Catatan Perjalananku Menuju Haji...

Umrah Pertama - September 1997 (32 tahun)
Umrah Kedua - September 1999 (34 tahun)
Haji Pertama (Haji Fardhu) - November 2009 (44 tahun)

Umrah Ketiga - May 2010 bersama suami dan mertuaku (45 tahun)
Umrah Keempat - Mac 2012 bersama anak-anak Umrah Ziarah Jordan (47 tahun)
Umrah Kelima - Mac 2015 bersama suami (50 tahun)
Umrah Keenam - in sya Allah Feb 2018 bersama suami (53 tahun)


Inilah perjalananku.....mencari , menghayati dan melalui saat indah mengenal Cinta Ya Rabbi !

.

Followers

Ads


INILAH PERJALANAN SEBENAR KISAH SEORANG HAMBA ALLAH, MENGUTIP PENGALAMAN DEMI PENGALAMAN SEPANJANG 44 HARI MENUNAIKAN IBADAH HAJI DAN AKHIRNYA MENJADIKAN , APA YANG KITA LIHAT SEPERTI SEMALAM TIDAK LAGI SETELAH MENUNAIKAN HAJI... PENGALAMAN "ITU" TELAH MEMBEZAKAN KITA YANG SEMALAM DENGAN KITA YANG HARI INI....

semuga ianya memberi iktibar dan panduan bagi mereka yang memerlukan...

Tuesday, February 9, 2010

HARI 3 - RAUDAH


3 November , Selasa
Raudhah


Terjaga pukul 2.30 pagi apabila pintu bilik diketuk. Rupa-rupanya sahabat-sahabat , makcik-makcik sebilik saya sudah mengajak ke Masjid kerana takut tidak mendapat tempat untuk solat didalam Masjid. Waktu itu juga menerima sms dari suami saya yang baru pulang dari Masjid dan syukur suami saya dapat juga akhirnya solat di Raudah selain Tahajud, solat Taubat dan solat Hajat. Katanya sebaik sahaja selesai , orang mula ramai memasuki Raudhah.


Dan sangat bersyukur kerana suami saya dapat juga membaca skrip doa kami yang akan kami usahakan untuk membaca disetiap tempat-tempat yang mustajab doanya , dan antaranya adalah Raudah. Selalunya bukan mudah untuk dapat solat lama-lama di Raudah , habis sahaja solat sunat kita sudah dihalau dan tidak sempat berdoa kerana ramai yang lain hendak mengambil giliran mereka pula. Syukur, suami saya mendapat rezeki tersebut. Saya pula tidaklah tahu samada dapat atau tidak kerana waktu bagi jemaah perempuan agak ketat berbanding dengan jemaah lelaki boleh berada di Raudah 24 jam.


Seperti yang kami rancang , suami saya balik dari Raudah pukul 2.30 pagi dan tidur semula sebelum pukul 4.30 pagi dimana saya akan kejutkan melalui handphone untuk solat Suboh pula. (Kehidupan kami seperti di asrama kerana berasing bilik). Pukul 4.30 kira dah lambat tetapi setidak-tidaknya sudah ke Raudah sebelum itu, kerana itulah sahaja cara untuk dapat solat disana. Semakin hari semakin ramai memenuhi ruang masjid kerana jemaah sudah mula sampai jadi peluang kita akan semakin tipis kalau kita tidak membuat strategi yang betul .

Selepas sarapan , kami menyusuri Masjid dan duduk berhampiran Makam Nabi. Setelah di explain oleh suami saya, barulah saya perasan pintu masuk ke Raudah 10 tahun dulu adalah berbeza dengan sekarang menyebabkan saya keliru . Kalau dulu jemaah wanita memasuki Raudah, cuma bersebelahan dengan Makam Nabi tetapi kini ianya diletakkan dipintu hadapan yang agak jauh dari Raudah . Memandangkan saya masih belum boleh masuk ke dalam Masjid, duduklah saya berdoa diluar Masjid. Kelihatannya begitu ramai kumpulan dari berbagai Negara melintas dihadapan saya namun tidaklah saya endahkan kerana kyusyuk membaca skrip doa. Hati terasa sangat sayu , sesekali melirik pada Kubah Hijau yang tersergam . Teringat dulu , sewaktu Umrah , saya berada disekeliling Makam Nabi, melihatnya dengan jelas suasana dipersekitaran Makam. Entah mengapa kali ini sangat berlainan dari dulu, setiap kali mengenang dan menyebut Nabi Muhamad s.a.w, hati rasa sangat sayu, airmata mula bergenang....


PERKUBURAN BAQI

Kami pada mulanya ingin menziarahi Perkuburan Baqi dari luar Gate tetapi secara tidak sengaja diberitahu bahawa jemaah lelaki dibenarkan masuk ke kawasan Perkuburan. Pastinya peluang ini tidak dilepaskan . Saya menyuruh suami saya masuk ke kawasan Perkuburan sementara saya menunggu dari luar.

