Catatan Perjalananku Menuju Haji...

Umrah Pertama - September 1997 (32 tahun)
Umrah Kedua - September 1999 (34 tahun)
Haji Pertama (Haji Fardhu) - November 2009 (44 tahun)

Umrah Ketiga - May 2010 bersama suami dan mertuaku (45 tahun)
Umrah Keempat - Mac 2012 bersama anak-anak Umrah Ziarah Jordan (47 tahun)
Umrah Kelima - Mac 2015 bersama suami (50 tahun)
Umrah Keenam - in sya Allah Feb 2018 bersama suami (53 tahun)


Inilah perjalananku.....mencari , menghayati dan melalui saat indah mengenal Cinta Ya Rabbi !

.

Followers

Ads


INILAH PERJALANAN SEBENAR KISAH SEORANG HAMBA ALLAH, MENGUTIP PENGALAMAN DEMI PENGALAMAN SEPANJANG 44 HARI MENUNAIKAN IBADAH HAJI DAN AKHIRNYA MENJADIKAN , APA YANG KITA LIHAT SEPERTI SEMALAM TIDAK LAGI SETELAH MENUNAIKAN HAJI... PENGALAMAN "ITU" TELAH MEMBEZAKAN KITA YANG SEMALAM DENGAN KITA YANG HARI INI....

semuga ianya memberi iktibar dan panduan bagi mereka yang memerlukan...

Wednesday, September 19, 2012

Hari 13 - Umrah di Hari Jumaat !

13 November 2009 - Jumaat

"Dia orang nak ikut kita Umrah sama!", ujar suamiku.

Memandangkan Dah dan Kak Ros , baru pertama kali datang ke Mekah dan tidak pernah melakukan umrah sebelum ini, mereka akhirnya bersetuju untuk ikut kami ke Tanaim . Selepas Solat Suboh kami bergerak dan kami menunggu van disekitar kawasan hotel kami di Sevilla .

Alhamdullilah , Umrah kami selesai sekitar pukul 10 pagi. Tetapi sewaktu menyusuri jalan di Masjidil Haram untuk pulang ke Hotel , jemaah kelihatan sangat ramai. Hairan juga mengapa begitu ramai sekali bergerak ke Masjid dan masih awal ! Baru pukul 10 pagi. Makin kami menghampiri hotel , makin ramai dan kami pula berjalan melawan arus , menyebabkan perjalanan jadi sukar. Sudahlah penat baru habis Umrah. Ingatkan , bolehlah rehat sekejap dan jalan perlahan-lahan balik ke Hotel.

Baru teringat , "Mungkin kerana Hari Jumaat !".

Kalau kami terus menunggu di Masjid , rasanya tidak selesa dan mahu mandi dulu sebelum turun semula untuk Solat Jumaat. Bergegas pulang ke bilik . Lantas mandi dan bersiap semula untuk ke Masjid. Jemaah wanita selalunya akan disarankan untuk tidak turut serta dan akan melalui program ceramah yang disediakan oleh pihak Tabung Haji. Tapi aku pula lebih suka untuk turut serta dalam Solat Jumaat kerana itulah yang kami lakukan sewaktu Umrah dulu bersama makcik-makcik yang berada dalam rombongan kami masa tahun 1997 dan 1999.

Apabila kami sampai sahaja di luar kawasan Masjdil Haram sekitar pukul 11 lebih , semuanya sudahpun penuh. Patutlah sewaktu dalam perjalanan dari hotel , terlihat jemaah sudah membentang sejadah di tepi jalan dihadapan hotel mereka. Rupa-rupanya bila sahaja sampai diperkarangan Hotel di hadapan KFC dan Safwa Tower, semuanya penuh. Takut dan gerun. Mataku berlegar mencari tempat duduk. Kamal temankan aku kerana ruang untuk wanita sangat sedikit. Semuanya pun lelaki. Mujur diantara celahan wanita wanita Badwi , aku duduk seorang diri diantara celahan kumpulan mereka. Memang takut kerana sekelilingku semuanya orang Badwi . Mereka melihat dengan wajah yang membuat kita gerun. Tapi aku cekalkan hati. Cuma ada satu tempat untukku !

Kamal pula bergerak dibelakangku dan sms darinya menyatakan dia dapat tempat disekitar tangga sebelah KFC. Jadi aku sudah boleh mengagak dimana Kamal kerana takut nanti bila selesai solat , tidak jumpa. Apatah lagi orang sangatlah ramai.

Duduklah aku disitu menunggu Azan. Makin lama makin terik mentari. Kali ini solatku ditengahari yang panas di luar Masjid. Bayangkanlah, mulanya mentara tidak mengenaiku tapi makin dekat nak Azan , akhirnya tidak ada lagi tempat berteduh. Sangat panas. Peluh menitik bagai air hujan. Tapi panas begitu , tiada siapa yang bergerak mahu meninggalkan tempat masing-masing. Malah ada yang datang lambat , masih merayu-rayu untuk diberi tempat untuk mereka solat. Terharu melihat suasana begitu. Panas bukan lagi alasan. Semuapun mahu diberi ruang supaya dapat ikut serta solat Jumaat. Pengalaman inilah yang indah. Kita tidak mungkin dapat lalui suasana berebut begini dimana-manapun didunia ini selain di Masjidil Haram !

Aku pula yang tidak tahan dek kerana peluh yang membasahi jubahku. Lantas aku gunakan sejadah dan berlindung dibawahnya. Selamba dan tidak malu ! Terpaksa buat begitu kerana lama lagi hendak menunggu untuk solat. Jemaah badwi disebelahku pun turut menumpang sama. Alih-alih kami berselindung bawah sejadah di atas kepala kami macam main pondok-pondok. Tiba-tiba hilang rasa takut denga orang Badwi . Seronok nak bercerita dengan mereka dengan bahasa isyarat. Dia senyum tengok aku , aku pun senyum tengok dia. Itulah saat menyeronokkan , berteduh dibawah sejadah dibawah terik mentari !

Aku berikan coklat snickers padanya. Dia gembira. Kawan disebelahnya pun hendak sama. Aku berikan lagi. Kemudian yang sebelah lagi hendak sama , lalu aku beri isyarat tangan "sudah habis". Bila selesai solat Jumaat , aku hadiahkan sejadah itu kepadanya. Dia begitu riang dan aku gembira . Gembira kerana mereka sebenarnya baik !



No comments:

Post a Comment

Kitab Bughyatul Mustarsyidin :

"Telah berkata Al Khauwas daripada tanda-tanda yang menunjukkan diterima Haji seseorang hamba dan bahawa dia sesungguhnya telah dikurniakan dengan keredhaan Allah ,iaitu bahawasanya sesudah ia kembali daripada mengerjakan haji , dia berakklah dengan akhlak Rasullulah (akhlak Muhamaddiyah) hampir dia tiada memandang dirinya lebih tinggi daripada seseorangpun daripada hamba-hamba Allah dan tiada pula berebut-rebut untuk mendapatkan sesuatu daripada perkara dunia sehingga meninggal dunia.

Dan tanda yang menunjukkan hajinya tiada diterima bahawa dia kembali semula kepada keadaannya sebelum mengerjakan Haji.