Catatan Perjalananku Menuju Haji...

Umrah Pertama - September 1997 (32 tahun)
Umrah Kedua - September 1999 (34 tahun)
Haji Pertama (Haji Fardhu) - November 2009 (44 tahun)

Umrah Ketiga - May 2010 bersama suami dan mertuaku (45 tahun)
Umrah Keempat - Mac 2012 bersama anak-anak Umrah Ziarah Jordan (47 tahun)
Umrah Kelima - Mac 2015 bersama suami (50 tahun)
Umrah Keenam - in sya Allah Feb 2018 bersama suami (53 tahun)


Inilah perjalananku.....mencari , menghayati dan melalui saat indah mengenal Cinta Ya Rabbi !

.

Followers

Ads


INILAH PERJALANAN SEBENAR KISAH SEORANG HAMBA ALLAH, MENGUTIP PENGALAMAN DEMI PENGALAMAN SEPANJANG 44 HARI MENUNAIKAN IBADAH HAJI DAN AKHIRNYA MENJADIKAN , APA YANG KITA LIHAT SEPERTI SEMALAM TIDAK LAGI SETELAH MENUNAIKAN HAJI... PENGALAMAN "ITU" TELAH MEMBEZAKAN KITA YANG SEMALAM DENGAN KITA YANG HARI INI....

semuga ianya memberi iktibar dan panduan bagi mereka yang memerlukan...

Thursday, November 17, 2011

Hari 11 - Solat pertama di Masjdil Haram.



Aku bangun awal pagi sekitar pukul 3 pagi untuk menyiapkan diri untuk solat Suboh. Suboh pertama di Masjidil Haram setelah 10 tahun yang lalu. Tetapi kali ini tidak tahu rentak perjalanan untuk suasana sebuah Haji kerana pastinya tidak serupa dengan umrah terdahulu.

Suasana berbeza dimulakan dengan menunggu giliran untuk turun lif. Kalau dulu tekan lif sahaja , dah boleh masuk dan turun dengan mudah tetapi kali ini lif sentiasa penuh ! Teringat dengan pesan sahabat sahabatku di Kobena untuk tidak terdetik tentang lif yang penuh, yakinkan diri ianya sentiasa ada ruang untuk kita. Alhamdullilah , ianya terlihat mudah.

Sebaik keluar dari pintu lobby hotel, kami memasuki arus pejalan pelajan kaki yang penuh mengisi ruang jalan menuju Masjidil Haram. Sekitar 650 m , ianya penuh dikiri kanan jalan. Terasa sayu melihat bersemangatnya jemaah untuk melakukan Solat Suboh. Begitu ramai sekali. Semuanya berjalan pantas kerana mahu mencari ruang untuk solat. Terlihat ramai orang orang Badwi tidur dan berumah dikawasan sekitar kawasan Bilik Air awam yang terletak diantara hotel kami dan arah ke Masjidil Haram. Mereka berkumpul disini untuk memudahkan mereka untuk ke bilik air. Hati terasa begitu insaf betapa bersyukurnya kita mempunyai tempat tinggal yang sempurna sepanjang berada di Mekah sedangkan mereka hanya beralaskan kertas kadbod untuk tidur di tepi tepi jalan. Walaupun mereka terlihat begitu dhaif tetapi semangat mereka sangat kaya. Kaya dengan iman yang membuat aku tekad, tiada kompromi tentang ibadat. Jauh dihati aku memasang harapan untuk selalu mengunjungi Rumah Mu. "Orang yang sangat susahpun boleh datang kepadaMU, mengapa tidak aku?".

Diruang legar diantara Jam Besar ke Masjidil Haram , kelihatan sudah penuh , jemaah mengambil tempat masing-masing. Satu suasana yang tidak pernah aku lihat sewaktu Umrah dulu. Benarlah Haji bukan kepalang ramainya yang datang . Ianya benar apabila melihat didepan mata sendiri.

Kami berjalan kearah pintu masuk King Aziz, juga pertama kali menggunakannya. Suamiku cepat memberi isyarat untuk menyimpan handphoneku didalam lipatan sejadah. Ianya berlaku begitu pantas kerana kami sebenarnya sudah agak terlewat untuk masuk kedalam kerana jemaah sudah hampir memenuhi hingga kepintu masuk dan pengawal masjid mengarahkan kami menaiki ke tingkat atas. Hatiku mula resah kerana suamiku sudah terpisah ditangga sebelah dan aku disebelahnya. Apatah lagi takut pengawal memeriksa handphoneku , tanganku cuba melipat lipatkan sejadah supaya handphoe tersorok kedalamnya. Ianya agak sukar kerana orang ramai berpusu pusu menaiki tangga. Dikiri kanan tangga pula sudah dipenuhi orang orang badwi kerana aku yakin mereka tidur disitu kerana tiada tempat tinggal. Melihat mereka yang bersaiz besar dan gelap sambil melihat wajah wajah mereka yang menaiki tangga , membuat aku gerun dan takut. Sesekali mencari kelibat suamiku yang berada diantara celahan orang ramai. Berbagai bacaan yang aku baca didalam hati. Resah dan gelisah tapi harapanku hanya pada Allah. Mudahkanlah ia.


