Hari ini adalah hari ketiga Tadarus AlQuran dan kami telah memasuki Juz ke 6. Bacaan bermula pada pukul 8 pagi dan tamat pada pukul 10 pagi untuk bacaan 2 juz setiap hari. Saya rasa bersyukur kerana berpeluang untuk mengikuti Tadarus AlQuran pada tahun ini dan inilah pertama kalinya saya mengikutinya dalam hidup saya. Setahu saya t, adarus hanyalah untuk mereka yang mahir untuk membaca Al Quran menyebabkan orang yang tidak mahir tentang tajwid menjauhkan diri. Ianya hanya untuk orang-orang tua dan mereka yang arif membaca. Itulah yang selalu saya ingat menyebabkan kita takut untuk turut serta di majlis seperti ini.
Alhamdullilah , ustazah yang mengajar kami menggunakan pendekatan yang menarik ramai untuk turut serta. Selain dari anak-anak muridnya yang lebih kurang 50 orang terdapat 70 orang dari bukan pelajar yang turut serta. Di hari pertama saya duduk bersebelahan dengan Kak Mariam yang begitu mahir membaca membuat saya rasa betapa lemahnya pembacaan saya. Saya kemudiannya bertemu ustazah menceritakan masalah saya yang tergagap-gagap untuk mengikuti pembacaan yang agak laju. Selalunya diwaktu kelas mengaji , kami membaca perlahan-lahan , jadi bolehlah saya ikut dengan agak mudah.
Ustazah menyuruh saya supaya dengar dan ikut dengan mata dengan cara menyemak apa yang dibaca oleh mereka yang telah mahir. Barulah lega hati saya. Di hari kedua dan ketiga , saya rasa tidak tertekan lagi untuk mengejar pembacaan mereka yang laju dan menyemak selain mengikutinya diayat-ayat yang saya boleh baca. Baru hari ketiga saya rasa semakin mudah kerana didalam hati , saya berdoa semuga Allah mudahkan saya untuk membacanya dan saya harap di akhir Juz 30 saya akan membaca dengan lebih lancar.
Seronoknya membaca beramai-ramai kerana tidaklah yang tidak pandai membaca ini tertekan atau malu untuk turut serta. Malah ustazah memberitahu pada yang sudah mahir , ikutlah membaca dengan kuat dan yang kurang mahir buatlah semakan. Kelihatannya mereka yang telah menjadi pelajar lebih lama dari saya juga tidak lancar seperti saya , membuat hati saya lega, tidaklah saya seorang yang ketinggalan.
Semuga Tuhan beri kemudahan dan kekuatan untuk menghadirinya untuk 12 hari berikutnya. Saya pula terpaksa "schedule" waktu kerja saya untuk bertadarus, menyiapkan kerja-kerja yang bertimbun selain menguruskan rumah dan anak-anak , apatah lagi untuk menyediakan makanan berbuka puasa selain berterawih di malam hari. Bulan Ramadhan yang sibuk tetapi membuatkan hati kita gembira. Terutama apabila mengunjungi Masjid untuk berterawih dengan begitu ramai memakai telekung berjalan menyusuri Masjid. Ianya mengingatkan pada suasana di Mekah dan Madinah...
No comments:
Post a Comment