Catatan Perjalananku Menuju Haji...

Umrah Pertama - September 1997 (32 tahun)
Umrah Kedua - September 1999 (34 tahun)
Haji Pertama (Haji Fardhu) - November 2009 (44 tahun)

Umrah Ketiga - May 2010 bersama suami dan mertuaku (45 tahun)
Umrah Keempat - Mac 2012 bersama anak-anak Umrah Ziarah Jordan (47 tahun)
Umrah Kelima - Mac 2015 bersama suami (50 tahun)
Umrah Keenam - in sya Allah Feb 2018 bersama suami (53 tahun)


Inilah perjalananku.....mencari , menghayati dan melalui saat indah mengenal Cinta Ya Rabbi !

.

Followers

Ads


INILAH PERJALANAN SEBENAR KISAH SEORANG HAMBA ALLAH, MENGUTIP PENGALAMAN DEMI PENGALAMAN SEPANJANG 44 HARI MENUNAIKAN IBADAH HAJI DAN AKHIRNYA MENJADIKAN , APA YANG KITA LIHAT SEPERTI SEMALAM TIDAK LAGI SETELAH MENUNAIKAN HAJI... PENGALAMAN "ITU" TELAH MEMBEZAKAN KITA YANG SEMALAM DENGAN KITA YANG HARI INI....

semuga ianya memberi iktibar dan panduan bagi mereka yang memerlukan...

Thursday, March 11, 2010

HARI 5 - Dugaan Bermula

5 November, Khamis

Pukul 2.30 pagi , terima sms dari suami yang baru pulang dari Tahajud. Alhamdulillah , malam ini suamiku dapat bangun ke Raudah. “I rindu kat u”, membuatkan airmataku berlinangan. Sudah beberapa malam tidak tidur bersama tentulah sukar apatah lagi perjalanan masih jauh dan sukar. “Tak apa kita selalu ada sama-sama setiap hari”, balas sms untuk memujuk suamiku. “Tidur dulu nanti pukul 4.30pagi akan kejutkan untuk solat suboh”.

Aku agak gembira kerana peluangku untuk solat di Malam Jumaat menampakkan hasil. Sejak dari Zuhor sudah bersedia untuk ke Masjid. Suamiku pula sibuk menguruskan kotak-kotak untuk proses penghantaran melalui courier. Kami telah membeli 10 g Kurma Nabi disamping 4 Tong (10 Liter) air zam-zam, 1 Tong dihantar ke rumah parents suamiku , 1 Tong dihantar ke Office suami untuk staf-stafnya dan 2 Tong digantar ke rumah kami di KL.


Sebelum Asar tiba, aku bercadang untuk pergi awal kerana ini merupakan Solat pertamaku dan seboleh mungkin aku ingin berada didalam Masjid . Apatah lagi tempat perempuan agak terhad dan kena pergi setida-tidaknya 45minit atau 1 jam awal. Sangka ku suami akan menemankan aku tapi dia sibuk dengan kotak-kotaknya membuatkan aku mengganggahi diri ini untuk berjalan seorang diri merentasi Dataran keseberang penjuru Masjid untuk masuk ke bahagian jemaah wanita. Aku tidak ingat pintu No. berapa tapi pintu itulah yang akan digunakan kalau hendak ke Raudah. Memandangkan au tidak pernah masuk ke Masjid Nabawi sejak 10 tahun yang lalu dan masuk ke Masjid pula seorang diri , aku harus memberanikan diri.


Begitu ramai orang dan kelihatan di luar Masjid sangat sesak kerana Malam ini adalah Malam Jumaat. Perasaan takut mula menyelubungi hatiku. Berjalan seorang diri dalan celahan orang ramai buat aku sangat gementar. Akhirnya pintu Masjid jelas kelihatan dan boleh masuk lagi . Puas aku mencari ruang didalam Masjid yang kelihatan begitu sesak sekali satu suasana yang sangat berbeza dengan pengalaman Umrah dulu. Tidaklah begini ramainya dan ianya merupakan pengalaman yang sangat menggentarkan apatah lagi aku seorang diri . Aku sendiri tidak tahu hendak duduk dimana, kelihatan tali raffia direntang untuk menandakan ruang untuk solat. Berpusing-pusing au mencari ruang untuk duduk tetapi semua kelihatan penuh. Aku seperti tida percaya melihat setiap ruang sudah di isi penuh sehingga tiada tempat langsung untu duduk. Waktu itu kelihatan orang-orang Badwi begitu ramai , melihat aku dengan pandangan yang membuat aku gusar.



Aku akhirnya duduk dicelah jalan antara deretan tong-tong zam-zam kerana tiada pilihan lain. Betul-betul di jalur tali rafia menyebabkan aku terpaksa membongkokkan diri setiap kali orang lalu lalang dibelakangku. Ruang yang sangat sempit dan paling menakutkan dikiri kana, depan dan belakang dipenuhi oleh orang-orang Badwi dan Pakistan.