Saya duduk diluar Gate Perkuburan Baqi bersama jemaah wanita yang lain sementara menunggu suami saya.


Kami kemudiannya ke Perkuburan Baqi dan kebetulan waktu untuk ziarah bagi jemaah lelaki. Suami saya masuk sementara saya duduk diluar menanti. Kata suami saya , perkuburan Baqi , kalau dulu, kami cuma dapat berada diluar Pintu besar tetapi kini mereka membenarkan masuk sehingga ke kawasan perkuburan tetapi disekitarnya dibuat gate. Tidak juga dibubuh nama bagi setiap perkuburan takut berlaku perbuatan khurafat, tetapi melalui buku Haji kita boleh mengagak pelan kubur untuk susunatur perkuburan itu.

Kami kemudiannya ke Bazar sekitar Perkuburan Baqi dan kelihatannya begitu ramai orang orang Badwi dikawasan ini selain orang Indonesia. Mencari barang-barang yang pelik pelik untuk hadiah buat anak-anak gadisku. Sempat membeli telekung dan beg untuk mereka. Seronok melihat suasana di Madinah, kelihatan deretan bas dan begitu banyak barang barang yang hendak dibawa bersama untuk ke Mekah pula. Susunatur bangunan begitu mudah dan rasanya kita tidak sesat kalau berada di Madinah. Begitu banyak kedai kedai jualan sepanjang deretan Bangunan Hotel. Hotelnya pula semuanya sudah jauh lebih baik dari 10 tahun dahulu. Malah di Gate besar Masjid Nabawi sudah ada tugu dan dataran seperti di Trafalgar Square berhadapan dengan Hilton Madinah.

Kami kemudiannya mencuba memakan kebab dan membeli juice mangga kegemaran saya. Suami saya pula mengadu charger bateri handphone rosak lagi dan kami mencarinya di bawah supermarket Hotel kami , mujur ada . Lega juga kalau tidak susah juga hendak mencari kedai handphone. Sementara menunggu Zuhor tiba kami duduk makan kebab di café di hotel kami , mujur juga mereka tidak marah kami membawa makanan dari luar untuk dimakan disitu. Malah disitulah "pot" kami untuk duduk bercerita , ibarat tempat dating kami selain di Dataran Masjid.


Pulang Zuhor, kami menghantar dobi dan suami saya mengajak saya makan tengahari padahal rasa sudah kenyang makan kebab . Tetapi menemankan suami saya lunch , ikutkan juga sebelum kami keluar lagi berjalan jalan disekitar kawasan yang belum diterokai. Sempat lagi mencari Tasbih yang mengeluarkan bau wangi selain membeli jubah untuk dihadiahkan. Lega kerana akhirnya kami sudah dapat mencari semua barang-barang untuk disedekah apabila pulang nanti. Suami saya juga sudah membeli 2 kotak untuk mengisi semua barang barang untuk diposkan. Semalam sudah poskan 4 botol air zam-zam ke Malaysia. Hari akhir penghantaran barang-barang ialah hari Sabtu, jadi kami bercadang untuk siapkan semua supaya apabila berada di Mekah kami tidak lagi payah mencari barang barang untuk dijadikan cenderamata. Mulanya malas juga hendak beli tetapi suasana disini dan harga yang sangat berpatutan membuat kita rasa tidak sampai hati untuk pulang tangan kosong.


Selepas Asar , kami tidak lagi keluar berjalan-jalan , sehinggalah selepas Isya barulah makan malam bersama suami saya. Kami diberi Taklimat di dewan makan untuk ziarah esok hari. Itupun ramai yang tersengguk mengantuk kerana setiap mereka bangun sejak pukul 3 pagi , bila dah pukul 9 malam semuanya sudah keletihan. Saya pun tidak mengajak suami saya berada di Luar Masjid selepas Isya kerana kasihan pada suami saya yang akan bangun pukul 1 pagi untuk solat di Raudah.


Makcik Yang Sakit


Dibilik kelihatannya , makcik makcik sebilik saya sudah pengsan kepenatan. Kecuali seorang makcik yang masih tidak boleh tidur kerana badannya gatal. Puas dia tergaru garu sehingga merisaukan saya takut kulitnya luka . Makcik ini mempunyai kencing manis membuatkan saya risau. Melihat dia masih tidak boleh tidur shingga pukul 1 pagi saya sapukan ubat gatal dibadannya. Kelihatannya habis seluruh badannya berbiji biji kasar kerana gatal, mungkin kerana waktu makan tadi kami diberi makan udang dan makcik ini alah makan udang tapi disini dia makan juga udang. Keadaannya seperti sudah bercelaru kerana gatal seluruh badan seperti hendak terkopek kulitnya apabila dia menggaru.




