suamiku tidak pernah meminta tapi aku boleh rasa gerak hatinya. Inilah hadiah untuk suamiku dan usahaku telah mula menampakkan hasil apabila dapat juga terbang ke Kuala Lumpur setelah "berperang" dengan Jerebu !

Dan untuk meninggalkan anak-anak lelakiku yang agak lasak dan nakal , Shafiq dan Faisal pada usia mereka 9 dan 6 tahun , bukanlah mudah! Mujurlah mereka agak rapat dengan ibuku dan mungkin juga satu-satunya insan yang mereka mahu dengar kata selain ibubapanya!

Terimakasih Emak !

Umrah Pertama - September 1997

Kita tidak pernah menduga apabila dijemput melakukan umrah dalam keadaan yang tidak di sangka. Ianya bermula dengan harapan dan impian untuk mempunyai seorang anak perempuan setelah 10 tahun berkahwin. Memandangkan setiap kelahiran anak-anak lelaki ku amat payah dan kritikal membuatkan aku begitu fobia dan trauma setiap kali melahirkan . Apatah lagi , disebelah suamiku yang mempunyai 9 adik beradik dimana 7 dari mereka adalah lelaki , membuatkan aku harus berusaha untuk mendapatkan maklumat dan ikhtiar yang bersungguh-sungguh kerana padaku biarlah usahaku apabila aku telah pulih dari fobiaku , aku berjaya memiliki walaupun seorang anak perempuan.

Aku banyak melakukan pembacaan untuk mendapat anak perempuan selain mendengar nasihat dari orang yang telah berjaya melakukannya. Akhirnya, wang simpanan ku yang pertama setelah 10 tahun berkahwin dapat dilakukan setelah aku mula berjinak-jinak berniaga. Itulah wang lebihan kami untuk pertama kali dan tanpa teragak-agak , kami laburkan untuk melakukan Umrah , walaupun kami tahu bila pulang , wang simpanan telah tiada. Hanya sekadar cukup untuk kehidupan seharian !

Setelah pergi ke Tabung Haji Travel di Kuching , Sarawak, segalanya berjalan lancar dan kami akan bertolak ke Kuala Lumpur , lebih kurang 2 minggu kemudian.

Tidaklah mudah menanti saat kepergian itu apabila Sarawak dilanda jerebu yang amat teruk sehingga di isytiharkan darurat. Tidak silap dua atau 3 hari juga anak-anak tidak pergi ke sekolah dan kami harus memakai topeng muka. Keadaan amat menakutkan seperti hendak kiamat kerana apabila bangun pagi , suasana itu tidak berubah dan keadaan terus gelap sepanjang hari untuk beberapa hari.

Bila menjenguk ke jendela diluar rumah, rumah jiran yang cuma lima langkah dari rumah saya tidak kelihatan. Kami harus menutup tingkap rumah dan terperap dirumah. Bau asap dan benda terbakar jelas mengelilingi suasana ketika itu. Hanya tuhan yang tahu betapa takutnya keadaan itu dan seronok juga kerana itulah pertama kali melalui saat jerebu yang paling teruk , Nilai indeks Pencemaran Udara yang tertinggi iaitu 1033 di Bandar Kuching, mungkin juga catatan tertinggi untuk sejarah Malaysia.

Apabila suami saya pulang dari tempat kerja, kami akan menaiki kereta untuk melihat suasana di Bandaraya Kuching , keadaan jerebu ketika itu. Semua orang kelihatan memakai topeng. Dan waktu itu , topeng banyak kehabisan di jual di kedai-kedai. Satu pemandangan yang menarik juga apabila melihat semua orang memakai topeng dalam keadaan yang gelap. Sewatu membawa kereta, walaupun pukul 9 pagi atau 12 tengahari, kami terpaksa memasang lampu kereta kerana jarak penglihatan sangat tidak jelas. Bayangkan kalau kita tidak nampak rumah jiran kita yang cuma lima langkah dari rumah kita ! Sungguh mengerikan apabila pandangan mata terhad begitu dekat. Dunia ini terasa sangat kecil !

Bagaimana hendak terbang ke KL kalau penerbangan asyik ditunda?

Mungkin kami tidak berjaya pergi Umrah kali ini, detik hatiku, kerana kalau kami terlepas untuk pergi ke Kuala Lumpur pasti pernerbangan kami dari KL - Jeddah akan terlepas begitu sahaja. Saya begitu banyak berdoa dan berserah pada Tuhan. Setiap hari mendengar radio atau melihat berita di TV untuk mengetahui maklumat samada penerbangan boleh dilakukan atau tidak.

Kebimbangan dikongsi bersama pihak Tabung Haji Travel dan kami hanya berserah dan berdoa. Selain dari saya bekerja sendiri dan meninggalkan kerja untuk tempoh 2 minggu, begitu merisaukan saya kerana siapalah akan melakukan kerja saya sepanjang ketiadaan saya.

Dan saya hanya berserah...lakukan apa yang termampu. Fikiran saya bercelaru disamping membaca buku untuk melakukan Umrah. Saya membaca bersungguh-sungguh setiap kali ada masa terluang.

Akhirnya, ianya bukanlah hanya sekadar impian . Tuhan dengar doa dan bisik hati ini. Begitu keajaiban pertama yang Tuhan tunjukkan pada diriku dimana diwaktu itu Penerbangan semalam ditunda malah sudah berhari-hari penduduk di Kuching tidak boleh menaiki kapal terbang akibat Kapal terbang tidak dapat mendarat atau pun berlepas ! Tuhan sangat kaya apabila hari yang saya nantikan akhirnya membenarkan Penerbangan kami ke Kuala Lumpur dapat diteruskan. Keajaibannya , pagi itu cuaca kembali agak cerah dan bila tengahari waktu hendak bertolak cuaca sangat terang. Kami anak beranak dapat terbang ke Kuala Lumpur. Alhamdullillah! Hanya tuhan yang tahu betapa bersyukurnya aku !


Kitab Bughyatul Mustarsyidin :

"Telah berkata Al Khauwas daripada tanda-tanda yang menunjukkan diterima Haji seseorang hamba dan bahawa dia sesungguhnya telah dikurniakan dengan keredhaan Allah ,iaitu bahawasanya sesudah ia kembali daripada mengerjakan haji , dia berakklah dengan akhlak Rasullulah (akhlak Muhamaddiyah) hampir dia tiada memandang dirinya lebih tinggi daripada seseorangpun daripada hamba-hamba Allah dan tiada pula berebut-rebut untuk mendapatkan sesuatu daripada perkara dunia sehingga meninggal dunia.

Dan tanda yang menunjukkan hajinya tiada diterima bahawa dia kembali semula kepada keadaannya sebelum mengerjakan Haji.