Kelihatan begitu ramai orang-orang Badwi di saf tersebut , agak takut tetapi kugagahkan juga. Oleh kerana duduk diantara jalan untuk orang lalu lalang apatah lagi diantara garisan tali raffia, tentulah ianya sesak sekali untuk orang lalu lalang. Aku hanya mampu berserah pada Illahi, “selamatkan aku”.

Sebentar kemudian, seorang jemaah dari Indonesia kelihatan duduk disebelahku. Mujurlah kehadirannya membuatkan aku sangat lega. Baiknya seperti seorang ibu. Seperti Tuhan hantarkan aku seorang ibu menemankan aku yang dalam ketakutan sebenarnya. Usia dan tutur katanya membuat aku terkenang pada Emak. Dia agak ramah kerana bekas seorang guru yang telah pencen 15 tahun yang lalu. Dia datang dari Sulawesi . Katanya dia perlukan 50 juta Rupiah ( lebih kurang RM17 ribu) untuk menunaikan Haji . Di Madinah , penginapannya adalah 3 km dari Masjid dan beliau harus berjalan kaki setiap kali ulang alik ke Masjid menyebabkan ada waktu-waktunya seperti Asar ke Isya mereka tidak pulang ke Hotel. Di Mekah pula jarak Hotel mereka adalah 6 ke 7 km dari Masjidil Haram. Bermakna datang awal pagi hingga lewat malam baru pulang ke hotel. Seharusnya kita bersyukur, walaupun cara Muasasah kita adalah jauh lebih baik dari jemaah dari Negara lain.


Dia tidak sudah-sudah memuji kerana jemaah Malaysia begitu beruntung kerana dapat tinggal di Hotel yang cuma dihadapan Masjid. Katanya , dia sesat semalam sewaktu hendak ke Masjid. Bayangkan berjalan kaki sejauh 3 km setiap hari ! Pastinya kena ulang-alik setidak-tidaknya 2 kali. Antara pertanyaan ibu ini yang membuat aku ingat, " Di Malaysia , kalau mencuri , tangan di potong ?". Kami berbual panjang sementara menanti azan Isya'. Rasa takut tidak lagi menyelubungi hati. Malah seorang Badwi yang duduk disebelah Ibu ini, turut melihat kami dan sesekali dengan bahasa isyarat , tersenyum-senyum padaku. Mungin hendak berborak sama tetapi tidak faham apa yang ami borakkan. Aku mengambil coklat snickers yang kusimpan didalam beg dan hulurkan padanya dan dia kelihatan sangat gembira. Aku juga mengambil peluang bersedekah pada Ibu itu dan dia juga kelihatan sangat gembira. Solat pertama di Masjid Nabawi begitu menggembirakan aku ditemukan dengan mereka .

Saya kemudiannya pulang ke Hotel selepas solat Isya. Agak menakutkan kerana bilangan jemaah yang keluar dari Masjid begitu ramai sehingga bertolak-tolak. Ianya lebih menakutkan apabila saya tidak sengaja masuk ke ruang yang silap menyebabkan berlaku asakan di pintu utama di hadapan Hilton Madinah dimana jemaah lelaki dan wanita keluar dan masuk serentak di pintu utama menyebabkan ianya seperti gambaran di Muasin. Hendak berpatah balik sudah tidak boleh kerana tolakan dari belakang menyebabkan saya terpaksa berada dalam himpitan begitu ramai jemaah . Beristighfar dan memohon Tuhan lindungi diriku yang kerdil ini menyebabkan diri terasa arus tolakan agak meluncur dan mudahlah aku mencari ruang untuk keluar. Didalam hati terasa ingin menangis kerana berada didalam situasi itu seorang diri. Memujuk hatiku harus belajar untuk lalui semua ini kerana perjalanan hidup akhirnya “seorang juga”. Takut mana pun kita harus hadapinya sendirian samada kita hendak atau tidak hendak.

No comments:

Post a Comment

Kitab Bughyatul Mustarsyidin :

"Telah berkata Al Khauwas daripada tanda-tanda yang menunjukkan diterima Haji seseorang hamba dan bahawa dia sesungguhnya telah dikurniakan dengan keredhaan Allah ,iaitu bahawasanya sesudah ia kembali daripada mengerjakan haji , dia berakklah dengan akhlak Rasullulah (akhlak Muhamaddiyah) hampir dia tiada memandang dirinya lebih tinggi daripada seseorangpun daripada hamba-hamba Allah dan tiada pula berebut-rebut untuk mendapatkan sesuatu daripada perkara dunia sehingga meninggal dunia.

Dan tanda yang menunjukkan hajinya tiada diterima bahawa dia kembali semula kepada keadaannya sebelum mengerjakan Haji.