Catatan Perjalananku Menuju Haji...

Umrah Pertama - September 1997 (32 tahun)
Umrah Kedua - September 1999 (34 tahun)
Haji Pertama (Haji Fardhu) - November 2009 (44 tahun)

Umrah Ketiga - May 2010 bersama suami dan mertuaku (45 tahun)
Umrah Keempat - Mac 2012 bersama anak-anak Umrah Ziarah Jordan (47 tahun)
Umrah Kelima - Mac 2015 bersama suami (50 tahun)
Umrah Keenam - in sya Allah Feb 2018 bersama suami (53 tahun)


Inilah perjalananku.....mencari , menghayati dan melalui saat indah mengenal Cinta Ya Rabbi !

.

Followers

Ads


INILAH PERJALANAN SEBENAR KISAH SEORANG HAMBA ALLAH, MENGUTIP PENGALAMAN DEMI PENGALAMAN SEPANJANG 44 HARI MENUNAIKAN IBADAH HAJI DAN AKHIRNYA MENJADIKAN , APA YANG KITA LIHAT SEPERTI SEMALAM TIDAK LAGI SETELAH MENUNAIKAN HAJI... PENGALAMAN "ITU" TELAH MEMBEZAKAN KITA YANG SEMALAM DENGAN KITA YANG HARI INI....

semuga ianya memberi iktibar dan panduan bagi mereka yang memerlukan...

Sunday, November 1, 2009

Sebuah catatan untuk anak-anak mama..

Buat Anak-anak mama,

Mama pasti anak-anak mama menanti cerita dari mama. Sejak dari kecil kisah "Nina & Nino" , selalu menjadi kisah fantasi yang selalu mama ceritakan setiap kali mahu pastikan anak-anak mama akhirnya tidur. Mama selalu bercerita tentang kisah fantasi kita di Syurga kerana disana apa sahaja mungkin tentang kisah yang indah-indah. Kita akan terbang dari satu negara ke satu negara, dari satu planet ke satu planet, dari satu lautan kesatu lautan dan bertemu dengan berbagai kisah lucu yang selalunya membuat anak-anak mama tertawa. Klimaks cerita bila mama kata "Mama tunggu disebuah pokok besar, cepat terbang kesini kerana kita akan mulakan fantasi kita didunia Syurga", membuat anak-anak mama lelapkan mata sehingga kita bertemu didalam mimpi.

Begitulah juga saat ini, hari kedua ketiadaan cerita dari mama , pasti membuat Alia dan Aneesa rindu dan akan menangis seperti selalu. Bukankah mama kata , "Mama selalu ada dalam hati ". Datanglah jumpa mama dalam mimpi. Mama sentiasa menanti dan mungkin kita akan sentiasa ada bersama-sama walaupun jasad kita jauh tetapi hati kita sangatlah dekat. Anak-anak mama adalah permata dihati mama. Seluruh hidup mama adalah untuk membesarkan kalian untuk menjadi insan yang diredhai Illahi. Insan yang berjaya didunia dan akhirat. Insan yang akan membela bangsa dan agamanya. Sejak dari mula mendengar degup jantung didalam tubuh mama sehingga melihat kalian membesar dan dewasa , setiap saat bersama kalian adalah "hidup mama". Seorang ibu akan sanggup berkorban apa sahaja demi anak-anaknya, walaupun ada kalanya dia tidak terdaya, adakala hatinya tersentuh, adakala dugaan membuat dia lemah namun tidak sedikit kasihnya pada anak-anaknya akan luput atau terhakis malah terus duduk bersimpuh berdoa dan berdoa "peliharalah anak-anakku". Tuhan jangan sakiti anak-anakku, jangan cederakan anak-anakku, jangan uji anak-anakku kerana terlalu kasihnya aku pada setiap insan yang lahir dari diriku.

Saat ini melalui Haji , mama harus lepaskan anak-anak mama tanpa adanya mama dan abah di sisi. Bukanlah mudah mama melakukan ia. Kalau dulu Opah ada memberi seluruh perhatian dan mengganti kasih ibu sepanjang mama tiada, kini kalian harus menjaga antara satu sama lain tanpa ada kasih seorang ibu. Kelemahan mama bila terlalu melindungi dan menyayangi anak-anak mama. Bukan kerana mama tidak sayang , mama pergi Haji disaat Alia dan Aneesa masih kecil. Mama pergi kerana panggilan dari Yang Lebih Menyayangi. Kalau mama rasa mama sangat sayang anak-anak mama, ketahuilah anak-anak mama, ada yang lebih menyayangi kita di atas sana. Kita mesti kuatkan hati tinggalkan segala yang kita sayang didunia ini , walau bagaimana sayangnya kita , ianya tidak dapat menandingi kasih DIA pada kita.

Izinkan mama dan abah , melepaskan "hak anak-anak mama" untuk 44 hari demi "hak Allah pada hambaNYA".

Diantara kita adalah doa. Jangan berhenti berdoa.


No comments:

Post a Comment

Kitab Bughyatul Mustarsyidin :

"Telah berkata Al Khauwas daripada tanda-tanda yang menunjukkan diterima Haji seseorang hamba dan bahawa dia sesungguhnya telah dikurniakan dengan keredhaan Allah ,iaitu bahawasanya sesudah ia kembali daripada mengerjakan haji , dia berakklah dengan akhlak Rasullulah (akhlak Muhamaddiyah) hampir dia tiada memandang dirinya lebih tinggi daripada seseorangpun daripada hamba-hamba Allah dan tiada pula berebut-rebut untuk mendapatkan sesuatu daripada perkara dunia sehingga meninggal dunia.

Dan tanda yang menunjukkan hajinya tiada diterima bahawa dia kembali semula kepada keadaannya sebelum mengerjakan Haji.