Alhamdullilah , apabila aku melepasi menaiki tangga , kelihatan ruang masjid juga penuh. Inilah pertama kali aku naik ketingkat ini ! Masjidil Haram yang sangat luas, datanglah berapa kalipun , kita tidak mampu solat disetiap ruang dan tidak mampu menghafal setiap ceruk Masjid kerana keluasannya memang tidak mampu hendak di teroka.

Aku mendapat satu ruang untuk solat antara celahan jemaah Pakistan . Hanya aku seorang , tiada kelibat jemaah Malaysia mahupun Indonesia. Tapi mungkin sudah biasa solat sendirian di Masjidil Haram , hatiku agak tenteram. Aku memberi isyarat pada suamiku untuk menunggu di pintu sebelum turun bersama sama ke tingkat bawah.

Bezanya di musim haji, lantai masjid tidak dibentangkan karpet. Jadi semestinya lantai yang pastinya sejuk di awal subuh. Untuk duduk di atas simen selama 45 minit sebelum masuk waktu , tentulah tak tahan . Mujur aku membawa sejadah . Apabila membentangkan sejadah melintang supaya dapat di kongsi bersama jemaah disebelahku , bermakna aku pun duduk diatas simen. Hendak dibentang menegak , tak sampai hati pula melihat jemaah disebelahku tidak menggunakan sejadah untuk sujud , jadi terpaksalah aku duduk di atas simen jugak.

Baru aku perasan , dimana handphoneku? Puas mencari disekitar kain telekung dan dibawah sejadah atau disekitarnya , ianya tidak kelihatan. Aku mula resah takut nanti kalau tidak jumpa suamiku , bagaimana aku hendak pulang seorang diri ke Hotel. Sudahlah ini solat yang pertama kali dan aku belum dapat membiasakan diri dengan suasana persekitaran. Rasa hendak menangis. Rasa seorang diri untuk melalui apakah yang akan jadi seterusnya. Bagaimana kalau aku tidak jumpa suamiku ?

Didalam hati terasa sangat takut, dosakah aku sehingga solat pertama ku di Masjdil Haram diberi musibah begini. Aku menjadi sangat takut. Mengucap Astagfirullah tidak berhenti. Ampunkanlah dosa-dosaku.

Segera aku melakukan Solat Taubat dan Solat Hajat. Aku menangis dalam sujudku memohon keampunan. Ampunkanlah dosa-dosaku.

Didalam hatiku makin resah dan takut dimarahi suamiku. Bagaimanalah pula hendak mencari kedai handphone nanti. Sudahlah kita tidak tahu dimana kedai hendak membelinya. Aku rasa kecewa dengan kecuaianku. Telahku, mesti tercicir sewaktu berasak asak menaiki tangga tadi. Pastinya kalau ianya jatuh ditangga dan orang orang Badwi memenuhi ruang tangga itu , ianya sukar untuk menjumpainya semula.

Akhirnya setelah selesai Solat Suboh, mataku mencari kelibat suamiku , takut terlepas pandang . Alhamdullilah , Kamal nampak aku dan segera aku beritahu tentang kehilangan handphoneku. Suamiku kelihatan cemas juga kerana handphone sangat penting untuk komunikasi kami sepanjang di Mekah, tetapi katanya "Nak buat macam mana , tak ada rezeki". Dia pun mengagak mesti ianya terjatuh sewaktu menaiki tangga. Kamipun , Redha sahajalah kerana mesti entah kemana mana perginya kerana orang terlalu ramai.

Sebelum kami beredar , aku mengajak suamiku turun menggunakan tangga itu semula dan menyuruh suamiku membuat panggilan ke handphone ku. Tiba-tiba aku terdengar irama yang biasa ku dengar dan ianya irama dari handphoneku. Kami pun berjalan menuruni tangga dan alangkah terkejutnya melihat handphone diletakkan ditengah tengah tangga pemegang. Di kelilingnya orang orang badwi melihat sahaja kami menuruni tangga dan mengambil handphone itu. Hatiku rasa sangat gembira. Anggapan ku , orang orang badwi itu akan mengambilnya ternyata meleset. Mereka tidaklah seperti yang kita sangkakan. Bayangkan sewaktu sesudah solat , dengan begitu ramainya orang menuruni tangga itu dan handphoneku boleh dilihat oleh semua orang diletakkan betul diatas pemegang tangga, siapa sahaja boleh mengambilnya !

Syukurnya pada Illahi, Solat pertama di Masjidil Haram setelah 10 tahun yang lalu , telah memberikan aku satu pengalaman yang sangat manis . Hatiku sangat riang ...





1 comment:

  1. syukur segala pujian hanya untuk Allah jua...alhamdulillah!

    ReplyDelete

Kitab Bughyatul Mustarsyidin :

"Telah berkata Al Khauwas daripada tanda-tanda yang menunjukkan diterima Haji seseorang hamba dan bahawa dia sesungguhnya telah dikurniakan dengan keredhaan Allah ,iaitu bahawasanya sesudah ia kembali daripada mengerjakan haji , dia berakklah dengan akhlak Rasullulah (akhlak Muhamaddiyah) hampir dia tiada memandang dirinya lebih tinggi daripada seseorangpun daripada hamba-hamba Allah dan tiada pula berebut-rebut untuk mendapatkan sesuatu daripada perkara dunia sehingga meninggal dunia.

Dan tanda yang menunjukkan hajinya tiada diterima bahawa dia kembali semula kepada keadaannya sebelum mengerjakan Haji.