Saya cuba tenteramkan dia dengan memegang tangannya dan menggosok perlahan sambil berdoa Tuhan selamatkan ibu ini. Saya dengan rasa berserah pada Tuhan , gagahkan juga untuk beri pil ubat gatal dan sakit badan kepadanya dengan harapan ianya tidak memberi konflik pada badannya kerana makcik ini pesakit kencing manis. Takut juga ubat yang saya beri member komplikasi. Saya temankan dia sambil mengusap badannya sehingga dia lega dan menemaninya sehingga dia tertidur lena. Tangan saya masih memegang kedua tangannya untuk pastikan Makcik ini tidak terlupa dan tergaru garu balik seluruh badannya . Saat sepi malam begini teringatkan emak. Biarlah saya khidmat pada makcik ini, pengganti rindu saya pada emak.




"Kalau masih tidak baik selepas makan ubat saya bercadang untuk memberitahu pihak Tabung Haji untuk dibawa ke doctor", bisik hati saya. Alhamdullilah , makcik ini akhirnya dapat tidur dengan lena, bila bangun dia kelihatan sangat segar walaupun cuma dapat tidur 1 jam sebelum solat suboh di Masjid. Sepertinya malam tadi tidurnya sangat lena, hati saya sangat lega. Saya berpesan padanya kalau tidak larat usah ke Masjid pagi itu tetapi Alhamdullilah , beliau kembali sihat seperti biasa, seperti tiada apa-apa yang berlaku. Suatu keajaiban !



Padahal Makcik inilah yang secara sinis menegur saya siang tadi , "Datang sini tak gi Masjid!". Padahal beliau tahu saya uzur syarie tetapi saya ditempelak dengan pandangan yang sangat sinis. Apatah lagi melihat saya membeli berbondot-bondot barang setiap kali pulang ke bilik. Padahal pengalaman Umrah saya sebelum ini membuatkan saya memilih Madinah untuk membeli barang-barang kerana suasana Mekah adalah sangat tidak selesa untuk mencari barang-barang.


Mahu sahaja saya menangis tetapi saya tahu minda saya mesti kuat untuk menghadapi kerenah rakan rakan sebilik. Kalau diturut hati yang tersentuh, mahu sahaja saya buat tidak tahu apabila tahu makcik tadi resah tergaru - garu , tetapi saya tidak sampai hati , apatah lagi dengan orang tua.


Pesan saya bagi mereka yang belum pernah datang ke Mekah atau Madinah, selalulah percaya , untuk sentiasa memohon ampun dan memberi kemaafan sepanjang berada disini kerana setiap apa yang berlaku adalah sebenarnya ujian yang selalu tidak kita sangka. Jangan terlepas pandang walau 1 saat pada nafsu amarah. Kalau insiden yang berlaku tidak bersesuaian dengan diri kita sentiasalah memohon ampun dan maaf dari yang Esa, Insya Allah , jalan yang mudah menanti dihadapan kita tanpa kita sangka-sangka. Setiap perlakuan kita adalah ujian dan ibadah.


Jangan sebut "penat !"

“Abang tak pergi Raudah malam tadi, penat sangat”, kata suamiku sewaktu kami sarapan pagi bersama. “Mungkin tak boleh sebut penat, padahal abang dah terjaga pukul 1 pagi”, kata suamiku . “Tak apalah , kena istighfar, minta maaf dengan Tuhan pasal sebut penat”, balasku. Lagipun malam esok masih ada. Syukur melihat suamiku mampu melakukan Tahajud dan istimewanya ialah ianya dilakukan di Masjid Nabawi, bukan semua orang mendapat keisitimewaan seperti itu apatah lagi Tahajud dilakukan di Raudah, inilah yang aku paling cemburui kerana lelaki kesayanganku ini sebenarnya sangat disayangi Illahi kerana akupun tidak berpeluang Tahajud di Raudah kerana waktu untuk ke Raudah begitu terhad untuk jemaah wanita.














1 comment:

  1. Raudhah..setiap kali bersembahyang disini dan seterusnya melewati perkuburan Nabi Muhamad s.a.w dan sahabat setianya Abu Bakar,Omar pasti airmata akan gugur dengan sendirinya ....

    ReplyDelete

Kitab Bughyatul Mustarsyidin :

"Telah berkata Al Khauwas daripada tanda-tanda yang menunjukkan diterima Haji seseorang hamba dan bahawa dia sesungguhnya telah dikurniakan dengan keredhaan Allah ,iaitu bahawasanya sesudah ia kembali daripada mengerjakan haji , dia berakklah dengan akhlak Rasullulah (akhlak Muhamaddiyah) hampir dia tiada memandang dirinya lebih tinggi daripada seseorangpun daripada hamba-hamba Allah dan tiada pula berebut-rebut untuk mendapatkan sesuatu daripada perkara dunia sehingga meninggal dunia.

Dan tanda yang menunjukkan hajinya tiada diterima bahawa dia kembali semula kepada keadaannya sebelum mengerjakan Haji.