Catatan Perjalananku Menuju Haji...

Umrah Pertama - September 1997 (32 tahun)
Umrah Kedua - September 1999 (34 tahun)
Haji Pertama (Haji Fardhu) - November 2009 (44 tahun)

Umrah Ketiga - May 2010 bersama suami dan mertuaku (45 tahun)
Umrah Keempat - Mac 2012 bersama anak-anak Umrah Ziarah Jordan (47 tahun)
Umrah Kelima - Mac 2015 bersama suami (50 tahun)
Umrah Keenam - in sya Allah Feb 2018 bersama suami (53 tahun)


Inilah perjalananku.....mencari , menghayati dan melalui saat indah mengenal Cinta Ya Rabbi !

.

Followers

Ads


INILAH PERJALANAN SEBENAR KISAH SEORANG HAMBA ALLAH, MENGUTIP PENGALAMAN DEMI PENGALAMAN SEPANJANG 44 HARI MENUNAIKAN IBADAH HAJI DAN AKHIRNYA MENJADIKAN , APA YANG KITA LIHAT SEPERTI SEMALAM TIDAK LAGI SETELAH MENUNAIKAN HAJI... PENGALAMAN "ITU" TELAH MEMBEZAKAN KITA YANG SEMALAM DENGAN KITA YANG HARI INI....

semuga ianya memberi iktibar dan panduan bagi mereka yang memerlukan...

Monday, January 11, 2010

Melepaskan anak-anak....

Kompleks Tabung Haji di Kelana Jaya agak lain dari selalu kerana kami boleh memilih tempat duduk yang dibuat khemah yang agak banyak dan memudahkan kumpulan keluarga berkumpul sebelum jemaah bertolak. Malah adik adik saya yang sebelum ini pernah menghantar jemaah haji menyatakan kali ini agak selesa dan tidaklah sesak seperti yang berlaku di tahun tahun sebelum ini.

Saat adik adik saya dan suami mengerjakan Solat Magrib saya menghabis waktu waktu terakhir saya bersama anak anak gadis saya yang semakin gementar menanti saat saya harus pergi. Kami menunggu di kafetaria sambil menyuapkan makan untuk anak bongsu saya yang sudah mula sebak untuk berpisah. Airmata sudah tidak dapat ditahan tetapi saya harus kuat untuk tidak turut menangis kerana kalau saya mula menangis , ianya akan menjadi sukar untuk anak saya meredakan keadaan. Tuhan sahaja yang tahu betapa sukarnya menjadi kuat disaat ini.


Saya memujuk hati , lupakanlah beban yang sukar ini untuk meninggalkan anak anak tanpa ibu bapa mereka dan saya serah seluruh keyakinan pada yang Esa untuk "menjaga" mereka sepanjang ketiadaan kami. Bagi mereka yang pernah melalui saat ini akan dapat merasakan betapa sukarnya untuk pergi...bagaimana kalau nanti tidak dapat kembali ? Bagaimanakah nasib anak-anakku? Itulah yang sesak di ingatan...ianya sangatlah sukar.


memujuk anakku untuk makan dan minum ...

Didalam surat , kami diminta Lapur Diri pukul 9.30 malam . Jadi kalau untuk jemaah yang akan datang , ianya bermakna datanglah selewat-lewatnya pukul 9 Malam. Tidaklah perlu datang awal seperti kami iaitu selepas Asar. Tetapi ada baiknya datang awal kerana setidak-tidaknya dapatlah kita berjumpa dengan saudara mara dan adik beradik sebelum pergi. Adalah juga ruang waktu untuk berbual . Suami saya terlihat begitu terharu melihat ibunya dapat juga datang menjenguk kami di saat akhir. Waktu ini berbagai perasaan yang berbaur , kami tinggalkan dengan perasaan yang sangat redha...apa pun yang berlaku dimasa hadapan , sukar ditelah !


beg untuk dibawa pergi !


Sepanjang menanti waktu Lapur Diri, anak kecilku ini tidak mahu jauh berenggang. Kita tidak tahu apa yang berada dihadapan kita , bagaimana perasaannya untuk melalui sebuah perpisahan yang seterusnya.



Akhirnya sekitar pukul 9 malam , pengumuman dibuat untuk jemaah beratur di Balai Berlepas. Satu saat yang sangat payah untuk diterjemahkan dengan kata-kata, "berpisah dengan nyawa seorang ibu , iaitu anak-anak". Saat yang sangat sedih menyebabkan badanku menggeletar seluruh badan , mendakap setiap satu anak-anakku. Menangis . Hatiku luluh untuk tinggalkan anak-anakku. Hati yang sangat berat , takut kalau mama mereka tidak dapat kembali, bagaimanakah nasib anak-anakku ini ? Airmata sudah tidak mampu ditahan.


Disaat aku harus turut beratur bersama jemaah yang lain, begitu ramai sahabat handai dan orang ramai yang mengelilingi ruang kami beratur . Mahu sahaja aku pengsan disaat itu sambil sesekali menoleh mencari cari untuk melihat wajah wajah anak-anakku buat kali terakhir. Bermulalah episod "berdikari" kerana jemaah lelaki beratur di barisan yang lain dari jemaah wanita. Aku harus mengusung beg galas dan beg baju sekali gus sambil memastikan passport dan dokumen berkaitan untuk urusan pemeriksaan.

Ianya seperti tidak percaya, sebaik sahaja dipanggil untuk beratur, bermulalah sudah walau hanya sebentar tadi emosi tergugat untuk melepaskan anak-anak , namun aku harus fokus untuk perjalanan yang seterusnya. Beginikah saatnya apabila ajal kita sudah dijemput, tidak sempat terkedu dengan sebuah perpisahan kita harus melalui alam arwah dan alam kubur , diibaratkan. Kita tidak diberi sedikit ruang dan nafas kerana perjalanan sudah bermula.......






1 comment:

  1. Entry yang sangat2 menarik, semoga puan terus menulis tentang pengalaman sepanjang berada di mekah. & Madinah...saya tak sabar utk mengikuti setiap inci perjalanan.. Thank u for sharing!

    ReplyDelete

Kitab Bughyatul Mustarsyidin :

"Telah berkata Al Khauwas daripada tanda-tanda yang menunjukkan diterima Haji seseorang hamba dan bahawa dia sesungguhnya telah dikurniakan dengan keredhaan Allah ,iaitu bahawasanya sesudah ia kembali daripada mengerjakan haji , dia berakklah dengan akhlak Rasullulah (akhlak Muhamaddiyah) hampir dia tiada memandang dirinya lebih tinggi daripada seseorangpun daripada hamba-hamba Allah dan tiada pula berebut-rebut untuk mendapatkan sesuatu daripada perkara dunia sehingga meninggal dunia.

Dan tanda yang menunjukkan hajinya tiada diterima bahawa dia kembali semula kepada keadaannya sebelum mengerjakan Haji.